Rafizi mohon AGC tarik balik pertuduhan

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli yang didakwa menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, memohon dirinya dibebaskan dengan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha, yang mewakili Mohd Rafizi berkata pihaknya akan menghantar representasi kepada AGC secepat mungkin bagi memohon pertimbangan daripada AGC supaya mengkaji semula pertuduhan sekali gus menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya.

Perkara itu dimaklumkan pada pengurusan kes itu di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar hari ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Julai untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing.

Sementara itu keputusan di akhir kes pendakwaan ditetapkan pada 28 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan.

Mohd Rafizi, yang juga bekas anggota Parlimen Pandan didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada  9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber : Sinar Harian

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply