RETAK BAKAL MEMBELAH PKR

 

REFORMASI bermula dengan perjuangan untuk membebaskan Anwar Ibrahim pada tahun 1998; Anwar dilihat sebagai politikus yang dikhianati oleh sistem ‘kroni, korupsi dan nepotisme (KKN)’. Kroni merasakan kedudukannya terancam kerana Anwar amat berpengaruh dan berjaya melebarkan pengaruhnya hampir ke semua agensi dan entiti kerajaan (dan politik). Hampir kesemua jawatan setiausaha politik menteri-menteri adalah pejuang ABIM ataupun orang Anwar.

Anwar naik mendadak dan pengaruhnya mencanak. Anwar berkaya menyingkirkan ramai orang, termasuklah Tun Ghafar Baba. Team Wawasan jadi benar-benar hebat, dan sebahagian besar penyokong Ghafar Baba melakukan ‘swing’ takut hilang kedudukan dan hilang jawatan. Anwar hebat juga di peringkat antarabangsa, boleh berkawan dengan ramai orang, dari pengurus bank, pemilik media dan tokoh-tokoh pemikir.

Sebab itulah ketika dipecat, Anwar mendapat simpati yang besar. Anwar juga bijak, mengambil kenyataan umum ulamak tersohor untuk mengetepikan dakwaan ‘salah moral’ dan menuduh sistem yang memecatnya (dan orang yang memecatnya) sebagai zalim dan kejam.

Episod 21 tahun lalu, hampir mengekori episod politik dalam PKR sekarang. Episod permusuhan antara Dr Mahathir dan Anwar. Episod itu dilihat semakin hampir, kerana Anwar mungkin kecundang oleh permainan politik ‘peralihan kuasa’. PKR alami keretakan dan defisit keyakinan.  Azmin dan Anwar sudah memperlihatkan ‘jiwa kacau’ dan sedang bersengketa. Tanduk reformasi bukan sahaja tumpul, bahkan kehilangan matlamatnya.

Selepas dibebaskan Anwar semakin kencang membuat ‘grand design’. Azmin yang tidak termasuk dalam senarai cadangan, akhirnya dilantik oleh Dr Mahathir sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang dilihat untuk mengurangkan kuasa Menteri Kewangan di bawah Lim Guan Eng.

Banyak kali Anwar dan Azmin tidak sehaluan. Tuduh menuduh antara penyokong mula kedengaran. Azmin, semasa menjadi Menteri Besar Selangor tidak menyediakan peruntukan bagi membolehkan PKR berkempen. Azmin pernah menjadi ‘duri’ yang menghalang Wan Azizah daripada diangkat sebagai Menteri Besar Selangor kerana PAS tidak cenderung menyokong.

azmin ali

Azmin diangkat oleh Anwar, dari seorang guru menjadi  setiausaha sulit. Anwar juga diangkat oleh Dr Mahathir, dari seorang aktivis mahasiswa dan tenaga pengajar (juga pengasas) di Yayasan Anda menjadi seorang wakil rakyat dan menapak cepat sebagai politikus besar melalui UMNO.

Sebagai aktivis politik, Anwar dan Azmin pada awalnya saling melengkapi untuk membina prestasi dan reputasi PKR. Anwar dan Dr Mahathir juga saling melengkapi untuk memperkuatkan UMNO sehingga PAS pada suatu ketika hampir penasaran. Mat Sabu yang kecewa akhirnya memohon menjadi ahli PAS.

Menariknya, dua situasi itu dilihat semakin berkonflik. Anwar menjadi kuat dan gagah kerana diberikan kepercayaan oleh Dr Mahathir. Azmin juga memperoleh ‘spinach’ setelah beberapa kali Dr Mahathir berusaha mempertahankannya. Terakhir, Dr Mahathir menyerahkan kepada Azmin menentukan keputusannya, sama ada bercuti atau terus berada dalam kabinet selagi tidak ada keperluan menggantikannya.

Cuma berbeza ialah zaman dan keadaan politik. Anwar disingkirkan kerana enggan meletakkan jawatan (selepas hangat dibahas dalam kabinet). Perihal Azmin belum dibincangkan, dan masih dalam siasatan polis. Video ‘semburit’ belum dibuktikan tulen.  Azmin menyatakan penyebaran itu adalah konspirasi dan budaya politik longkang. Anwar juga pernah menuduh,  pemecatannya (1998) adalah konspirasi. Maka, reformasi muncul untuk membebaskan Anwar.

ANWAR

Azmin pernah berkata, dia akan ‘merobohkan’ tembok yang memenjarakan Anwar, dalam kes Liwat II. Bila Anwar dipenjarakan, Azmin sudah berjawatan Menteri Besar Selangor, tidak ada lagi laungan untuk merobohkan tembok penjara. Azmin sudah berubah. Azmin mahu membina kedudukan yang lebih tinggi.

Tapi Anwar sedia menyekatnya. Pernah disekat bila bercadang bertanding jawatan Presiden PKR. Anwar seperti mengancam ‘akan menjadi calon’ tetapi tujuannya untuk tidak mahu PKR terlepas daripada penguasaan kroninya. Dia mahukan Wan Azizah terus memegang jawatan itu selagi dirinya berhadapan kemelut politik. Setelah semuanya selesai, Wan Azizah tidak bersedia mempertahankannya, hanya membiarkan Anwar berkuasa secara mudah.

mirror

Kini, Azmin semakin bersedia ‘mengkucar-kacirkan’ PKR. Azmin menjadi semakin ‘baik’ dengan Dr Mahathir dan semakin ‘hilang kepercayaan’ kepada Anwar. Anwar  merestui Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Rafizi kalah, tetapi, Anwar tetap mempercayai dan mengharapkan kepakaran Rafizi.

Azmin faham, Rafizi akan merancang sesuatu untuk ‘melumpuhkan’ reputasinya. Bila tularnya video seks, Rafizi cepat memberitahu dirinya bukan dalang sebaik sahaja Azmin menuduh ia dilakukan dari ‘dalam PKR’ sendiri. Lebih mencemaskan apabila Ketua Pemuda PKR Cabang Santubong membuat pengakuan, memang dirinya terbabit dengan seorang menteri dan menyesal kerana video itu dirakam tanpa kebenarannya.

Dr Mahathir tidak percaya dengan pengakuan Haziq, bahkan menyindir, video seks seumpamanya mungkin pada suatu ketika nanti mungkin akan membabitkan dirinya. Secara menyindir Dr Mahathir menegaskan, orang yang mengakui itu ‘tidak malu’ dan mungkin dirasuk oleh sesuatu bagi memburukkan Azmin.

 Tidak percaya itu bukan perkara baharu bagi Dr Mahathir. Beliau juga pernah tidak percaya, bila Anwar diberitakan ada masalah moral sehinggalah pihak polis memberikan bukti. Setakat ini, pembabitan Azmin belum terbukti dan masih dalam siasatan. Apakah sikap Dr Mahathir selepas video itu didapati ‘tulen’ dan ‘adegan itu benar-benar berlaku’?  Bab ini, perlu ditunggu hasilnya.

Bila ‘pecah’ cerita semburit, ada pihak mendesak agar Azmin berundur dan mengambil cuti. Dr Mahathir tidak bersetuju dan mempertahankan Azmin sehinggalah terbaharu, Anwar mula bersuara ‘jika dibuktikan’ Azmin perlu melepaskan jawatannya. Dr Mahathir memberikan respon, oleh kerana masih dalam siasatan, ia terserah kepada Azmin untuk membuat keputusan sama ada bercuti atau tidak. Azmin memberikan respon keras kepada Anwar, ‘cermin diri’ dan ‘baca bibir saya. Bagi tahu dia, dia mesti tengok ‘siapa lelaki dalam cermin itu’?

cuti perlu

Sebelum itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut diberikan amaran oleh Azmin agar “Jangan jadi munafik’.

Ia semakin panas.  Khairudin Abu Hassan,   membuat laporan polis. Semua video yang dikaitkan dengan Anwar  pada suatu masa  wajib disiasat bagi membuktikan ketulenannya. Khairudin tidak berpuas hati,  Anwar tidak didakwa sebagai pelakunya dalam video China Doll.

Dengan cabaran itu, apakah Azmin sanggup ‘berkerat rotan’ dengan Anwar? Senario itu muncul dan pertanyaan sedemikian menjadi semakin menarik.  Cepat menerjah minda kita ialah hakikat yang terpaksa dihadapi dalam berpolitik. Sebabnya, kelaziman mengenai politik ialah tidak ada kawan sejati yang abadi dan musuh yang kekal selama-lamanya.

Dr Mahathir pernah bermusuh dengan Lim Kit Siang. Banyak cerita yang mereka lakarkan bersama sehingga ada rakyat Malaysia tidak boleh menerima pendirian terbaharu Dr Mahathir, ‘mesra’ dengan Lim Kit Siang. Mereka saling mempertahankan. Lim Kit Siang sedar, tanpa kerjasama orang Melayu, DAP tetap dengan statusnya sebagai parti pembangkang. Biarpun menang kesemua kawasan yang ditandinginya, majoriti orang Melayu tetap menolak DAP. Ia mungkin semakin kritikal apabila umur 18 tahun dibenarkan mengundi secara automatic dalam PRU ke-15 nanti.

Dalam politik juga tidak ada sahabat yang kekal. Anwar dan Azmin (bateri 2A) sedang bertelingkah. Kedua-duanya sedang dalam radar Dr Mahathir untuk di ‘recharge’. Anwar sedang menanti setelah sekian lama berada dalam mood ‘stand-by”.

china dolls

Permainan politik menjadi semakin galau dan tidak menentu, kedudukan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir semakin sukar. Sukarnya kerana banyak perkara yang belum selesai. Dr Mahathir memerlukan masa sehingga tiga tahun untuk ‘membina semula Malaysia’. Bagi  sebahagian orang, ia adalah suatu hakikat Dr Mahathir mahukan Mukhriz mendapat jaminan sebagai Perdana Menteri.

Mukhriz pernah kecundang. Dr Mahathir kecewa sebab Mukhriz tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO (2013). Najib tidak ‘mengenang budi’. Dr Mahathir pernah mendesak Tun Abdullah berundur agar Najib menjadi Perdana Menteri.

Umpama Aesop fables, seekor singa dan seorang manusia. Seorang manusia mencabut duri di kaki singa. Bila kesakitan hilang, Singa menerkam orang yang menyelamatkannya. Dr Mahathir ‘diselamatkan’ oleh Najib (1987). Tahun 2017, Najib diterkam dan akhirnya dikeronyok bila Dr Mahathir kembali berkuasa.

Beberapa hari lalu, Mukhriz menjelaskan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar walaupun tidak pernah meletakkan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri. Ungkapan tersebut menyebabkan ramai pihak semakin jelas, maka, semakin gusarlah manusia politik. Politik semakin membarah dengan ‘kanser empayar’. Demokrasi hanya di permukaan, yakni menagih kuasa.

Terbit satu lagi teori, Anwar Perdana Menteri, Muhyiddin pula Timbalan Perdana Menteri. Reciprocal antara PPBM dan PKR. Kini, PPBM adalah Perdana Menteri dan PKR adalah Timbalan Perdana Menteri. Teori peralihan kuasa, dalam tempoh tiga tahun (dua tahun dari sekarang), PKR adalah Perdana Menteri dan PPBM adalah Timbalan Perdana Menteri. Wah! Rakyat mula terbeliak memikirkan. Rakyat mula mencari alternatif, kenapa Anwar?

Penganalisis dan veteran politik ada yang tidak setuju. Ada juga elit politik yang tidak setuju. Mereka lebih memerlukan calon yang lebih ‘segar’, calon yang tidak ‘terkena racun moral’. Anwar sudah mengalaminya. Muhyiddin juga pernah dikaitkan, belum bersih sepenuhnya. Kini, Azmin pula dikaitkan dengan epidemik yang boleh ‘membunuh’. Dr Mahathir perlu menyelesaikan kemelut tersebut, dan adalah tidak manis apabila mencalonkan Mukhriz terus sebagai penggantinya.

angn munafik

Anwar dilihat sedang membina kekuatan dengan DAP. Kalaupun DAP menyokongnya, Azmin boleh menyebabkan PKR sedikit bercelaru. Azmin mempunyai penyokong dan pengikutnya yang tegar. Dalam keadaan itu, kekuatan PKR mungkin terbelah kecualilah video lucah itu benar-benar tulen dan pelakunya benar-benar sahih.

Dr Mahathir bijak membaca situasi. Sebab itulah Dr Mahathir membuat seruan agar parti-parti Melayu bersatu di bawah Bersatu (PPBM). Seruan itu memberikan petunjuk bahawa PH bukanlah gabungan yang boleh diharapkan untuk ‘membina semula Malaysia’. Anwar sudah bersuara, akhirnya Dr Mahathir menukarkan seruannya, bukan bermaksud parti tetapi ahli-ahli parti Melayu.

Anwar menjadi sedikit cemas, sebab, PKR tidak dianggap sebagai parti Melayu, ia adalah parti pelbagai kaum. DAP, walaupun pelbagai kaum, realitinya masih dilihat dominasi bukan Melayu. PAN sedikit terkedu, tetapi kecenderungannya untuk menyokong DAP tetap ada.

Analisis semakin merujuk kepada penguasaan parti-parti Melayu. PPBM hingga kini mempunyai 26 kerusi, UMNO masih berbaki 38 dan PAS sebanyak 18 kerusi. Bila tiga parti itu bergabung, ia membentuk 82 kerusi. Belum cukup kuat untuk berkuasa. Sekurang-kurangnya memerlukan 112 kerusi. Apa pun, Anwar menjelaskan, beliau mempunyai kerusi yang cukup untuk menjadi Perdana Menteri tanpa Azmin.

Keadaan ini seperti (jika ditakdirkan berlaku) apa yang dihadapi oleh BN selepas PRU ke-12. Namun ia sedikit berbeza. Kali ini, wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak belum diambil kira. Ertinya, jika PPBM diterima dengan baik di Sabah, ia mampu menarik beberapa orang wakil rakyat. Sarawak mungkin bersedia bersama, dan ini mungkin memberikan ‘nafas’ kepada Dr Mahathir.

Atas ikatan pribumi dan orang Melayu, Dr Mahathir mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi. Sekiranya Anwar terdesak untuk cepat memperoleh kuasa. Andaian itu menyebabkan Anwar mungkin kecundang sekali lagi. PKR mungkin berpecah dan tidak akan kekal sebagai parti yang memperoleh kerusi terbanyak.  PH juga akan berpecah. Semuanya boleh jadi dan boleh berlaku.

Bila Azmin meminta Anwar menilik ‘dalam cermin’ dan mengenalpasti ‘siapakah lelaki’ itu, ia menyebabkan masyarakat politik terus membayangkan apa yang pernah berlaku. Bukan sekali Anwar terkena ‘isu moral’, sekurang-kurangnya sudah tiga kali.

Kali pertama yang ditandai dengan ‘angkat tilam’. Kali kedua tayangan video di Carcosa Sri Negara (yang sedang diminta oleh Khairudin agar polis menyiasat). Kali ketiga, selepas laporan seorang doktor PUSRAWI ke atas Saiful Bakhari. Dua isu pertama, Anwar terlepas. Isu ketiga, Anwar didapati bersalah, dan kemudiannya diampunkan. Tetapi, itu tidak bermakna Anwar bersih sepenuhnya. Ia tetap membekas dan diulang-ulangkan selagi Anwar masih ada kemahuan berpolitik.

Azmin juga tidak terkecuali. Pernah suatu ketika, video seks (dalam bilik air) turut tersebar.. Tentunya, kecenderungan politik akan menyebabkan musuh boleh bersatu dan kawan boleh berseteru. Kejujuran bukanlah faktor yang wahid. Dalam politik, kuasa adalah segala-galanya.

Retak sudah ada, apakah ‘perang mulut’ kali ini benar-benar memecahkan PKR? Ketua Polis Negara mengesahkan, video intim itu adalah tulen. Bagaimanapun, pelakunya belum boleh disahkan.

Apakah ‘pekasam’ sudah tidak enak untuk dimakan kerana baunya tidak lagi boleh ditoleransikan oleh hidung? Politik sudah dijangkiti toksik.

Apa pun, politik tetap diperlukan selagi manusia dianggap haiwan politik dan haiwan bersosial.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply