RUANG PERIBADI JERUMUSKAN DIRI DALAM KOLAM KEMUNGKARAN

APAKAH Zainudin Maidin memahami dengan jelas bagaimana setiap umat Islam diwajibkan membudayakan kehidupan amar makruf nahi mungkar? (Rujuk: Pendekatan Mujahid selaras Perlembagaan Negara, Malaysiakini, 5 Oktober 2018).

Zainudin atau Zam menyokong penuh apa yang diperkatakan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahidin Yusuf di mana mula tahun depan, tidak ada lagi ‘ketuk pintu’ untuk menangkap pelaku maksiat pada waktu malam, kerana ia berlaku dalam ‘ruang peribadi’.

Ruang peribadi bermaksud, perilaku maksiat itu berlangsung secara tertutup di bilik-bilik hotel atau premis persendirian. Agensi penguatkuasaan agama hanya akan mengambil tindakan membenteras maksiat di kawasan terbuka, yakni ‘ruang awam’.

Apakah Zam yang ramai orang kenal sebagai “propagandis” sejak bergelar wartawan melihat ke dalam dirinya di mana kebenaran pandangan al-Ghazali masih terbukti benarnya iaitu kerosakan negara kerana rosaknya pemimpin?

Sebagai seorang wartawan profesional dan meminati dunia pemberitaan, Zainudin Maidin wajar mendengar, mengakses dan seterusnya menilai secara jelas apakah yang berlaku ke atas Palu dan Donggala lebih seminggu lalu kerana pemerintah gagal mencegah kemungkaran?

Bukankah terjahan ombak tsunami setinggi lebih dua meter kali ini adalah yang terdahsyat pernah berlaku di Sulawesi Tengah walaupun wilayah itu adalah “rawan kecelakaan”?.

Pentadbir kota Palu sudah diingatkan beberapa kali “bala Allah sekiranya terus membenarkan khurafat, maksiat dijadikan aktiviti sambutan ke- 420 tahun kota Palu?

Pada hari kejadian, tidak kurang empat kali para ulama mengingatkan walulikota Palu agar tidak mengadakan aktiviti maksiat dan khurafat. Bahkan selepas dilanda gempa berskala 7.5 richter, masih lagi aktiviti maksiat dan khurafat berlangsung di hujung pantai yang disambungkan Jambatan Kuning.Kawasan itu merupakan kawasan yang teruk dilanda tsunami pada waktu maghrib, ketika pesta itu masih berlangsung.

Jika itu tidak dijadikan ikhtibar oleh kerajaan Malaysia Baharu, kita tidak apakah “malapetaka” yang lebih besar daripada Palu akan meranapkan Malaysia? Mungkin juga pemimpin PH yang menerajui Malaysia Baharu rasa tidak gerun apabila ada pandangan akademik bahawa Malaysia juga ada kemungkinan diterjah gempa dan tsunami pada masa akan datang.

Tsunami 2004 tidak mengajar pemimpin PH bahawa Pantai Miami dan kawasan sekitarnya adalah lubuk maksiat di Pulau Pinang. Kenapa tsunami menerjah di sana sehingga sebahagian besar penduduk setempat yang tidak berdosa turut menjadi mangsa?

Apakah tsunami di Phuket, Thailand tiada kaitan dengan aktiviti maksiat? Begitu juga ketika melanda bumi Acheh, yang akhirnya membawa perubahan besar untuk memulakan peraturan syariah dan diberikan kuasa autonomi oleh pemerintah Indonesia. Tentunya, perjuangan tersebut telah lama dituntut, tetapi bencana tsunami memberikan keinsafan.

Memangnya Islam mencegah pencerobohan ruang peribadi, tetapi ia tidak bermakna seseorang boleh membelajangkan tuntutan undang-undang atas nama “ruang peribadi”. Islam sebagai Rahmatal Lil’Alamin ialah melihat setiap kemungkaran wajib dicegah melalui tindakan, nasihat dan hanya dalam hati.

Mencegah dari dalam hati adalah “selemah-lemah iman”. Mencegah melalui tindakan adalah sebaik-baik penyelesaian. Apakah “mengetuk pintu atau memanjat bumbung” untuk mencegah itu sesuatu yang bertentangan dengan Islam? Atau dianggap sebagai hobi skodeng pihak berkuasa agama?

Kalaulah ia bertentangan dengan Perlembagaan kerana menceroboh ruang peribadi, maka pihak polis juga tidak dapat berbuat demikian untuk menangkap orang yang berjudi dalam premis persendirian dan tertutup.

Polis juga sukar untuk mencari bukti bahawa premis persendirian menjadi markas maksiat dan persundalan. Ertinya, apabila menerima aduan sesuatu kesalahan berlaku di premis persendirian, polis juga tidak boleh menceroboh ‘ruang peribadi’.

Apakah itu yang dimahukan oleh pemikir liberal dalam menterjemahkan Rahmatal Lil’Alamin itu sebagai hanya terhad dalam ruang awam?

Pun begitu kalau anak gadis dilarikan seseorang dan kemudiannya disimpan di premis persendirian, tidak ada pihak yang boleh bertindak untuk memulangkan anak gadis itu. Jika ianya berlaku, keluarga anak gadis itu akan dihadapkan dengan dakwaan pencerobohan peribadi dan melanggar Perlembagaan.

Maka di sinilah nampaknya ada kecelaruan pemikiran dalam masyarakat Malaysia Baharu yang sedang dibentuk. Ia akan terus mengetepikan sikap peduli masyarakat untuk membendung nahi mungkar. Ini berlaku kerana tidak ada lagi pihak yang berusaha ‘memanjat tangga’ dan ‘mengetuk pintu’ bagi menggelidah ‘ruang peribadi’ yang bermuarakan kemungkaran atau maksiat.

Sebuah ironi masyarakat beradab dan bersusila sedang menuju kehancuran ‘fikrah’ dan keteladanan moral.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply