Bagi orang Islam, wajib kita beriman dengan hari akhirat dan juga hari kebangkitan semula untuk menerima suratan amal yang dikerjakan semasa hidup. Jus­teru, dalam bulan pertama tahun hijrah ini, ada satu amalan yang amat dianjurkan bagi kita me­laksanakannya iaitu puasa sunat pada 10 Muharam. Ia juga di­sebut puasa hari asyura. Tahun ini tarikh itu jatuh pada Khamis, 20 September.

Orang beriman sifatnya sentiasa menunggu-nunggu peluang menambah amalan kebaikan atau taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Justeru, kesempatan berada dalam bulan Muharam tidak akan dipersiakan.

Sebaliknya akan berusaha melakukan ibadat puasa sunat walaupun ia amat sukar kerana orang sekeliling kita bebas makan minum. Senarionya berbeza de­ngan puasa Ramadan.

Sebab itulah, baginda SAW menjelaskan ganjaran atau kelebihan bagi mereka yang berpuasa pada hari asyura ini. Sesungguh­nya kelebihan yang dijanjikan oleh ba­ginda SAW bagi sesiapa yang berpuasa sunat ini amatlah besar.

Antaranya, seperti diriwayatkan oleh Qatadah yang bermaksud: Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari asyura, lalu nabi SAW menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu. (Riwayat al-Tirmizi).

Selain berpuasa pada hari asyura, umat Islam juga digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya: Daripada Ibn Abbas r.a berkata yang bermaksud: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu. (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulama di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat disunatkan berpuasa pada hari kesembilan dan hari ke-10. Ini kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (asyura) dan berniat berpuasa pada hari kesembilan (tahun berikutnya).

Menurut Imam al-Nawawi lagi: “Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya ber­puasa pada hari ke-10”. (al-Minhaj syarah Sahih Muslim, Bab al-Siyam)

Puasa juga adalah ibadat istimewa kerana ia menjadi rahsia dan hanya diketahui oleh Allah dan orang berkenaan. Sebab itu, ganjaran puasa bagi mereka yang ikhlas itu ditentukan sendiri oleh Allah SWT. Ini dijelaskan menerusi hadis qudsi. Bersabda Rasu­lul­lah SAW: Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada had­nya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya…(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa puasa ini menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Daripada Abu Said al-Khudri berkata, ber­sabda nabi SAW yang bermaksud: Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan. (Riwayat Bukhari dan Muslim).