REMAJA CINA-FILIPINA PELUK ISLAM DENGAN BIMBINGAN DR.ZAKIR

Di tengah kemarahan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka “Super 8” Hindu terhadap kemunculan pendakwah terkenal dari India yang berjaya menarik ribuan khalayak, seorang remaja keturunan Cin-Filipina mengucapkan kalimah syahadah dengan bimbingan Dr Zakir Naik.

Remaja berkenaan, Woo Nina Grace, 19 merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta di Kemaman mula tertarik dengan Islam ketika berumur 13 tahun lagi. Beliau yang mempunyai ibu berbangsa Filipina dan ayah keturunan China dari Johor telah menghafal beberapa ayat penting yang sering digunakan dalam sembahyang orang Islam, iaitu al-Fatihah, ayat kursi dan tiga surah Qul.

Nina melafazkan kalimah syahadah tepat jam 12.05 malam bersaksikan hampir 40,000 khalayak yang mendengar ceramah Dr Zakir Naik yang bertajuk “Pilihan Orang Islam: Dakwah atau Kemusnahan” di Kemaman, Terengganu.

Menurut laporan BERNAMA, sebaik sahaja selesai melafazkan syahadah, air mata membasahi pipinya yang turut bersyukur kerana telah diberikan petunjuk yang jelas oleh Allah Yang Maha Esa.

Selesai sesi soal jawab pada jam 12.45 malam, Dr Zakir dan Menteri Besar Terengganu,  Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berjumpa dengan Nina yang berehat di sebuah bilik di belakang pentas manakala pemberita dihalang menemuinya bagi memberikan ruang bertenang.

BERNAMA turut melaporkan, “beberapa hadirin menyatakan mereka terkejut dengan kesediaan Nina memeluk Islam dan bersyukur kerana dapat melihat usaha dakwah Dr Zakir mampu menarik orang bukan Islam menjadi ‘saudara baru’.”

Nina kemudiannya ditemani oleh isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Halina Zakaria, 46 dan berjanji membantu mendalami Islam.

Kemunculan Dr Zakir Naik pada kali ini dilihat sebagai satu “ancaman” kepada “kententeraman awam” oleh beberapa pihak yang tidak dapat menerima dakwah Islam kerana beliau berjaya menarik lebih ramai pendengar walaupun sebahagian besarnya tidak memahami bahasa Inggeris.

Dr Zakir menyampaikan ceramahnya dalam bahasa Inggeris dan kunjungan kali ini bermula pada 9 April 2016. Beliau dijangka akan menghabiskan wacana itu untuk beberapa hari lagi dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof P Ramasamy melabel pendakwah bebas itu sebagai “syaitan”.

Dakwaan Prof P Ramasamy kemudian ditarik balik selepas beliau mendapat bantahan daripada ramai pihak termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani berseru agar orang seperti itu “keluar dari Malaysia.”

Sebelum menerima gesaan itu, Prof P Ramasamy mengajukan permohonan agar diberikan peluang berdebat dengan Dr Zakir Naik manakala penganjur yang membawa kemasukan pendakwah bebas itu memberikan syarat, bersedia berdebat sekiranya Prof P Ramasamy mampu menarik lebih 20,000 orang pendengar bagi membuktikan popularitinya sebagai tokoh politik.

Menteri Besar Terengganu turut menawarkan sebuah pulau yang terletak di Empangan Kenyir, Hulu Terengganu kepada Dr Zakir Naik bagi membuka cawangan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskannya pada bulan Februari 1991, iaitu sebaik sahaja beliau meninggalkan kerjayanya sebagai doktor perubatan.

Dr Zakir Naik dilahirkan pada tahun 1965 di Mumbai, India dan memperoleh Ijazah Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Mumbai.

Beliau pernah berguru dengan Allahyarham Ahmed Deedat dan bertemu pada tahun 1987. Ahmad Deedat memberikan gelaran kepada Dr Zakir sebagai “Deedat Plus”, ertinya lebih baik daripada dirinya dalam penyampaian hujah dan keberkesanan dakwah.

Sehingga tahun 2015, Dr Zakir telah berjaya menyampaikan lebih 2,000 ceramah dalam pelbagai forum antarabangsa di pelbagai negara. Antara tahun 2001 (selepas peristiwa runtuhnya World Trade Centre 11 September 2001) hingga Ogos 2002, lebih 34,000 orang rakyat Amerika Syarikat memeluk Islam setelah mendengar ceramah Dr Naik.

Mungkin itulah yang menjadi kebimbangan beberapa pihak NGO bukan Islam terhadap kemampuan Dr Zakir dalam menghuraikan mengenai kesempurnaan ajaran Islam, bahkan katanya, untuk memahami Islam dengan baik, “seseorang itu perlu memahami al-Qur’an dan bukannya mengkaji perilaku orang-orang Islam. Ada kalangan tertentu menggunakan Islam untuk melakukan kemusnahan, dan mereka itu tidak mempraktikkan ajaran Islam sebenar.”

Rakyat Malaysia mendoakan Nina lebih tabah berhadapan dengan cabaran dan cemuhan kerana ada segelintir bukan Islam cemburu apabila ada bukan Islam memeluk Islam dengan melemparkan dakwaan bahawa “itu tidak adil, bukan Islam tidak dibenarkan berdakwah kepada orang Islam.”

Bagaimanapun, ada NGO melihat Dr Zakir sebagai seorang yang tidak memahami agama lain dengan baik sebab “tidak mempelajarinya secara langsung”. Itulah kesombongan, namun Dr Zakir tetap menyampaikan ceramahnya secara berhemah, berfakta dan lojik yang mudah difahami meskipun ada pendengarnya kurang mahir berbahasa Inggeris.

Oleh: Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply