RETORIK DAN KEKABURAN DEMOKRASI MALAYSIA BAHARU

Geger seluruh Malaysia, tapi belum sampai tahap gegar. Hari ini adalah sejarah ulang tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan. Ketika meraikan hari bersejarah itu, selama 45 minit ‘pahlawan demokrasi’ bercakap mengenai kejayaan PH menumbangkan  Barisan Nasional dalam keputusan pilihan raya yang bersejarah.

Sejarah kemenangan PH dikenang sebagai sejarah  yang penuh dengan dakwaan dan tuduhan bahawa kerajaan sebelumnya hidup dalam dunia kleptokrasi. Semuanya ditafsir, ditakwilkan seolah-olah 60 tahun pemerintahan BN dikendalikan oleh ‘perompak-perompak’ yang bukan sahaja handal, tetapi juga licik sehingga meninggalkan beban hutang melebih RM 1 trilion. Seolah-olah semua Perdana Menteri daripada UMNO jahat, terlupa bahawa beliau adalah sebahagian daripada mereka.

Definisi hutang negara turut berubah. Akibat definisi yang bercanggah itu rakyat ikut keliru. Pada akhir tahun 2017, data rasmi menunjukkan hutang negara dalam definisi lama, bukan menurut definisi  perakaunan kreatif kurang RM 700 bilion. Selepas diambilalih Kerajaan PH, hutang negara didefinisikan mengikut kaedah ‘perakaunan kreatif’  melonjak kepada RM 1.1 trilion. Begitu cepat meningkat dengan banyaknya dalam tempoh empat bulan. Tentunya lebih laju daripada teknologi pecut jet dan mungkin sedikit lemah daripada kelajuan cahaya.

Untuk menggambarkan situasi negara dengan budaya kleptokrasi, maka diberitahu bahawa banyak projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu berkali-kali ganda lebih mahal daripada kos sebenarnya. Ada yang bijak membuat perbandingan dan memformulakan kaedah mengira kos, maka kesimpulan mudah tercipta bahawa kos yang dipersetujui itu adalah untuk membayar atau menutup sebahagian hutang yang dilakukan oleh 1MDB, sebuah badan pelaburan kerajaan yang dikembangkan daripada Terengganu Investment Authority.

Bila sahaja berjaya mengangkat sumpah, banyaklah orang mula menjangkakan Kerajaan PH akan segera melaksanakan pelbagai bentuk reformasi dan revolusi ke atas dasar yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelumnya, kerana kerajaan dijolokkan sebagai Malaysia Baharu akan lebih telus, amanah dan tidak mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri.

Rakyat mula teruja. Euphoria mula menjelma kerana tindakan segera ialah menggelidah dan menggunjing pemimpin-pemimpin utama kerajaan terdahulu sehingga ada pemimpin sokongan merasa takut dan terancam kedudukannya. Akibat rasa terancam itu, beberapa orang sudah mula mencari jalan selamat, iaitu dengan mengisytiharkan diri keluar daripada BN atau UMNO.

Kini, rakyat membaca dan menganalisis apa yang sedang berlaku dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri. Rakyat mula bertanya, awalnya semua rampasan membabitkan nilai sekitar RM 1.1 bilion. Beberapa hari lalu, dikatakan satu permohonan untuk menyita jumlah rampasan bernilai RM 711 juta. Bezanya ialah RM 489 juta. Ke mana hilang? Atau mengapa susut nilai begitu banyak?

PPBM merasakan itu adalah peluang terbaik untuk meningkatkan jumlah kerusi yang dimenanginya, dari 13 kepada 22 kerusi. Dikhabarkan ada lagi yang akan menyeberang, tetapi, resepi yang digaul tidak seterusnya menjadi apabila UMNO mula melakukan perubahan dari dalam, bertekad menjadi kelompok pembangkang yang berwibawa bersama-sama PAS.

Perubahan kepimpinan UMNO membawa petunjuk permulaan yang membanggakan apabila menang tiga PRK secara hatrik –Cameron Highlands (26 Januari 2019), DUN Semenyih (2 Mac 2019) dan DUN Rantau (13 April 2019). Kemenangan berpihak kepada BN itu memberikan isyarat, Kerajaan PH perlu bersedia untuk memulakan strategi yang mendekati nurani rakyat.

Rakyat merasa terlalu banyak perkara yang dijanjikan oleh PH tidak ditunaikan dan yang paling dekat dengan kehidupan mereka ialah penurunan kos sara hidup yang memang sebahagian rakyat terpaksa mengikat perut. Awalnya disalahkan kaedah percukaian GST sebagai punca kenaikan kos sara hidup, maka kerana janji PH akan menghapuskannya dan digantikan dengan SST (rejim cukai yang penuh ketirisan). Tempoh pengecualian selama tiga bulan (Jun hingga Ogos 2018) tidak menampakkan kesan ketara penurunan kos sara hidup, bahkan ada sebahagian barangan dan perkhidmatan terus meningkat meskipun cukai ditiadakan.

Rakyat mula mencabar dan mendesak, kerana janji dalam tempoh 100 hari pertama tidak dilaksanakan kecualilah mengenakan semula SST, dengan membebaskan lebih banyak barangan, tetapi hasil kepada kerajaan telah merosot. Untuk menampung kekuarangan tersebut, Kerajaan PH mengarahkan PETRONAS untuk menyumbang dividen khas sebanyak RM 30 bilion. Ia mungkin cukup untuk menampung defisit perbelanjaan bagi tahun 2019, tetapi akhirnya, dividen khas pun semakin dilihat tidak memadai.

Rentak politik yang menyalahkan kerajaan terdahulu bergema sehingga kadangkala rakyat semakin memaksa telinga untuk tidak mendengarnya. Rakyat tidak percaya, alasan hutang yang tinggi itu adalah ‘suatu kerosakan’. Dalam umpan yang terancam itu, kerajaan PH mula membuka sebuah tabung bagi membantu menyelesaikan sedikit sebanyak hutang negara. Khabarnya, tabung berkenaan berjaya mengutip derma berjumlah lebih RM 200 juta. Kini, rakyat mula bertanya, ke manakah wang yang dikutip itu dibelanjakan. Ada pula laporan, wang tabung itu tidak akan digunakan untuk mengurangkan hutang.

Selepas itu, ada pula cerita kerajaan PH memohon simpati Jepun untuk memberikan pinjaman mudah dengan kadar faedah yang lebih rendah. Setelah dua kali Dr Mahathir menemui Perdana Menteri Jepun, akhirnya Jepun bersetuju mengeluarkan bos Samurai dan dimuktamadkan pada akhir Mac lalu.

Langganan bon tersebut mencecah RM 7.3 bilion. Maknanya, hutang terus meningkat, bukannya berkurangan. Diberitakan sehingga akhir April lalu, jumlah hutang sekitar RM 870 bilion. Tidak diketahui apakah jumlah hutang yang bertambah itu menurut piawaian ‘perakaunan kreatif’ atau definisi universal yang digunakan oleh agensi penarafan antarabangsa.

Jika bukan menggunakan piawaian ‘perakaunan kreatif’, hutang benar-benar telah meningkat lebih RM 100 bilion hanya dalam tempoh kurang setahun. Ertinya, purata hutang baharu antara RM 9 hingga RM 10 bilion sebulan.

Setelah kisah hutang tidak lagi diperdebatkan, timbul pula isu penjimatan yang berjaya dilakukan oleh Kerajaan PH ke atas projek-projek mega ciptaan BN dalam runding semula harga. Berbanggalah kerajaan PH menjaja kehebatan pengurusan mereka, tetapi, rakyat sebenarnya tidak mudah ditipu dan dibohongi. Rakyat sudah mula membuat perbandingan, sebenarnya penurun kos projek itu bukanlah benar-benar boleh dianggap suatu penjimatan, ia saperti membandingkan harga epal dengan durian musang king.

Ia adalah pengurangan kos disebabkan perubahan spesifikasi, pengurangan bilangan stesen dan ketiadaan jajaran keretapi laju dan laluan MRT menerusi pembinaan terowong. Pembinaan pasarana pengangkutan moden diteruskan, kecuali keretapi laju antara Kuala Lumpur ke Singapura (HSR), walaupun sebelumnya dianggap projek yang membazir dan tidak mampu ditanggung oleh kerajaan.

Selain meneruskan semula projek ECRL dan MRT, kerajaan PH mengakui pula bahawa pembinaan Bandar Malaysia yang dikutuk sebagai projek yang tidak berdaya maju, diteruskan kerana ia akan memberikan keuntungan kepada negara untuk muncul sebagai hab kewangan antarabangsa.

Razak Exchange yang dipersendakan sebagai ‘projek maut’ kini digiatkan semula dan ia memberikan kelegaan kepada seorang taikun berbangsa Cina tempatan, selain menubuhkan sebuah syarikat perkongsian dengan kontraktor China. Begitu juga dengan syarikat perkongsian untuk menguruskan operasi ECRL, dengan mengizinkan syarikat daripada negara China itu memilik tanah yang luas untuk dimajukan di sepanjang laluannya.

Ketika saham Proton dijual kepada sebuah syarikat automotif dari China, Dr Mahathir saperti sebak mengeluarkan kenyataan kesal dan marah. Apabila Geely berjaya meningkatkan prestasi industri automotif tempatan dengan suntikan kaedah dan kepakaran asing, akhirnya Dr Mahathir mula memuji bahawa Proton mampu kembali gah sebagai pemain penting. Dipujinya model terbaharu Proton yang menggunakan DNA Geely, iaitu PROTON X70.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7, Dr Mahathir bertegas akan membentuk industri kereta ketiga dengan menggunakan modal swasta. Maka, ramailah yang merasa sangsi dengan kemajuannya. Begitu juga bila Dr Mahathir memulakan membangunkan Proton pada peringkat awal, salah seorang pakar ekonomi yang menentang ialah Jomo Kwame Sundram. Kini, Prof Jomo dilantik sebagai salah seorang dalam kumpulan penasihat yang diketuai oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin.

Rakyat menantikan apakah rumusan yang telah dibuat oleh Majlis Penasihat Kerajaan. Edahnya sudah lama berakhir, tetapi pembaharuan yang dicadangkan tidak kedengaran dengan jelas, kecualilah, apabila Daim berkata, enam bulan sudah memadai untuk menteri-menteri belajar. Selepasnya, Daim memberikan pandangan, kerajaan PH perlu enam bulan lagi untuk belajar. Beberapa hari lalu, Daim berkata lagi,  menteri-menteri perlu menamatkan pertelingkahan sesama sendiri, dan mulailah bekerja untuk ‘membaiki kerosakan’.

Hari ini, sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir meminta agar setiap parti komponen dalam PH tidak lagi saling bercanggah pandangan, tidak mengutamakan isu-isu perkauman dan membulatkan tekad untuk bekerja bagi ‘membangun kemakmuran bersama’. Cantik dan manis sekali ungkapan itu, tetapi, apakah ‘kemakmuran bersama’ itu boleh ditafsirkan kesanggupan pemodal-pemodal bukan Melayu saling bersinergi dengan peniaga Melayu?

Ia sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. Apatah lagi dengan pandangan Dr Mahathir yang kurang yakin dan percaya dengan usahawan Melayu, mereka tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh. Mereka sentiasa mengharapkan ‘bantuan kerajaan’, dan yang menyedihkan ialah usahawan Melayu kurang cekal berhadapan dengan persaingan.

Buat masa ini, ramai usahawan Melayu merasakan kedudukan mereka semakin terhimpit apabila tidak banyak projek yang dilaksanakan oleh kerajaan PH. Projek mega, sebahagian besarnya dikuasai oleh bukan Melayu, dan ribuah kontraktor kelas F mengeluh. Kalau sebelumnya, kerajaan PH berjanji untuk menghapuskan perkhidmatan e-hailing, terutama Grab, kini muncul pula MyCar. Pemandu teksi bukan sahaja mengeluh, bahkan pernah mendesak agar Menteri Pengangkutan meletakkan jawatan kerana gagal menunaikan janji.

Grab diteruskan dan dakwaan bahawa saham perkhidmatan perkongsian kereta itu dimiliki oleh seseorang yang dijadikan sasaran ‘penghinaan’, akhirnya tidak tepat. Ia adalah dimiliki oleh seorang anak lelaki taikun kereta, yang kini menjadi penduduk tetap Singapura. Pejabat asalnya di Kuala Lumpur dipindahkan ke Singapura. Pemandu teksi semakin terhimpit dan mengeluh, sedangkan konsep pengurusan teksi oleh individu kepada syarikat adalah dimulakan oleh Dr Mahathir ketika beliau adalah Perdana Menteri ke-4.

Rakyat masih terngiang-ngiang dengan sergahan Dr Mahathir ketika dia adalah Perdana Menteri ke-4 dan memimpin BN. Beliau tetap dengan kelantangannya mengkritik perjuangan politik DAP, sebuah parti perkauman dan rasis. DAP pernah menuduh bahawa Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang korup, dan pada suatu ketika Lim Guan Eng mengkritik amalan kronisme Dr Mahathir kerana anak-anaknya lebih kaya daripada Tan Sri Vincent Tan.

Dr Mahathir menyalahkan BN kerana telah merosakkan negara sepanjang tempoh pemerintahannya selama 60 tahun. Tanpa disedari oleh beliau, lebih sepertiga tempoh ‘kerosakan negara oleh BN’ itu adalah pada zamannya. Semua orang tahu, sewaktu Dr Mahathir mentadbir negara (1981-2003), banyak perkara yang dilakukannya secara rundingan terus dan tidak boleh ditentang oleh menteri-menteri kabinet. Tetapi, kerana pada masa itu tidak ada media sosial, maka menteri-menteri kabinet tidak ada saluran untuk menyatakan pendiriannya. Mereka terpaksa akur, kecuali beberapa orang sahaja yang menjadi sedikit ‘kurang ajar’.

Musa Hitam dengan tegasnya berkata, beliau bukanlah ‘pak turut’ maka bersedia meletakkan jawatan walaupun ketika itu saperti muncul etos politik yang dikenali sebagai 2M –Mahathir dan Musa. Akhirnya, Musa Hitam bergabung dengan Tengku Razaleigh, disokong oleh Tan Sri Rais Yatim dan diancam oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ‘untuk menembak’ sekiranya lari dari perjuangan menentang ‘kemungkaran politik dan ekonomi’ yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Kemuncaknya pada bulan April 1987, perebutan jawatan dalam kepimpinan UMNO.

Team B kalah dengan hanya perbezaan undi 43. UMNO kemudiannya diharamkan pada tahun 1988 apabila Kumpulan 11 membawa isu itu ke mahkamah, ada perwakilan haram turut memilih. Dr Mahathir menubuhkan UMNO Baru, dan episode itu mula dilihat sebagai kegilaan kumpulan korporat untuk menguasai UMNO. Aset-aset UMNO, syarikat-syarikat yang ditubuhkan oleh UMNO dan kerajaan untuk kepentingan Bumiputera mula difaraidkan. Aset-aset dipindahmilikkan kepada individu manakala projek-projek besar kerajaan dimonopoli pembinaannya oleh proksi dan taikun-taikun tertentu.

Usahawan-usahawan diperlemahkan dengan kutukan, cacian sebagai tidak amanah, menjual projek untuk mendapat keuntungan cepat, manakala korporat-korporat baharu muncul dalam budaya politik UMNO. Politik wang menjadi semakin menggila sehingga ada pihak berusaha keras mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian dengan berbelanja besar. Mereka yang berjuang atas semangat politik dikembirikan, akhirnya, UMNO menjadi medan membolot kekayaan peribadi. Itulah sebenarnya proses kemerosotan perjuangan politik UMNO, dan ia menjadi semakin menggila ketika UMNO dikuasai oleh Dr Mahathir.

Selepas kemasukan dan penguasaan Anwar dalam UMNO, timbul pula istilah AIDS—Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi. Anwar menjadi begitu berpengaruh sehingga hampir sebahagian besar aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menguasai kepimpinan pertengahan UMNO. Sebahagian besar Setiausaha Politik menteri-menteri adalah bekas pemimpin dan aktivis ABIM. Mereka inilah kemudiannya memberikan kekuatan kepada Anwar, yang akhirnya memulakan langkah mencabar Dr Mahathir. Surat terbuka Sanusi Junid (bekas Setiausaha Agong UMNO) mendedahkan segala-galanya, termasuklah masalah moral Anwar.

Anwar kemudiannya disingkirkan kerana merasakan dirinya cukup berpengaruh. Anwar akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara akibat salah guna kuasa, tetapi, yang lebih mengingatkan rakyat Malaysia ialah upacara mengusung tilam ke mahkamah sebagai bahan bukti salah laku moral. Dakwaan seks songsang tidak mengena, perbicaraan yang panjang itu menjadikan saga politik yang begitu menjengkelkan bahkan lebih dahsyat daripada apa yang berlaku sekarang.

Rentetan peristiwa politik sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-14 adalah lebih menakutkan daripada kleptokrasi yang ingin dihapuskan oleh Kerajaan PH sekarang. Ada banyak kemungkinan yang terpaksa dihadapi oleh Kerajaan PH terhadap dakwaan kleptokrasi, dan kerana itulah Dr Mahathir saperti mengeluh, pentadbirannya kurang diterima kerana mengambil langkah tegas memerangi rasuah. Orang awam mula bertanya, apakah Dr Mahathir bersedia untuk digelidah rumahnya dan diperiksa semua akaun peribadinya sebagaimana berlaku ke atas Najib? Itulah sebenarnya yang sedang bermain dalam minda sebahagian manusia Malaysia yang pernah berada dalam zaman pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun.

Bila Najib berjaya menjenamakan semula aura politiknya kepada ‘Bossku’, ramailah pemimpin-pemimpin dalam PH mula rasa gerun. Gerun bukan kerana Najib menjadi mangsa konspirasi politik, tetapi takut kehilangan kerusi empok sebagai menteri untuk tempoh seterusnya. Kini, ada seruan untuk menamatkan kuasa PH dan ada pula dakwaan, PH hanya mampu membentuk kerajaan untuk tempoh sepenggal. Sebab itulah dalam ucapan selama 45 minit merayakan ulangtahun pertama kerajaan PH penuh retorik dan karakter politik yang kabur.

Rakyat tidak lagi mudah tersihir dengan kleptokrasi dan juga kejayaan PH menunaikan 39 peratus janji-janji dalam tempoh setahun. Rakyat bencikan kerana PH teramat banyak melakukan pusingan u dan bersalin kulit sedangkan fizikalnya masih berada dalam kerangka Malaysia Lama.

Keengganan Dr Mahathir merombak barisan kabinet menjadi sebahagian daripada kebencian orang ramai kerana ramai di antaranya disifatkan sebagai aristokrasi biarpun telah diberikan penilaian prestasi sebanyak 50 peratus. Rakyat masih tidak boleh menerima beberapa orang menteri dan timbalan menteri yang terbabit dengan penipuan kelulusan akademik, mengherdik orang Melayu dan membuat tafsiran tanpa pengetahuan yang jelas mengenai Islam dan institusi-institusi Islam, percanggahan  pandangan antara menteri, sehinggalah isu hubungan dengan istana yang semakin meresahkan.

Isu-isu itu terus membengkak dan mewarnai emosi rakyat Malaysia. Isu-isu itu juga bakal mengalihkan sokongan rakyat kepada BN setelah berjaya membawa sama PAS untuk berjuang atas asas Melayu, Islam dan Institusi Raja-Raja, iaitu satu teori pelik menurut rumusan Tan Sri Rais Yatim, iaitu teroi BAR. Rakyat melihat “BAR’ itu bukanlah tempat hiburan, ia saperti BAS (bangsa, agama dan sistem ke-Raja-an) sekarang sedang dipandu oleh PH dalam situasi tertekan dan terhuyung-hayang, yang akhirnya boleh kemalangan fatal.

PH sebenarnya masih mempunyai masa, tetapi perlu juga memperlihatkan kesungguhannya untuk tidak menyebabkan ‘BAS’ tergelincir dan ucapan Dr Mahathir perlu diterjemahkan dengan cepat dan menarik. Rakyat tidak inginkan retorik dan absurditi dalam tempoh tiga atau empat tahun yang masih berbaki.

Mahanor Saleha.

 

 

 

No Comments

    Leave a reply