RUMAHKU SYURGAKU ATAU MALAPETAKA?

Oleh: Mahanor Saleha

Soalan ini sebenarnya terlahir ketika saya bersendirian menikmati keindahan suasana petang Pantai Bisikan Bayu, yang suatu ketika dahulu menjadi tempat riadah utama di hujung minggu.

Semenjak pantai itu banyak berubah, persekitaran Pulau Kambing yang indah sudah bergantikan bangunan hotel; Kuala Semerak yang sudah tertutup selepas berapa lama Terusan Semerak digali di antara Tok Bali dan Kg Air Tawar; persekitaran air yang mengalir seolah-olah lesu kerana bertukar menjadi lagun; dan airnya dipenuhi “semak-samun” berupa sangkar ikan siakap dan kerapu.

Pantai itu pernah meninggalkan kenangan kepada ramai orang. Bahkan setiap pasangan berkasih sedia menjadikan muara Kuala Semerak sebagai arena bermadu kasih manakala keluarga menghabiskan masa bercuti hujung minggu atau cuti sekolah dan lebih menarik lagi di situlah juga kami kadangkala menghirupkan udara segar, mencari kepah dan menjerat burung di beting pasir.

Imbasan itu terhenti seketika bila terdengar seorang lelaki menjerit-jerit memanggil isterinya pulang, sedang di dalam kereta sedang menunggu dua orang anak kecil yang masih menggonggong botol susu. Pada mulanya saya menganggap ia adalah satu pergaduhan biasa, setelah mendekati lelaki itu, saya sedar pasangan itu rupanya sedang berkrisis, isteri tidak mahu pulang ke rumah kerana menuduh suaminya berlaku curang.

Pertengkaran antara mereka sampai ke kemuncaknya apabila si suami berteriak memanggil isterinya selepas berjaya menampar seorang lelaki yang ditemui bersama “bercanda” di bawah sepohon ru kecil dan bergurau senda.

Si isteri menepis tidak mahu pulang kerana suaminya “orang tua” yang tidak lagi mampu membahagiakan dirinya yang lebih teruja dengan seorang lelaki lebih muda. Saya beralih dari situasi itu kerana tidak mahu terheret dalam kancah pergaduhan suami isteri. Namun, hati kecil saya tetap berusaha mencari jawapannya, kenapa akhirnya seorang isteri sanggup berlaku curang.

Dalam kes tersebut, ternyata lelaki yang dilihat “mengejar isteri” itu memangnya sudah berusia dan berdasarkan tuturkata yang terhambur antara keduanya, si suami merupakan seorang yang berkahwin lebih seorang. Isteri yang “dikejar” itu merupakan isteri muda, manakala dua isteri yang lain sudah lali dengan perangai suami, walaupun hanya bekerja sebagai pemandu lori, hasratnya berkahwin dan menambahkan bilangan isteri sentiasa ada kerana “kouta”nya masih lagi kosong.

Soal berlaku adil bukan menjadi pertimbangan; berkahwin lebih seorang menjadi suatu bentuk status sosial, iaitu lambang keberanian seorang lelaki kerana terpengaruh dengan cabaran seorang ustaz popular. Setiap kali mendengar ceramah ustaz berkenaan, termasuk rakaman videonya, ransangan untuk berkahwin lagi sentiasa berdetik.

“Keberanian seorang lelaki ialah kesanggupan berkahwin lebih seorang,” jelas ustaz berkenaan dengan memberikan contoh Ketua Polis Negara “adalah seorang yang takut.” Klip video berkenaan pernah tersebar menerusi laman sosial WhatsApp, dan dengan loghat Kelantan, ustaz berkenaan berkata, “Mahaguru silat pun tidak cukup berani, sebab itu tidak kahwin lebih seorang.”

Sayang sekali, keberanian seorang lelaki hanya diukur berdasarkan kesanggupannya untuk berkahwin lebih seorang. Lojik bahasa dan kemunasabahan faktanya boleh dipertikaikan, kerana ustaz popular berkenaan nak membuktikan bahawa dirinya adalah seorang yang berani kerana “berkahwin lebih seorang.”

Memanglah Islam membenarkan seorang lelaki berkahwin lebih seorang tetapi tidak lebih daripada empat dalam sesuatu masa. Apa yang menjadi syarat, nampaknya telah berjaya dilunakkan oleh ustaz popular berkenaan, konsep berlaku adil dalam memberikan kebahagiaan kepada isteri-isteri tidak dijelaskan dengan wajar.

Islam membenarkan poligami berdasarkan alasan yang kuat, termasuklah kemampuan seorang lelaki untuk menyediakan apa yang diperlukan dalam kehidupan berumahtangga dan menyara kehidupan. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang pemandu lori, dengan gajinya tidak seberapa mampu menyara dua atau tiga isteri. Adakah kesemua isteri-isterinya merupakan wanita berkerjaya?

Sampai suatu ketika, isteri akan rasa tertipu dengan suaminya sendiri kerana mereka yang bermadu, seperti kata P Ramlee “mesti pandai pembohong.” Di situlah pula timbul istilah “bohong sunat” sehingga menyebabkan “tiga isteri” rasa tertipu. Terlajak perahu boleh diundur, tetapi kerana “sayangkan suami” ketiga-tiganya sedia berubah, membuat giliran dan mengharapkan bahagia.

Walaupun apa yang dihidangkan oleh P Ramlee itu adalah fiksyen, realitinya ada mereka yang berpoligami hidup bahagia, lebih ramai pula yang berpoligami “mungkir bahagia”. Isteri mohon dibebaskan kerana suami hanya berkahwin ikut nafsu, bukan menyirami seluruh kehidupannya dengan sejuknya rasa keimanan.

Dr Nizar Abazhan, seorang penulis yang setiap tulisannya menjadi sumber motivasi, menjelaskan “kebahagiaan hidup tersimpan hubungan harmoni sepasang suami isteri. ..Hakikatnya, tidak semua orang mampu mendirikan sebuah rumah seumpama itu…kerana rumah tersebut bukanlah disebabkan oleh bangunan batu, simen dan kayu.”

Kebahagiaan rumahtangga bermula apabila seorang lelaki “selaku ketua rumahtangga yang memikul tanggungjawab untuk memimpin, membimbing, dan memberi teladan yang baik serta kebajikan sempurna terhadap seluruh ahli keluarganya.” Itulah sebabnya, rumahtangga yang diharapkan bahagia ke akhirnya menjadi sebuah “malapetaka kehidupan” sehingga ada pula menamakan ia sebagai “neraka kekeluargaan.”

Utusan Malaysia bertarikh 21 Mac 2016 misalnya melaporkan hasil kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bertajuk Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) pada tahun 2014, sebab penceraian ialah: (1) tiada persefahaman 38 peratus; (2) pasangan curang 20.5 peratus; (3) pasangan tidak bertanggungjawab 15.2 peratus; (4) campur tangan mertua dan ipar duai 6 peratus; (5) masalah kewangan 4.7 peratus; (6) enggan dimadukan 2.8 peratus; (7) terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang (dadah) 2.4 peratus; dan (8) sebab-sebab yang lain seperti penderaan, tiada zuriat, pasangan ketagih judi, masalah kesihatan dan terbabit dengan aktiviti jenayah sekitar 10 peratus.

Ertinya, jika data penceraian pasangan Melayu-Islam saban tahun dianalisis dan menggunakan faktor yang diperoleh dalam KPKM-5, penceraian terbesar berpunca daripada masalah tiada persefahaman dan kelakuan curang. Jika dua faktor ini dapat ditangani dengan baik, lebih separuh masalah penceraian boleh dielakkan (58.5 peratus).

Perangkaan tahun 2014 sebagaimana didedahkan seramai 53,870 pasangan telah bercerai. Ia merupakan satu peningkatan lebih 10,000 kes dari tahun 2011 (43,749).  Tentunya jika dua faktor tersebut boleh diatasi, sejumlah lebih 25,000 pasangan tidak akan bercerai.

Tetapi, kenapa dua faktor tersebut terus menjadi punca utama yang mendorong kepada penceraian pasangan Melayu-Islam? Apakah antara pasangan sudah kehilangan “ghairah komunikasi” berbanding sebelum berkahwin? Kajian mengenai perlakuan komunikasi antara pasangan perlu dibuat, dan langkah-langkah penyelesaiannya wajib diperhebatkan kerana keruntuhan keluarga muslim membawa kepada kebejatan sosial yang besar dan kemusnahan institusi keluarga itu sendiri.

Jika kita membandingkan data kependudukan, kadangkala kita merasa sinis sebab semakin ramai golongan yang layak berkahwin tidak sedia berkahwin atas pelbagai alasan. Kedua-dua data seperti ini perlu dikaji, kerana benteng kekuatan Islam sebenarnya terletak dalam institusi keluarga. Sebab itulah terdapat pengakuan dari Rasullullah SAW bahawa mereka yang enggan berkahwin bukanlah dari “Ummat Muhammad.”

Bukan pula bermakna, perkahwinan berlangsung dalam keadaan yang tidak bersedia kerana peraturan universal melarang berkahwin pada usia muda, dan di Malaysia, bagi perempuan di bawah umur (kurang 18 tahun) perlu mendapat kebenaran jika ingin berkahwin. Kenapa? Kajian membuktikan mereka yang berkahwin di usia muda cenderung tidak bahagia dalam jangka masa panjang, hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat, kerana fikiran belum matang.

Saya kembali teringat cuplikan tulisan Dr Nizar Abazhan, Bilik­-Bilik Cinta Muhammad:Kisah Sehari-hari Rumahtangga Rasullullah SAW, edisi terjemahan yang diterbitkan oleh Pustaka Al-Azhar (2013) di mana persekitaran rumahtangga Baginda “bukan hanya memancar pada peringkat lahiriah, tetapi menembusi ke sisi terdalam batiniah.”

Apakah cahaya batiniah yang memancar dalam rumahtangga Rasullullah SAW? Dr Nizar ialah (1) kesederhanaan; (2) penuh cinta; (3) amanah; (4) Setia; (5) Santun; (6) Rendah Hati dan Melayani Keluarga; (7) Tawakal dan Mendahulukan Orang Lain; (8) Bersih dan Wangi; (9) Cinta Kasih; (10) Zikir dan Ibadah; (11) Amar Makruf Nahi Mungkar; (12) Jauh daripada hiburan; (13) Pusat Ilmu dan Bimbingan; (14) Menghargai dan menghormati orang lain; (15) Adil; (16) Prihatin; dan (17)  Uswah hasanah.

Rasullullah SAW seorang pemimpin tetapi kehidupannya amat sederhana sekali. Rumahnya tidak dipamerkan pelbagai kemewahan kerana kemewahan itu membawa kepada bongkak, sombong, sedangkan kehidupan berkeluarga bukan untuk menggambarkan kesombongan dan status. Berbeza dengan keluarga Melayu-Islam pada masa kini, mahukan rumah yang besar, kereta besar tetapi jiwanya adalah begitu kecil untuk mencipta bahagia sebenar.

Teladan terbesar yang ditunjukkan dalam rumahtangga Rasullullah SAW ialah perasaan kasih sayangnya terhadap setiap orang yang ada dalam rumahnya. Rasullullah SAW membuktikan cinta sebagai seorang suami, iaitu “ketika di rumah memberi keteduhan, dan ketika pergi meninggalkan rindu dan sedih di hati.”

Tulis Dr Nizar lagi, “itulah yang menyebabkan setiap “ibu kaum mukmin” itu bersaing memperoleh reda Rasullullah, merebut hatinya, dan menjadi pemilik cinta baginda satu-satunya. Mereka semua hidup bahagia bersama-sama baginda sejak hari-hari pertama perkahwinan hingga detik memilukan berpisah dengan baginda

Rasullullah SAW tidak pernah menunjukkan perasaan benci kepada isteri-isterinya, termasuklah menggunakan kata-kata yang boleh menyakitkan hati dan merendahkan matrabat isteri, maupun memukul isteri-isteri.

Cara Rasullullah SAW menasihati isterinya dengan begitu bersahaja, misalnya ketika bersama Aisyah, isteri Rasullullah yang termuda baginda berkata: “Aku tahu apabila kamu senang, dan aku tahu apabila kamu marah.” Aisyah kehairanan dan bertanya” “Bagaimana kamu mendapat tahu?” Rasullullah SAW menjawab: “Kalau senang, kamu biasanya mengatakan ‘tidak, demia Tuhan Muhammad.’ Tetapi, kalau sedang marah, kamu biasanya mengatakan,”Tidak, demi Tuhan Ibrahim.” Aisyah terus menyedari situasi itu, lalu menyesal dan berkata,”Demi Allah, namamu saha yang kutinggalkan, wahai Rasullullah.”

Salah satu bukti kecintaan isteri-isteri Rasullullah SAW ialah mengenai hadis Ummu Zar’. Menurut Rasullullah SAW, pada zaman jahiliyyah, seramai sebelas orang wanita berkumpul dengan pelbagai cerita mengenai suami mereka. Sebelum bercerita mengenainya, mereka berjanji tidak akan berbohong, Sebelas wanita itu pun bercerita, kebaikan dan keburukan masing-masing suami. Terakhir, tibalah giliran Ummu Zar. Menurut Ummu Zar’, suaminya seorang yang bertanggungjawab, mencintai dirinya dan memperlakukan isterinya dengan baik.

Selepas bercerita, Aisyah berkata, “Engkau jauh lebih baik bagiku, wahai Rasullullah, dibanding Abu Zar bagi Ummu Zar.” Ertinya, seorang isteri merasa bahagia apabila suaminya memberikan kasih sayang, membimbing dan memimpin isteri-isterinya ke jalan yang diredhai-Nya, bukan mengharapkan kemewahan dan membangkitkan ego.

Saya kembali merenung kejernihan air tasik yang pernah menjadi tempat saya bersukaria semasa kecil walaupun tebingnya sudah jauh berubah. Kali ini, saya juga hampir kepada usia senja tetapi diharapkan tidak berlaku konflik rumahtangga saat-saat dalam asosiasi warna langit dan perjalanan hari-hari selanjutnya.

Senja yang sedang saya nikmati penghujung Januari lalu di hujung tasik yang terbentuk apabila Kuala Semerak tertutup ini memberikan seribu erti untuk saya jalani kehidupan rumahtangga di usia senja. Semoga Allah SWT terus memberkatinya, walaupun saya sedar, ramai kawan-kawan memasang angan-angan, kahwin seorang lagi apabila mendapat ganjaran perkhidmatan sebaik sahaja bersara.

Saya tinggalkan tabularasa dan coretan ini bersama-sama harapan, simpulkan segala masalah yang berlaku kerana “lidah juga pernah tergigit”, sebuah perkahwinan ialah perjalanan menuju kebahagiaan, untuk sampai ke sana, kita dan pasangan kita sendirilah yang berhak menentukannya, kerana kitalah yang akan dipersoalkan, kenapa rumahtanggamu bertabrakan ataupun rumahku syurgaku, atas keberkatan yang diberikan kepada kita dan peluang untuk kita berkreasi asalkan tidak lupa, Allah SWT itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Dialah telah menemukan kita jodoh yang terbaik.

No Comments

    Leave a reply