RAKYAT AMERIKA MENGUNDI ‘IBLIS’ YANG LEBIH BAIK

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat kali ini menyaksikan empat orang calon yang bertanding –Donald Trump (Parti Republikan), Hillary Clinton (Parti Demokrat), Gary Johnson (Kebebasan) dan Jill Stein (Parti Hijau)—bagaimanapun, persaingan sengit hanyalah berlaku antara calon Parti Republikan dan Demokrat.

Calon Demokrat, Hillary Clinton, 69 merupakan bekas diplomat di awal pentadbiran Barrack Obama dan juga bekas wanita pertama semasa suaminya, Bill Clinton menerajui Rumah Putih. Donald Trump, 70 tidak mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk memulakan langkahnya ke Rumah Putih kerana beliau adalah seorang taikun hartanah yang mula mendapat perhatian selepas diberikan kepercayaan untuk membawa obor perlumbaan Parti Republikan dan mengumumkan pencalonannya pada bulan Jun 2015.

Pilihan Raya Presiden 2016 membabitkan lebih 120 juta pengundi daripada 310 juta penduduk Amerika Syarikat bagi merebut 538 Badan Perwakilan (Electrol College) di mana calon yang memperoleh 270 dikira menang dan bakal mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2017.

Berdasarkan beberapa tinjauan pendapat hasil pengundian awal yang dilaksanakan dari 25 Oktober hingga 6 November 2016 menyaksikan kedudukan sokongan Hillary Clinton dan Donald Trump tidak menunjukkan jurang yang besar. Sehingga hari terakhir, Hillary Clinton dikatakan masih mendahului Donald Trump dengan perbezaan satu peratus. Clinton memperoleh 45 peratus sokongan manakala Trump mendapat 44 peratus. Kedudukan itu menjadikan persaingan akhir pada hari pengundian menjadi semakin sengit dan berdasarkan laporan CBN News, Clinton sedang berusaha untuk meraih sokongan daripada kumpulan hispanik dan imigran Afrika-Amerika, walaupun mereka merupakan pengundi minoriti berbanding kulit putih.

Kedudukan Clinton menjadi semakin getir apabila Badan Perisikan Persekutuan (FBI) mendedahkan kesalahan beliau semasa menjawat jawatan Setiausaha Luar Amerika Syarikat penggal pertama pentadbiran Barrack Obama (2008-2012) menggunakan server peribadi untuk menghantar dan menerima e-mel rasmi. Bagaimanapun, kebimbangan itu terhapus apabila Pengarah FBI, James Comey dalam kenyataannya pada 6 November 2016 tidak akan mendakwa kesalahan tersebut. Clinton diberikan pengecualian daripada dikenakan dakwaan jenayah dan bersandarkan semakan ke atas 650,000 emel yang ditemukan dalam sebuah komputer riba milik bekas anggota Konggres Demokrat, Anthony Weiner “tiada sebab untuk agensi itu mengubah pendirian yang dibuat pada Julai lalu.”

Ekoran “pelepasan itu”, Donald Trump membidas tindakan FBI dan sebelumnya, apabila kedudukannya dilihat berada di belakang Clinto dalam beberapa tinjauan pendapat, beliau menuduh bahawa media berusaha merosakkan peluangnya untuk menduduki Rumah Putih. Akibatnya, Donald Trump membenci media walaupun pada suatu ketika, sebelum menceburi bidang politik beliau adalah seorang yang begitu gemar menggunakan media untuk kepentingan perniagaannya, termasuk menerbitkan siri The Apprentice, di mana sesetengah penyertaan dianggap begitu kejam dan idealistik untuk mengejar impian yang diperlukan oleh taikun hartanah itu.

Siri itu mula bersiaran pada bulan Januari 2004 di NBC dan sehingga 16 Januari 2015, ia telah memasuki episod ke 185. Dalam tinjauan terbaharu yang dilakukan oleh Corrine Mills pada 5 November 2016 terhadap peserta yang menyertai episode 4, beliau merumuskan bahawa “I’ll feel like I’m in Tron” (https://inews.co.uk/essentials/culture/television/the-apprentice-candidates-reviewed-i-feel-like-im-in-tron/ )

Sejak mula memasuki persaingan mendapatkan tempat sebagai calon presiden bagi mewakili Parti Republikan, Donald Trump telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang celupar dan menghina penduduk Amerika Syarikat, dari wanita hinggalah kepada pengundi beragama Islam. Atas keceluparan itu Donald Trump dihalang untuk turut berkempen dan berkunjung ke beberapa buah negara (misalnya Britain) manakala Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeir “agak penting untuk member perhatian terhadap bahawa yang dibuat oleh Trump.” (11 Ogos 2016).

Pertengahan Februari lalu (19/2/2016), pemimpin Vatica, Pope Francis yang menyelar cadangan Donald Trump untuk menghalang kemasukan orang Islam ke Amerika Syarikat jika beliau menang sebagai “bukan beragama Kristian”. Pope Francis menyifatkan Donald Trump sebagai seorang yang berusaha membina tembok dan bukannya jambatan perhubungan antara agama. (https://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/donald-trump-8232-bukan-kristian-1.192505). Kenyataan itu merujuk kepada cadangan Donald trump untuk membina tembok di kawasan sempadan Amerika Syarikat bagi menghalang kemasukan imigran, yang pada pandangannya telah membahayakan budaya Amerika Syarikat.  Amerika Syarikat dipenuhi oleh kaum imigran, dan kenyataan itu mempunyai sindiran yang tajam kepada penganut Islam yang dikategorikan sebagai pendatang terbesar pada masa ini disebabkan kekecohan politik di Timur Tengah, Pakistan dan beberapa buah negara Asia.

Ketidakstabilan politik di beberapa negara mempunyai kaitan dengan pembabitan Amerika Syarikat untuk menjadi polis antarabangsa dan melebarkan pengaruhnya selepas mempercayai bahawa komunisma adalah musuh kepada doktrin wilsonisme. Selepas Perang Dunia II, Amerika Syarikat membabitkan ketumbukan tentera atas alasan membendung komunisma berdasarkan efek domino dan seterusnya membantu Israel untuk menjadi sebuah kuasa terbesar di Timur Tengah.

Ketika menjawat jawatan sebagai Setiausaha Luar Negara, Hillary Clinton dilaporkan terbabit dengan beberapa rancangan untuk menjadikan Timur Tengah semakin tidak stabil dan memberikan peluang kepada Israel mengukuhkan kedudukannya. Berdasarkan beberapa pendedahan emel, Hillary Clinton mempunyai kaitan dengan usaha menggulingkan pentadbiran Muammar Gadafi di Libya dan seterusnya menggoncangkan politik Syria sehingga mencetuskan huru-hara berlarutan hingga kini.

Donald Trump selepas mengadakan pertemuan dengan Benjamin Neetanyahu pada bulan September lalu berjanji “akan menetapkan Jerusalem sebagai ibu kota Israel” walaupun beliau sedar ia menjadi titik perebutan antara Islam dan Kristian. Janji itu menyebabkan penduduk Palestin begitu tersinggung manakala sebahagian umat Islam memandang keputusan itu sebagai sesuatu melampau.

Clinton dalam banyak perkara bersetuju dengan beberapa ketetapan yang dibuat oleh Obama sebagai tindakan mengawal penggunaan dan memiliki senjata di mana lebih 33,000 insiden penembakan telah berlaku dengan berkata “Pemilik senjata tidak boleh mengancam diri sendiri dan keluarga”.

Bagi Donald Trump yang mendokong pemilikan senjata ingin meneruskan keyakinannya bahawa setiap orang berhak “memiliki, menyimpan dan membawanya” kerana ia dilindungi oleh Amendmen Kedua Amerika Syarikat. Donald mendapat sokongan besar daripada pelobi kebebasan dan National Rifle Association. Amerika Syarikat banyak ketergantungan dalam industri senjata bagi menjanakan sebahagian ekonominya, dan kerana itu, cadangan untuk menutup industri senjata akan menyebabkan seseorang itu dianggap sebagai “pembunuh ekonomi.” Penamatan industri senjata akan menyebabkan kadar pengangguran terus meningkat.

Berdasarkan senarai sepuluh pengeluar senjata teratas pada tahun 2014, enam syarikat terbesar ialah dari Amerika Syarikat. Syarikat-syarikat berkenaan ialah Lockhead Martin (USD$45.6 bilion), Boeing –juga pembuat kapal terbang (USD$ 30.7 bilion), Raytheon (USD$ 21.95 bilion), Northrop Gumman (USD$ 20.22 bilion), United Technologies Corporation (USD$ 11.96 bilion) dan General Dynamics (USD$ 18.6 bilion). Akibatnya, Amerika Syarikat terbabit hampir kesemua peperangan sama ada sebagai penguji kelengkapan persenjataan ataupun meningkatkan pendapatan. Bila peperangan berlaku, negara-negara yang terbabit berusaha meningkatkan keperluan kelengkapan senjata.

Donald Trump sejak memulakan kempen untuk mengesahkan diri sebagai calon presiden terpalit dengan beberapa laporan seks daripada beberapa orang wanita, termasuk dengan pelakon filem lucah (Kristin Anderson), seorang peserta program The Apprentice (Summer Zervos), ratu cantik (Alicia Machado), Karena Virginia, Jill Harth, Rachel Crooks, Jessica Leeds manakala isterinya, Melania didakwa menjadi model bogel sebelum berkahwin dengan Donald Trump. Sebelum Melania Knauss (berkahwin pada tahun 2005), Trump pernah berkahwin dengan dua orang perempuan yang juga terbabit dengan dunia hiburan, iaitu Ivana Zeinickova (bercerai tahun 1992)  dan Marla Maples.

Perkahwinan Trump dengan Ivana dianugerahkan tiga cahayamata, Donald Jr, Ivanka dan Eric. Dengan Marla Maples, mereka memperoleh seorang anak perempuan bernama Tiffany dan Baron merupakan anak lelaki ketiga Trump hasil perkahwinannya dengan Melania. Ketika kempen bermula, Donald Trump melarang anaknya, Ivanka berkawan dengan anak perempuan Hillary Clinton, Chelsea Victoria Clinton walaupun mereka merupakan sahabat baik. Chelsea yang bertugas sebagai wartawan mula bersahabat setelah mereka berjumpa di syarikat akhbar milik suami Ivanka, Jared Khusner. Januari lalu, Chelsea menghulurkan ucapan selamat tahun baharu kepada Ivanka.

Seorang kolumnis New York Times, David Brooks menyifatkan Donald Trump “mungkin orang yang paling tidak jujur yang pernah dicalonkan sebagai presiden” manakala hasil tinjauan yang dibuat pada bulan Julai kurang dari satu pertiga menilai Clinton dan Trump sebagai tokoh yang boleh dipercayai. Tinjauan tersebut melibatkan kedua-dua parti, iaitu  393 responden Republik dan 441 responden Demokrat.

Responden turut mengakui bahawa Clinton bukanlah mencerminkan apa yang diperjuangkan, iaitu seorang feminis, liberal, moderat dan pejuang kelas pekerja. Clinton dianggap bersifat elit dan tidak boleh menjamin kehidupan yang lebih baik. Dalam tinjauan yang dibuat oleh PEW terhadap 3,941 responden, 57 peratus melahirkan rasa kecewa terhadap kedua-dua calon presiden pada tahun ini.

Berdasarkan tinjauan pendapat tersebut, pemilihan presiden Amerika Syarikat bagi tahun 2016 dilihat sebagai pemilihan calon terbaik daripada “dua iblis” –lesser of two evils—terutamanya oleh penduduk Florida dan Ohio.

Amerika Syarikat mempunyai 50 negeri dan sesebuah badan perwakilan ditentukan berdasarkan jumlah penduduk. California merupakan negeri yang mempunyai jumlah badan perwakilan yang terbanyak, iaitu 55 (penduduk 38 juta) manakala negeri Montana hanya mempunyai 3 badan perwakilan (penduduk kurang sejuta orang).

Selepas pengundian pada 8 November 2016, keputusan sepenuhnya dijangka akan diperoleh selewat-lewatnya pada 10 November 2016 disebabkan Amerika Syarikat mempunyai zon waktu yang berbeza. Sesebuah parti yang memenangi lebih 270 badan perwakilan, calon daripada parti yang kalah akan menghubungi calon yang menang untuk memberikan ucapan tahniah dan mengaku kalah.

Badan Perwakilan Pemilih di setiap negeri akan bermesyuarat pada 19 Disember dan mereka akan mengundi untuk memilih presiden dan naib presiden kecuali di Maine dan Nebraska, undi dikira berdasarkan jumlah peratusan yang dimenangi calon.

Terdapat beberapa negeri yang diistilah sebagai “undi atas pagar”, iaitu Florida, Ohio, Pensylvania, Wisconsin, Nevada. Colorado, Carolina Utara, New Hampshire, Minnesota, Iowa dan Michigan. Negeri “undi atas pagar” bermaksud, negeri-negeri yang seringkali bertukar pengaruh parti bagi setiap kali pilihan raya diadakan dan dianggap penting kerana negeri-negeri inilah yang akan menentukan kemenangan calon yang bertanding.

Berdasarkan tradisi pilihan raya sebelumnya, terdapat lima perkara yang menentukan kemenangan seseorang presiden, yang menjadi asas penting ramalan. Lima perkara yang menjadi petunjuk ramalan, pelajar Sekolah Rendah Benjamin Franklin, Indek Topeng (perayaan Halloween), monyet mistik ( mystic monkey dari China), ahli akademik Universiti Amerika (American University Profesor) dan cabaran cawan (The Cup Challenge).

Sejak 48 tahun lalu, “undian” para pelajar Sekolah Rendah Benjamin Franklin di Yorktown, New York dianggap sebagai petunjuk penting kepada sesuatu ramalan kemenangan calon presiden. Para pelajar akan “mengundi” dan berdebat bagi menentukan kemenangan berdasarkan fakta-fakta terperinci. Kemudiannya, dalam kumpulan kecil seramai lima orang pelajar, dari kelas tadika hingga ke tahap lima mereka akan melaksanakan “mock pooling.” Tahun ini, selepas “mock pooling” berjalan, Hilary Clinton dijangka memenagi undi sekitar 52 peratus (277 badan perwakilan) manakala Donald Trump hanya mampu meraih 43 peratus atau 230 badan perwakilan.

Berdasarkan Indek Topeng, setiap empat tahun kedai-kedai yang menjualnya akan melakukan tinjauan siapakah calon yang akan menang, termasuk pakaian yang dipakai oleh calon-calon pada hari perayaan Halloween. Tahun ini, menurut Indek Topeng, Hillary dijangka tewas dengan hanya meraih 45 peratus manakala Trump berjaya memperoleh 55 peratus undi badan perwakilan.

Bagi Monyet Mistik yang berada di Changsha, China, Shiyanhu Ecological Tourism Park di provinsi Hunan, yang bernama Geda meramalkan Donald Trump akan menang. Semasa Geda diajukan dengan pilihan, Geda berada di sebuah meja berwarna merah untuk melilih dua keping kad yang mewakili calon Demokrat dan Republikan. Geda itu dipakaikan dengan baju t berwarna kuning, dan selepas proses memilih pisang, Monyet Mistik itu akhirnya memilih Donald Trump sebagai pemenang, di mana Geda telah mencium gambar calon Republikan di hadapan jurukamera.

Menurut Allan Lichtman, terdapat 13 faktor yang menentukan kemenangan seseorang calon, iaitu (1) mandat  parti yang berkuasa; (2) penyandang; 93) parti ketiga; (4) ekonomi jangka pendek; (5) ekonomi jangka panjang; (6) pertandingan merebut calon –nomination contest; (7) perubahan dasar; 98) skandal; (9) kebangkitan sosial; (10) kejayaan tentera atau dasar luar; (11) kegagalan tentera atau dasar luar negara; (12) karisma penyandang; dan (13) cabaran karisma calon. Kesemua faktor ini diberikan wajaran dan kemudiannya dicampur untuk mendapatkan keputusannya. Berdasarkan ramalan Lichtman yang berpengalaman luas dan ketepatannya sejak tahun 1984, kali ini Donald Trump diramalkan menang.

The Monogram Shop di East Hampton, New York mempunyai caranya yang tersendiri bagi meramalkan kemenangan, iaitu dengan melihat kepada jumlah jualan cawan plastik yang dikitar semula. Cawan-cawan ini dijual dengan harga USD $3 setiap satu, dan para pembeli boleh memilih salah satu daripada dua lukisan di cawan, iaitu nama dan lambang dua parti utama yang bertanding. Cawan-cawan ini mula dijual pada tarikh yang dipanggil “super Tuesday.”

Selepas seminggu data dikumpulkan, cawan yang tertera nama Hillary Clinton dan lambang parti Demokrat berjaya dijual sejumlah 4,946 manakala cawan yang dicetak nama Donald Trump dan logo parti Republikan ialah 3,388 unit. Berdasarkan penjualan cawan, Hillary Clinton dijangka menang dengan meraih hampir 60 peratus undi manakala Donald Trump kurang 40 peratus.

Bagaimanapun, kemenangan sebenar calon yang bertanding akan ditentukan oleh keputusan meraih sokongan badan perwakilan. Penentuan siapakah yang bakal menjadi presiden Amerika Syarikat juga akan dibuat oleh Badan Perwakilan. Badan Perwakilan mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah yang akan diangkat sebagai presiden sekiranya gagal memperoleh sejumlah 270 undi Badan Perwakilan. Pada tahun 1824, pernah situasi seperti ini, akhirnya Badan Perwakilan memilih John Quincy Adams (1767-1848) sebagai presiden Amerika Syarikat yang ke-6, yang menjadi pencetus Doktrin Monroe –yang hanya memperolehi satu pertiga jumlah keseluruhan undi.

Doktrin ini bertujuan untuk menghalang peluasan pengaruh oleh Perancis dan Sepanyol di Amerika Selatan dan Amerika Tengah manakala Rusia di Amerika Utara. Doktrin ini cuba memadankan idealism politik dengan kepentingan kapitalis. Pada mulanya, doktrin ini disuarakan oleh presiden Amerika Syarikat ke-5, James Monroe (1758-1831) pada tahun 1825, sebelum John Quincy Adams dilantik sebagai presiden.

Dalam pilihan raya tersebut, tiga calon yang memperoleh keputusan hampir seimbang, iaitu Andrew Jackson,  William H Coulbourn dan John Quincy Adams manakala John C Colhoun berada di tangga keempat. Badan Perwakilan akhirnya membuat keputusan berpihak kepada John Quincy Adams.

Apa pun keputusan pemilihan presiden Amerika Syarikat pada tahun ini, ia dianggap tidak mempunyai “kemenangan kepada penganut Islam” berdasarkan kedua-duanya begitu akrab dengan Israel. Krisis Timur Tengah tidak akan berakhir dengan perdamaian sebaliknya, lebih banyak negara-negara Arab bakal berpecah atas dasar luar negara yang bercapah dan menguntungkan Israel. Inilah hakikatnya, kepresidenan Amerika Syarikat sejak dahulu lagi dibayangi oleh protokol zionisme, dan hingga kini belum menampakkan sikap mesra dengan umat Islam.

Pernah masyarakat antarabangsa mengharapkan lebih baik hubungan dengan Islam di awal kemenangan Barrack H Obama, akhirnya, Obama terus mencipta lebih banyak perpecahan dalam kalangan negara-negara Islam. Bagi Clinton, kedudukan Israel perlu diperkuatkan kerana ia boleh menjadi “kuasa pengimbang” manakala Trump berjanji akan mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel. Kedua-dua calon yang hangat diperkatakan itu merupakan calon yang terburuk pernah hadir di pentas politik Amerika Syarikat dalam tempoh 40 tahun, dan sebab itulah pemilihan kali ini dianggap sebagai “mencari iblis yang paling baik.”

Oleh: Mahanor Saleha.

No Comments

    Leave a reply