SABAH PERLU KUATKAN GEMA ‘CHECK AND BALANCE’ DI DEWAN RAKYAT

Hari ini (17 Januari 2020) adalah hari terakhir kempen PRK Kimanis. Pastinya sebaik sahaja muncul mentari pagi Sabtu, 18 Januari 2020 bermulalah penentuan siapakah pemenangnya. Dalam pertandingan tersebut, hanya dua calon yang ‘berani’ mengemukakan pencalonannya, iaitu bekas penyandang ADUN Bongawan selama lima penggal, Datuk Karim Bujang dan bekas ADUN Bongawan sepenggal, Datuk Mohamad Alamin.

Karim mula hadir dalam politik sebagai calon USNO. Kemudian menyertai UMNO sebaik sahaja USNO dan UMNO bergabung. Sebelum PRU ke-14, Karim menyertai Parti Warisan dan dicalonkan bertanding di Kimanis dalam PRU ke-14. Karim tewas dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Akibat tidak berpuas hati dengan kekalahan tersebut, Karim mencabarnya di mahkamah dengan mendakwa kemenangan Anifah atas masalah rasuah pengundi. Perbicaraan pertama, mahkamah membatalkan keputusan kemenangan Anifah bukan akibat rasuah, ada lebihan kertas undi. Karim kemudiannya menyaman SPR atas dakwaan tersebut. Awal Disember tahun lalu, mahkamah mengekalkan keputusan membatalkan kemenangan Anifah.

Anifah membuat rayuan di atas keputusan dan tidak berjaya. SPR tidak mengemukakan rayuan dan pendirian SPR itu dilihat satu ‘perancangan’ untuk memberi peluang kepada Parti Warisan menguji popularitinya, kerana inilah PRK pertama melibatkan parti yang dihidupkan oleh Shafie Afdal bagi mencabar penguasaan UMNO dan BN sebelum PRU ke-14 apabila ‘terbuang’.

Parti Warisan Sabah ditubuhkan pada 17 Oktober 2016 setelah mengambil alih sebuah parti kecil, iaitu Parti Pembangunan Warisan Sabah. Sehingga bulan Mei 2019, Parti warisan mempunyai keahlian lebih 200,000 dengan 26 bahagian dan 700 cawangan di seluruh Sabah (https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/06/570814/warisan-sabah-catat-lebih-200000-anggota).

Karim sebaya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak, 67 tahun. Oleh kerana ‘ghairah nak menang’ Karim yang takutkan sambutan masyarakat Membakut terhadap kemunculan Najib, dinasihatkan pula agar Najib yang sudah tua itu tidak perlu ‘bermain politik lagi’ kerana lebih baik ‘bermain dengan cucu’. Kata-kata itu menyebabkan Karim ditempelak.

Kali kedua Karim ditempelak ialah ketika menyindir Najib yang ‘makan rumput Mongolia’ berbanding dengan dirinya yang ‘makan rumput biasa’. Ungkapan tersebut menyebabkan Karim disamakan dengan ‘lembu’ kerana sebelumnya menuduh mereka yang memberikan sambutan luar biasa kepada Najib seumpama mengidap sejenis ‘penyakit gila’.

Keceluparan itu menyebabkan kempen  Karim kurang mendapat sambutan berbanding kempen-kempen yang dianjurkan oleh BN. BN mengemukakan calon yang baru berusi 48 tahun, yakni berbeza 19 tahun daripada Karim. Biarpun Karim mempunyai pengalaman luas dalam politik, kemampuan Alamin untuk melakukan ‘swing’ tidak boleh dipandang rendah.

Karim ada kelebihan kerana ia mendapat kerjasama penuh daripada parti yang memerintah, termasuk usaha gigih Ketua Menteri turun berkempen. Shafei  pada awalnya tidak mahu ‘nilai-nilai Semenanjung dibawa ke Sabah’ . Akhirnya terperangkap kerana hubungannya dengan Semenanjung tidak boleh dipisahkan. Shafei berkahwin dengan wanita dari Semenanjung  dan pernah dikaitkan dengan seorang wanita berstatus artis, juga dari Semenanjung.

Zuraida Kamarudin, yang kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pernah mendakwa Shafei membayar RM 1.5 juta kepada Zahida Rafik.  Setiap kali bertemu dengan Zahida, Shafie dikatakan telah membayar RM 100,000. Zahida juga mendapat kontrak yang lumayan daripada Shafie untuk mempromosikan kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia. Shafie ketika itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2004-2008).

Ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan (Mac 2008-April 2009) , Zahida diberi peluang untuk menghasilkan dua buah filem pendek (terbitan FINAS) “Budi Bahasa” dan “1Malaysia” serta beberapa kontrak persembahan artis. Ketika menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zahida tidak perlu bekerja keras kerana setiap bulan mendapat durian runtuh hasil ‘top-up’ projek-projek yang diperoleh oleh proksi.( http://atsixty-zakriali.blogspot.com/2015/05/bongkar-kehidupan-mewah-luar-biasa.html).

Rahsia Zahida yang mengamalkan kehidupan mewah begitu sombong. Dalam satu penjelasanya, Zahida seolah-olah menyindir wartawan yang bertanyakan soalan tersebut:” Saya bukan nak cakap besar, tapi London sudah macam rumah kedua saya. Sekurang-kurangnya setahun dua kali saya ke sana terutama pada waktu jualan murah musim Krismas. Saya juga sangat selesa dan mahir dengan jalan-jalan di sana. Lebih daripada itu, saya mempunyai ramai teman di London, jadi tak terasa asing.”

Beliau juga membina kerjaya politiknya di Semenanjung apabila menang PRU 1995, dilantik sebagai Setia Usaha Parlimen, Kementerian Penerangan. Selepas itu beliau memperoleh jawatan menteri penuh sehinggalah dipecat pada bulan Julai 2015 apabila terbabit dalam komplot menentang Perdana Menteri atas isu 1MDB. Kedudukannya dalam UMNO, sebagai Naib Presiden turut dipecat. Akibat kecewa, Shafei kembali ke Sabah dan kemudiannya menubuhkan Parti Warisan.

Meskipun Shafei dibebaskan daripada tuduhan salah guna kuasa yang membabitkan kesalahan rasuah berjumlah RM 1.5 bilion, tidak bermakna bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bersih sepenuhnya. Ia dilihat sebagai ‘dakwaan terpilih’ oleh sistem kehakiman di negara ini kerana lebih banyak menumpukan kepada mana-mana pemimpin UMNO yang masih setia kepada parti.

Beberapa kes yang dikaitkan dengan bekas pemimpin UMNO tetapi ‘telah menyeberang’ telah digugurkan. Begitu juga dengan pembabitan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dengan kes pembelian Banglo Tanpa Kolam di bawah harga pasaran dan skandal Terowong Dasar Laut. Pendakwaan terpilih itu dianggap ‘dendam’ kerajaan PH kepada UMNO/BN.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada satu pun keputusan mahkamah mengenai pendakwaan tersebut dan ada ketikanya, beberapa bukti yang sepatutnya dijadikan bahan bukti di mahkamah didedahkan kepada awam terlebih awal. Insiden sebegini telah menyebabkan rakyat meluat dan menilai Kerajaan PH adalah kerajaan sepenggal.

Akibat imej Kerajaan PH sebagai kerajaan sepenggal, Shafie mungkin takut kedudukannya akan dilabelkan dengan istilah yang sama. Sebab itulah untuk PRK Kimanis, yang melibatkan calon Parti Warisan secara langsung, Shafie bertungkus lumus untuk menang. Shafie khuatir gelombang kemarahan pengundi terhadap PH di Semenanjung akan berjangkit. Fenomena luar biasa “bosskur” dianggap ‘gila’.

Situasi di Kimanis hampir menyamai dengan apa yang berlaku di Cameron Highlands. Calon yang kalah mencabar calon yang menang di mahkamah. Bila mahkamah membuat keputusan membatalkan kemenangan BN, calon yang kalah dicalonkan semula untuk bertanding manakala bekas penyandang tidak mempertahankan kerusi tersebut.

Sedikit berbeza dengan Kimanis ialah calon pembangkang bukan daripada calon langsung daripada parti komponen BN, ia adalah calon neutral dan merupakan bekas anggota polis yang berasal dari keturunan masyarakat Orang Asli.

Kimanis, BN meletakkan calon daripada UMNO, iaitu Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan bekas ADUN Bongawan (2013-2018). PRU ke-14, Alamin tewas mempertahankan kerusi Bongawan.

Antara isu yang diketengahkan sepanjang kempen PRK Kimanis dan paling mendapat perhatian besar ialah pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan berkuatkuasa pada bulan Jun 2020. Shafie mendedahkan dokumen rahsia mengenai keputusan tersebut yang kemudiannya disangkal oleh bekas Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Pairin Kitingan.

Ketika era pemerintahan BN, kerajaan bercadang memperkenalkan Pas Residen bagi mengatasi masalah pendatang tanpa izin di Sabah. Menurut pendedahan Shafie, cadangan itu terkandung dalam keputusan  Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Pendatang Tanpa Izin pada bulan Mac 2016 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Pairin Kitingan.

Pairin menyangkal beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut, sebaliknya, ketika itu beliau hanya mengetuai satu jawatankuasa kecil untuk mengumpul maklumat mengenai pendatang tanpa izin di Sabah. Ia merupakan satu daripada jawatankuasa yang ditubuhkan dibawah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibentuk setelah mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong. RCI itu dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri.

Dakwaan tersebut menyebabkan Pairin menuduh Shafie berbohong, manakala Shafie mencabar Pairin untuk mencabarnya di mahkamah sekiranya tidak benar.

Dalam pungutan pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Center terhadap 401 responden yang dilihat mewakili pengundi secara representatif, peluang kemenangan Parti Warisan adalah cerah kerana pengundi merasakan calon dengan kerajaan lebih baik berbanding BN yang bertindak sebagai pembangkang.

Kimanis masih percaya bahawa politik pembangunan penting. Isu-isu yang berlaku di peringkat pusat kurang mendapat perhatian berbanding isu-isu tempatan. Pengundi Kimanis tidak melihat PSS itu sebagai masalah besar kepada mereka, kerana isu pendatang tanpa izin tidak banyak berlaku di situ.

Dalam satu analisis yang lain, pemerhati politik meletakkan kecenderungan pengundi masih seimbang walaupun Parti Warisan dan kerajaan Sabah berjanji untuk menjadikan Kimanis sebagai kawasan ekopelancungan baharu di Sabah. Mereka melihat itu hanyalah sekadar ‘janji PRK Kimanis’ kerana janji Parti Warisan untuk Sabah masih belum terlaksana.

Sejak menerajui pentadbiran negeri, Warisan belum melaksanakan apa-apa projek pembangunan di Sabah kecuali meneruskan apa yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Kimanis tidak disentuh langsung oleh Parti Warisan kerana apa yang ada ialah kesemuanya inisiatif kerajaan terdahulu.

Bahkan Shafie turut digambarkan sebagai seorang pemimpin yang mesra dengan penduduk Kimanis. Pendedahan bekas penyandang, Anifah Aman mengenai sikap acuh tak acuh Shafie terhadapnya semasa berusaha untuk berbincang mengenai masalah penduduk Kimanis memberi kesan. Ketika itu, Anifah adalah Menteri Luar manakala Shafie adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Shafie seperti tidak mahu menemui Anifah dengan alasan ‘bermseyuarat’ sedangkan beliau mengurung diri di dalam bilik pejabat.

Anifah walaupun mengisytiharkan diri keluar BN selepas PRU ke-14 belum memohon menjadi ahli mana-mana parti sebaliknya, masih sayangkan UMNO. Beliau turun berkempen membantu calon UMNO/BN kerana baginya, ‘UMNO tetap di hati’. Ia berbeza dengan  Karim. Akibat kecewa tidak dipilih bertanding pada tahun 2013, Karim mengambil keputusan untuk bersama Parti Warisan selepas parti itu ditubuhkan.

Dari perkembangan tersebut, rakyat melihat Alamin perlu diberikan peluang atas prinsip kesetiaan kepada parti dan sanggup merasai kesukaran berbanding Karim. Karim yang sudah menjadi wakil rakyat selama lima penggal, bukan sahaja perlu dirihatkan kerana ‘sudah tua’ bahkan wajar ‘bermain dengan cucu-cucunya’.

Karim sudah dapat banyak faedah daripada pembabitannya dalam politik, maka beliau sepatutnya bersara untuk memberi ruang kepada pemimpin yang lebih muda. Alamin, diharapkan dapat membawa permasalahan pengundi Kimanis dengan berkesan di Dewan Rakyat bagi menemani Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar.

Ketika ini, Bung Mokhtar sedang berhadapan dengan perbicaraan salah laku semasa menerajui FELCRA dan merupakan wakil tunggal BN bagi Sabah. Alamin dilihat dapat membantu Bung Mokhtar untuk membawa suara Sabah di Dewan Rakyat dengan lebih berkesan dalam perspektif pembangkang.

Kalau sebelumnya ada ungkapan pembangkang berperanan sebagai ‘check and balance’ maka Kimanis mestilah berusaha melengkapkannya dengan memilih calon dari parti pembangkang. Memilih calon Parti Warisan bermakna Sabah akan kehilangan ‘check and balance’ di Dewan Rakyat, kerana hanya bergantung kepada Bung Mokthar seorang. Jika sesuatu berlaku kepada Bung Mokhtar, Sabah akan kehilangan suara untuk mengkritik kerajaan di Dewan Rakyat di mana Karim tidak dapat memainkan peranan tersebut.

Karim tidak akan mengkritik kelemahan Kerajaan Sabah kerana Karim bakal diketepikan sekali lagi jika berbuat demikian. Beliau pernah direhatkan dalam PRU ke-13, akibat rehat itulah Karim mencari peluang menyertai Parti Warisan. PRU ke-14 dicalonkan, tetapi tewas. Akibat tewas, beliau terus mencari peluang lain untuk bergelar wakil rakyat dengan membantah keputusan yang dimenangi oleh Anifah dengan majoriti kecil.

Kesemua perilaku Karim terhadap apa yang berlaku di Kimanis dan pendirian politiknya bakal mempengaruhi keputusan pengundi. Sebenarnya inilah dilemma yang dihadapi oleh Karim sehingga beliau dilihat sebagai terdesak untuk menang. Pengundi Kimanis akan membuat keputusan berdasarkan cita rasa mereka, tetapi sebahagian pengundi muda sudah mula melihat harapan mereka terbuka luas kepada calon BN, Mohamad Alamin berbanding Karim.

Jumlah pengundi Kimanis ialah 29,664 , iaitu 29,654 pengundi biasa. Seramai lapan daripada sembilan pengundi awal sudah pun menunaikan tanggungjawab mereka pada 14 Januari lalu. Esok ialah giliran 29,654 pengundi untuk menentukan pilihan mereka. Namun, perkara paling mustahak ialah sejauh manakah jentera parti mampu membawa keluar ke pusat-pusat mengundi.

Tentunya, jentera kempen BN sudah bersiap sedia untuk melakukannya kerana mereka mempunyai jentera yang lengkap dan tersusun berbanding Parti Warisan yang masih belum berjaya membentuk organisasinya yang kemas dan mantap.

Esok begitu ramai pemerhati mengharapkan agar satu petunjuk bahawa ‘kerajaan sepenggal’ berlaku. Kemenangan Part Warisan tidak akan mempengaruhi kedudukan Kerajaan Sabah, ia tetap diterajui oleh Warisan. Begitu juga dengan kemenangan BN, walaupun tidak mengubah lanskap politik Sabah, ia boleh membawa suara Sabah lebih lantang di Dewan Rakyat sebagai ‘check and balance’.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply