Pengalaman selama 44 tahun sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 dan dua kali sebagai Pemangku Raja Pahang menyaksikan baginda amat mengambil berat tentang hal ehwal rakyat di negeri ini.

Baginda yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan di Pahang mewarisi sifat keprihatinan dan penyayang dimiliki ayahanda baginda yang sanggup mencemar duli demi kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

Apa sahaja bencana menimpa, Sultan Abdullah yang merupakan anakanda keempat Sultan Ahmad Shah dan Almarhumah Tengku Afzan Almarhum Tengku Muhammad pasti cuba menemui rakyat ditimpa kesusahan tanpa mengira masa serta lokasi.

Perkara itu umpamanya dapat disaksikan semasa kejadian tiga kanak-kanak termasuk dua beradik mati lemas di dalam sebuah kolam takungan bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di Kuantan pada awal Februari 2017.

Sebaik sahaja mendapat berita tentang kejadian berkenaan, baginda mencemar duli berangkat menziarahi jenazah tiga kanak-kanak tersebut di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan. Baginda yang diiringi Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tiba di unit berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam dan berada di situ sehingga proses bedah siasat selesai serta semua jenazah dituntut waris masing-masing sejam kemudian.

Bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang, baginda menitahkan supaya semua lombong bauksit yang tidak digunakan sehingga menjadi kolam terbiar ditimbus.

“Pihak berkaitan perlu menimbus semua bekas lombong atau memasang pagar termasuk papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan,” titah baginda.

Mendekati Rakyat

Dalam beberapa siri keberangkatan Sultan Abdullah ke daerah-daerah, baginda menggunakan helikopter untuk cepat sampai ke tempat lawatan seterusnya dapat meninjau dengan lebih dekat masalah dihadapi rakyat.

Dari segi pendidikan, Sultan Abdullah pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan; Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sultan Abdullah aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak dan sepak raga jaring sejak kecil yang mana atas minat dan kebolehan yang ditunjukkan, baginda terpilih mewakili sekolah, daerah dan negeri di dalam permainan bola sepak.

Sultan Abdullah melanjutkan pengajian dalam bidang Diplomatik dan Hubungan Antarabangsa di Worcester & Queen Elizabeth College pada 1981.

Seterusnya, baginda meneruskan pengajian di Royal Military Academy, Sandhurst, England pada 1979 hingga 1980; Davies College, London – Advance School 1978 hingga 1979 dan Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School pada 1975 hingga 1978.

Menerusi bidang ketenteraan, baginda merupakan Brigedier Jeneral Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004, Kolonel pada 1 Jun 2000; Leftenan Kolonel (1 Mei 1999); Kapten Corp. Cavalry of Malaysian Army (1980) dan Leftenan Kedua Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England pada 1980 dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II.

Bebas Politik

Sementara itu, sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Sultan Abdullah sentiasa menggalakkan supaya masjid yang telah dibina digunakan dengan sepenuhnya oleh rakyat jelata selain menekankan supaya masyarakat sentiasa hidup di dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

Baginda juga tegas dalam sesuatu perkara, contohnya mengingatkan supaya semua masjid di negeri ini tidak dijadikan gelanggang politik khususnya menjelang pilihan raya umum.

“Bagi imam-imam yang berkenaan, ingat aku janji semasa dilantik menjadi imam iaitu dalam memastikan masjid bebas daripada segala unsur politik dan perpecahan yang mana ini satu amanah besar bagi mempertahankan kesucian masjid,” titah baginda dalam majlis perasmian Masjid Padang Tengku di Lipis pada Februari tahun lalu.

Di bawah kepemimpinan baginda dan naungan ayahandanya, Muip berjaya bersama-sama dengan kerajaan negeri menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kebajikan umat Islam serta mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Sultan Abdullah tidak pernah lokek memberi teguran, saranan, peringatan atau membuat seruan demi pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Baginda yang meminati sukan terutama bola sepak memegang pelbagai jawatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam hubungan dengan rakyat, ciri-ciri kepemimpinan, prihatin dan pengasih Tengku Abdullah terserlah menerusi sikap mesra serta dedikasi yang ditunjukkan baginda.

Sehubungan itu, pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang VI pasti disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh semua lapisan rakyat di negeri ini.

Daulat Dirgahayu Tuanku.