SALAH TAFSIR TERHADAP AJARAN ISLAM

Dahulu umat Islam adalah umat yang bersatu. Mereka adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan di bumi ini. Mereka telah membentuk tamadun yang tiada tolok bandingnya. Namun semua ini tinggal kenangan dan sejarah tidak boleh mengembalikannya kepada manusia. Umat Islam hari ini telah kehilangan kesatuan dan kerjasama. Kita bukan lagi pembangun atau pembela peradaban sebaliknya dikenali sebagai umat yang berhadapan dengan masalah kemunduran dari segala aspek baik ekonomi mahupun keilmuan.

Kelemahan inilah yang kadang-kadang menjadikan umat Islam tidak mampu untuk menjelaskan hakikat sebenar ajaran Islam sebagai satu agama perdamaian, toleransi bukan agama ganas dan kejam. Di samping itu Islam juga agama yang mementingkan pembangunan fizikal dengan tidak mengabaikan pembangunan spiritual.

Tuduhan Islam sebagai agama ganas dengan melabelkan tindakan permusuhan sebagai pendirian agama adalah satu percanggahan yang tidak boleh diterima sama sekali. Bagaimana mungkin sesebuah agama yang menggalakkan persaudaraan dan tolong menolong, dikatakan agama yang menyeru kepada permusuhan dan pergaduhan.

Setiap manusia beranggapan bahawa penentangan terhadap orang lain adalah bertujuan memelihara nilai dan maruah diri, atau ia bersifat mempertahankan diri dari serangan orang lain.

Apabila kita menghayati konsep tersebut, kita akan dapati perkara utama pertelingkahan itu adalah untuk menyelesaikan kemelut kezaliman yang lahir daripada serangan musuh.

Islam sering dituduh dan dipertanggungjawabkan dengan tindakan ganas sesetengah daripada umatnya. Andai diturunkan kaedah tersebut, nescaya semua agama akan terlibat dengan pertuduhan itu kerana semua penganutnya pernah terlibat dengan tindakan ganas. Oleh itu agama haruslah dinilai daripada ajaran dan rukun-rukun asas, tidak hanya menerusi tindakan sesetengah umat yang sentiasa melakukan kesilapan.

Adalah penting untuk melihat kepada sebab-sebab yang mendorong sesetengah pihak cenderung untuk memilih keganasan. Kajian itu tidak bermakna mengiktiraf kesilapan mereka, tetapi boleh menunjukkan kepada kita hakikat sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemarahan mereka sama ada yang berbentuk perbuatan ataupun perkataan. Sekurang-kurangnya ia boleh membantu mengurangkan perbalahan antara sesama manusia dengan menjadikan agama sebagai faktor yang berperanan mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dunia.

Islam meletakkan batasan untuk tidak membunuh kecuali kepada orang yang memerangi mereka terlebih dahulu. Dari segi realitinya apakah yang telah di lakukan oleh badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam memelihara rakyat Palestin yang sentiasa dihalau, disembelih, dijajah tanah air, dimusnah ladang-ladang dan diruntuhkan rumah-rumah mereka. Semuanya ini dilakukan oleh golongan Yahudi zionis dengan bantuan Amerika tanpa batas dan seluruh dunia mengetahui dan menyaksikannya.

Apakah yang telah dikatakan oleh badan dunia ini mengenai kewujudan tentera Amerika di Afghanistan dan di Iraq, yang seluruh dunia menyaksikannya sebagai suatu penjajahan, keganasan, rampasan, pemusnahan, pembunuhan dan pembakaran.

Badan dunia itu tidak melakukan sesuatu pun, bahkan Amerikalah yang memerintah dan Amerikalah yang melaksanakan rancangan keganasannya ke atas para pejuang yang mempertahankan hak-hak mereka daripada serangan para penceroboh zalim yang berterusan itu.

Jelas sekali bahawa kekerasan dan keganasan bukanlah merupakan fenomena Islam. Kita melihat bahawa tindakan kekerasan berlaku di seluruh dunia di mana umat Islam menjadi penduduk minoriti ditindas seperti di India, China, Thailand, Burma, Filipina, Rusia dan Amerika. Mengapa dalam isu keganasan hanya orang-orang Islam sahaja yang dilabelkan sebagai ganas dan kejam.

Sejarah Amerika dipenuhi dengan berbagai-bagai jenayah dan musibah. Sejarahlah yang menjadi sebaik-baik saksi tentang apa yang berlaku di Hiroshima, Palestin, Afghanistan, Iraq dan lain-lain. Semua ini adalah bukti keganasan Amerika yang didukung oleh kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan. Siapakah yang akan menghukum pengganas ini? Undang-undang manakah yang boleh membawa mereka ke muka pengadilan?

Bukankah perbuatan menyekat perkembangan ilmu dan peranan para ulama dan saintis itu suatu keganasan? Sampai bilakah penindasan dan kezaliman ini akan berterusan dan sampai bilakah agama Islam akan terus menerus dilabelkan sebagai agama kejam dan ganas?

Catatan: Ibnu Khaldun

No Comments

    Leave a reply