RASUAH: ANCAMAN ALLAH DAN RISIKO TERHADAP PELAKUNYA

Semua negara di dunia bergelumang dengan masalah rasuah yang semakin membimbangkan. Senario rasuah bukan hanya melanda negara-negara miskin, malah juga di negara-negara maju umpamanya Amerika Syarikat dan Britain. Melihat kepada kegiatan rasuah yang begitu meruncing, maka sesetengah negara mengisytiharkan rasuah sebagai musuh utama negara. Jika dibiarkan kegiatan rasuah ini berakar umbi dalam pentadbiran kerajaan, ia boleh mengancam sesebuah pemerintahan dan seterusnya meruntuhkan negara. Oleh yang demikian, rasuah wajar ditangani dengan bersungguh-sungguh ke arah menjadikan sesebuah negara itu sebagai negara yang maju, berdaya saing, mempunyai ekonomi yang mantap, dan penduduknya mempunyai ilmu pengetahuan.

Isu rasuah ini bukanlah merupakan suatu isu yang baru muncul pada era moden ini. Rasuah telah berlaku sejak dulu lagi. Kegiatan rasuah merupakan amalan tradisi kaum Yahudi. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Mereka itu ialah orang yang suka mendengar pembohongan, banyak memakan yang haram” (Surah al-Ma’idah, 5:42).

Al-Tabari dalam tafsirnya Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an ketika mentafsirkan ungkapan “akkaluna li al-Sukht” (banyak memakan yang haram) menyatakan kaum Yahudi selalu menerima rasuah dan memakannya atas pendustaan dan pembohongan mereka terhadap Allah SWT. Kaum munafik juga bersikap seperti kaum Yahudi kerana mereka juga suka melakukan rasuah.

Selain itu, golongan kafir Quraisy melalui ‘Utbah bin Rabi‘ah pernah menawarkan harta kekayaan, pangkat, kedudukan dan wanita yang paling cantik kepada Rasulullah SAW supaya Baginda menghentikan seruan dakwah Islam.

Secara mudahnya, rasuah merupakan sebarang penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk diri seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Ia termasuk apa jua bentuk penerimaan atau pemberian yang dikenali sebagai duit kopi atau ganjaran, suapan seperti wang ringgit, diskaun, upah, jawatan, perkhidmatan, hadiah, bonus, dan dorongan untuk melakukan sesuatu tindakan berkaitan tugas rasmi (Utusan Malaysia, 10 Mac 2007).

Sebenarnya rasuah ini bersifat multifaceted kerana ia melibatkan pelbagai unsur dan bentuk. Secara umum ia dianggap sebagai penyalahgunaan kedudukan awam dan tidak kurang juga swasta, bagi keuntungan persendirian. Ia lebih cenderung berlaku apabila individu menganggap kedudukan yang diperoleh sebagai satu peluang untuk membuat keuntungan peribadi dan bukan sebagai tanggungjawab dan amanah beberapa pihak yang perlu dipikul dan dipenuhi (Utusan Malaysia, 21 Disember 2003).

Jelas di sini bahawa rasuah merupakan satu jenayah atau kesalahan undang-undang yang seseorang mendapat kebebasan, keuntungan, kesenangan, dan kepuasan daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat swasta selepas memberikan ganjaran sama ada berbentuk wang, hadiah atau bantuan kepada pihak-pihak terbabit.

Jika kegiatan rasuah ini tidak banteras ia akan mengundang akibat buruk iaitu menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir, tidak teratur, dan menimbulkan masalah-masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat, dan sebagainya yang boleh mengancam kestabilan dan keamanan negara.

Maju atau mundur sesebuah negara itu bergantung pada perkhidmatan awamnya iaitu sebagai jentera pentadbiran yang cekap, dinamik, dan dapat memenuhi keperluan dan harapan rakyat dan negara. Sejauh mana sesebuah negara itu bergerak maju ke hadapan ia banyak bergantung kepada kualiti sumber manusianya iaitu para pekerjanya, baik dalam perkhidmatan awam ataupun sektor swasta. Walaupun terdapat teknologi yang canggih dan tinggi, serta ramai golongan terpelajar dan terlatih mengganggotai sektor awam dan swasta, tetapi jika kualiti sumber manusianya tidak dibentuk melalui rukun akhlak dan etika kerja yang murni, maka adalah sukar bagi sesebuah negara itu untuk bergerak maju ke hadapan dan disegani.

Sebenarnya kegiatan rasuah bukan sahaja boleh mencemarkan integriti dan maruah negara, kewibawaan perkhidmatan awam, dan diri individu yang terlibat dari kaca mata umum, tetapi ia merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam. Imam al-Subki dalam kitabnnya Fatawa al-Subki menjelaskan, menurut ijmak ulama kegiatan rasuah merupakan sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Ia diharamkan ke atas penerima rasuah untuk mengambilnya sama ada ia menerima rasuah itu bagi dirinya atau sebagai wakil; dan haram ke atas pemberi rasuah, sama ada ia memberi rasuah itu bagi dirinya atau sebagai wakil. Harta rasuah wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Jika tidak diketahui siapa pemiliknya, barulah harta rasuah itu diserahkan kepada Baitulmal.

Al-Qur’an menggolongkan kegiatan rasuah dalam kata umum “makan atau menghulur harta secara batil”. Ia meliputi juga amalan jenayah lain seperti merompak, menipu, dan memeras ugut. Pengharaman rasuah ini jelas berdalilkan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil; dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui” (Surah al-Baqarah, 2:188).

Pengharaman kegiatan rasuah ini juga dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Dosa perbuatan rasuah itu sama-sama ditanggung oleh pihak yang memberi, yang menerima, dan orang yang menjadi perantaraan dalam perbuatan rasuah itu” (Riwayat Abu Dawud). Sementara itu, dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tuhan melaknat orang-orang yang memberi rasuah, yang menerima dan menjadi perantaraannya” (Riwayat Ahmad bin Hanbal).

Berdasarkan kedua-dua hadith Rasulullah SAW ini jelas bahawa Allah SWT bukan sahaja memberi ancaman untuk melaknat pemberi rasuah, malah turut mengancam untuk melaknat penerima rasuah dan orang yang menjadi perantaraan dalam melakukan rasuah. Paling tidak, rasuah terjadi dengan tiga perkara. Pertama, pemberian untuk sogokan dalam bentuk nyata atau berselindung; kedua, tujuan pemberi dan penerima rasuah; dan ketiga, orang perantara bagi pemberi dan penerima rasuah.

Secara lebih jelas lagi, kegiatan rasuah itu dikaitkan dengan amalan memberi atau menerima sesuatu pemberian dengan cara yang bertentangan dengan hukum syarak iaitu tujuan mendapatkan balasan atau faedah tertentu bagi kepentingan diri sendiri dan dalam masa yang sama bertindak menindas dan menzalimi orang lain. Dengan itu, ia digolongkan sebagai perbuatan batil, maka ia diharamkan oleh Islam.

Islam mengharamkan rasuah kerana ia menjadi penyebab kezaliman berlaku dalam masyarakat. Kebiasaannya, orang yang tidak bersalah boleh dihukum bersalah, menyekat peluang mereka yang berkelayakan, dan penyebaran harta dalam kalangan pihak tertentu sahaja. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan seseorang menutup mulut daripada berkata benar, mengotorkan jiwa yang bersih, membuka segala rahsia, menjadikan orang ikhlas khianat, membenarkan sesuatu yang salah, dan menyalahkan sesuatu yang benar.

Islam sama sekali tidak pernah bertoleransi dalam membanteras kegiatan rasuah kerana ia melibatkan persoalan hukum, maruah agama, bangsa, dan negara. Oleh itu, membanteras kegiatan rasuah dalam masyarakat adalah satu jihad ke jalan Allah SWT kerana ia dilihat sebagai menegakkan keadilan.

Kekayaan dan kemegahan hidup yang diperoleh melalui rasuah sangat dikutuk oleh Islam. Khalifah Islam ketiga Sayyidina ‘Umar al-Khattab juga telah melafazkan perkataan yang sangat berat mengutuk perbuatan rasuah ini. Begitu juga dengan sikap Khalifah ‘Umar ‘Abdul ‘Aziz yang dengan tegasnya menentang segala unsur rasuah, sama ada yang memberi atau yang menerima rasuah. Semua yang terlibat dikenakan hukuman yang berat.

Perbuatan rasuah berlaku apabila wujud orang yang terlalu ingin mencari taraf hidup yang lebih tinggi daripada yang tersedia ada. Tambahan pula ia disertai dengan perasaan hendak menunjuk-nunjuk kemewahan tersebut, padahal perkara ini di luar kemampuannya. Untuk memastikan kemewahan yang diinginkan itu tercapai, lalu seseorang itu akan berusaha mencarinya walaupun dengan cara yang tidak jujur, iaitu rasuah.

Dr. Abbas Ahmad Muhammad al-Baz pula menjelaskan dalam kitabnya Ahkam al-Mal al-Haram bahawa rasuah diharamkan ke atas para hakim, para qadi, para petugas, dan sesiapa sahaja yang menjalankan satu-satu tugas yang diamanahkan kepadanya. Jika mereka mengambil ‘pendapatan’ lain selain pendapatan yang sepatutnya, mereka dianggap mencuri. Berhubung perkara ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah mencuri” (Riwayat Muslim)

Pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk menguruskan kepentingan orang ramai wajiblah menjalankan segala tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab. Hal ini semata-mata untuk menjamin kebahagiaan dan keharmonian masyarakat, seterusnya mewujudkan keamanan negara.

Seseorang pegawai itu boleh dikatakan bertanggungjawab sekiranya tugas yang dilakukannya itu semata-mata untuk kebajikan rakyat dan kerana Allah SWT, bukan kerana disogok atau diupah dengan cara tidak jujur untuk kepentingan diri sendiri. Segala macam hadiah dan buah tangan yang diberikan dengan tujuan mempercepatkan sesuatu urusan orang-orang atau pihak-pihak tertentu, adalah dianggap rasuah.

Hidup mewah dengan hasil kegiatan rasuah amat dikutuk oleh Islam. Hidup mewah seperti itu hanya menurut kehendak hawa nafsu semata-mata. Padahal di sebalik kemewahannya itu berapa banyak pula harta, hak dan kepentingan orang lain terkorban. Mereka sebenarnya lupa akan segala azab dan sengsara yang akan mereka terima di akhirat nanti akibat perbuatan mereka sendiri itu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya yang dilantik menjadi pegawai-pegawai yang diamanahkan bagi menjalankan kerja-kerja untuk kebajikan orang ramai, supaya jangan menunjuk-nunjukkan hidup yang terlalu mewah. Baginda SAW pernah bersabda kepada Mu‘az bin Jabal r.a. ketika beliau dilantik menjadi qadi di Yaman yang bermaksud, “Jauhilah daripada hidup dalam keadaan hidup yang serba mewah, kerana hamba Allah SWT yang setia bukanlah orang-orang yang hidup dalam keadaan yang serba mewah” (Riwayat Ahmad bin Hanbal)

Segala pesan dan nasihat Rasulullah SAW dipatuhi oleh Mu‘az bin Jabal r.a. Dia tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa, jawatan dan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Dia tidak ingin menjadi penyeleweng kerana bertuankan hawa nafsu. Kehidupan beliau tidak melebihi pendapatan yang diperoleh.

Oleh itu, beliau tidak termasuk dalam golongan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud, “Suatu masa nanti akan ada orang dari kalangan umatku memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai pakaian yang beraneka jenis dan mereka pandai pula bercakap, berbual dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka itu adalah penjahat-penjahat dalam umatku” (Riwayat al-Tabrani).

Seorang pegawai Rasulullah SAW dari bahagian perbendaharaan negara telah berjalan memungut cukai. Setelah selesai, beliau kembali ke Kota Madinah untuk menyerahkan hasil pungutan cukai itu kepada Rasulullah SAW. Pegawai itu berkata, “Wahai Rasulullah!, ini hasil negara dan ini hadiah untuk saya”. Mendengar kata-kata itu, wajah Rasulullah SAW terus berubah, lalu Baginda SAW bersabda kepada orang ramai yang bermaksud, “Aku telah melantik seorang pegawai untuk satu pekerjaan, sesudah bertugas dia datang dan berkata, ini untuk negara dan ini untuk saya, hasil hadiah daripada orang ramai. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya, adakah dia dapat hadiah jika ia jujur?. Janganlah kamu mengambil sesuatu yang tidak hak bagi kamu” (Riwayat Muslim)

Selagi rasuah dibiarkan tumbuh dalam masyarakat sebagai ‘batang tubuh’ negara dan seterusnya menular ke bahagian tender, bahagian penguatkuasaan, bahagian penyiasatan, bahagian pengesahan, bahagian kelulusan dan sebagainya, ia akan mengakibatkan komplikasi-komplikasi berupa risiko-risiko yang menyengsarakan diri sendiri, masyarakat dan negara.

Risiko perbuatan rasuah bolehlah dibahagikan kepada tiga jenis. Pertama, risiko pada diri dan keluarga, seperti makan duit haram yang menyebabkan tidak dapat memasuki syurga (maksud hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal), doa dan amalan ditolak (maksud hadis riwayat al-Tabrani), hati gelap (Surah al-Mutaffifin, 83:14), dan ahli keluarga rosak akhlak; menyusahkan diri dan keluarga; dilaknat oleh Allah SWT dan Rasul-Nya (maksud hadis riwayat Ibn Majah); hidup tidak berkat (maksud hadis riwayat al-Bukhari); dan mendapat azab pada hari akhirat (maksud hadis riwayat al-Tabrani). Kedua, risiko pada masyarakat, seperti keselamatan masyarakat terancam; masyarakat menjadi mangsa ketidakadilan; menggelapkan masa depan generasi yang akan datang; kehidupan rakyat menderita; dan akhlak anak bangsa rosak. Ketiga, risiko pada negara, seperti sistem pentadbiran dan pengurusan negara lumpuh; produktiviti dan kredibiliti terjejas; ekonomi terjejas; dan imej negara terjejas.

Kesimpulannya, meskipun Allah SWT memberi ancaman berat kepada pemberi, penerima dan perantara rasuah, dalam konteks masyarakat kita hari ini, rasuah adalah antara penyakit sosial yang sudah berada di peringkat kronik. Ia diibarat sebagai penyakit barah yang menyerang sel demi sel badan dan akhirnya membawa maut kepada seseorang sekiranya tiada rawatan awal. Begitulah juga penyakit rasuah amat sukar dibendung dan dibanteras apabila sudah menular dalam tubuh masyarakat. Ia meranapkan tahap demi tahap pembangunan masyarakat dan negara.

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi. Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply