Tajuddin, 70, sedar ada kalangan pihak luar termasuklah dalam UMNO sendiri tidak gemar beliau acap kali bercakap pasal orang Melayu. Konon apabila datang daripada ‘Tajuddin Pasir Salak’ atau macam-macam ‘label’ dijolok kepadanya – pastinya berbaur ‘ekstrem dan rasis’.
Benarkah begitu? Apatah lagi dalam era media sosial hari ini, yang sahih boleh jadi terbalik. Yang fakta pula mampu ‘dibikin’ auta.
Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini, Tajuddin menjelaskan dalam 10 point, mengapa beliau perlu bersikap ultra dalam memperjuangkan Melayu dan Islam hari ini:

1. Meskipun ada sesetengah orang Melayu, malah pemimpin dalam UMNO sendiri berpendapat politik UMNO tidak boleh lagi terlalu tekankan perjuangan membela dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu, bumiputera, Islam dan Raja-raja disebabkan parti itu tidak berjaya meraih sokongan orang Cina dan India, saya (Tajuddin) bagaimanapun menaruh keyakinan tinggi “ini sahajalah inti pati perjuangan UMNO”

Kita hanya ada orang Melayu dan bumiputera, siapa lagi kalau tidak kita (UMNO)? Bolehkah kita bergantung atau mengharapkan pihak lain membela Melayu.

2. Matlamat perjuangan, kita (UMNO) tidak boleh gadaikan. Kalau digadai, maknanya itu bukan perubahan yang membawa kebaikan dan keuntungan kepada bangsa kita.

3. Lihat sahaja DAP. Walaupun bergabung dengan parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH), prinsip DAP tetap sama. Perjuangannya masih untuk orang Cina. Itu DAP, kaedah dan hala tujunya masih kekal sejak dulu, sekarang dan sampai bila-bila. Kalau tidak, masakan orang Cina boleh diikatkan keseluruhannya dengan DAP. Kenapa tidak MCA dan Gerakan?

4. Sokongan Cina kepada PH walaupun mereka mengundi PKR, Bersatu dan Amanah, pokok utamanya mereka mengundi atas faktor DAP berada dalam pakatan itu. Ini sekali gus bermakna orang Cina benar-benar mahu memastikan DAP yang berkuasa dalam gabungan itu.

5. Tiada siapa mempertikaikan PH didominasi oleh DAP diketuai Lim Kit Siang. Ahli-ahli Parlimen DAP sendiri mengisi 12 jawatan melibatkan enam menteri termasuk yang kanan berserta enam timbalan menteri.

6. Jadi, bukankah DAP boleh dikategorikan sebagai parti paling berjaya dan diraikan tanpa mengorbankan prinsip dan perjuangannya untuk orang Cina. Dengan mereka kekal komited pada prinsip perjuangan itulah yang menyebabkan mereka melepasi tiga pilihan raya umum lepas dengan bergaya.

7. Maka UMNO sebenarnya boleh belajar dari DAP iaitu kekal tanpa ragu-ragu dengan prinsip perjuangan kita membela orang Melayu/bumiputera dan Islam.

8. Daya usaha UMNO ini boleh dilakukan dengan mewujudkan gabungan atau kerjasama politik dengan parti-parti lain termasuklah Pas diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bilangan pengundi Melayu Pas-UMNO pun sudah meliputi lebih 60 peratus pengundi.

9. Sebahagian orang muda mungkin merasakan orang Melayu boleh hidup tanpa Melayu itu bersatu. Mereka fikir kalau ‘orang lain’ berkuasa pun, mereka tidak akan menganiaya orang Melayu.

Ini tanggapan dan bacaan politik yang naif. Yang menghairankan saya, hak-hak Melayu yang terhakis di depan mata, mereka (orang muda) boleh buat tak nampak. Sikap terlalu yakin kononnya ‘orang lain’ ini boleh membela orang Melayu inilah yang saya bimbangkan.

10. Sebahagian besar orang Melayu terutama di akar umbi masih tertanya-tanya ke mana hala tuju UMNO yang hendak dibawa. Kenapa diam?

Mungkin kepemimpinan parti ada perancangan tertentu yang saya difahamkan sedang merancang menggubal blue print kebangkitan UMNO dan orang Melayu. Cumanya kita agak sudah lama menunggu kerana perkara ini penting untuk menyuntik kembali semangat ahli dan penyokong parti yang masih bersandarkan harapan kepada UMNO.