Ramadhan adalah bulan al-Quran

Ramadhan adalah bulan al-Quran. Satu-satunya bulan yang disebut dalam al-Quran melalui firmanya Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk. (al-Baqarah: 185) sebulan Ramadhan ini juga lah Baginda saw bertadarus al-Quran dengan Jibril as. Kemulian yang Allah swt kurniakan kepada umat Nabi Muhammad saw ialah malam yang diturunkan al-Quran dinamakan malam lailatul Qadr. Kelebihanya dari sudut beribadat padanya adalah lebih baik dari beribadat seribu bulan.

Selain solat tarawikh, dua perkara penting yang perlu diambil perhatian dengan kedatangan Ramadhan dan tidak boleh terlepas begitu sahaja oleh setiap muslim ialah tadarus al-Quran dan mencari lailatul al-Qadr. Tadarus al-Quran bermaksud membaca al-Quran, memahami dan mengkaji kandungan al-Quran. Banyak masjid dan surau mengadakan program tadarus al-Quran seusai solat tarawikh.

Kaedah terbaik melakukan tadarus ini ialah perlu ada seorang yang mendengar bacaan dan memberi teguran jika berlaku kesalahan. Bukan sebagaimana yang dibuat oleh setengah orang dimana semua ahli dalam halaqah membaca al-Quran secara beramai-ramai tanpa ada yang memberi teguran terhadap bacaan yang salah.

Umum mengetahui bahawa membaca al-Quran adalah sebaik ibadat untuk taqarrub kepada Allah swt. Ganjaran yang Allah swt beri kepada pembaca kalamnya ini ialah setiap huruf dikurniakan satu kebaikan yang digandakan kepada 10.

Sudah tentu jika dipadukan kelebihan ini dan kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan akan memberi satu kepuasaan kepada mereka yang merebut peluang tadarus al-Quran di bulan Ramadhan. Allah swt amat sayang kepada kita semua. Rahmatnya meliputi segala sesuatu. Pada tahun ini Dia masih lagi memberi peluang kepada kita untuk beribadat pada bulan Ramadhan. Rebutlah peluang yang amat baik ini dengan persiapan yang cukup dan persedian yang mantap. Jadual bacaan harian al-Quran sudah dirancang, jadual solat tarawikh, sedekah kepada mereka yang memerlukan, iftar dan sebagainya telah ada dalam perancangan kita semua.

Ruang masa siang hari di bulan Ramadhan perlu dibahagikan kepada zikir dan membaca al-Quran. Bagi yang bekerja, waktu rehatnya yang selama ini untuk keluar makan perlu diubah kepada tadarus al-Quran. Keazaman kuat untuk khatam al-Quran perlu ada. Keazaman ini perlu dijelmakan dalam bentuk praktikal dengan membaca setiap hari satu juzuk untuk khatam seluruh al-Quran diakhir Ramadhan. Punca kejayaan melakukan ibadat bukan terletak seratus peratus kepada kerajinan seseorang.

Ia bergantung kepada kehendak Allah dan ini perlu kepada doa agar Allah memberikan taufiq kepada kita untuk melakukan ibadat. Satu ketika Rasulullah saw bersabda kepada Muaz Ibn Jabal: Demi Allah sesungguhnya aku amat sayang kepada kamu. Dan jangan kamu tinggal berdoa selepas setiap kali solat fardhu dengan berkata ya Allah bantulah aku untuk ingat kepada kamu, bersyukur kepada kamu dan melakukan ibadat terbaik kepada kamu (Abu Daud).

Semoga Ramadhan kali ini 1438 hijrah menjadi lebih bermakna dengan mengisi acara ibadat siang dan malamnya. Kemuncak Ramadhan adalah 10 hari terakhirnya iaitu mencari malam lalilatul Qadr dan di waktu yang sama kita cuba khatamkan al-Quran yang akan menjadi teman kita di waktu hidup dan pemberi syafaat di hari akhirat.

Oleh Dr Khairul Anuar Mohamad Al-Bakri

Pengarah Pusat Islam, USIM

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply