Fenomena ini adalah mudah diulas jika dilihat dari sudut hukum fiqah dan dari sudut dakwah.

Secara ringkas kita oleh menjawab bahawa bahawa dua ibadat ini sifatnya berasingan (mustaqillah). Masing-masing ada rukun dan syarat tersendiri. Jika dipenuhi semua syarat dan rukun itu maka sahlah ibadat.

Dari sudut dakwah pula kita mengatakan, mudah-mudahan dengan berpuasa itu akan melembutkan dan menyedarkan kewajipannya untuk solat pula selepas ini.
Namun situasi di atas menggambarkan cara berfikir dan tanggapan yang salah terhadap ibadah puasa di dalam bulan Ramadan itu sendiri.

Maka lahirlah tindakan-tindakan yang salah hasil dari cara berfikir yang salah. Matlamat berpuasa sangat jelas iaitu mencapai martabat takwa.

Ini dimaklumkan sendiri oleh Allah SWT menerusi firmanNya : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (QS al Baqarah).

Takwa berasal dari kata waqa-yaqi-wiqayah yang bermaksud memelihara. “Memelihara diri dalam menjalani hidup sesuai dengan tuntunan dan petunjuk Allah.”

Adapun dari asal bahasa Arab Quraish takwa lebih dekat dengan kata waqa yang bermakna melindungi sesuatu, memelihara dan melindunginya dari pelbagai hal yang membahayakan dan merugikan.

Takwa pada dasarnya bererti menjaga diri dari hal-hal yang dibenci perkataan takwa berasal dari kata “al-wiqaayah (penjagaan). Dikatakan bahwa Umar bin Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab mengenai taqwa. Lalu Ubay bertanya kepadanya: “Apakah engkau pernah melalui jalan berduri?” Umar menjawab: “Ya” Ubay bertanya

lagi: “Lalu apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab: “Aku akan berusaha keras dan bersungguh-sungguh untuk menghindarinya.” Lalu Ubay mengatakan: “Itulah takwa.”

Di dalam al-Quran , orang-orang yang mencapai darjat takwa dinamakan al muttaqin. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a., ia berkata: “Al-Muttaqiin adalah orang-orang mukmin yang sangat takut berbuat syirik kepada Allah dan sentiasa taat kepada-Nya.Secara mudahnya orang yang berpuasa tetapi tidak solat , tidak faham persoalan mengapa ia berpuasa tetapi hanya menumpukan perhatian kepada menjawab persoalan bagaimana berpuasa. Maka berpuasa bagi dirinya hanyalah aktiviti tidak makan dan minum pada siang hari di dalam bulan Ramadan.

Akhirnya dia gagal mencapai matlamat berpuasa iaitu menjaga dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak layak sebagai hamba Allah.

Gambaran yang lebih besar dan jelas, ialah ramai orang berpuasa tetapi hanya taat rukun-rukun puasa tetapi tidak taat kepada arahan-arahan Allah yang lain sedangkan berpuasa bukan setakat jaga batas-batas puasa bahkan semua batas-batas yang telah digariskan oleh Allah SWT .

Tiada sikap hati-hati sehingga membujur lalu melintang patah, habis diredah apa yang diharamkan oleh Allah. Berpuasa tetapi tidak solat, berpuasa tetapi buka aurat, berpuasa tetapi masih transaksi dengan riba, berpuasa tetapi menolak hukum Allah, berpuasa tetapi masih memperjuangkan LGBT, berpuasa tetapi gemar melihat umat Islam berpecah belah dan sebagainya.

Berkata Jabir r.a : Kalau kamu berpuasa, maka puasalah juga pendengaran kamu, penglihatan kamu, pertuturan kamu dari pendustaan dan perkara yang haram. Jangan sakiti jiran kamu, sentiasalah dalam keadaan tenang dan jangan jadikan hari kamu berpuasa dan hari kamu tidak berpuasa sama sahaja.

Rasulullah SAW juga bersabda di dalam hadis yang sahih : Barang siapa yang tidak meninggalkan pembohongan , beramal dengan pembohongan itu serta bersikap bodoh maka puasanya tidak diterima Allah walaupun dia tidak makan dan tidak minum.

Kesimpulannya, berpuasa bukan sahaja tidak makan dan tidak minum pada siang hari Ramadan tetapi ia mengandungi maksud menjunjung semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya

Oleh USTAZ ZAMRI HASHIM 

Timbalan Mufti Perak