SARAN TERAP NILAI INTERGRITI DALAM MODUL PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR – Institut Integriti Malaysia (Integriti) mencadangkan agar modul pendidikan disemak semula dengan menerapkan pembelajaran bertunjangkan nilai-nilai integriti bagi mengukuh jati diri yang mencerminkan imej Malaysia baharu.

Anggota Lembaga Pengarah Intergriti Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim berkata susulan itu satu kajian menyeluruh dalam jangka panjang harus dibuat termasuk dalam aspek pendidikan agama bagi melahirkan generasi masa depan yang berintegriti dan gemilang.

“Misalnya, nilai integriti diserapkan ke dalam mata pelajaran yang diajar. Mungkin Kementerian Pendidikan boleh mengkaji semula bagaimana hendak menerapkan pendidikan agama kepada generasi baharu.

Kajian ini harus dilihat secara menyeluruh termasuk daripada segi falsafah, buku teks, metodologi, latihan dan prestasi guru,” katanya selepas menjadi tetamu program ‘The Nation’ terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata nilai-nilai murni yang diajar di peringkat sekolah dan di institusi pengajian tinggi harus bersesuaian dengan peredaran zaman ini yang lebih moden dan mencabar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pendidikan baharu penting dalam membantu mengubah corak kehidupan kira-kira 32 juta rakyat Malaysia kepada mentaliti kelas pertama.

Pelbagai usaha berterusan perlu dilakukan agar jati diri yang diterapkan sejak peringkat sekolah dapat dikekalkan dalam pergaulan sehingga ke alam pekerjaan, katanya. – Bernama

No Comments

    Leave a reply