Basuh anjing dalam bilik tukar lampin bayi di hentian rehat & rawat (R&R), bawa anjing masuk pusat beli-belah dan dalam troli di pasar raya – ini semua perbuatan yang bukan sahaja menjengkelkan, bahkan seolah-olah cuba mencabar dan menguji sensitiviti kaum tertentu.

Kita cukup yakin itu semua kes terpencil dilakukan oleh individu-individu yang tidak ada adab dan ‘mental’ akhlaknya.

Cuma suatu yang bagus dan harus dipuji dalam kes-kes yang dianggap terpencil ini, ada suara-suara yang muncul untuk segera menyanggahnya. Kalau dibuat tak tahu sahaja, barangkali perbuatan itu akan dianggap bukan lagi suatu kesalahan di era apa yang dikenali ‘Malaysia Baharu’ hari ini.

Realitinya ‘Malaysia Baharu’ bukan tempatnya untuk isu-isu yang mencabar sensitiviti kaum. Negara bangsa Malaysia telah lahir dan berkembang dalam satu suasana budaya dan peradaban Melayu yang ditunjangi sifat Melayu Islam selama hampir 1,000 tahun.

Landskap ini diwarnai pula oleh golongan pendatang terutama pada abad ke-19 dan masyarakat mengekalkan identiti masing-masing.

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, mereka dapat hidup harmoni dan mengamalkan cara hidup masing-masing tanpa penekanan dan pemaksaan unsur keagamaan dan perkauman. Sebaliknya berasaskan konsensus nilai yang sama, neutral dan universal.

Ahli fikir Cina, Confucius turut memperkenalkan beberapa ajaran yang baik dan masih relevan hingga kini terutama tentang ciri-ciri pembentukan masyarakat.

Confucius juga mengajar tentang etika hubungan sesama manusia yang mengikut tertib dan bersifat timbal-balik.

Apabila peraturan itu dilaksanakan dalam kehidupan akan tercapailah keserasian dan keseimbangan sehingga masyarakat akan hidup dengan rukun damai.

Kata Confucius lagi, mereka yang memiliki prinsip ini mampu mendirikan asas-asas yang kuat bagi masyarakat beradab. Apabila ketertiban menguasai bangsa, keamanan akan tercapai.

Toleransi Melayu masih tinggi 

Bercakap mengenai toleransi kaum, sesiapapun tidak dapat mengetepikan hakikat sikap terbuka tinggi orang Melayu.

Tolak ansur dan kelonggaran orang Melayu terutama dalam soal kerakyatan merupakan suatu keuntungan yang besar kepada bukan Melayu kerana dalam tempoh setahun selepas 31 Ogos 1957 seramai kira-kira 800,000 orang bukan Melayu telah diterima menjadi warganegara.

Begitu juga kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu pada hakikatnya bukanlah suatu keistimewaan kerana perkara tersebut telah lama wujud dan sememangnya menjadi hak orang-orang Melayu sejak sebelum penjajahan lagi.

Sikap terbuka Melayu ini terus diamalkan sepanjang sejarah negara hingga kini. Orang Cina mendapat kedudukan yang sama dengan orang-orang Melayu. Mereka bergiat cergas dan terbuka di pentas politik negara di samping aktif dalam ekonomi.

Orang Melayu tidak dengki dengan penguasaan ekonomi orang-orang Cina. Mereka menguasai perniagaan besar dan pelbagai aktiviti ekonomi di semua bandar dan pekan serta pelabuhan di Malaysia.

Sebaliknya orang-orang Melayu melihatnya sebagai asas untuk bekerjasama sambil berlumba sekadar yang boleh untuk menyeimbangkan pemilikan kekayaan negara supaya semua bangsa tidak tersisih dalam arus penting itu.

Di sini, sikap toleransi sangat perlu. Jika tidak, akan wujud ketidakseimbangan antara kaum, sekali gus boleh mencetuskan akibat negatif terhadap bidang-bidang kehidupan yang lain.