RAHMATAN LIL ALAMIN: PERLAKSANAANNYA DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Rahmah atau Rahmat:

Kata nama RAHMAT mempunyai simbol ketuhanan Yang Maha Esa dan kesucian Kitab Suci Al-Quran Al-Karim. Pertalian yang paling kuat bagi kata nama ini ialah dengan ungkapan Nama Allah yang bersifat dengan sifat Al-Rahman dan Al-Rahim (Bismillah) dan ayat yang ke-2 Surah Al-Fatihah selepas Basmallah.

Terdapat ahli tafsir yang menjelaskan bahawa kata Rahmah mempunyai kata lawannya, iaitu: Al-Rajim. Surah Al-Hijr (15) Ayat 16-170. Al-Rahman dan Al-Rahim kedua-duan kalimat ini ialah di antara nama-nama Allah SWT, (Al-Asma’ Al-Husna) bermakna Yang Amat Pemurah dan Amat Mengasihani. Kesempurnaan inilah yang melahirkan manusia yang berhikmah dan bersifat rahmah.

Di dalam Al-Quran terdapat 82 kata nama Al-Rahmah di samping kata-kata terbitan dari kata nama ini, seperti kata kerja, kata sifat dan sebagainya, yang merujuk kepada kata nama Rahmah.

Rasulullah Saw Sebagai Nabi dan Rasul Yang Rahmah

Di dalam surah Al-Anbiya’ (21) ayat 107 Al-Quran membawakan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat kepada sekelian alam”

Di Dalam Surah Hud (11) ayat 9 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya kalau Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami, kemudian Kami menarik kembali rahmat itu daripadanya, dia tentulah sangat berputus asa dan sangat-sangat tidak bersyukur”

Di dalam Surah Ali-Imran (3) Ayat 159 Allah SWT berfirman maksudnya:

“Maka dengan sebab rahmah (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad) engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari keliling kamu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan). Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”

Tamadun Islam dan Kesannya Dalam Tamadun Melayu

Sejarah membuktikan bahawa pemerintahan Islam semasa Rasulullah SAW di Madinah, dan semasa Islam memerintah Andalusia, pemerintah itu tetap berlaku adil terhadap semua rakyat tanpa sebarang tekanan yang boleh membawa kepada konflik yang akan menimbulkan perpecahan dan sengketa di dalam masyarakat. Dasar ini di hormati dan di fahami oleh semua warga yang menjadi rakyat di bawah pemerintahan itu, lalu tidak terdapat sebarang gerakan atau pengkhianatan yang berlaku dalam kalangan rakyat sehingga memungkinkan timbulnya rasa resah gelisah dan tidak puas hati diantara rakyat.

Di negara kita, sejak mencapai kemerdekaan, dan semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan, maka agama Islam merupakan agama negara, dan Raja-Raja Melayu merupakan sebuah institusi yang menjaga dan melindungi hal elwal agama Islam.
Yang Di-Pertuan Agong dalam lafaz penerimaan perlantikan baginda, salah satu perkara yang disebutkan ialah melindungi agama Islam di negara ini. Malah kedudukan agama Islam sebagai agama negara yang ulung di dalam negara kita juga adalah merupakan satu kontrak sosial yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, kerana sejarah telah membuktikan bahawa persetujuan untuk memaktubkan Islam sebagai agama negara adalah merupakan satu kesepakatan diantara Al-Marhum Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dengan ketua parti politik MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum terbesar rakyat Malaysia ketika itu. Dan sebagai jaminan untuk kekuatan dan keamanan negara jugalah, Perlembagaan memperuntukkan bahawa agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut masing-masing dalam aman dan harmoni.

Dasar tanpa ganggu menganggu dalam ajaran agama inilah yang dapat membentuk satu kekuatan bangsa dan rakyat mengikut konsep unity in diversity, dan konsep inilah yang seharusnya didokong oleh semua warga negara dalam menegakkan hak dan tanggung jawab semua kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama ini.

Dalam konsep amalan agama yang eksklusif untuk agama itu, kita bersetuju untuk tidak mempersoalkan amalan agama lain, walau pun dalam banyak perkara dalam amalan agama masing-masing itu, terdapat perbezaan pandangan dan pendapat, terutamanya dari segi akidah, namun hal ini tidak seharusnya dibangkit dan dipersoalkan, kerana kita percaya kepada keharmoniaan manusia dan masyarakat, berpegang kepada dasar “agree to disagree”.

Peradaban Islam

Konsep dan nilai perdamaian sejagat dan keharmonian manusia adalah merupakan nilai bersama yang seharusnya diamalkan oleh semua manusia. Banyak ahli falsafah yang terkemuka dunia yang mengemukakan konsep ini sebagai satu cara hidup manusia yang bertamadun, umpamanya ahli falsafah Islam, Al-Farabi.

Al-Farabi (870 – 950 M) nama penuh Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Awzalagh al-Farabi ialah seorang ahli falsafah Islam yang terkemuka, dan termasuk sebagai salah seorang ahli falsafah Islam yang teragong dalam sejarah. Beliau yang dilahirkan di Turkestan, adalah terkenal sebagai Tokoh Kedua selepas Aristotle dalam kalangan masyarakat Arab dan Islam sepanjang zaman, sungguh pun namanya sering tenggelam, dilindungi oleh nama-nama besar ahli falsafah yang terkemudian seperti Ibn Sina umpamanya.

Konsep falsafah politik dan kenegaraan yang dikemukakannya ialah konsep al-sa’adah (kesejahteraan – kebahagiaan). Masyarakat madani didefinisikan oleh beliau sebagai satu masyarakat yang seluruh anggotanya bekerjasama untuk mencapai al-sa’adah, kota raya madani ialah sebuah kota raya yang bermatlamatkan al-sa’adah dalam semua tindakan dan kelakuan penghuninya, dan alam madani seluruhnya akan mampu menghayati kehidupan al-sa’adah apabila semua negara bangsa berusaha untuk mencapainya.
Falsafah al-Farabi mungkin dapat disadurkan untuk menjiwai konsep kesepaduan warga Malaysia bagi membangunkan negara dan bangsa Malaysia yang bahagia dan produktif di dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan agama serta semua bidang kehidupan lainnya.

Gagasan Malaysia Baru seharusnya merupakan jentera dan mekanisme penting dalam pembangunan negara dan bangsa Malaysia yang harmoni, sejahtera dan bersatu, iaitu ketika kita memerhati dengan penuh rasa bimbang mutakhir ini akan perkembangan di dalam masyarakat yang membawa kepada konflik dan kontraversi.

Nilai-nilai bersama yang dipupuk dan diamalkan dengan baiknya ketika semua kaum di Malaysia sama-sama berjuang untuk mendapatkan Kemerdekaan pada tahun 1957 dengan semangat bersatu di dalam kepelbagaian (unity in diversity), di dalam beberapa keadaan kelihatan mulai terhakis dan luntur di dalam masyarakat negara ini.

Saya rasa bahawa dalam mengurus sebarang konflik yang sering timbul di dalam masyarakat global dan yang penuh dengan persaingan ini, rakyat Malaysia haruslah kembali kepada nilai-nilai bersama yang diamalkan selama ini, iaitu di dalam sebarang krisis maka satu pihak haruslah;

mendengar pandangan orang lain untuk memahami, meneliti isu dan mendapatkan persepakatan bukan berusaha mencari kelemahan orang lain dan membantah semuanya
aturkan sesi dialog yang boleh mengembang atau berkemungkinan mengubah pandangan satu pihak bukan terus menerus memperkuatkan pandangan satu pihak sahaja
dialog berkemungkinan menilai semula sesuatu andaian atau prasangka yang telah dibuat sebelumnya bukan memperkuatkan andaian atau prasangka yang sedia ada sebagai kebenaran
dialog hendaklah membuka peluang untuk mencapai penyelesaian yang lebih baik daripada penyelesaian asal bukan secara melulu mempertahankan penyelesaian yang dicadangkan sebagai penyelesaian yang terbaik
semua pihak haruslah diberi peluang untuk mengemukakan pandangannya yang terbaik, dengan harapan bahawa pandangan orang lain mungkin dapat membaikinya, bukan merosakkannya sama sekali. Satu pihak tidaklah seharusnya mengemukakan pandangan yang dianggapnya terbaik dan mempertahankannya secara membuta tuli bagi membuktikan bahawa pandangannya sahaja yang benar
pihak-pihak yang berkonflik haruslah berusaha mencari penyelesaian dan permuapakatan yang asas bukan terus menerus mencari titik perselisihan yang amat ketara.

Cintakan Negara Dalam Sejarah Islam
Dalam konteks ini juga, maka sesuatu peristiwa penting yang menyentuh semangat dan perasaan semua warga, haruslah juga dipupuk dan dirayakan, umpamanya ketika merayakan sambutan kemerdekaan negara setiap tahun, Hari Pahlawan, Perayaan Bahasa Kebangsaan dan sebagainya.

Malah bagi semua warga negara, maka nilai cintakan tanah air tempat tumpah darah dan negara sendiri adalah merupakan tuntutan negara, di tambah pula sebagai tuntutan agama bagi umat Islam, seperti yang ditunjukkan oleh tindakan baginda Rasulullah SAW dalam sejarah hidupnya

Kita boleh meneliti peristiwa sejarah iaitu ketika baginda Rasulullah SAW akan berhijrah meninggalkan kota Makkah menuju ke Madinah, maka satu semangat cintakan negara tempat tumpah darahnya telah menjelma begitu hebat sekali di dalam diri baginda.

Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa baginda telah membisikkan rasa cintanya kepada kota Makkah, tanah tempat tumpah darah baginda itu dengan penuh perasaan ikhlas, iaitu ketika akan meninggalkan kota Makkah baginda mengungkapkan kata-kata berikut:
Aduhai alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Makkah),
dan alangkah kasihnya daku kepada mu,
seandainya tidak kerana diusir kaumku untuk berpisah denganmu,
maka demi sesungguhnya tidak akan ku pilih kediamanku selain daripada mu

Setelah mengucapkan kata-kata tersebut, maka baginda pun terus melangkah keluar, yang dilakukannya sebagai menunaikan satu perintah Allah SWT, yang diantaranya terdapat didalam firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku adalah amat luas, maka sembahlah Aku sahaja” (Ayat 56 Surah Al-Ankabut).

Ketika inilah juga turunnya ayat Al-Quran yang bermaksud:
“Dan katakanlah: Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisimu kekuasaan yang (dapat) menolong” (Surah Al-Isra’, ayat 80)

Rasulullah SAW telah menginspirasikan kepada umatnya bahawa cintakan tanah air dan negara adalah merupakan satu daripada tuntutan agama. Segala amal bakti yang dapat dicurahkan kepada negara hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Warisan Tamadun Islam dan Melayu
Para pimpinan tertinggi negara kita, sebenarnya dari awal-awal lagi telah mewarisi budaya dan ajaran Islam sebagai inti pati pemerintahan dan simbol pembangunan negara kita. Yang Teramat Mulia Perdana Menteri pertama kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, menyedari bagaimana umat Islam yang terdiri dari rakyat Melayu sememangnya dari kecil lagi telah di asuh dan di didik dalam bacaan kitab suci, dimulai dari Muqaddam dan seterusnya membaca kitab suci Al-Quran dengan penuh tertib dan khusuk.

Maka pada tahun-tahun di awal pemerintahannya, Almarhum telah menganjurkan peraduan membaca kitab suci Al-Quran di peringkat Kebangsaan, kemudian berterusan sehingga ke peringkat antarabangsa, ketika negara Islam lainnya masih belum menyedari cara penghayatan bacaan ayat-ayat suci Al Quran seperti yang disedari oleh umat Melayu, warga Islam negara kita.

Dengan itu ternyata bahawa proses pengiktirafan rakyat kita terhadap keunggulan agama Islam, bermula dengan bacaan kitab suci dengan meraikan tajwid dan tarannum bacaannya, yang ketika itu menjadi tradisi dan amalan orang-orang kampung, kemudiannya menjangkau ke seluruh kampung dan bandar di negara kita.

Dengan itu seluruh dunia telah menyaksikan Malaya menjadi tuan rumah majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, ketika negara Islam lainnya masih belum menyedari tentang usaha ini, tambahan pula pada malam penutupnya maka peristiwa besar ini dihadiri sendiri oleh oleh ketua negara dan ketua agama tertinggi Malaysia, SPB Yang Di-Pertuan Agong.

Kita bersyukur bahawa keadaan aman damai dan tamaddun Islam yang kita bina sejak sekian lama itu, masih berterusan dalam negara kita. Malah konsep rukun damai di antara kaum dan penganut agama yang berbeza-beza di dalam negara ini masih dapat kita pertahankan, dalam kualiti yang baik (Peaceful Coexistance)

Malah dalam era baru, menjelang alaf baru, kurun yang ke-21 ini, dunia baru nampaknya mulai mengalami krisis yang membawa kepada pertumpahan darah dan pengorbanan nyawa manusia, yang telah pun menjadi perkara biasa di dalam dunia Islam dan dunia lain juga, akibatnya maka perhatian dan perdebatan dunia pada hari ini tidak lagi tertumpu kepada kepentingan ajaran agama dan ajaran Tuhan kepada manusia, malah perdebatannya ialah apakah dalam zaman moden ini agama dan kepercayaan kepada Tuhan itu merupakan satu keperluan bagi manusia? Apakah agama itu masih perlu dan relevan pada zaman ini?
Contohnya pada 9 Mac 2013, satu debat agung atau “Big Debate” telah berlangsung di London dengan tajuk: Islam or Atheism, Which make more sense? (Islam dan golongan atheis – (tidak percayakan Tuhan) – mana satukah yang lebih rasional?)

Perdebatan ini disertai oleh seorang ahli cosmologist Barat Prof. Lawrence M. Krauss dengan seorang pemikir Islam dari Asia Tengah, Hamza Andreas Tzortzis, yang menekankan bahawa pada masa kini perdebatan tidaklah lagi seharusnya berlaku di sekitar agama manakah yang lebih baik di antara agama-agama dunia, malahan perdebatan pada hari ini seharusnya berkisar tentang siapakah di antara dua golongan manusia, iaitu di antara orang-orang yang mempercayai agama (believers) dan golongan yang tidak mempercayai Tuhan sama sekali (atheist-unbelievers), yang lebih releven dengan perkembangan dunia moden dan global sekarang ini.

Kecenderongan untuk menegaskan bahawa golongan yang masih berpegang kepada agama sekarang ini telah tidak relevan lagi dengan perkembangan dan kesejahteraan manusia itulah sebenarnya yang telah mendorong kepada perlaksanaan debat ini. Malahan pendebat yang mempertahankan golongan atheist lebih banyak membawakan contoh negatif para golongan agama yang mencetuskan krisis, keganasan dan keruntuhan tamadun manusia pada masa kini di dalam dunia seluruhnya, meskipun hujahnya ini disanggah oleh pendebat yang mempertahankan kelangsungan kepercayaan agama sebagai asas kemajuan dan tamadun manusia.

Sementara itu di dalam konteks yang sama, di dalam pasaran terdapat sebuah buku yang mengandungi teks perdebatan di antara seorang ahli sains yang bernama Leonard Mlodinow dengan seorang pemikir spiritual yang bernama Deepak Chopra yang mengandungi hujah-hujah yang kuat dari kedua-dua world view masing-masing, dan buku ini telah diterbitkan dalam tajuk yang merupakan satu persoalan: Is God an Illusion? (Adakah Tuhan itu satu ilusi? atau khayalan)
Dalam keadaan ini, maka nampaknya manusia moden pada hari ini sedang berusaha supaya segala bentuk kepercayaan kepada Tuhan, dan komitment generasi baru kepada agama, haruslah dihapuskan sama sekali, kerana mereka memberikan hujah bahawa agama, dan manusia yang mempercayai agama, tidak lagi relevan dalam zaman ini, terutamanya dalam jangka masa satu atau dua dekad terakhir ini, ketika dunia menyaksikan krisis politik, ekonomi dan sosial, yang dicetuskan oleh para pengikut agama.
Satu “news review” dalam akhbar The Sunday Telegraph 30 Jun 2013 menyentuh tentang sendaan terhadap orang agama dan skandal yang berlaku dalam kalangan ketua-ketua agama Katholik, ketika seorang koresponden BBC yang bernama David Willey menulis tajuk “The sins of Vatican” dengan menegaskan bahawa “The sex and corruption scandals are growing at the heart of the Catholic Church” malah beliau menambah “It was claimed that Roman priests had used prostitutes” (Dosa-sosa Vatican. Skandal seks dan korupsi semakin meningkat di tengah-tengah pusat gereja Katholik.Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa para padri Roman telah menggunakan pelacuran”.

Disamping itu terdapat dalam pasaran sebuah buku yang ditulis oleh bangsa Amerika, Fuller, yang memaparkan pandangan serta pengalamannya tentang permusuhan yang berlaku diantara Islam dan Amerika Syarikat juga dunia Barat sehingga menimbulkan banyak krisis dan gerakan konfrantasi. Buku itu bertajuk “A World Without Islam” (Dunia tanpa Islam). Hujah dan kupasannya nampak seimbang sepintas lalu, tetapi mentaliti orang Amerika amat jelas terbayang dalam tulisannya ini, yang mungkin juga ingin mengatakan bahawa dunia tanpa Islam akan menjadi lebih aman dan sejahtera.

Hari ini pun, imej agama Kristian dan Yahudi amat buruk dan menjatuhkan prestasi agama itu dalam membina tamadun manusia. Kekacauan yang berlaku di Ireland Utara dalam kalangan penganut Katholik dengan tenteranya “Irish Republican Army -IRA) yang menentang penganut Kristian lain telah berlarutan sejak lama dulu, puluhan tahun tanpa selesai, dan telah memakan korban nyawa yang banyak. Yahudi sendiri, termasuk para ketuanya, telah menunjukkan kekejaman yang melampau terhadap orang-orang yang tidak berdosa di Palestin dengan merampas rumah tangga dan harta benda rakyat Arab, dan seterusnya melakukan kekejaman kepada rakyat yang mereka jajahi itu.

Kita mungkin tidak dapat menjawab bagi pihak agama lain dalam arus perdebatan dan kerisis pemikiran yang ditimbulkan ini. Namun untuk menjawab bagi pihak Islam, kita sendiri mungkin terperangkap dengan situasi dan peristiwa yang berlaku di dalam dunia Islam akhir-akhir ini, ketika gelombang permusuhan yang membawa kepada pertumpahan darah dan keganasan melampau, semakin melanda masyarakat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Turki, Somalia, Nigeria, Libya dan lain-lain lagi.
Kita mungkin boleh mencuba untuk memberikan sedikit justifakasi tentang kebangkitan golongan radikal yang didakwa oleh orang Barat, seperti penentangan rakyat Palestin terhadap regim Yahudi dan kuasa besar Amerika Syarikat, iaitu tentang dasar Yahudi dan Kerajaan Zionis yang menindas rakyat Palestin, maka rakyat yang ditindas dan dizalimi tentulah akan bangun menentang musuh mereka dengan keganasan, kerana dunia antarabangsa sendiri menafikan hak mereka sebagai manusia dan tuan punya tanah air serta harta benda mereka yang telah dirampas dengan segala kekejaman oleh regime Yahudi.

Dalam keadaan ini, saya merasakan bahawa kita sebagi umat Islam di bahagian dunia kita ini haruslah mencari alternatifnya dalam memperbaiki imej dan prestasi umat Islam yang amat teruk pada masa kini. Kita telah lama dicemarkan oleh kerisis yang berlaku di dunia Arab dan bukan Arab di Asia Barat dan Afrika Utara, kerana kedatangan Islam dan perkembangan serta pembangunannya adalah dilihat berpusat di sana.

Hingga kini, Melayu masih kuat berpegang kepada nilai-nilai universal Islam dalam pemerintahan dan pembangunan bangsa dan negara. Para ilmuan dan hukamak Melayu amat banyak tepengaruh dengan pengajaran yang mereka terima di Makkah, dan Al-Azhar yang amat berpengaruh itu. Para ulamak agama, ahli Sufi dan para ilmuannya telah menyumbang kepada kemerdekaan negara, malah memberikan banyak panduan terhadap pengurusan sosial dan tata negara bagi negara kita yang berbilang kaum ini.
Oleh itu langkah memperluaskan budaya dan sistem hidup yang harmoni dan kukuh dalam masyarakat negara dan rantau kita yang ditunjangi oleh bangsa Melayu haruslah dikembangkan dalam kepelbagaian saluran ke dalam masyarakat serantau dan antarabangsa, terutamanya dalam model penghayatan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan ini. Malah saya ingin menyarankan supaya pusat pengajian tinggi negara kita dapat mengkaji semula sistem dan program akademik pengajian Melayu masing-masing dalam memberikan penekanan kepada pemikiran dan tamadun Melayu itu sendiri yang diantaranya dipengaruhi oleh ajaran Islam.

Kerajaan Malaysia seharusnya dapat mengkaji untuk mengekspot bidang pengajian pemikiran dan tamadun Melayu ini ke Universiti-universiti antarabangsa yang beprestej, seperi Oxford dan Cambridge di UK dan beberapa buah universiti ternama di negara Eropah lainnya, juga di Amerika Syarikat. Mata dunia Barat dan antarabangsa lainnya hendaklah dibuka untuk melihat bahawa pemikiran, sejarah dan tamaddun Melayu merupakan sesuatu yang dapat memberikan sumbangan yang besar kepada dunia, melalui world view Islamnya yang betul dan penghayatan Islam yang positif, serta imej Islam yang masih tinggi di dalam negara dan masyarakat Melayu Islam ini. Islam sebenarnya bukanlah hanya merupakan kepunyaan dunia Arab dan Afrika Utara, tetapi juga kepunyaan umat Melayu, yang merupakan satu pertiga dari keseluruhan jumlah penduduk Islam di dunia ini.

Umat Islam di rantau ini sendiri haruslah memahami bagaimana proses globalisasi itu dijelmakan dalam peradaban Islam sendir dari sudut kesatuan masyarakat manusia yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, yang menegaskan;
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.”

Rasulullah SAW di utuskan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia dengan membawa rahmat untuk semua, dan hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa Islam adalah agama global. Malah tindakan baginda membawa perutusan damai dan kesatuan umat dengan dimulai di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat juga menggambarkan proses globalisasi, yang dari kalangan masyarakat kecil itu, kemudiannya berkembang di kalangan komuniti di Makkah, iaitu masyarakat tempatan sendiri, dan seterusnya dirialisasikan dengan kesatuan umat di Madinah ketika Baginda berhijrah dan membentuk negara di sana.

Kita pelajari dari sejarah perkembangan Islam, bahawa misi Rasulullah SAW dalam proses pengembangan risalah atau wawasan Islam global ini tidak berapa lama kemudiannya setelah tersibar di dalam masyarakat yang terhad iaitu di Makkah, kemudiannya telah menjadi misi antarabangsa ketika baginda berhijrah dan menyatu padukan berbagai kalangan masyarakat di Madinah, dari berbagai-bagai latar belakang budaya dan kepercayaan, dalam ikatan perjanjian yang dikenali sebagai Piagam Madinah, pada tahun 622 Masehi.

Ternyata di sini bahawa mesej Isam adalah berbentuk global, sehinggakan selepas kewafatan Rasulullah SAW, tugas mengembangkan risalah Islam ini telah dilakukan oleh para pengembang Islam yang terkemudian, sehingga perutusan ini telah merebak ke Timur dan Barat dalam masa yang agak singkat.

Kini, menjelang alaf baru, kurun ke dua puluh satu, dalam dunia moden ini, globalisasi yang di bawa Islam, tidak di fahami, dan jauh sekali dari diamalkan di dalam masyarakat Islam sendiri.

Lihat sajalah kepada keadaan pendidikan ilmu pengetahuan umat Islam, malah kepada kemahiran membaca dan menulis pun, dunia Islam mengalami kemunduran yang ketara dengan meningkatnya peratusan buta huruf di sana sini dalam dunia Islam, berleluasanya umat Islam yang tidak berpendidikan, jauh sekali dari menguasai ilmu pengetahuan tinggi, sedangkan proses menghargai dan menguasi ilmu merupakan ajaran pertama Islam ketika turunnya surah yang mengandungi ayat tentang falsafah Iqra’ supaya kita membaca dengan nama Tuhan, yang selalu kita slogankan sebagai satu seruan retorika yang tidak kita fahami mesej dan amanahnya.
Kalau umat Islam menyedari hal ini, dan menyusun agenda menuntut ilmu yang bermanfaat, dan benar-benar menghayati kehendak ayat yang merupakan wahyu pertama itu, tentulah kita telah dapat menguasai ilmu pengetahuan, termasuk ilmu sains dan teknologi yang di perkembangkan melalui proses revolosi ilmu, yang sebenarnya telah dijalankan oleh para pendidik dan pejuang Islam di peringkat awal perkembangan Islam, ketika pada masa itu, umat Islam menerajui bidang ilmu pengetahuan di dalam kepelbagaian disiplinnya.

Kosep persaudaraan Islam yang dibawakan oleh baginda Rasulullah SAW sebenarnya melibatkan pembangunan ekonomi dan sistem politik yang sihat dan dinamik, yang mengandungi ciri-ciri globalisasi sekarang ini. Menurut sumber-sumber sejarah pada zaman permulaan Islam itu orang-orang Islam di Makkah mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan dan perdagangan, sedangkan orang-orang Islam di Madinah mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian dan kerja tangan.
Kedua-dua bidang inilah yang sebenarnya menguasai dan membentuk ekonomi dunia pada masa kini, yang telah diperkembangkan dengan teknologi dan ilmu moden, tetapi tentulah bermula secara primitif seperti yang telah wujud di kalangan umat Islam pada zaman itu.

Orang Barat tidak hanya berhenti sekadar permulaan dan langkah pertama, tetapi mereka melangkah lebeh jauh dengan lebeh maju lagi ke hadapan berasaskan permulaan yang amat sederhana. Tetapi orang Islam sering berpada dengan permulaan yang kecil, tanpa melangkah ke arah yang lebeh maju dan tinggi, satu hakikat yang dapat kita saksikan sepanjang sejarah pembangunan bangsa dan umat Islam sehinggalah ke hari ini.
Selain dari itu, nampaknya kita seolah-olah masih hidup dalam zaman purba, zaman batu, tanpa tamadun dan peradaban, kembali surut ke belakang yang dibuktikan oleh perpecahan umat Islam, bukan hanya dari segi geografi dan fizikal, tetapi dari segi kefahaman dan penghayatan Islam sendiri sebagai Ad-Deen, iaitu sebagai “satu cara hidup yang lengkap”, yang selalu juga kita nyanyi-nyanyikan ketika menjelaskan apakah konsep Islam itu sebagai Ad-Deen.

Di manakah kerjasama dan sifat tolong menolong antara masyarakat Islam pada hari ini dalam membangunkan ekonomi dan pendidikan umat, persaudaraan Islam yang sejati, tanpa hasad dengki dan permusuhan? Malah apakah peranan umat Islam sebagai satu ummah dalam membangunkan Islam secara menyeluruh sebagi sistem hidup dunia akhirat?

Kita seharusnya mulai memandang dan merancangkan masa depan kita yang lebih holistik dan global, lebih dinamik dan mempunyai strategi yang teratur. Maka pada ketika itulah kita akan benar-benar menyedari dan menghayati apakah konsep dan agenda Rahmatan Lil ‘Alamin seperti yang kita bicarakan ini.

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim

No Comments

    Leave a reply