“RUMAH BARU” PENGHUNINYA MASIH SAMA

 

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau juga dikenali dengan ringkasan BERSATU) yang berakhir sehari lebih awal dari hari permulaan pertama tahun baru (2019) menyaksikan keazaman untuk menjadikan parti itu ‘rumah baru’ bagi orang Melayu dan Islam.

Dalam ucapan penggulungan di hari terakhir, Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri ke-7 turut membayangkan bahawa parti yang ditubuhkan bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima nasib yang sama dengan UMNO sekiranya ahli tidak menjada parti dengan baik dan meletakkan perjuangan untuk rakyat, bukan peribadi.

Kenyataan itu sedikit sebanyak menepis apa yang dicadangkan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga Naib Presiden PPBM (dilantik pada 2 November 2016) agar kepimpinan parti menghargai peranan dan pengorbanan ketua-ketua bahagian dengan memberikan mereka ‘kontrak’ secara rundingan terus.

Cadangan tersebut menampakkan bahawa nilai yang ada dalam kepimpinan PPBM masih tidak dapat melenyapkan apa yang pernah berlaku ketika UMNO memerintah. Banyak projek kerajaan atau syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan diberikan kepada mereka yang menggerakkan parti pelbagai peringkat, dari peringkat pusat hinggalah peringkat cawangan.

Cara itulah juga menyebabkan UMNO dilihat mempunyai sumber kewangan yang kuat, tetapi akhirnya membentuk penaung yang kaya raya. Budaya politik wang itu menjadikan seorang ketua cawangan, yang asalnya hanyalah seorang kerani ataupun pesara kerajaan begitu kaya sehingga mampu menaja ahli-ahli menyertai program lawatan sambil belajar mahupun hadir sebagai pemerhati ke Perhimpunan Agung Tahunan UMNO.

Akibat politik penaungan itulah menjadikan UMNO kurang berjaya membentuk bakat baru dalam kepimpinannya kerana tidak berupaya menaja atau dilihat dermawan dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Tapi, bagi Tan Sri Abdul Rashid, disebabkan PPBM masih merangkak untuk memperkemaskan kedudukannya, ia adalah sesuatu yang bermanfaat untuk menjamin kelangsungan parti. Tidak aka nada orang yang sanggup berjuang dalam parti dengan ‘menghabiskan’ aset dan sumber yang ada untuk tempoh yang panjang.

Orang akan bersama parti apabila merasakan parti boleh memberikan imbuhan kepadanya dalam jangkapanjang. Atas kecenderungan itulah ada juga ahli PPBM begitu lantang mengkritik parti, termasuklah setelah bertungkus lumus berjung untuk menumbangkan penguasaan UMNO dalam PRU ke-14, belum dapat apa-apa. Apa yang diharapkan, setelah ‘bunga raya’ mekar di dalam pemikiran rakyat sebaik sahaja menerajui pemerintahan Malaysia Baru di bawah Pakatan Harapan (PH), aka nada ‘buah-buah yang gugur’ dan bukannya dalam peringkat kelopak.

Itulah etos politik yang dipegangi oleh sebahagian besar penggeraknya. Etos ini mungkin berselindung di sebalik dasar dan program parti tetapi ia hanyalah bersifat sementara. Dalam jangkapanjang, selagi PPBM berhasrat untuk kekal berkuasa atau muncul sebagai sebuah parti yang kuat dan besar, ia akan mengubahkan segala-galanya, termasuklah apa yang dibenci ketika berkempen untuk menjatuhkan UMNO dan BN.

Mungkin kita boleh namakan apa yang menjadi budaya UMNO selama ini sebagai etos ‘rumah lama’ dan apa yang hendak dibangunkan oleh PPBM sebagai etos politik baru di “rumah baru”. Maknanya, dalam pemikiran Dr Mahathir untuk membina ‘rumah baru’ dengan etos politik baru, tetapi banyak sebahagian besar tindakannya sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri (sepanjang lapan bulan), belum memperlihatkan ciri-ciri sebenar ‘rumah baru’.

Dr Mahathir masih tidak boleh melupakan semua etos politik yang masih ada dalam kalangan orang Melayu yang sekian lama diasuh dengan politik penaungan. Orang Melayu akan tetap mengharapkan ‘segala-galanya disediakan oleh kerajaan’ dan amat sukar untuk menerima ‘pembatalan sebarang bentuk subsidi’ termasuklah harga petrol, tol dan kos sara hidup. Bagi mereka, kerajaan mesti bertanggungjawab menurunkan harga petrol serendah mungkin dengan alasan, Malaysia adalah negara pengeluar dan mengekport minyak mentah.

Sebab itulah sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan Malaysia Baru belum mampu untuk membiarkan kuasa pasaran menentukan harga petrol (RON 95 dan Diesel). Sebelum berkuasa, BN tidak membenarkan sebarang kenaikan harga sejak bulan Mac walaupun ada ketikanya harga pasaran adalah tinggi. Bagi tujuan itu, diperuntukkan sejumlah wang untuk menampung kenaikan harga, yang dikenali sebagai subsidi.

Agak malang apabila kerajaan Malaysia Baru dibentuk, harga RON 95 dan diesel terus ditetapkan ke paras RM 2.20 dan RM 2.18 seliter. Akhir-akhir ini muncul pula perkiraan secara mudah, akibat penurunan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa, kerajaan Malaysia Baru dianggap ‘membuli rakyat’ sebab tidak menurunkan harganya. Ada perkiraan bahawa harga terbaharu ialah sekitar RM 1.90 seliter bagi RON 95. Ini bermakna, sejak lebih dua minggu kerajaan memperoleh keuntungan yang besar apabila harga petrol kekal RM 2.20 seliter.

Dalam kesibukan menukang ‘rumah baru’ di atas etos yang lama, PPBM nampaknya terpaksa melakukan ‘patah balik’ dengan mengecat semula dinding-dinding yang boleh mengakibatkan rakyat mungkin ‘berpatah arang’. Bagi generasi muda, manifesto yang sangat dekat dengan mereka terus menjadi igauan dan tuntutan yang besar. Sebelum ‘rumah baru’ ditukangkan, idea dan corak ‘rumah baru’ yang bakal dibina begitu menyeronokkan. Sebagai golongan yang banyak bersandarkan idealism, mereka begitu percaya bahawa Malaysia Baru yang akan dibentuk di atas ‘kerosakan Malaysia Lama’ akan menjadi kenyataan bila lakaran ‘rumah baru’ siap.

Lakaran ‘rumah baru’ tidak dapat dibina dengan cepat (10 janji dalam tempoh 100 hari). “Rumah baru” hanya boleh didirikan sekiranya tidak berhadapan dengan masalah hutang yang besar. Hutang sudah melebihi RM 1 trilion, hampir menyamai jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar setahun. Kalau diikutkan prinsip keseimbangan, ia tidak boleh dianggap muflis. Tetapi, Malaysia Baru menggunakan jumlah hutang sebagai ‘ancaman besar’ dan alasan terbaik untuk tidak ‘menunaikan manifesto’. Alasan itu tidak dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat kerana dalam masa yang sama, Dr Mahathir berusaha mendapatkan pinjaman dari Jepun dalam bentuk mata wang yen.

Ketika isu hutang dianggap sebagai doktrin politik, rakyat sekali lagi mula mempersoalkan apakah langkah atau tindakan yang diambil sepanjang lapan bulan untuk menjadikan ekonomi tumbuh dengan baik. Persoalan itu muncul kerana nilai ringgit susut sejak bulan Mei dan belum kembali ke paras sebelum PH mengambil alih tampuk pemerintahan. Ini bererti, bagi setiap satu dolar, nilai mata wang Malaysia menokok 30 hingga 40 sen.

Bagaimanapun disebabkan perdagangan antarabangsa hampir keseluruhannya menggunakan dolar, setiap barangan yang hendak dibeli perlu disesuaikan dengan mata wang tersebut. Akibatnya, ringgit diperlukan lebih banyak untuk membeli barangan yang sama sebelum PH berkuasa. Itu pun tertakluk kepada paras harga yang sama.

Sekiranya berlaku kenaikan harga barangan import, harga yang terpaksa dibayar adalah lebih tinggi. Mungkin kita teringat pula kepada manifestonya yang lain, iaitu mengurangkan kos sara hidup. Lapan bulan lamanya rakyat Malaysia menunggu kos sara hidup menjadi rendah dan memadai untuk hidup secara sederhana. Akhir Disember 2018, menyaksikan lebih banyak perbelanjaan diperlukan kerana harga pakaian sekolah anak-anak lebih mahal dari tahun sebelumnya.

Harga sepasang kasut berwarna hitam lebih mahal dari harga kasut berwarna puteh. Harga telur turut meningkat dan menyebabkan ramai pihak mengeluh sehinggalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan harganya turun dua sen sebiji. Ertinya, harga telur ayam tetap mahal dan belum kembali ke paras sebelum PH berkuasa. Kini, rakyat semakin gelisah cili merah yang diimport secara haram terus memasuki pasaran tempatan. Rakyat bertanya: penguatkuasaannya bagaimana?

Etos baru yang diharapkan akan muncul dalam ‘rumah baru’ hanyalah tinggal harapan. Mereka yang ‘menukang rumah baru’ adalah penghuni ‘rumah lama’. Mereka akan tetap membawa ‘kemahiran lama’ dan hanya ‘diisi’ dalam kotak yang baharu. Sebab itulah, banyak jalan yang dihadapi terpaksa ‘berpatah balik’. BR1M yang dianggap sebagai dedak, rasuah dan boleh melemahkan penerima, diteruskan dengan nama yang lain, iaitu Bantuan Sara Hidup.

Bantuan Persekolahan 1 Malaysia, diteruskan. Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) diubah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM). Tetapi yang belum dilaksanakan semula ialah Kedai Rakyat 1 Malaysia. Klinik 1Malaysia (K1M) diperkecilkan bilangannya dan dinamakan Klinik Komuniti. Wajah-wajah Malaysia Lama tetap tidak dapat dikembirikan kerana Malaysia Baru khuatir, kuasa politiknya akan tersungkur sebelum PRU ke-15.

Rakyat sudah terasa ‘kesipuan’ apabila banyak perkara yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan. Tetapi, tahun 2019 tetap menjadi perhitungan penting bagi PH untuk menukang ‘rumah baru’ dengan lebih baik asalkan penghuni lamanya tidak membawa etos politik yang lama. Mereka bersedia untuk bertanya ‘apa yang boleh saya dapat’ kepada ‘apa yang boleh dilakukan’ untuk menyatupadukan orang Melayu. Apakah PPBM mampu mengimbangi desakan bukan Islam untuk mengeluarkan kerangka Islam dalam sistem kerajaan? Apakah PPBM mampu mengalirkan ‘fahaman liberal dan pluralisme agama’ kembali kepada asas dan kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Apakah hasil dan rumusan yang akan terlahir pada bulan Januari 2019 mengenai kajian Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam? Kesemuanya itu bakal membentuk ‘rumah baru’ sama ada ia lebih kukuh daripada ‘rumah lama’ tergantung kepada asas dan bahan binaan yang digunakan. Atau mungkinkan ‘rumah baru’ itu hanya sekadar rakit-rakit yang dibina atas objektif sementara (jangka pendek); suatu tempoh bertenang daripada sakitnya dihentam akibat gagal menunaikan janji 100 hari?

Rakyat tetap menunggu ‘rumah baru’ dan sedia mengkritik tukang-tukang yang akan menukangnya. Sebabnya adalah mudah, penghuninya tetap orang lama, dan tukangnya adalah orang yang berusaha merobohkan ‘rumah lama’ atas propaganda dan persepsi. Realitinya belum terbukti, sensasinya terus ‘membakar diri’ setelah lapan bulan tidak menunjukkan prestasi terbaik untuk membentuk “Malaysia Baru” yang lebih baik dan menarik.

 

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply