‘ramalanku benar belaka’ , merepeknya Mujahid

 

Saya tidak kenal Mujahid sebagai pemimpin yang berkarisma tetapi saya lebih memahami perjuangan ayahnya, Almarhum Yusuf Rawa kerana nama besar itu menjadi sebutan ramai ketika saya masih belum kenal makna politik.

Saya beberapa kali mendengar ceramah almarhum bapanya dalam banyak kempen politik yang membabitkan dasar dan perjuangan PAS. Sejak Mujahid muncul dalam persada politik tanah air. Mulai bertanding di Jasin, Melaka (1999) dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang )2004) tetapi tewas.

Mujahid hanya mula menempa nama ketika menang dalam PRU 2008, ketika PAS adalah salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat. Beliau menang dengan majoriti 7,551 undi dan mengukuhkan kedudukan menang dalam PRU ke-13 dengan majoriti 8,476 manakala dalam PRU ke-14, beliau hanya menang dengan majoriti yang sedikit merosot, 3,098 undi.

Dalam analisis yang lain, Mujahid diramalkan akan tewas jika kekal mempertahankan parlimen Parit Buntar dalam PRU ke-15 apabila pemuafakatan politik antara PAS dan UMNO berlangsung dalam suasana yang sinergi. Berasaskan analisis undi (PRU ke-14), di Parit Buntar berlaku pertembungan tiga penjuru. PAS (Gagasan Sejahtera) memperoleh 12,312 undi, BN (UMNO) dengan 13,655 undi manakala Amanah (Pakatan Harapan) dengan 16,753 undi.

Bila undi UMNO dan PAS dicampurkan, secara statistiknya Mujahid sudah tewas. Itulah ketakatan yang sedang ‘menjerat’ Mujahid manaka bila kedengaran sahaja ‘gendang perpaduan’ antara dua parti terbesar Melayu-Islam, Mujahid berada dalam dilemma dan kegelabahan.

Mujahid seolah-olah sedang berhalusinasi dengan dirinya sendiri. Penyatuan PAS dan UMNO benar-benar akan menggugat, kerana sokongan yang bakal bersatu itu akan mengakibatkan Amanah ‘gelabah’. Amanah lahir dari ‘percikan kecewa’ G18 yang gagal mempertahankan supremasi liberal dan demokrat dalam PAS pada tahun 2015, yang diadakan di Pulau Pinang. PAS kembali kepada doktrin asalnya, iaitu untuk mengekalkan kuasa kumpulan ulamak dalam parti.

Gabungan yang terbina dalam Pakatan Rakyat (atau Barisan Alternatif) menyebabkan PAS seperti dihina oleh tuntutan DAP untuk me-Malaysia-kan Malaysia. Walaupun Lim Guan Eng pernah menandatangan satu surat persefahaman bahawa DAP akan ‘menyokong’ dan ‘membenarkan PAS’ untuk melaksanakan ideologi politiknya, PAS seperti ‘tertusuk sembilu’ dengan karenah parti itu.

Kita mungkin dapat mengingati bagaimana Allahyarham Nik Aziz terpaksa ‘mengunjungi Karpal Singh’ di Pulau Pinang dalam mood sambutan ulang tahun hanya kerana untuk memperlihatkan PAS dan DAP ‘tiada masalah’. Karpal Singh, pada suatu ketika memberikan amaran kepada PAS, dengan mengatakan ‘langkah mayatnya terlebih dahulu’ sekiranya mahu menegakkan undang-undang Islam dan seterusnya melaksanakan hukum hudud.

Akibat ‘perkahwinan mutaah dalam Pakatan Rakyat’, PAS mengendurkan pendiriannya dari keinginan membentuk ‘negara Islam’ kepada ‘negara berkebajikan’. Rasa pedih turut melanda perasaan pemimpin PAS apabila Kelantan dilanda banjir besar (2014), Lim Guan membuat kenyataan pedih, “Kerajaan PAS tidak tahu menguruskan negeri”. Akhirnya Lim Guan Eng terngadah apabila Pulau Pinang hampir lumpuh akibat banjir pada tahun 2017, yang kemudiannya menyaksikan bagaimana anak jantan Lim Kit Siang terpaksa merayu kepada Timbalan Perdana Menteri untuk membantu ‘menyelamatkan mangsa’ dan seterusnya mengatasi masalah banjir.

Ketika itu, Mujahid sudahpun tiada dalam PAS, Mujahid sedang bekerja keras untuk menempatkan Amanah dalam sarkas politik yang lain, yakni menggantikan PAS dalam gabungan baharu. PAS sudah menolak untuk bersama walaupun dipelawa oleh Dr Mahathir dan juga Tan Sri Muhyiddin Yasin akibat ‘kemarahan PAS’ terhadap DAP. PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menjalin hubungan kerjasama dengan DAP.

Mujahid yang terkenal dengan politik utopia, dari rejunevasi PAS kepada interfaith, akhirnya dilihat tidak benar-benar menjiwa perjuangan politik Islam. Mujahid tidak tegas dalam pendiriannya apabila penghinaan terhadap Islam itu dilontarkan oleh bukan Islam, dan kerana itu Amanah tetap dilabelkan sebagai ‘kuda Trojan DAP’.

Pada suatu ketika, Lim Kit Siang menyelar MCA yang telah berjaya dikawal oleh UMNO, maka jangkitan virus ‘H1N1’ kini melanda Amanah. Ramai rakyat Malaysia tahu, ketika Amanah dibentuk, DAP memainkan peranan penting di belakang tabir, bahkan imej Mohamad Sabu yang pernah dibiayai ‘kos rawatan kesihatan’ akibat ‘terkinja-kinja’ dalam Gerakan Bersih mendapat perhatian umum. Syarikat Bekalan Air Negeri Pulau Pinang adalah dibawah pentadbiran kerajaan DAP, Pulau Pinang.

Sejarah politik itu akan terus mewarna imej Amanah, dan Amanah mungkin tidak akan bercerai dengan DAP. Kemungkinan itu tetap jelas kerana Amanah amat berharap bantuan DAP, dan tanpa DAP, Amanah bukan sahaja kecundang. Untuk mengelak daripada ‘kegelabahan’ itu, pemimpin-pemimpin Amanah terus menulis skrip untuk membadutkan Muafakat Nasional yang telah dipiagamkan antara UMNO dan PAS pada 14 September lalu, iaitu sehari sebelum Pakatan Harapan melancarkan gagasan Kemakmuran Bersama bagi mengalihkan persepsi umum terhadap kegagalannya menunaikan Buku Harapan.

Secara psikologi, sesebuah kerajaan akan mendapat imej yang baik sekiranya mampu melaksanakan seberapa banyak janji pilihan raya dalam tempoh 100 hari pertama. 100 hari pertama adalah paras psikologi yang besar pengaruhnya. Oleh kerana PH gagal mengotakan 10 janji dalam tempoh 100 hari, imej PH merudum jatuh sehingga ada yang meramalkan sekiranya dibuat pilihan raya umum sekarang, PH akan kalah besar. Ada juga gambaran bahawa PH telah merosot keyakinan awam hingga ke paras kurang 30 peratus.

Ia berkaitan pula dengan ‘political bashing’ yang belum dapat ditenangkan sepenuhnya dalam kepimpinan PH sehingga ada desakan dalam gabungan itu agar menteri yang tertentu dipecat, termasuk juga Perdana Menteri. Mazlee Malik didesak oleh beberapa orang pemimpin DAP agar dipecat hanya kerana mempertahankan kouta kemasukan Program Matrikulasi untuk bukan Bumiputera (10 peratus) walaupun jumlah pengambilannya ditingkatkan. Azmin Ali didesak oleh penyokong Anwar, sesama dalam PKR agar meletakkan jawatan kerana isu semburit.

Waythaya Moorthy tidak kurang hebat desakan agar digugurkan kerana mendahului Perdana Menteri dalam ratifikasi ICERT dan sikapnya terhadap rusuhan kuil Maha Subramiam. Mohamad Sabu diminta meletakkan jawatan kerana prestasinya sebagai Menteri Pertahanan tidak mencapai manfaat kepada negara dan kedudukan Angkatan Tentera sehingga boleh dihina oleh seorang taikun Cina sebagai ‘makan dan tidur’.

Zuraida Kamarudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjadi semakin tidak disenangi rakyat kerana bercadang memudahkan penjualan rumah-rumah mewah kepada rakyat China dan Hong Kong. Ia memperlihatkan kaedah ‘corporatization’ yang memang sengaja dilakukan oleh DAP untuk menjadikan Pulau Pinang hegemoni politik Cina. Ini boleh dikesan apabila selepas dua atau tiga tahun DAP memerintah, ada sebuah pelaporan mengatakan bahawa negeri itu akan mengalami kemerosotan etnik Cina akibat penghijrahan keluar dan kadar kesuburan yang rendah.

Dua faktor itu bakal menyebabkan Pulau Pinang akan kehilangan cengkaman pengundi Cina sekiranya langkah tertentu tidak dilaksanakan. Kaedah pertama ialah dengan tidak memberikan kebenaran membina perumahan ‘mampu milik’ dan menaikkan harga rumah ‘mampu milik sehingga RM 400,000 seunit’ akan menyebabkan ramai anak muda Melayu akan berhijrah ke Kedah dan sempadan dengan Perak. Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu dan Padang Serai serta Parit Buntar menjadi pilihan orang Melayu untuk memiliki rumah.

Kaedah kedua ialah membina kawasan-kawasan di pinggir perkampungan Melayu dengan telbagai kemudahan komersial dan pelancongan mewah. Di persekitaran Sungai Nibung, rumah-rumah kediaman tradisional Melayu sudah lenyap dan yang bakal tersergam mewah ialah Penang International Commercal Complex yang akan bersambung dengan PISA (Penang Indoor Stadium Arena).

Batu Uban yang menjadi kawasan petemptan awal masyarakat Melayu juga akan kehilangan sejarahnya apabila pemilik asal tanah sudah diberikan pampasan yang besar untuk dibangunkan dengan pelbagai kemudahan dan kediaman mewah, yang akan dimonopoli oleh bukan Melayu.

Perkampungan Melayu di Teluk Bayu dan sekitar Selat Melaka di Teluk Kumbar juga dikatakan sudah ‘dihalau’ bagi memberi laluan tiga buah pulau buatan yang termasuk dalam rancangan Lebuh Raya Pesisir Pantai dan Terowong Dasar Laut. Permatang Damar Laut turut menjadi perhatian selepas siapnya Jambatan Sultan Abdul Halim yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan. Kawasan-kawasan di sekitar jambatan berkenaan sedang pesat dibangunkan dengan kilang-kilang (kawasan industri), pusat komersial dan perumahan mewah. Kesemuanya tidak dapat membantu memudahkan orang Melayu memiliki aset, sebaliknya ‘meminggirkan’ mereka secara terhormat dan berperancangan.

Mujahid sedar mengenai perancangan DAP untuk menyingkirkan orang Melayu di Pulau Pinang. Sayangnya, Mujahid seperti tidak mempunyai apa-apa hubungannya dengan Pulau Pinang, maka beliau sedikit pun tidak terasa ‘gusar’ dan ‘gelisah’ walaupun rumah pesakanya masih kedapatan di tepi jalan besar Bukit Gelugor (dibelakangnya Kg Buah Pala yang pernah mencetuskan kontroversi besar). Hubungan sentimentalnya sudah lenyap kerana Mujahid sedar, Amanah tidak berdaya untuk menegur DAP. Amanah seperti sudah dikawal oleh DAP walaupun Khalid Samad cuba menafikannya.

Begitu juga sikap ‘liberal’ Mujahid terhadap penghinaan agama Islam dan umat Islam oleh bukan Melayu. Kecamannya hampir tidak kedengaran sebaliknya, jika UMNO dan PAS membuat kenyataan berhubung rencana memperkasakan Islam, cepat-cepat Mujahid memberikan kritikan sinisnya. Itulah yang berlaku apabila PAS dan UMNO bercadang menandatangani Piagam Muafakat Nasional, cepat Muhajid melabelkan piagam itu sebagai “piagam yang meragam’. Bila piagam itu benar-benar menjadi realiti, Mujahid menulis pula dengan ejekan, dan mempersendakannya secara buruk sangka. Buruk sangka itu nampak jelas apabila mengambil beberapa baris lirik lagu Umbrella, Ramalanku Benar Belaka. Sejak bilakah lulusan ijazah kedoktoran Siyasah Syariah dari Universiti Malaya itu menjadi peramal yang handal dan ramalan benar belaka?

Bukankah ‘ramalan’ itu sesuatu yang belum pasti dan kadangkala boleh merosakkan akidah sekiranya dilabelkan syirik? Barangkali inilah ‘renungan nasib’ yang sedang diramalkan oleh Mujahid, yang kadangkala disedondongkan dengan ‘mu-jahit’ dan ‘mu-jahat’? Warkah dari Cordovanya, dari kekanda kepada adinda menyebabkan Mujahid sudah memprakktikan apa yang dipanggilnya calon ‘wedding of the year’ dan bukannya antara PAS dan UMNO.

PAS dan UMNO sudah membentuk kesepakatan, walaupun apa pun tujuan dan matlamatnya ia tetap menyebabkan ‘gelora’ Amanah dan Bersatu untuk menyerang pemuafakatan tersebut dari setiap sudutu yang difikirkan boleh memberikan kesan. Bagaimanapun, PAS dan UMNO janganlah mengharapkan piagam itu menjadi retorik politik, dan wajib dibuktikan secepat mungkin termasuklah menggugat PH di Perak dan Kedah, sebelum diuji sepenuhnya dalam PRU ke-15.

Penyatuan itu benar-benar membawa ‘kebahagiaan; dan bukannya kexamuk asas sebagaimana xuba dibangkitkan oleh Mujahid, selokakan oleh Khalid mengakhiri masa bersekedudukan dan dakwa Rafizi, tidak akan kekal lama. Khalid sudah terperangkap dengan janji lamanya bila ada bai’ah (cerai talak tiga) sekiranya meninggalkan PAS, Mohamad Sabu tidak boleh dipercayai kerana kata-katanya sendiri. “jangan ikut saya jika saya tinggalkan PAS’ manakala Mujahid, berikrar keras menghapuskan panggilan kafir walaupun istilah berkenaan disebut dalam al-Qur’an.

Mujahid sudah menjadikan Perlembagaan Malaysia rujukan yang lebih dipercayai daripada al-Qur’an itu sendiri apabila berkata: Pas memikul ‘biawak hidup’ bila termaktubnya ta’awun siyasi dengan UMNO. Biawak tidak dilarang disentuh walaupun dilarang memakan dagingnya. Ia berbeza dengan babi. Sejak PH memerintah, sudah ada majlis rasmi turut dihidangkan ‘babi panggang’ walaupun melibatkan orang Islam. Sejak PH memerintah, negeri Melaka akan menjadi negeri yang tersohor dalam ternakan dan sembelihan babi selepas Selangor yang dilanda kontroversi ladang babi di Tumbuk Darat.

Nampaknya PH lebih mahukan babi menjadi ternakan yang menguntungkan berbanding ternakan lembu. Lebih separuh rakyat Malaysia lebih memerlukan daging lembu berbanding hanya sekitar 20 hingga 30 peratus yang memakan ‘daging babi’. Tetapi, bilangan yang kecil itu akhirnya berjaya ‘mengawal’ diet golongan terbanyak. Itulah kejayaan terbesar DAP dalam PH, pemimpin Melayu boleh berkompromi asalkan DAP tidak menghentak ‘kepala mereka’ dan boleh mengugut, Malaysia bukanlah tanah air asal orang Melayu, kerana orang Melayu juga pendatang. Orang India lebih awal menduduki Tanah Melayu, hanya kerana ada serpihak kuil di Lembah Bujang sedangkan prasasti lain lebih banyak membuktikan bahawa penduduk asal Tanah Melayu adalah keturunan Melayu.

Apakah perkara yang tersirat dalam Kemakmuran Bersama yang dibuat sehari sebelum Malaysia menyambut ulangtahun Gagasan Malaysia? Apakah ‘kemakmuran bersama’ itu terjemahan lain daripada Malaysian Malaysia? Apakah Malaysia Baru itu akan terus diperkasakan sebagai Malaysia Keliru? Bukan sahaja Mujahid perlu menulis sepucuk lagi warkah kepada semua orang Melayu agar ‘percayakan Amanah’ dan mungkin kali ini, warkah itu perlu ditulis semasa beliau sedang memerhatikan ‘sebuah telaga buruk’ yang masih membuak-buak air mata ‘kehancuran’ dan ‘kesedihan’ umat Islam Malaysia?

Kita harapkan Mujahid bersedia memperbetulkan utopia politiknya agar tidak diserang anai-anai dan disambar ‘api dari neraka’ sebagaimana dikatakan oleh Nga Kor Ming, bila UMNO dan PAS memerintah ‘akan bunuh orang Cina’ dan apa yang disebutkan ini bukanlah fitnah, kerana saya takut ‘disambar api neraka dan dilaknat Tuhan’. Saya mahukan keamanan dan kedamaian yang sepatutnya dinikmati secara saksama bukan atas keperluan ‘haloba politik’ dan ‘matlamat menghalalkan cara’.

Itu sahaja wahai Mujahid!! Saya teringat kepada pesan Allahyarham Ustaz Yusof Rawa ketika keluarga kami mengunjungi rumahnya di Gelugor sebelum akhir tahun 1983, Islam akan kekal kuat dan tidak mudah diperkotak-katikkan sekiranya umat Islam bersatu. Bersatu dalam iktikad dan bermuafakat dalam tindakan, bukannya, saling menyalahkan dan adu-domba. Nah! Jelas bahawa Mujahid adalah watak yang sedang mengadu-dombakan umat Islam kerana kelainan fahaman politik dan tekad untuk mengekalkan kuasa.

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply