Puasa tuntut elak pembaziran

Dua kali sahaja perkataan ‘Ramadan’ disebut di dalam al-Quran berbanding perintah Allah SWT lain seperti solat dan zakat yang banyak diulang dalam kitab suci itu.

Firman Allah SWT: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk sekalian manusia dan keterangan menjelaskan petunjuk serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan salah. Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah berpuasa bulan itu; dan sesiapa sakit atau dalam musafir maka (bolehlah berbuka, kemudian wajib berpuasa) sebanyak hari ditinggalkan itu pada hari lain. (Dengan ketetapan itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Meskipun hanya disebut dalam ayat itu, kehadiran Ramadan tetap sebagai satu pakej lengkap kerana diturunkan bersama al-Quran yang kekal menjadi rujukan umat Islam sepanjang zaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata kehadiran Ramadan bukan sekadar menyempurnakan ibadat berpuasa, bahkan memiliki impak besar terutama dalam konteks memakmurkan bumi Allah SWT dan menyebar luas rahmat-Nya ke atas sekalian alam.

“Saya tidak gemar orang menyebut Ramadan sebagai semata-mata bulan puasa. Ada banyak nama lain mengenai Ramadan seperti bulan takwa, rahmat dan barakah.

“Semua ini pakej lengkap untuk melahirkan umat Islam berkeperibadian tinggi kerana falsafah Ramadan tidak terbatas kepada puasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Marhaban Ya Ramadan dan Kempen Tanpa Pembaziran di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Justeru katanya, Ramadan perlu dilihat dari perspektif al-Quran untuk memahami hikmah dan maqasid syariah di sebalik perintah Allah SWT ini.

“Apabila kita menyebut Ramadan, ia bukan sesuatu yang pelik kepada masyarakat Arab kerana ia bermakna hari yang terik dan panas tidak terhingga.

“Dalam setahun ada banyak bulan tetapi Allah SWT memilih hanya pada Ramadan untuk berpuasa, sekali gus menjadikannya antara ibadat selain haji yang susah.

“Hikmahnya supaya dapat melatih jiwa kita melakukan suruhan Allah SWT walaupun dalam keadaan sukar kerana dengan keimanan tinggi, tugas berpuasa tetap dilaksanakan sebagai hamba-Nya,” katanya.

Bina kekuatan spiritual

Melaluinya juga, kata Mujahid, penghayatan dalam konteks hubungan dengan Allah SWT semakin tinggi dan meningkat yang tidak hanya dalam bentuk fizikal, bahkan menyeluruh, termasuk membina kekuatan spiritual, emosi dan mental.

Pada masa sama, Mujahid berkata, usaha mencapai ketakwaan tidak terhad atau dibatasi hal berkaitan ibadat semata-mata.

“Ada banyak perkara baik perlu dibudayakan dalam Ramadan seperti menanam azam menjauhi dan menghindari amalan pembaziran yang semakin menjadi penyakit dalam masyarakat hari ini.

“Pembaziran bercanggah dengan syariat kerana mendorong pelbagai kemudaratan seperti menjadi punca kepada penghasilan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim semasa.

“Kerajaan pada 2017 membelanjakan RM2 bilion untuk menangani pengurusan sisa pepejal, maka makanan yang kita bazirkan bukan hanya rugi apabila dibuang, bahkan akan mendorong kepada pencemaran,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan dunia semakin tenat, umat Islam perlu berfikir lebih jauh akan impak sesuatu perbuatan yang boleh menyusahkan orang sekeliling dan merosakkan alam sekitar.

“Hidup kita segala-galanya bersyariat hingga melaluinya terangkum penghayatan Islam. Perkara ini yang kita perlu pasakkan kerana syariah bukan sekadar hukum-hakam.

“Seperti hukum-hakam itu penting, begitu juga kita wajib menangani kesannya seperti yang dimaksudkan dalam maqasid syariah.

“Hukum solat umpamanya kalau tidak mencegah kita daripada melakukan kemungkaran, maqasid syariah tidak tercapai, begitu juga puasa yang sia-sia hanya mendapat lapar dan dahaga,” katanya.

Sementara itu, Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Azarina Sobian, berkata perspektif terhadap makanan sekadar tuntutan nafsu dan memenuhi rasa lapar perlu dikikis, sebaliknya digantikan mengikut pandangan hidup Islam.

“Makanan perlu dilihat dengan nilai tinggi, iaitu anugerah Allah SWT yang setiap hari diberikan. Jadi mengapa ia tidak dihargai sepenuhnya.

“Makanan juga sumber keberkatan tetapi untuk meraihnya, kita perlu melatih diri seperti menghabiskan semuanya kerana kita tidak tahu bahagian mana terdapat rahmat di situ,” katanya pada Forum Ramadan Dirai Pembaziran Dihindari bersempena pelancaran program Marhaban Ya Ramadan itu.

Ambil iktibar kesusahan keluarga asnaf

Daripada Jabir RA berkata Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya jari dijilat dan pinggan dikesat, lalu bersabda: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bahagian manakah terdapat keberkatan. (HR Muslim)

Azarina berkata, umat Islam perlu mengambil iktibar terhadap kesusahan masyarakat di sekeliling kita, umpamanya ada golongan gelandangan makan sekali sehari sahaja, selain ketidakmampuan keluarga asnaf yang terpaksa mengikat perut.

“Jika tidak habiskan makanan, cubalah ingat pada saudara kita yang kurang bernasib baik. Bayangkan negara umat Islam yang dilanda peperangan, mereka langsung tidak mempunyai bekalan makanan hingga ke tahap terpaksa makan apa sahaja termasuk rumput.

“Justeru, ini antara sebab Islam melarang pembaziran makanan dan perlu diingat puncanya juga datang daripada diri kita sendiri.

“Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah menghentikan sikap sedemikian dengan berazam mulai Ramadan ini tidak akan diulangi lagi kecuaian dan kelalaian dalam menguruskan makanan,” katanya.

Oleh Latifah Arifin

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply