SABOTAJ PARTI BUDAYA MUNAFIK

Pada hakikatnya apa yang kita harap dalam menghadapi PRU ke 14 nanti tidak berlaku lagi kecenderungan ahli-ahli parti memprotes secara senyap ataupun terbuka mengenai pemilihan calon dengan tidak keluar mengundi, tidak membantu kempen parti dan merajuk boleh disifatkan sebagai tindakan mensabotaj kemenangan Barisan Nasional (BN).

Sesungguhnya, kepentingan dan matlamat organisasi adalah di atas segala-galanya. Ia melangkaui kepentingan peribadi sebagai landasan utamanya. Sekiranya secara personaliti, kadar kebarangkalian menang adalah tipis meskipun seseorang itu mempunyai jawatan yang tinggi, sepatutnya individu itu perlu mempunyai jiwa yang besar dengan berundur dan memberi kesempatan kepada calon lain untuk bertanding. Sikap sebegini yang menjadikan sesebuah organisasi itu terus relevan dan semakin berkembang dan akan sentiasa diterima rakyat.

Sikap tidak mementingkan diri juga dapat dilihat apabila keputusan organisasi dapat diterima dengan hati yang lapang. Keputusan organisasi adalah melambangkan kehendak majoriti anggotanya menerusi saluran musyawarah dalam membincangkan hala tuju organisasi. Mekanisme musyawarah ini sesungguhnya yang menjadi prinsip dan ajaran terpenting dalam Islam ketika menghadapi sebarang masalah yang berbangkit. Justeru, tindakan mensabotaj keputusan musyawarah adalah satu tindakan yang boleh dikategorikan sebagai perbuatan khianat. Sikap berkhianat adalah salah satu ciri-ciri orang munafik.

Perbuatan khianat dalam masalah ini (amanah) sama ertinya mengkhianati Allah dan Rasulnya. Hal ini tercermin dalam firman Allah yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui.” (Al Anfal: 27).

Bagi menjadikan sesebuah organisasi itu kuat, prinsip utama yang wajib dipatuhi ialah menerima keputusan akhir berdasarkan senarai pendek yang dibuat itu sebagai keputusan yang sepatutnya dipatuhi. Dalam Islam prinsip itu merupakan keutamaan yang jelas, kerana ketika hendak menentukan siapakah yang layak, pelbagai kriteria personaliti seseorang itu perlu dilihat terlebih dahulu.

Dalam kes berkenaan, kalaulah kesetiaan hanya faktor tunggal, maka sudah tentunya Allah SWT melantik malaikat sebagai pemimpin ummah. Allah SWT sebaliknya memilih Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya untuk menjayakan misi ketaatan dan pembersihan hati manusia agar hidup secara teratur, beradab dan kental dengan keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Satu.

Sejarah Islam misalnya memberikan kita peringatan yang jelas, kemunculan kelompok yang bermuka-muka atau munafik sentiasa ada. Kelompok sedemikian yang bersifat ‘opportunis’ tidak sanggup memberikan menyatakan sesuatu kebenaran, sebaliknya lebih gemar mempersendakan fakta asalkan pendengarnya terhibur, khalayaknya senang.

Mereka yang mengamalkan budaya munafik itu sebenarnya cuba mencari kesenangan fizikal dan kemewahan di dunia kerana sanggup berbohong, khianat dan adu-domba asalkan matlamatnya tercapai. Dalam hal ini Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” (Surah An-Nisa ayat 105).

Maksudnya, kehadiran kelompok munafik ini bukannya memperkuatkan ummah, ia akan menghancurkan ummah dalam tempoh selanjutnya. Kalau seseorang yang hanya tahu mengeksploitasikan kuasa kepimpinan yang ada padanya, mampu menyebabkan khalayaknya terpesona dengan kata-kata dan hujah, ia tidak bermakna apa pun dalam kehidupan.

Keterpesonaan itu sebenarnya tidak akan kekal lama. Khalayak akhirnya sedar, mereka memerlukan lebih usaha dan pendekatan budaya yang lebih jelas dan pragmatik, kerana itulah yang bakal mengukir kelestarian ummah. Ia akan mencipta ruang pemikiran yang jernih dan ikhlas, perjuangan membangunkan ummah adalah lebih besar berbanding dengan lain-lain kepentingan.

Hari ini, perjuangan politik lebih bersifat perjuangan memenuhi cita-cita peribadi. Apabila tidak terpilih, maka kekecewaan itu diperlakukan dalam pelbagai tindakan, termasuk sabotaj mereka yang terpilih termasuk mengecamnya sebagai bukan winnable candidate.

Sikap munafik itulah perlu dikikiskan dalam setiap daripada kita seandainya kita mahu menyusun sebuah peradaban baharu yang lebih baik dan kuat, kerana kitalah sebenarnya yang boleh menentukannya. Orang lain, termasuk kuasa-kuasa asing, mereka akan terus mencari jalan memusnahkan apa yang kita miliki dan menjadi lebih mudah apabila dibantu dari dalam, akhirnya kita juga yang menerima akibat buruk.

Ringkasnya, orang munafik itu ialah mereka yang suka menimbulkan kekacauan; inginkan umat Islam bersengketa; malas beribadat; gemar bersumpah; mencuri tulang; menentang amalan berzakat dan bersedekah tetapi dalam masa yang sama meminta-minta agar diberikan bahagian; menerima sesuatu perkara secara membuta-tuli; mempersendakan kalimah Allah SWT; sentiasa menyongsangkan minda dan pendapat yang keliru; kufur fikiran dan tindakan; berbohong dan sentiasa berdalih; menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni; dan berpura-pura beriman walhal banyak tindakannya tidak mematuhi prasyarat keimanan. (Surah At-Taubah ayat 47-107).

Hukuman ke atas orang munafik sesungguhnya amat berat. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (Surah An-Nisaa ayat 145).

Catatan Mohd Shauki Abd Majid

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply