Rujuk pertikaian agama kepada ulama berkredibiliti, diiktiraf

PERBEZAAN pandangan dalam agama termasuk dalam soal hukum-hakam sewajarnya ditangani secara harmoni dengan kaedah kembali kepada ulama yang mempunyai kredibiliti dan diiktiraf keilmuannya.

Sikap beradab dan adil atau meletakkan sesuatu pada tempatnya dalam konteks perbezaan pandangan itu antara pesanan penting Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dalam temubual BH dengannya di Subang Jaya.
Hal itu supaya umat Islam sentiasa memperkukuhkan persaudaraan dengan cara mengelakkan pertikaian atau salah faham yang boleh dimanipulasi serta diperbesar-besarkan.

Dalam kunjungan dakwahnya ke negara ini pada minggu lalu, Sheikh Abu Bakar berkata, tidak dinafikan ada masyarakat yang gemar memberikan pandangan tetapi sewajarnya keutamaan diberikan kepada mereka yang ahli dalam bidang ilmu itu.

Elak timbul provokasi

“Bukan semua orang boleh dan layak bercakap dalam hal agama. Jika umat Islam faham hakikat ini, perkara khilaf atau percanggahan dapat dijawab dengan baik tanpa menimbulkan provokasi yang tidak sepatutnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheikh Abu Bakar memberi contoh bagaimana umat Islam di India yang hidup dalam negara sekular masih mampu mengamalkan Islam secara aman.

“Di India, perbezaan dalam hal-ehwal umat Islam di negara kami amat ketara berbanding Muslim di negara Islam.

“Dalam konteks India, tidak ada jawatan rasmi untuk ketua agama Islam, sebaliknya jawatan yang saya pegang sekarang adalah lantikan daripada kesepakatan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bagi mewakili umat Islam di sini.

“Ini kerana umat Islam adalah minoriti, maka jawatankuasa ulama menjadi saluran kepada suara kami didengari kerajaan,” katanya.

Sheikh Abu Bakar berkata, pengurusan umat Islam di India walaupun tidak sistematik dan cekap seperti Malaysia, namun ulama memainkan peranan signifikan untuk memastikan umat Islam terjaga dari sudut kebajikan, keadilan juga sebarang isu yang timbul secara menyeluruh.

“Di Malaysia, terdapat pelbagai institusi di bawah kerajaan termasuk jabatan agama dan mahkamah syariah tetapi tidak ada institusi sedemikian di India.

“Dalam perundangan misalnya, tidak ada mahkamah khas untuk orang Islam, sebaliknya ahli agama dalam kalangan mufti, ahli ulama dan wakil mufti akan membantu dengan cara mengeluarkan fatwa yang berkaitan.

Toleransi yang baik

“Contohnya berkaitan hal perkahwinan akan dibawa ke mahkamah. Perbicaraan akan mengambil kira fatwa berkenaan dan sekiranya didapati bersalah, hukuman diberikan mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh ulama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga mufti mazhab Syafie pertama yang dilantik di India, berkata, antara keunikan lain amalan Islam di India ialah toleransi yang baik walaupun terdapat perbezaan membabitkan anutan mazhab.

“Kira-kira 80 peratus yang mewakili majoriti umat Islam di India ialah pengikut Mazhab Hanafi tetapi tidak pula timbul persengketaan atau konflik dalam kalangan penduduk bermazhab lain.

“Umpamanya Kerala bermazhabkan Syafie, justeru penduduk di situ akan mengikut fatwa ulama mazhab berkenaan. Sebarang kekeliruan atau soal jawab agama, ulama mazhab Syafie akan mengeluarkan fatwa yang akan menjadi sumber rujukan.

“Pada masa sama, pengikut mazhab Hanafi akan mengikut fatwa dikeluarkan ulama mereka yang masing-masing menghormati hal ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya sebuah negara yang Islam bukan agama rasminya boleh mengamalkan dasar keterbukaan dalam soal mazhab dan hukum-hakam, sewajarnya masyarakat Islam di seluruh dunia perlu berhenti daripada bertikam lidah mengenai perkara khilaf.

“Sebaliknya, kita perlu menumpukan kepada usaha mendalami agama dan mempraktikkannya secara menyeluruh.

“Ini juga dapat memastikan keindahan ajaran Islam melalui al-Quran dan hadis dapat disebarkan, sekali gus tidak sesekali dicemari dengan dakwaan palsu mahupun fitnah.

INFO

Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari

Jawatan: Mufti Besar India

Asal: Kerala

Umur: 88 tahun

Pencapaian: 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia 2019

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply