REJAB DAN ISRAK MIKRAJ

Kita sekarang telah memasuki bulan rejab bulan di mana umat Islam juga dianjurkan puasa sunat bagi meningkatkan tingkat ibadat mereka. Maka tidak hairanlah intisari (matan) hadis, “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan ramadhan bulan umatku..” disokong oleh ramai para ulama muktabar. Dikatakan juga peristiwa Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidilharam menuju Masjidilaqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran juga berlaku pada malam 26 Rejab.

Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan‘perjalanan agung tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah dalam keadaan sedar, buraq yang dinaiki Nabi, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.

Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, perjalanan dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad.

Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”

Hanya dalam satu malam, Allah s.w.t‘mencipta perjalanan bagi Rasulullah untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaranNya, mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkanNya perintah menunaikan solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasulullah dalam keadaansedar itu (bukan mimpi).

Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular

Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru.

Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan. Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah selebihnya dengan roh yang suci.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah s.a.w tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.

Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah kepada Rasulullah? Dan yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun daripada kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah s.a.w yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah s.a.w dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.

Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam, ketika Rasulullah s.a.w kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah s.a.w.”

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan tahun kesedihan Rasulullah s.a.w kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah s.w.t sesuai dengan kekuasaan dan kudratNya. Allah s.w.t memperjalankan Muhammad sesuai dengan kehendakNya untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaanNya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Malah sesetengah ulama mengatakan perjalanan agung itu sama sekali tidak ada kaitan dengan hiburan dan pencarian kesenangan dan kebahagiaan luaran diri Rasulullah, tetapi terkandung di dalamnya perintah untuk menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk mencari hikmah lebih besar yang terdapat di dalam peristiwa agung itu.

Dalam hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menulis bahawa hikmah Israk dan Mikraj ini adalah seperti yang berikut: Allah‘Azza wa Jalla memberi kesempatan kepada Rasulullah s.a.w untuk melihat tanda-tanda dan kejadian yang amat luar biasa, yang terjadi di atas kekuasaan Allah, agar lahir keyakinan dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t dalam kalbu, dalam menghadapi tekanan orang- orang kafir pada waktu itu.”

Al-Ghazali menjelaskan lagi bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah pengangkatan (perlantikan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasulullah s.a.w.

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu‘perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa taqwa dan keimanan terhadap Allah menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaranNya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad. Oleh hal yang demikian, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketaqwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah s.w.t. Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendakiNya.

Catatan: Abu Haitham

No Comments

    Leave a reply