RAKYAT MALAYSIA DITUNTUT BERPOLITIK SECARA MATANG

Ketika PAS dilanda masalah yang hampir memecahkan blok kepimpinan utama pada tahun 2005, Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan amaran agar dibersihkan dari dalam ‘buah busuk’ kerana beliaulah yang telah “membaja, menyiram dan menyuburkan PAS” selepas berpecah-belah ekoran bekerjasama dengan BN.

Setahun lalu, PAS benar-benar berpecah apabila keseluruhan kumpulan ‘erdogan’ kalah dan kelompok yang dinamakan ulama kembali mengambil alih pengurusan parti di peringkat pusat. Antara ‘buah busuk’ yang sudah dibuang secara terhormat menerusi keputusan para perwakilan ialah Mohamad @ Mat Sabu, Khalid Samad, Salehudin Ayub (Kofi Anan yang dihantar untuk selesaikan krisis kepimpinan di Kedah dan orang perantara untuk menjernihkan kekerohan Hadi-Nasharudin dan Nik Aziz), Husam Musa (bekas EXCO yang tidak dilantik semula oleh pengganti Allahyarham Tok Guru Nik Aziz), Suhaizat Kahat (Ketua Pemuda yang tewas), Dr Hatta Ramli (wakil rakyat PAS yang termasuk dalam senarai ‘buah busuk’) dan Haji Ahmad Awang (bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia yang menyokong Mat Sabu).

Kekalahan tersebut membawa kepada penubuhan sebuah parti baharu di mana Mat Sabu adalah pemimpin utamanya. Parti Amanah Negara ditubuhkan untuk mengambilalih peranan PAS dan bekerjasama dengan DAP dan PKR sebagai pasangan politik bagi berhadapan dengan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Apabila PAS membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan DAP, maka PAN-PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Harapan (PH).

Politik Malaysia telah mengalami perubahan yang drastik apabila berlakunya pemecatan seorang Timbalan Presiden, seorang Naib Presiden dan seorang Menteri Besar pertengahan tahun lalu ekoran kritikan pedas ke atas Perdana Menteri yang disenyawakan oleh bekas Perdana Menteri. Serangan bertubi-tubi itu hanyalah untuk memastikan Perdana Menteri berundur.

Selepas beberapa strategi dan tindakan tidak menjadi, maka serangan terakhir ialah mempersoalkan pula tentang kewajaran Perdana Menteri dan beberapa orang menteri kabinet melakukan kunjungan ke China walaupun umumnya sedar, ia bukanlah lawatan peribadi. Rombongan Perdana Menteri ke China adalah atas urusan rasmi, termasuklah kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pendidikan.

Sindiran ialah kunjungan ke China ada kaitannya dengan usaha menenggelamkan isu 1MDB sehingga sebahagian kecil rakyat percaya dan termakan fitnah. Hubungan diplomatik dan kerjasama dengan China sudahpun terjalin sejak sekian lama, termasuk pada zaman kesultanan Melayu Melaka sehingga berlakunya perkahwinan antara Sultan Melaka dan Puteri Hang Li Po.

Pada tahun 1974, Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia moden yang pertama melakukan lawatan ke China bagi mendapat pengakuan pemimpin negara itu tidak menyokong gerakan bersenjata yang dilancarkan Parti Komunis Malaysia walaupun darurat telah diisytiharkan tamat pada tahun 1960.

Anggota PKM yang berpengkalan di Selatan Thai terus melancarkan beberapa serangan sehingga menyebabkan beberapa orang pegawai polis terkorban, yang sebahagian besarnya adalah anggota polis dari cawangan khas. Turut menjadi sasaran ialah Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974). PKM dikatakan bangkit semula antara 1968-1989 untuk merampas kuasa menerusi kekerasan.

Semasa Dr Mahathir menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau turut melakukan lawatan rasmi ke China pada 23 November 1985. Dalam lawatan itu, puteri kesayangan Dr Mahathir ikut serta. Namun apa yang menjadi persoalan ialah apabila Dato’ Sri Najib Tun Razak turut membawa dua orang anaknya ke China, kumpulan yang marahkannya mempersoalkan kewajarannya, tetapi tidak pula mempersoalkan kewajaran Marina Mahathir ke sana bersama-sama menaiki jet peribadi.

Lawatan Dato’ Sri Najib ke China selama seminggu telah berjaya membawa balik nilai pelaburan berjumlah RM 144 bilion sedangkan lawatan Dr Mahathir semasa beliau adalah Perdana Menteri tidak membawa apa-apa komitmen pelaburan. (“Dr M jealous of Najib’s China Deal, says Nazri”, Malay Mail, 4 November 2016).

Kumpulan yang menyinga dengan kejayaan Perdana Menteri mempereratkan hubungan kerjasama dengan China sebenarnya lupa bahawa misi ke China bukanlah untuk mengalihkan isu 1MDB walaupun syarikat daripada China telah diberikan kontrak pembangunan Bandar Malaysia di kawasan yang dimiliki oleh 1MDB.

Isu 1MDB yang dikaitkan dengan Najib Tun Razak adalah suatu petunjuk yang jelas bahawa kumpulan pro Dr Mahathir merasa terhina dengan apa yang cuba dilakukan termasuklah mengurangkan ketergantungan sumber tenaga daripada Pengusaha Tenaga Bebas (IPP) yang telah mengautkan keuntungan besar menerusi dasar Penswastaan dan Malaysia Diperbadankan yang diperkenalkan.

Pada tahun 1990-an, isu kenaikan tariff elektrik dikatakan berpunca daripada pembelian tenaga elektrik daripada IPP dengan kadar yang tinggi manakala kerajaan akan memberikan subsidi. Ini menyebabkan keuntungan Tenaga Nasional menyusut dan tidak boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan.

Usaha yang dirintis oleh Najib sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara, seperti meliberalisasikan sektor perbankan menyebabkan Dr Mahathir tersinggung kerana sebelumnya, beliau amat marah dengan permohonan bank-bank asing untuk berdagang di Malaysia dan dalam masa yang sama, mengkritik Barat sehingga melancarkan “Buy British Last.” Kedengarannya begitu menarik, menggalakkan pembelian barangan tempatan tetapi menjadi terlalu taksub dengan produk Jepun dan Korea Selatan sehingga membawa masuk teknologi Mitsubishi untuk memulakan projek kereta nasional.

Semasa projek kereta nasional hendak dibangunkan, ramai penganalisis ekonomi bimbang mengenai kemajuannya kerana Mitsubishi bukan memindahkan teknologinya ke Malaysia, tetapi memberikan teknologi yang usang untuk dibangunkan oleh Proton sehingga menyebabkan industri kereta mengalami kerugian dan terpaksa disuntik modal oleh kerajaan.

Tahun lalu, kerajaan memberikan pinjaman mudah kepada Proton untuk membolehkan syarikat kereta nasional itu membayar hutang kepada pembekal dan pembuat komponen Proton dan memberikan kelonggaran menjalin kerjasama baharu. Persoalannya, Dr Mahathir tetap mahu menepis dan bercakap mengenai maruah walaupun terpaksa menanggung kerugian kerana sayangkan Proton.

Lebih banyak ‘keburukan’ Dr Mahathir terserlah setelah beliau mengambil sikap “menentang” beberapa perkara dasar yang dilakukan oleh Perdana Menteri selepas beliau meletakkan jawatan, termasuklah menyerang UMNO. UMNO jugalah merupakan parti yang mengangkatkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Sejak meletakkan jawatan, Dr Mahathir berjaya ‘mendesak’ Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dengan serangan bertubi-tubi sehingga menyebabkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 menjadi ‘tsunami politik di Malaysia’ dan memberikan peluang penyatuan parti-parti pembangkang.

Seperti yang ditulis oleh Datuk Wong Sulong, serangan ke atas Abdullah Ahmad Badawi secara meluasnya bermula pada 7 Jun 2006 atas sebab “reversing his policies and questioned whether his decision to pick Abdullah to succeed him was the right one…It was start of sustained and ruthless campaign by Mahathir to remove his successor.” Wong Sulong, Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorised Biography, 2016: 341).

Kempen serangan “menjatuhkan Najib” pula dilakukan apabila Najib yang awalnya dianggap sebagai penerus Mahathirisme tidak mahu meneruskan apa yang pernah diimpikan oleh Dr Mahathir, berunding dengan Singapura bagi memajukan tanah kepunyaan Keretapi Tanah Melayu di Singapura. Kerjasama pembangunan itu membolehkan Singapura menyelesaikan isu Perjanjian Air yang tamat pada tahun 2016 disambung semula, kecualilah perjanjian yang masih berkuatkuasa sehingga tahun 2068.

Jambatan Bengkok menjadi punca perbalahan dengan Tun Abdullah dan seterusnya membangunkan projek rel di Putrajaya disebabkan Abdullah berhasrat mengurangkan defisit perbelanjaan. Dr Mahathir yang terkenal dengan beberapa projek raksaksa, menyebabkan beberapa konsesi yang diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu terus mengaut keuntungan, Abdullah berusaha untuk menerokai bidang-bidang yang lain termasuklah memperkenalkan konsep koridor ekonomi, bioteknologi yang selama ini tidak diberikan perhatian oleh Dr Mahathir.

Tentunya rakyat Malaysia wajar memahami apa yang dititahkan oleh Sultan Johor. “Ingin saya ingatkan mengenai satu penyakit yang sedang datang ke Johor akibat sejenis virus yang amat berbahaya, lebih teruk daripada zika kerana tiada penawarnya. Virus yang saya maksudkan adalah virus perpecahan.

Virus ini datang daripada parti politik baharu dan ahlinya menjadi penyebarnya. Oleh itu, saya berharap rakyat menjauhkan diri daripada virus ini.

Gunakan akal fikiran dan jangan menyesal kemudian hari. Pembawa virus ini akan menghentam kerajaan setiap hari dan menghasut rakyat supaya membenci pemimpin, tetapi kebaikan yang dibuat kerajaan semua mereka tidak nampak,” titah baginda di Majlis Perhimpunan Bangsa Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 3 November 2016. (baca “Parti politik baharu virus perpecahan masyarakat”, Berita Harian, 4 November 2016).

Rakyat Malaysia sepatutnya lebih matang bila berpolitik dan mudah melatah apabila berhadapan dengan sesuatu isu. Akibat terlalu minat berpolitik dan mempercayai propaganda, ia umpama “menang sorak kampung tergadai.” Kalaupun kerajaan melakukan kesilapan, rakyat seharusnya memberikan teguran menggunakan saluran yang betul dan bukannya menjadikan jalan raya sebagai tempat melepaskan “kemarahan”.

Melepaskan kemarahan dengan cara itu lebih banyak mengundang masalah yang lebih besar dan boleh menenggelamkan matlamat sebenar kenapa ianya diadakan. Terbukti dalam banyak kali “reformasi jalanan” berjalan, isu yang diperjuangkan tidak juga selesai dan banyak perkara-perkara buruk timbul, termasuk kemarahan orang ramai, kerosakan harta benda dan lebih menyedihkan apabila anak-anak kecil dilibatkan sama.

Perpecahan dalam parti membuktikan kematangan berpolitik semakin luntur, kerana yang kecewa mengambil peluang menubuhkan sebuah parti politik yang lain, hanya untuk membalas dendam. Perjuangan membalas dendam tidak membawa kepada kejayaan, lambat laun penyokong akan tahu, mereka dijadikan sebagai kuda Trojan, ketika di bawah mereka dipergunakan.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply