SAMBUTAN VALENTINE’S DAY BUKAN DARI BUDAYA ISLAM

Budaya menurut Kamus Dewan diertikan sebagai tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal yang ada pada manusia menjadikannya makhluk yang bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam telah menggariskan prinsip-prinsip kebudayaannya yang tersendiri sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Maka dengan itu akan lahirlah budaya hidup masyarakat Islam yang hakiki berteraskan iman dan takwa.

Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsip-prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia yang sentiasa dipengaruhi oleh hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.

Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan berbagai-bagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban yang bercanggah dengan syarak. Apabila umat Islam telah lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi berbagai-bagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman tersebut khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang bulan Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine’s Day.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya ‘Should Biblical Christians Observe It?’ menjelaskan, perkataan Velentine berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘yang perkasa, kuat dan kuasa’ yang ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari Velentine adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali dalam menyambut Hari Valentine ini yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun.

Tidak cukup dengan itu, kadangkala terdapat sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka. Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan itu akan dilimpahi dengan ‘rahmat’ dan ‘keberkatan’.

Sebenarnya budaya menyambut Hari Valentine ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutamanya golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta. Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Valentine ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah. Apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w., maka mereka akan tercegang dan terpinga-pinga.

Bukan sekadar itu saja, malah terdapat sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak tidak terlepas juga dari membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan-iklan dan tayangan-tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Valentine ini. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan Hari Valentine.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan-sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat. Amalan ini kemudiannya disambut oleh berbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Mengikut sejarah, terdapat beberapa kisah yang berkaitan dengan asal usul sambutan Hari Velentine ini. Antaranya ialah:

Pertama, sebelum abad ke-17 masehi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom. Ketika perarakan berlangsung, pemuda tersebut memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan mempalitkan darah tersebut kepada sesiapa saja yang mereka jumpai. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda tersebut, kerana mereka percaya darah tersebut dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

Kedua, mengikut sejarah, Valentine adalah seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah yang mengaitkan paderi Velentine ini dengan sambutan Hari Valentine.

Kisah pertama ialah paderi tersebut adalah orang terpenting yang ditugaskan untuk menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari telah diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang jasa paderi Velentine itu.

Menurut kisah kedua pula, paderi Velentine itu sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam Sepanyol, dikatakan memiliki dua orang kekasih. Kekasih pertamanya beragama Islam, manakala yang kedua pula beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Velentino terpaksa melupakan kekasih pertamanya dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan kejayaannya menumpaskan umat Islam, paderi Velentine terus menyatakan hasratnya untuk mengahwini kekasih keduanya itu. Hasrat paderi Valentine ini mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat Cordova kerana Velentine adalah paderi Katolik yang sememangnya tidak boleh berkahwin.

Hal ini telah mencetuskan kemarahan Ratu Isabella, lantas beliau memerintahkan supaya paderi Velentine dihukum penjara. Walau bagaimanapun, Ratu Isabella tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan tarikh 14 Februari sebagai ‘Hari Mengingati Kekasih’ yang ditujukan khas untuk memperingati paderi Velentine.

Kisah seterusnya menyatakan bahawa pada tarikh 14 Februai 270M, paderi Velentine dibunuh kerana penentangannya terhadap pemerintah Rom pada ketika itu iaitu Raja Claudius II (268-270M). Rentetan daripada itu, paderi Valentine dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, lalu untuk mengagungkannya pengikut-pengikutnya telah menjadikan tarikh memperingati kematian paderi Valentine sebagai ‘upacara keagamaan’.

Berdasarkan tinjauan sejarah dan asal usul sambutan Hari Valentine ini, jelas terdapat berbagai versi kisah dan cerita di sebalik sambutannya. Namun semuanya jelas menunjukkan sambutan Hari Valentine bukan dari budaya Islam. Ia lebih kepada amalan memuja tuhan dan patung-patung serta mendewa-dewakan paderi saja.

Amat mendukacitakan apabila masih terdapat sebilangan umat Islam yang menganggap Hari Valentine merupakan hari yang paling istimewa dalam hidup. Mereka bertindak menyambut Hari Valentine secara melulu dan membuta tuli tanpa mengkaji sejarah di sebalik sambutan itu.

Berhubung perkara ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyamai (menyerupai) sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Sebenarnya, penyamaan dalam hadis di atas merujuk kepada asal usul fahaman, perbuatan dan pegangan. Jika ada sebarang perkataan, perbuatan dan pegangan umat Islam menyerupai doktrin, amalan dan budaya kaum Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya, ia dikira tergolong dalam golongan mereka. Jadi, penyamaan dalam bentuk kepercayaan disusuli dengan perbuatan secara langsung adalah haram yang ditetapkan secara ijmak.

Hadis itu juga secara tidak langsung menggambarkan bahawa umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jati diri mereka sebagai seorang Muslim. Mereka dilarang menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah Islam terangkum dalam tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Dalam hal ini, kita sewajarnya menjadi insan yang bijak menilai sesuatu perkara. Berfikir sebelum bertindak dan menjauhkan perkara keji serta maksiat memang menjadi tuntutan rohani. Oleh itu, gunakan kebijaksanaan akal yang dianugerahkan oleh Allah untuk bertindak menjauhkan diri daripada perkara keji yang dibenci oleh Allah. Sepatutnya, biarlah orang bukan Islam itu dengan amalan agama mereka dan janganlah sesekali kita cuba percaya dan mengamalkannya.

Allah berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah sesuatu yang kamu sembah. Dan kamu (pula) bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah sesuatu yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang ku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine ini. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam serta boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply