PULAU PINANG YANG KONTROVERSI DAN BERKONFLIK

Pulau Pinang asalnya berada dalam wilayah dan jajahan takluk Kedah. Kedatangan Inggeris telah menyebabkan wilayah tersebut terpisah daripada Kedah secara politiknya. Inggeris pada asalnya ‘menyewa Pulau Pinang’ daripada Kedah (11 Ogos 1786) dan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957), Pulau Pinang diberikan status sebagai sebuah negeri sebagaimana Kelantan.

Berdasarkan faktor sejarah dan bukti yang masih ada, kumpulan penduduk awal yang membuka penempatan di Pulau Pinang adalah di Batu Uban, yang berhadapan dengan kampus Universiti Sains Malaysia dan dipisahkan dengan laluan baharu ke Bayan Lepas hasil tambakan laut untuk membangunkan Queensbay.

Pulau Pinang pernah menjadi sebuah pusat perniagaan bebas cukai –free port—yang kemudiannya selepas status tersebut ditarik balik (1969), dan kemudiannya bercantum dalam pentadbiran Barisan Nasional, ia dibangunkan sebagai sebuah kawasan industri pertama di Malaysia, yang kemudiannya dikenali sebagai Bayan Lepas Free Trade Zone (FTZ).

Selepas beberapa ketika, dikembangkan ke Mak Mandin bagi mengatasi kekurangan tanah untuk industri dan pada tahun 1990-an, kawasan Bukit Minyak diberikan perhatian bagi menjadikannya sebagai kawasan taman teknologi. Semua usaha tersebut merupakan dasar dan asas yang dibangunkan oleh Barisan Nasional termasuklah Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang sehingga tahun 2020.

Pulau Pinang kini merupakan negeri kedua yang mempunyai KDNK perkapita yang tinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur . Berdasarkan perangkaan 2010,  iaitu RM 33,456 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu RM 55,951.

Tahun 2008, DAP yang bergabung dengan PKR dan PAS berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang apabila berjaya mengalahkan BN, terutama Gerakan dan MCA, tetapi tidak berjaya melenyapkan penguasaan UMNO. Tahun 2013, DAP berjaya mengekalkan kuasa politik Pulau Pinang, tetapi slogan CAT –Bersih, Cekap dan Telus—sudah berganjak daripada tafsiran umum apabila gelagat pemimpinnya terus dipersoalkan bagi menghapuskan kedudukan orang Melayu di bahagian pulau.

Sebab permintaan perumahan di Pulau Pinang adalah tinggi, strategi yang dilakukan oleh kerajaan negeri ialah menggalakkan pembinan rumah mewah dan turut membuka ruang kepada rakyat asing memilikinya. Beberapa kawasan asal perkampungan Melayu –di Bukit Gelugor (Kg Buah Pala), Jelutong (Kg Asam), Tanjung Bunga, Balik Pulau (Pondok Upeh dan Kongsi), Batu Uban—sudah ditukarkan menjadi perumahan rencam. Kini, kawasan Sungai Batu semakin berubah wajah apabila pembinaan kondominium dan apartment yang ‘hanya mampu tengok’ oleh orang Melayu ekoran pembangunan pesat yang digerakkan oleh pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Batu Maung semakin kehilangan namanya apabila South Bay menjadi kemegahan baharu kerajaan negeri Pulau Pinang, walaupun pada asalnya, DAP pernah mengkritik kerajaan persekutuan yang memulakan projek Jambatan Pulau Pinang pertengahan 1980-an. Supremo DAP pernah dengan angkohnya menolak projek tersebut kerana dilihat sebagai ‘membazir’ dan masih ramai lagi rakyat memerlukan bantuan, bukannya jambatan.

Setelah DAP mewarisi banyak kemudahan asas yang dibina oleh kerajaan persekutuan, sikap pemimpinnya menjadi semakin bongkak dan sombong sehingga menyebabkan PAS tidak lagi bersedia menjalinkan ‘tahaluf siyasi’ dalam pakatan pembangkang sekiranya parti tersebut ada bersama.

Akibat sikap PAS yang ‘bencikan DAP’ dan ‘lebih mesra’ dengan UMNO, DAP mula merasakan ‘tanpa sokongan PAS’, keinginan untuk menjatuhkan BN dalam PRU ke-14 terasa sukar dan susah. DAP walaupun masih mempunyai dua buah parti yang sedia berkongsi kuasa –Parti Amanah Negara dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia—selain PKR, masih terasa sukar untuk memperoleh sokongan orang Melayu. PAN yang diasaskan selepas berpecah dengan PAS (Ogos 2015) merupakan penjenamaan semula Parti Pekerja (yang diasaskan oleh Ganga Naya, seorang tokoh politik pekerja wanita pada bulan Januari 1978) dan PPBM ditubuhkan pada bulan November 2016 selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin (28 Julai 2015) dan Mukriz Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah apabila tidak mempunyai sokongan yang mencukupi (3 Februari 2016).

DAP yang ‘gagal’ memujuk PAS untuk kembali membina kekuatan pakatan pembangkang, mula rasa tertekan apabila PAS mula menunjukkan ‘tutup pintu’ apabila parti itu tidak boleh menyokong usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang bertujuan untuk meningkatkan denda kesalahan jenayah dalam kalangan orang Islam di Malaysia. Sebaliknya, PAN dan PPBM mengambil sikap berdiam diri dengan ‘menghantar DAP’ untuk berlawan dengan PAS.

Beberapa hari lalu, PPBM mula merintis untuk membentuk kerjasama dengan PAS, tetapi pertemuan masing-masing antara Timbalan Presiden tidak menghasilkan apa-apa keputusan, kecuali ‘bercakap-cakap dan mendengar’. Antara mereka, tidak diberikan mandat membuat keputusan sehinggalah Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan, kerjasama dengan PAS ‘sudah berakhir’ dan ‘tempoh sudah tamat.’

Mendengarkan ‘guruh politik’ itu, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mula menyelar PAS dengan mendakwa, kepimpinan politik PAS di Kelantan telah menyebabkan ‘negeri yang gagal.’

Menurut Lim Guan Eng, Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal, dengan bersandarkan ‘rumah mangsa bah kuning (2014) dan pembalakan yang melibatkan tanah seluas 100,000 ekar. Penebangan balak itu menyebabkan banjir di Kelantan sukar untuk dilupakan manakala Orang Asli di Gua Musang masih bertekad menghalang lebih banyak tanah adat mereka diteroka.

Lim Guan Eng turut menggunakan hasil penyelidikan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang mendapati Kelantan adalah salah sebuah negeri yang termiskin di Malaysia. Hampir 85 peratus isi rumah di Kelantan berpendapatan di bawah purata kebangsaan, iaitu RM6,000.Ia menjadikan tahap pendapatan yang paling rendah di Malaysia dan 30 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan. Kelantan juga merupakan negeri yang terendah isi rumah yang mempunyai pendapatan lebih RM 6,000 iaiatu sekitar 15.2 peratus. Perak menduduki tangga kedua isi rumah yang berpendapatan rendah sehingga menyebabkan Menteri Besar, Dr Zambry Abdul Kadir ‘tidak berpuashati dengan kaedah penyelidikan yang dibuat. (http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rakyat-kelantan-berpendapatan-paling-rendah-di-malaysia-1.376438).

Kenyataan ego Lim Guan Eng bagaimanapun telah dibidas kembali oleh pemimpin PAS dengan mendakwa DAP ‘campur tangan dalam pembuatan fatwa di Pulau Pinang’ walaupun ‘fatwa itu hanya khusus untuk orang Islam.’ Akibat terperangkap dengan dakwaan tersebut, Lim Guan Eng mencabar PAS dan seterusnya meminta EXCO yang bertanggungjawab menjawab. Bagaimanapun, kenyataan EXCO berkenaan tidak mampu melenyapkan persepsi buruk Lim Guan Eng terhadap ‘campurtangan fatwa’ apabila ada sedikit kenyataan bekas mufti yang tidak disambungkan kontraknya, yang boleh menyokong dakwaan PAS.

Inilah yang sedang berlaku, DAP terus menyerang PAS setelah parti itu enggan ‘dipatuk sekali lagi dalam lubang yang sama’ akibat pedih lama masih terasa. Ramai yang masih ingat bagaimana berlakunya perbalahan dan percanggahan antara Karpal Singh dan Nik Aziz berhubung ‘pertemuan antara mereka di Pulau Pinang’ di hari sambutan ulang tahun kelahiran tokong ‘langkah mayatnya terlebih dahulu kalau mahukan peraturan syariah dan menegakkan negara Islam’. Walaupun kedua-duanya sudah tiada (Karpal Singh meninggal akibat kemalangan jalan raya pada 17 April 2014) dan Nik Aziz akibat kanser prostat pada 12 Februari 2015), ‘permusuhan’ tersebut menjadi sesuatu yang ‘mengikat’ usaha keduanya untuk berbaik semula.

Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Guan Eng menyatakan mendedahkan peratusan pemilikan kediaman antara kaum di Pulau Pinang sedangkan di Kelantan 83.9 peratus orang Melayu memiliki rumah. Persoalan pemilikan rumah dalam orang Melayu bukanlah perkara baharu, kerana ramai rakyat Pulau Pinang berketurunan Melayu semakin tidak mampu membeli rumah, sebaliknya lebih ramai berhijrah ke Sungai Petani, Kulim, Parit Buntar dan Taiping.

Suatu ketika dahulu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) banyak membina rumah-rumah kediaman ‘kos sederhana dan rendah’ tetapi sejak ditadbir oleh DAP, di mana Lim Guan Eng sebagai penasihatnya, PDC tidak lagi membabitkan secara aktif melaksanakan ‘perumahan rakyat.’ Kerajaan negeri hanya mengharapkan pemaju-pemaju perumahan swasta untuk melaksanakannya dan kerana itu pada suatu ketika, kerajaan Pulau Pinang dipersoalkan ‘kejayaannya membina rumah kos rendah dan sederhana.’

Bagi mengabui mata rakyat, kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan bahawa unit-unit yang dikhaskan kepada Bumiputera tidak dapat dijual, ia wajar dijual kepada bukan Bumiputera. Dalam masa yang sama, pemaju perumahan swasta yang digalakkan membina rumah mampu milik terpaksa ‘mengikut kehendak DAP’ ketika pengagihannya. Dalam keadaan tersebut, berlaku masalah di mana ada pihak yang ‘mengenakan tol’ jika mahukan rumah berkenaan, termasuklah ‘komisyen kepada orang tengah’ (bapa kepada seorang wakil rakyat DAP didakwa atas kesalahan tersebut) dan ‘peraturan tidak bertulis oleh pihak pemaju.’

Pemaju memberikan ‘paksaan’ agar pemilik rumah membuat pengubahsuaian dengan kontrak yang dilantik manakala kontrak luar akan dikenakan ‘bayaran toll’ sehingga menyebabkan kos meningkat tinggi. Ada juga pemaju ‘sengaja’ memasukkan beberapa peralatan (kabinet dapur, ubahsuai dapur dan peralatan elektrik) sebagai syarat ‘ditawarkan unit berkenaan’ dan kerana itulah ramai pembeli bersungut, harga yang diiklankan adalah berbeza dengan harga sebenar yang perlu dibayar. Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas, kerana sebahagian besar pemajunya adalah keturunan China.

Pulau Pinang ‘kurang mesra’ dengan orang Melayu dan atas dasar itulah banyak kawasan-kawasan perniagaan yang diceburi oleh orang Melayu ditutup atau disita. Peniaga berketurunan Cina walaupun berniaga sehingga ‘melimpah’ ke atas jalan, jarang kedengaran peralatan perniagaan mereka dirampas atau disita. Inilah kaedah yang dilaksanakan oleh DAP Pulau Pinang untuk ‘menghapuskan orang Melayu di Pulau Pinang’ sehingga orang Pulau Pinang sendiri merasakan kehidupan mereka begitu terhimpit.

Begitu juga dengan ‘perubahan sikap’ orang Cina Pulau Pinang. Sejak Pulau Pinang ditadbir oleh DAP, perilakunya menunjukkan sikap yang kasar dan tamak, kurang mesra dan mendesak. Pengalaman sendiri ketika ‘tawar menawar’ di sebuah kedai di Campbell Street menyebabkan ‘tawar hati’ untuk berbelanja di Pulau Pinang. Sebelumnya, sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, Campbell Street menjadi tumpuan saya membeli belah, tetapi, ekoran insiden ‘kena marah’ itu mengingatkan saya dengan apa yang pernah dialami di Singapura.

Menurut Ahmad Fadli, laporan Pejabat Tanah dan Galian pada 2010, pemilikan tanah kaum Cina di negeri itu adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak lapan peratus. Ironinya, jumlah penduduk Melayu dan Cina hampir seimbang pada tahun 2014. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2014, menyatakan populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.6 juta iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), manakala bangsa lain termasuk warga asing adalah 6.7 peratus.

Balas Ahmad Fadli, “Adalah lebih baik Kelantan yang dikatakan muflis ini jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dari sudut menjaga hak pribumi Bumiputera dan keadilan untuk rakyat. Bagi makluman Guan Eng juga, sumber dari Khazanah Research Institute pada tahun 2016 juga menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi dari sudut ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah.

“Sekalipun gaji bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang berada di angka RM4,702 namun harga rumah (pertengahan) di negeri itu ialah RM295,000.00 berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini ialah RM2.716 namun harga rumah (pertengahan) di negeri ini hanyalah sekitar RM157,740.

“Ia sekali gus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaitu sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya di tangga indeks 4.8. Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda melabelkan kami sebagai negeri hampir bangkrap?” katanya lagi. (https://aidcnews.wordpress.com/2017/02/08/pas-bidas-keceluparan-guan-eng-tuduh-kelantan-negeri-muflis/)

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed turut mempertikaikan kenyataan Lim Guan Eng bahawa ‘Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dan muflis.’ Sebagai orang bertanggungjawab melaksanakan projek pembangunan di Kelantan menerusi Jabatan Persekutuan, Mustapa meminta agar Ketua Menteri Pulau Pinang memperbaiki kelemahan urus tadbir kerajaan negeri itu sebelum menuduh Kelantan negeri gagal dan muflis.

Jelas Mustapa, meskipun kerajaan PAS Kelantan diakui mempunyai kelemahan  dalam aspek urus tadbir, Pulau Pinang mempunyai masalah yang sama terutama membabitkan Bumiputra, kehidupan mereka terhimpit “disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan rumah kos rendah.” (Utusan Malaysia, 10 Februari 2017).

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri Pulau Pinang mula dipersoalkan mengenai pungutan wang apabila penggunaan beg plastik ‘tidak digalakkan’ kerana pengguna dikenakan 20 sen bagi setiap beg plastik ketika ‘hari tanpa plastik’. Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama yang mengenakan ‘kutipan cukai penginapan’ ke atas setiap bilik penginapan ditempah dan kutipan itu dilaksanakan oleh hotel bagi pihak berkuasa tempatan. Kuatkuasanya sudah berjalan beberapa bulan sebelum kerajaan persekutuan memperkenalkan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (GST) sebanyak 6 peratus pada bulan April 2015.

Lim Guan Eng yang berjanji akan ‘memansuhkan tol’ semasa berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) sekiranya pakatan pembangkang menang. Setelah memerintah Pulau Pinang, penghapusan tol sebagaimana dijanjikan itu tidak dilaksanakan hingga sekarang, terutama di Sungai Nyior. Lim Guan Eng belum mampu melaksanakannya, kerana beliau sebenarnya tidak mempunyai keberanian sebagaimana takutnya ketika dicabar oleh penduduk asal Kg Buah Pala setelah kawasan itu akan dibangunkan dengan projek perumahan.

Kini, Lim Guan Eng sedang ‘menunggu’ keputusan ‘pemasongannya’ apabila didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri dalam membeli sebuah banglo ‘tidak ada kolam’ dibawah harga pasaran. Penjualnya dikatakan memperoleh ‘imbuhan lain’ sebagai balasannya. Seandainya Lim Guan Eng bersalah, maka beliau yang terkenal dengan slogan ‘akauntabiliti’ sejak awal akan dilihat sebagai ‘pelopor politik retorik’ kerana tidak melaksanakan apa yang diperkatakan, cakap lain dan lakukan lain.

Ketika mula-mula mentadbir Pulau Pinang, Lim Guan Eng memomokkan konsep pentadbiran ‘ala Khalifah Umar Abdul Aziz’ tetapi keadilan dan kesaksamaan yang ditunjukkan oleh khalifah tersebut ‘jauh panggang dari api.’ Beliau hanya berlakon dan berpura-pura, termasuklah berusaha menghapuskan ‘sejarah orang Melayu di Pulau Pinang’ dengan mendakwa dan bersetuju, Balik Pulau dibuka oleh orang Cina hanya kerana sebuah kawasan bernama Kongsi.

DAP sebenarnya sedang berhadapan dengan ‘krisis keyakinan’ maka sebab itulah Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang begitu kuat melatah apabila ‘paku buah keras’ sedang dipulangkan kepadanya. Bapanya bersikap ‘kasar’ terhadap wartawan ketika ditanya pendiriannya tentang BMF dan Forex selepas “persidangan meja bulat’ kerana mereka sebenarnya tidak pernah belajar ‘komunikasi mempertahankan diri’. Mereka dilatih dan dibiarkan membesar sebagai ‘penyerang’ dan keadaannya bertukar untuk ‘mempertahankan diri’ mulalah marah-marah dan ‘hilang pertimbangan strategi.’

No Comments

    Leave a reply