ROMANIA MAHU PINDAH KEDUTAAN KE BAITULMAQDIS

BUCHAREST – ROMANIA. Kerajaan Romania bakal mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, lapor Parti Sosial Demokrat (PSD) semalam.

Langkah tersebut menjadikan Romania ahli Kesatuan Eropah pertama yang mengikuti jejak langkah AS.

“Keputusan telah dibuat dan prosedur sudah bermula.

“Langkah tersebut akan mendatangkan faedah besar kepada Romania,” kata Presiden PSD Liviu Dragnea kepada stesen televisyen Antena 3 sebelum kerajaan membuat sebarang pengumuman rasmi.

Beliau mendakwa, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Viorica Dancila menyatakan persetujuan berhubung perpindahan tersebut.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan yang ditemui enggan mengulas lanjut.

Dragnea mula-mula mencadangkan perpindahan pada Disember lalu namun dibantah Presiden Romania, Klaus Iohannis yang mengatakan status Baitulmaqdis harus diselesaikan terlebih dahulu antara Palestin dan Israel.

Terdahulu, keputusan Presiden AS Donald Trump memindahkan kedutaan negaranya ke bandar suci yang menjadi rebutan itu mencetuskan protes besar-besaran di peringkat dunia.

128 negara mengutuk tindakan tersebut ketika undian di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Disember lalu dengan hanya tujuh negara kecil menyatakan sokongan terhadap AS dan Israel. – AFP

No Comments

    Leave a reply