Rombakan Kabinet Tun Mahathir ditunggu

Susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, yang menjadi persoalan kini ialah apakah Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengambil kesempatan untuk turut merombak sebahagian besar Kabinetnya.

Tetapi sumber memberitahu, Perdana Menteri tidak mungkin melakukan rombakan kecuali mengisi dua kekosongan, iaitu pengganti kepada Maszlee di Kementerian Pendidikan dan pengganti bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia September lalu, selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pelbagai spekulasi timbul sebaik sahaja Maszlee mengumumkan peletakan jawatan, petang Khamis lalu. Berderet nama disenaraikan sebagai pengganti – ahli politik dan bukan ahli politik. Entah sama ada senarai ini memudah atau menyusahkan Dr Mahathir yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pelantikan.

Tetapi sepanjang sejarahnya sebagai Perdana Menteri Keempat dan kini yang ketujuh, cuma seorang menteri Kabinet dipecat oleh Dr Mahathir, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Menteri lain, sama ada terbabit dengan rasuah, skandal atau tidak sependapat, semuanya meletakkan jawatan atau mengundur diri secara terhormat, terutama selepas tewas dalam pemilihan parti. Tun Musa Hitam meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986 disebabkan percanggahan pendapat dengan Dr Mahathir terhadap dasar negara.

Tun Ghafar Baba meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 15 Oktober 1993 (memegang dua jawatan itu sejak 1986), setelah berdepan tekanan daripada ‘Team Wawasan’ diketuai Anwar dalam UMNO.

Kini, peletakan jawatan Maszlee membuka persoalan baharu – siapakah yang bakal menggantikan beliau? Ada yang menyebut bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang kini Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Nama Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut disebut-sebut.

Memandangkan Maszlee mengisi kuota mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sudah semestinya pengganti itu juga daripada parti yang sama. Ini memberi kelebihan kepada Mustapa atau Tok Pa, berbanding Saifuddin daripada PKR.

Namun, ada yang menyarankan supaya jawatan Menteri Pendidikan diisi oleh profesional, terutama tokoh akademik, bagi mengurangkan elemen politik di kementerian yang memayungi 5 juta murid dan lebih 400,000 guru, belum termasuk kakitangan akademik dan bukan akademik di universiti awam.

Kementerian itu pernah diketuai ahli akademik, Tan Sri Musa Mohamed, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Menteri Pelajaran (1999 hingga 2004). Malah, Dr Mahathir pernah membawa masuk orang bukan politik menyertai Kabinet seperti Tun Daim Zainuddin.

Daim dua kali dilantik Menteri Kewangan, kali pertama pada 1984 dan kedua, pada 1999. Dr Mahathir juga pernah membawa bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai Penasihat Khas Ekonomi sebelum dilantik oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Kewangan II dari 2004 hingga 9 April 2009.

Ini bermakna pelantikan orang luar yang bukan ahli politik bukan baharu, apatah lagi amalan itu dimulakan oleh Dr Mahathir sendiri.

Antara nama yang disebut dalam kalangan bukan ahli politik ialah ahli akademik, Jomo Kwame Sundaram dan bekas Naib Canselor UKM, Mohd Sham Mohd Sani.

Menurut sumber, tiada keperluan untuk Dr Mahathir merombak keseluruhan Kabinetnya, sedangkan peralihan kuasa Perdana Menteri berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 selesai dianjurkan, akhir tahun ini.

Tak kira siapa bakal pengganti Dr Mahathir menjelang 2021 nanti, sudah pasti Perdana Menteri Kelapan mahukan barisan Kabinet pilihannya sendiri, sekali gus membuka peluang untuk rombakan.

Mungkin Dr Mahathir mempunyai pendapat tersendiri dalam soal ini, iaitu merombak Kabinet secara keseluruhannya bagi memantapkan lagi Kerajaan Pakatan Harapan apatah lagi sesetengah menteri dilihat bukan sahaja kurang prestasi, malah bagaikan menjadi liabiliti pula apabila dijadikan bahan troll di media sosial.

Namun, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan Dr Mahathir sendiri.

Oleh Kadir Dikoh (Pengarang Bersekutu (Rencana & Politik) Berita Harian)

Sumber : Baerita Harian Online

No Comments

    Leave a reply