Jawapannya mudah. Ia ibarat persoalan adakah telur dulu wujud atau ayam yang terlebih dahulu diwujudkan di dunia. Siapa dulu tidak penting kerana kita sebagai manusia berasal daripada Nabi Adam dan Hawa yang tidak mempunyai ibu dan bapa.

Sesungguhnya orang yang berpuasa bukan saja tidak memasukkan sesuatu di dalam rongga mahupun makan nasi semalam di siang hari malahan puasa bermaksud bersabar dari melihat, mendengar dan merasai sesuatu yang dilarang sebelum waktu berbuka puasa.

Kisah tersohor pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang penduduk Arab mendatangi Umar bagi mendapat nasihat tentang isterinya yang suka berleter sepanjang waktu.

Namun apa yang lelaki itu dengari di sebalik pintu rumah khalifah Islam tersebut mengejutkannya, isteri Umar sendiri sedang meleteri baginda.

Umar yang amat ditakuti oleh musuh-musuh Islam pada zamannya sabar menerima leteran isterinya. Setelah dijelaskan oleh Umar kepada lelaki tersebut, isterinya penat kerana menguruskan rumah tangga maka beliau merasakan setakat mendengar leteran tersebut bukanlah satu masalah besar padanya. Maka anggaplah leteran tersebut sebagai sesuatu yang normal.

Jika khalifah hebat yang ditakuti oleh syaitan mampu menahan kesabaran maka kita seharusnya mampu bersabar menahan godaan di bulan puasa.

Jika tiada kesabaran di dalam diri maka wujudlah banyak penderaan fizikal dan mental antara pasangan.

Lebih memburukkan keadaan jika anak-anak yang menjadi mangsa. Amanah Allah tersebut perlu dijaga dengan baik kerana tidak semua orang yang mendapat amanah sedemikian.

Sempena bulan Ramadan yang masuk minggu kedua ini, tunaikanlah ibadah puasa dengan tekun dan mengerjakan yang wajib dan sunat dengan istiqamah.

Bersabarlah ketika membeli makanan di bazar Ramadan, beratur dengan tertib dan jangan potong barisan ketika membeli nasi beriani kegemaran.

Sepasang mata yang kita ada gunakanlah untuk memilih makanan yang berkhasiat dan baik untuk seisi keluarga. Jangan rambang mata memilih juadah berbuka puasa kerana itu semua nafsu orang yang tidak sabar.

Jika segala larangan ketika berpuasa dipatuhi insha-Allah kesabaran menjadi antivirus dalam diri daripada cubaan dan godaan semasa melaksanakan ibadah tersebut.

Jadikan sikap sabar sebagai benteng daripada anasir yang merosakkan kualiti puasa kita. Kurangkan melayari media sosial dan banyakkan menunaikan solat sunat dan menghadiri kuliah di bulan. Insya-Allah puasa menjadi mantap dan kesabaran semakin teguh.