RESOLUSI MULTAQA KEBANGSAAN ALUMNI AL-AZHAR KALI KE 2 1439H/2018M

Pendahuluan

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW, seluruh keluarga baginda, dan seluruh sahabat baginda. Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana atas kurnia dan izin-Nya MULTAQA KEBANGSAAN ALUMNI AL-AZHAR KALI KE 2 1439H/2018M bertemakan ‘al-Rahmah Asas Perpaduan” pada kali ini akhirnya dapat disempurnakan.

Penganjuran Multaqa pada kali ini bertujuan meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perbincangan yang dibuat memaparkan idea dan cadangan para ilmuwan tempatan dan luar negara yang berwibawa berkenaan perpaduan dalam kalangan ummah Islam. Perbincangan berkenaan perpaduan berasaskan tema “al-Rahmah Asas Perpaduan”.

Berikut adalah resolusi multaqa:

Islam dan Perpaduan:

Perpaduan sesama ummah Islam adalah suatu kewajipan, dan sebaliknya perpecahan adalah suatu tegahan. Perbezaan pandangan dan ideologi adalah fakta kehidupan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh mengakibatkan tercemarnya imej Islam, perpecahan, persengketaan, dan kemunduran. Oleh itu, kesatuan harus dibina berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jama`ah pegangan sawad al-a‘zam yang merupakan panduan dan warisan daripada Nabi SAW dan para Sahabat r.a.

Adab Berbeza Pandangan:

Teologi rahmatan lil alamin yang menolak segala bentuk kekerasan dan pemaksaan orang lain mengikut fahaman peribadi. Perbezaan bukanlah masalah yang perlu diperbesar-besarkan. Hal ini kerana setiap perbezaan yang ada antara agama pasti juga mempunyai persamaan. Dari kesamaan itulah seharusnya umat manusia berpegang tangan untuk menjalani struktur kehidupan yang tenteram, aman dan damai bukan sebaliknya mengutamakan perbezaan untuk saling menganiaya dan menghancurkan.

Umat Islam juga harus menjadi ejen perdamaian, persaudaraan dan penciptaan bentuk-bentuk kerjasama global untuk mengatasi atau memecahkan isu-isu yang lebih stratergis seperti kemiskinan, bencana, krisis moral dan sebagainya.

Islam dan Cabaran Perpaduan di Malaysia:

Islam di Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran dalaman dan luaran khususnya agenda Barat sama ada dari segi pemikiran atau amalan ekstrem yang perlu dihadapi dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antaranya, kurang kefahaman mengenai nilai murni yang ada dalam setiap agama, seperti tafsiran rigid yang tidak meraikan budaya tempatan dan tafsiran agama yang terlalu terbuka dan liberal. Justeru pandangan sawad al-a‘zam perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat.

Perpaduan dan Keamanan Ummah:

Perpaduan dan keamanan di Malaysia terlaksana melalui peranan Yang Di-Pertuan Agung sebagai ketua negara sekaligus ketua agama Islam yang perlu ditonjolkan atas faktor kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kontrak sosial yang telah disepakati bersama oleh masyarakat. Masyarakat perlu menghayati asas kenegaraan ini dan diperkukuhkan mengikut konsep unity in diversity dan agree to disagree kerana sebarang pencerobohan akan mengundang ketidaktenteraman.

Justeru, gagasan Malaysia Baru perlu dijadikan jentera dan mekanisme penting dalam pembangunan negara dan bangsa Malaysia yang harmoni, sejahtera dan bersatu. Keperluan kepada perkara ini memandangkan rakyat Malaysia mutakhir ini amat teliti memerhati dengan penuh rasa bimbang akan perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat yang berpotensi membawa kepada konflik dan kontroversi yang berterusan sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Dakwah secara Rahmah

Pandangan alam Islam mengenai variasi peradaban menyeru kepada kesatuan dan kelengkapan (al-Tawafuq). Rahmah dalam konteks serantau adalah dengan membawa seruan dakwah yang mewajahkan Islam yang cocok dengan budaya kultural selagi tidak bercanggah dengan dasar Islam. Pengagihan ekonomi secara adil dan pemantapan institusi kewangan Islam merupakan pendekatan dakwah yang bersifat rahmah dan komprehensif

Pemantapan Sistem Pendidikan Islam

Memperkasakan Pendidikan Islam mulai dari Pra Sekolah bagi membentuk manusia Muslim yang beriman dan bertaqwa. Bagi mencapai matlamat ini, pihak kerajaan disarankan supaya memantapkan pendidikan agama dan bahasa Arab dalam sistem pendidikan negara. Justeru kaedah yang efektif perlu dikenalpasti bagi mencapai hasrat tersebut.

Menubuhkan sebuah pusat dialog sebagai kumpulan pemikir (think tank) bagi nilai-nilai bersama, pengurusan konflik dan penyelesaianya dalam semua aspek kehidupan bagi semua lapisan rakyat.

Raja-raja Melayu mempunyai kuasa penuh dalam menyelaraskan hal ehwal agama Islam, termasuk undang-undang Islam seperti bentuk hukuman dan sebagainya supaya tidak menimbulkan sebarang krisis di antara negeri-negeri di Malaysia. Khutbah Jumaat hendaklah diselaraskan dan dipertingkatkan pengisian dan tekniknya untuk dihayati oleh orang awam.

Konsep sarwajagat Islam (worldview Islam) yang merupakan konsep al-din hendaklah dibangun dan diberikan kesedaran bagi semua warganegara, Islam dan bukan Islam dan dilaksanakan dengan luas oleh saluran pendidikan formal dan tidak formal sebagai ilmu dan penjelasan yang jelas dan lengkap.

Memperkasakan peranan alumni al-Azhar

Graduan al-Azhar merupakan ikon perpaduan dan kerahmatan Islam. Para cendekiawan dan agamawan wajar membawa gagasan al-Azhar yang mementingkan perpaduan ummah dengan pendekatan yang menyantuni budaya tempatan.

Disediakan oleh,
Jawatankuasa Resolusi Multaqa

No Comments

    Leave a reply