RUU 355: MENGEKANG ‘INDUSTRI DOSA’ DAN KEBEJATAN SOSIAL

Tulisan Dr Mohd Zuhdi Marzuki “Pindaan Akta 355 untuk basmi industri dosa”, Harakah Bil. 2229, 10-12 Mac 2017 menarik perhatian untuk dibincangkan rasional di sebalik dakwaan PAS menjadikan pindaan Rang Undang-Undang 355 (Mahkamah Syariah) sebagai mencari kekuatan politik. Tulisan itu pernah disiarkan lebih awal dalam Malaysiakini, 6 Mac 2017 .

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu, pindaan yang dicadangkan adalah untuk mengekang ‘industri dosa’ daripada terus membabitkan orang-orang Islam walaupun sebahagiannya dibenarkan oleh undang-undang sedia ada. Dengan mengenakan hukuman yang lebih berat, pembabitan umat Islam dalam ‘industri dosa’ boleh diminimumkan, kalaupun tidak dapat dinyahkan sepenuhnya.

Di sinilah terletaknya nilai pengajaran dan pendidikan. Hukuman berat boleh memberikan keinsafan kepada sebahagian besar umat Islam, kecualilah kumpulan yang telah bersama-sama mengusahakan ‘industri dosa’ dan mereka yang bergantung hidup dalam bidang itu.

Industri dosa boleh dikatakan satu bentuk manipulasi pasaran untuk menarik seramai mungkin pelanggan atas dasar komersial. Dalam Islam, dosa diertikan sebagai balasan buruk kerana melakukan larangan Allah SWT, termasuk meninggalkan suruhan-Nya. Dalam Islam, seseorang melanggar hukum Allah SWT di mana orang itu sudah berada dalam keadaan akil baligh dipanggil ‘Asi.

Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga, cetakan ketiga, 1997:314), dosa adalah (1) perbuatan melanggar hukum Tuhan atau agama; dan, (2) perbuatan atau kelakuan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip moral. Berdosa pula diertikan sebagai ‘melakukan dosa’, bersalah kerana menentang orang tua (hukum, adat, negara dan sebagainya) manakala mereka yang bersalah dipanggil ‘pendosa’. Pengertian ini memberikan kita satu kesimpulan bahawa sesuatu perbuatan yang melanggar hukum atau prinsip moral sama ada peraturan itu ditetapkan oleh agama atau kumpulan dianggap berdosa.

Dalam Islam, terdapat beberapa perkataan yang disebutkan sebagai dosa dalam al-Qur’an. Berdasarkan penelitian para ulama, sekurang-kurangnya terdapat 17 istilah yang boleh dikaitkan dengan dosa, iaitu (1) Adz-Dzanb; (2) Al-Ma’shiyah; (3) Al-Itsm; (4) As-Sayyiah; (5) Al-Jurm; (6) Al-Haram; (7) Al-Khatiah; (8) Al-Fisq; (9) Al-Fasd; (10) Al-Fujur; (11) Al-Munkar; (12) Al-Fahisyah; (13) Al-Kabit; (14) As-Syarr; (15) Al-Lamam; (16) Al-Wizr wats-tsiqal; dan (17) Al-Hints.

Adz-Dzanb ( الذنب ) ialah sesuatu yang mengikuti di mana semua perbuatan atau kelakuan yang menyalahinya akan diikuti dengan pembalasan di dunia atau akhirat. Sejumlah 35 kali istilah ini disebut dalam al-Qur’an. Al-Ma’shiyah ( المعصية ) membawa maksud, melanggar dan keluar dari perintah Allah SWT dan disebut sebanyak 33 kali dalam al-Qur’an. Ungkapan ini dikaitkan dengan perbuatan manusia yang melanggar batas-batas yang ditetapkan.

Al-Itsm ( الاثم ) bermaksud, tidak upaya, lemah, perpecahan, halangan dari pahala. Pahala merupakan insentif dari Allah SWT terhadap perbuatan baik. Ia disebut sebanyak 48 kali manakala As-Sayyiah (السيئة ) disebut sebanyak 165 kali. Istilah ini bererti, perbuatan buruk yang boleh terjatuh ke tahap penghinaan dan ia berlawanan dengan al-hasanah, perbuatan baik yang membawa kepada kebahagiaan dan balasan baik. Istilah su’ dikatakan berasal dari perkataan ini, yang diertikan sebagai ‘jahat’ atau ‘perbuatan buruk’. Su’ disebut sebanyak 44 kali dalam al-Qur’an.

Al-Jurm ( الجرم ) pula bermaksud, buah yang terlepas dan jauh dari pohonnya. Ia membawa erti, seseorang yang melakukan dosa akan terlepas dari asalnya, iaitu kedudukannya secara hakiki. Mereka yang berdosa akan berhadapan dengan suasana gelisah (tidak bahagia), hilang arah dan jauh daripada kesempurnaan. Ia disebut sebanyak 61 kali. Al-Haram ( الحرام ) bermaksud, larangan dan halangan seperti pakaian ihram yang dipakai oleh manusia ketika mengerjakan haji dan umrah. Begitu juga dengan bulan haram, di mana ia dilarang berperang. Perkataan ini disebut sebanyak 75 kali.

Al-Khatiah ( الخطيئة ) ertinya dosa yang tidak disengajakan dan dalam keadaan yang lain, ia bermaksud dosa besar seperti dalam surah Al-Baqarah: 81 dan Al-Haqah: 37. Seseorang yang melakukannya dianggap telah terputus daripada ‘jalan selamat” dan terhalangnya ‘cahaya Allah”. Ia disebut sebanyak 22 kali.

Al-Fisq ( الفسق ) pula bermaksud ‘biji kurma yang tercabut dari kulitnya’. Maksudnya, orang yang melakukan dosa besar adalah mereka yang telah keluar dari ‘jalan ketaatan’ dan ‘sebagai hamba Allah’. Ia merupakan keadaan yang tercela dan tidak akan mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ia disebut sebanyak 53 kali.

Al-Fasd disebut sebanyak 50 kali. Ia bermaksud, terkeluar dari tahap keseimbangan, iaitu mensia-siakan potensi dan tidak mendapat sebarang bentuk manfaat. Al-Fujur ( الفجور ) bererti terobeknya sifat malu dan terbuka segala bentuk aib. Perkataan ini disebut sebanyak 6 kali. Al-Munkar ( المنكر ) pula disebut sebanyak 16 kali dalam al-Qur’an. Perkataan ini membawa maksud, ingkar maka pengingkaran merupakan suatu dosa yang buruk. Perkataan ini turut digunakan sebagai ungkapan nahi mungkar.

Sesuatu ucapan yang dianggap buruk diistilah sebagai Al-Fahisyah ( الفاحشة ). Dalam al-Qur’an ditemukan sebanyak 24 kali manakala perkataan Al-Khabt ( الخبط ) yang bermakna tidak adil dan tidak seimbang. Seseorang yang melakukan dosa dilihat sebagai tidak seimbang di mana setiap gerak-gerinya berada dalam suasana resah. Seserang yang melakukan dosa bukan sahaja tersisih malah kedudukannya adalah dalam kehinaan dan paling rendah.

Perkataan Asy-Syarr ( الشر ) bermaksud, segala sesuatu yang buruk, tidak disukai oleh manusia. Ia adalah sesuatu yang tidak disukai dan melanggar fitrah manusia dan perkataan ini digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang dinamakan sebagai bala. Ia turut digunakan untuk perbuatan yang berdosa sebagaimana maksud surah Al-Zalzalah: 8: ومن يعمل مثقال ذرةٍ شراً يره , yang bermaksud:Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Perkataan Al-Lamam membawa maksud mendekati dosa dan ia merupakan sesuatu kecil (sedikit). Perkataan ini dirujuk sebagai dosa kecil dan disebut sekali dalam al-Qur’an, iaitu dalam an-Najm: 32, yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

Bagi perkataan Al-Wizr wats-tsiqal ( الوزر والثقل ) ialah kadang-kadang kata wazir berarti al-tsiqal iaitu menanggung dosa orang lain. Wazir juga dapat diertikan sebagai seorang wakil pemerintah dan diberikan tanggungjawab yang besar. Ia dianggap berdosa apabila tidak melaksanakan tanggungjawab yang diberikan, dan disebut sebanyak 26 kali. Manakala perkataan al-tsiqal juga bermakna dosa, seperti terdapat dalam surah Al-Ankabut: 13, yang bermaksud: Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan.

Al-Hints ( الحنث ) bererti cenderung pada kebatilan dan menjauhi kebenaran. Pada umumnya, perkataan ini dipakai untuk merujuk kepada dosa akibat berbohong atau tidak menunaikan janji. Ia disebut sebanyak dua kali dalam al-Qur’an.

Di beberapa negeri industri dosa hampir kedapatan di setiap bandar, termasuk pekan-pekan kecil. Jika dijumlah keseluruhannya, ia mungkin melebihi daripada jumlah surau atau masjid. Misalnya, ada sebuah negeri yang dianggap mempunyai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan menjadi sebuah negeri yang terkaya, kemunculan pusat-pusat hiburan dan rumah urut begitu membimbangkan. Ada ketikanya, ia beroperasi hingga ke lewat pagi atas alasan untuk menampung keperluan pelancong.

Suatu ketika, akhbar pernah mendedahkan bahawa ada sekumpulan ‘wanita’ akan menyewa teksi untuk ke kawasan peranginan tersohor bagi membolehkan mereka ‘mencari wang’ daripada pekerja-pekerja ladang, terutama ketika pekerja-pekerja tersebut memperoleh gaji.

‘Industri dosa’ turut berselindung di sebalik pelbagai bentuk perniagaan yang dihalalkan seperti ‘kelab hiburan’, ‘perkhidmatan refleksologi’, ‘rumah urut’, ‘pusat rawatan kecantikan’, ‘SPA dan Sauna’ ataupun secara bergerak. Penghantaran dan pengambilan ‘wanita’ berkenaan dikawal oleh sindiket bahkan ada juga laporan bahawa ‘wanita’ berkaitan akan datang sendiri setelah ‘pelanggan membayar’ perkhidmatan yang ditawarkan menerusi akaun bank.

Ini berlaku dalam konteks ‘pelacuran’. Dalam konteks perjudian, ia walaupun tidak membenarkan umat Islam membeli ‘nombor pertaruhan’ tidak bermakna tidak ada orang Islam yang melanggannya. Mereka menggunakan ‘orang upahan’ atau sindiket tertentu kerana kemudahan membeli boleh dilakukan secara dalam talian, dan kerana itu, sindiket judi haram terus mendapat keuntungan yang besar.

Walaupun Islam melarang penganutnya mengambil minuman beralkohol, tabiat tersebut tidak dapat dihapuskan keseluruhannya kerana undang-undang yang ada dilihat kurang kepada bentuk pencegahan. Mungkin kita boleh mengingat kisah seorang wanita yang bersalah minum arak memohon agar dirinya disebat, kerana wanita itu merasakan denda yang dikenakan belum memadai dengan kesalahan terhadap agama.

Cadangan meminda Akta 355 yang sedang dibincangkan secara meluas telah menimbulkan pelbagai prasangka oleh sekumpulan masyarakat yang bimbangkan bahawa ia adalah ‘permulaan hudud’ walaupun dijelaskan, khalayaknya adalah orang Islam. Bukan Islam tidak tertakluk kepada Akta 355.

Bagaimanapun, ketika seorang EXCO Selangor berusaha menyekat umat Islam bekerja di premis-premis hiburan yang menyediakan minuman arak, kontroversi politik telah menyebabkan ianya terpaksa ditangguhkan manakala arak yang dirampas dikembalikan. Tentangan ahli politik berkenaan untuk melarang kedai serbanika menjual minuman keras, juga tidak membuahkan hasil apabila kerajaan Selangor terus membenarkan premis tersebut menjualnya, walaupun kedai serbanika itu berada dalam kawasan majoriti penduduk Islam.

Ironinya, apabila masalah sosial berlaku dalam sesuatu kawasan, yang ada hubungkait dengan premis perjudian, hiburan dan sebagainya, masyarakat terus menuding jari kepada penguatkuasaan yang lemah. Semasa RUU 355 hendak dimulakan, ramai yang curiga bahawa pindaan tersebut tidak menepati dengan ‘hukum Tuhan’ kerana dalam al-Qur’an dan sunnah tidak menyebut denda maksimum RM 100,000, penjara 30 tahun ataupun dirotan sebanyak 100 kali.

Pandangan ini disuarakan oleh seseorang yang berpendidikan agama, walaupun beliau sedar bahawa, tanpa kawalan ketat kebejatan sosial tidak mungkin dapat dihapuskan. Pindaan tersebut merupakan kawalan luaran, manakala kawalan dalaman hendaklah dilakukan dengan mendidik setiap umat Islam mengenai keburukan judi, bahaya dadah, kemudaratan alkohol dan hinanya menjadi pelacur atau melanggan pelacur. Tetapi, itu belum cukup, kerana berkhalwat juga boleh membuka ruang kepada aktiviti negatif yang merosakkan imej umat Islam.

Seperti ‘terserempak’ dengan pemikiran luar biasa, sektor tersebut penting untuk pertumbuhan ekonomi kerana ia memberikan peluang pekerjaan kepada sesiapa yang berminat. Benar, dalam perspektif kapitalisma. Semuanya boleh dilakukan asalkan ianya tidak berlaku dalam bentuk ‘paksaan’ dan undang-undang yang lain, dibenarkan sekiranya diperuntukkan seperti premis menjual arak dan nombor ramalan.

Pihak berkuasa dikatakan memperoleh keuntungan yang besar, melalui cukai yang dikenakan, termasuklah cukai hiburan, cukai jualan dan pelbagai cukai sehingga ada penguasahanya boleh memberikan ‘wang perlindungan’ secara berkala. Inilah bentuk ekonomi kapitalis, semuanya akan diniagakan asalkan boleh membawa keuntungan.

Apabila RUU 355 dicadangkan untuk dibahas, dibincang dan seterusnya mendapat keputusan di Dewan Rakyat, ramailah yang merasakan ia sesuatu yang ‘boleh menyekat’ peluang meningkatkan keuntungan. Atas alasan itulah sebenarnya, sebahagian masyarakat marah, mengejek dan melihat bahawa pindaan tersebut tidak bertepatan dengan kehendak syariah. Lebih mendukacitakan ialah bila ada pemimpin politik beragama Islam menganggap ia bukanlah merupakan keutamaan, dan bagi merasionalkan pendirian beberapa sanggahan dilakukan, termasuk ‘bukan hukum Tuhan’. (Rujuk: Farouk A Feru, Perihal hukum Tuhan, ulama dan akal, Free Malaysia Today, 8 Mac 2017).

Hujah-hujah sedemikian telah membawa kepada pertelingkahan yang lebih besar, termasuk cabar mencabar supaya diadakan perdebatan ilmiah mahupun menetapkan pendirian agar melabelkan semua orang yang tidak bersetuju sebagai ‘anti-Islam’. Seorang pemimpin politik veteran turut mencabar, wakil rakyat yang beragama Islam, sepatutnya diberikan kelonggaran untuk menyatakan pendirian secara demokratik dan penolakannya nanti tidak boleh diistilahkan sebagai menentang Islam.

Contoh terbaharu ialah cabaran Lim Kit Siang kepada seorang timbalan menteri untuk melabelkan Ketua Menteri Sarawak sebagai ‘anti Islam’ dan wakil rakyat beragama Islam bukan dari UMNO (15 orang) meletakkan jawatan jikan usul ini diberikan keutamaan (dibahaskan di Dewan Rakyat) kali ini. Ia adalah sesuatu yang tidak sepatutnya menimbulkan ‘kelatahan’ kerana pindaan tersebut tidak ada hubungan langsung dengan bukan Islam. (Rujuk : Adakan KM S’wak juga anti-Islam, soal Lim Kit Siang, Malaysiakini, 10 Mac 2017).

Ia mungkin suatu manifestasi kebimbangan politik DAP ke atas pemimpin-pemimpin politik Melayu-Islam kerana perhimpunan yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur telah membuktikan kejayaan besar kepada perjuangan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah. Seperti dibimbangkan, bukan Islam tidak dibenarkan menjadi peguam bela dan peguam cara bagi kes-kes yang dibicarakan dalam Mahkamah Syariah, dan ini menyebabkan ‘kehilangan sumber pendapatan’. Kalau diadili di Mahkamah Sesyen, Majisteret ataupun Mahkamah Sivil, peluang untuk mereka ‘mendapat pelanggan’ adalah lebih besar.

Dari sudut yang lain, disebabkan hampir kesemua pengendali ‘industri dosa’ yang berlesen dan tidak berlesen diusahakan oleh peniaga bukan Islam, maka apabila tidak ramai orang Melayu mengunjunginya akan berkuranganlah keuntungan. Ia mungkin juga akan menyebabkan orang Melayu akan menolak pekerjaan dalam bidang itu kerana ‘hukuman berat’ sedang menanti, ia menjadi suatu ‘kegerunan’ yang akhirnya membantu mengurangkan masalah sosial.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply