Puasa, ibadat bermula Rejab, latihan menuju Ramadan

REJAB yang menjelma malam ini, bermakna kita sudah berada di landasan bulan yang menuju ke arah madrasah (sekolah) Ramadan al-Mubarak.

Tidak hairanlah sahabat seperti Ibnu Umar RA dan ulama serta ahli sufi, Hasan al-Basri dan Sufyan al-Tsauri bukan saja memperbanyakkan puasa pada bulan itu, bahkan berpuasa penuh.

Bagaimanapun amalan puasa penuh itu perlu digandingkan dengan pandangan Imam Ahmad ibnu Hanbal yang melarang tindakan itu sekiranya individu terbabit tidak biasa berpuasa sebulan.

Larangan itu bertujuan supaya tidak menjejaskan puasa Ramadan kelak akibat kepenatan dan keletihan menunaikannya sebelum bulan barakah berkenaan menjelma.

Tanpa menafikan wujudnya banyak kategori hadis termasuk berstatus daif atau yang terkeluar hingga tergolong sebagai hadis palsu, sebenarnya amalan berpuasa pada Rejab mempunyai dasar dalam agama.

Uthman ibnu Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said ibnu Jubair, iaitu tabiin (pengikut sahabat Nabi SAW) besar mengenai puasa Rejab ketika mereka memasuki bulan itu.

Banyakkan ibadat seperti puasa sunat dalam Rejab sebagai persediaan menuju Ramadan. Gambar hiasan. – Foto Owee Ah Chun

Kelebihan amalan

Said menjawab bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW berpuasa (Rejab) hingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (berpuasa secara terus-menerus) dan Baginda berbuka hingga tidak nampak berpuasa. (HR Muslim)

Dalam menimbang ketika mendengar kelebihan amalan berpuasa pada Rejab, kita perlu mengelak daripada terus menolak dengan melemparkan tuduhan hadis palsu.

Ini kerana ada ganjaran atau kelebihan itu diucapkan oleh tabiin yang belajar dan bersama-sama dengan pengikut sahabat Nabi Muhammad SAW hingga meneliti seluruh kehidupan mereka khususnya dalam soal ibadat.

Pada masa sama, sekiranya sesuatu hadis itu bersifat daif, ia masih boleh diamalkan dengan syarat tidak termasuk dalam status lemah yang melampau atau sesuatu amalan itu bersifat fadha’il a’mal (kelebihan beramal).

Hal itu diterangkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya yang terkenal, al-Azkar, selain turut ditegaskan oleh Imam Baihaqi dalam Kitab al-Madkhal mengenai perbezaan sikap dalam meneliti sanad dan kritikan hadis bergantung kepada persoalan seperti halal-haram atau kelebihan sama ada manusia atau amalan.

Mulakan tilawah atau membaca al-Quran bermula Rejab ini sebagai membina momentum menuju Ramadan. Gambar hiasan. – Foto Ghazali Kori

Perbanyak ibadat

Malah, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan solat sunat, berzikir dan berdoa seperti yang perlu juga diulangi pada bulan lain.

Selain itu, tilawah dan membaca al-Quran juga dilakukan bermula sekarang untuk membina momentum hingga apabila Ramadan sampai, ia boleh dilipat-gandakan lagi untuk mendapatkan ganjaran besar yang disediakan oleh Allah SWT.

Usaha memperbanyakkan ibadat dalam Rejab ini, lebih bermakna daripada sibuk berdebat dan berpolemik terutama sekiranya hanya semata-mata mahu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Ini kerana ada kalanya, kita diperdaya oleh syaitan supaya membangkit-bangkitkan sesuatu yang bersifat khilafiah atau diperselisihkan dalam agama dengan slogan muluk kononnya menegakkan kebenaran atau mencegah perkara mungkar.

Walhal, syarat kepada orang yang mahu mencegah kemungkaran adalah sesuatu perkara itu tidak termasuk dalam hukum yang bersifat khilafiah.

Apatah lagi, terlalu banyak debat dan polemik boleh menyebabkan orang awam meninggalkan amalan yang mempunyai asas dalam agama itu, sedangkan melakukannya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, umat Islam memperbaiki diri sendiri dengan mendalami ilmu agama dengan cara sebenar dan beramal dengan ilmu yang dipelajari itu, sekali gus berdoa supaya Allah SWT akan mempertemukan kita dengan Ramadan yang mulia.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply