Kalau kita pergi ke kedai-kedai buku maka buku yang dinamakan sebagai buku agama juga membicarakan tentang hal yang sama, merangkumi bekalan untuk akhirat semata-mata, tidak banyak menyentuh tentang kehidupan kita sebagai orang berilmu, berpengetahuan dan mempunyai pandangan yang jauh tentang sains dan teknologi, pengurusan dan pentadbiran. Malah etika dan budaya hidup yang dapat mencorakkan kehidupan kita di dunia demi mencari kebahagiaan di akhirat.

Bila kita mengunjungi kedai-kedai yang menjual ubat tradisional pun, maka kita akan menemukan ubat-ubat yang dikatakan ubat Islam, air yang dijampi, habatul sauda’, kurma, kismis, za’faran dan sebagainya. Inilah yang selalu diiklankan di dalam media cetak dan elektronik tak henti-henti.

Kita tidak menentang amalan agama dalam bidang keimanan dan syariat. Kita menerima kelebihan Islam dalam segala kehidupan kita. Ibadat adalah satu amalan yang asas. Doa merupakan otak ibadat. Zikir adalah penawar. Ibadat khusus merupakan perintah Allah dan Rasul-Nya yang tidak boleh ditinggalkan.

Hal ini kita junjung. Namun apabila penekanan hanya diberikan sepenuhnya terhadap sudut ini, maka kita akan ketinggalan dari arus perdana kehidupan kita di dunia yang serba mencabar dan maju ini.

Kita akan terpinggir dari kemajuan teknologi baharu. Dari alam ekonomi dunia, kita akan ditinggalkan dalam masjid-masjid atau surau-surau kita sahaja. Kita akan dilalaikan oleh musuh dengan memerangkap kita dalam alam rohani kita sahaja. Sedangkan mereka mengambil kesempatan mengaut kekayaan dan menindas pemikiran kita. Ini menyebabkan kita berasa tertekan dan terania­ya. Maka dalam situasi ini terdapat segelintir umat Islam khususnya yang dijajah dan dianiaya, akan bangun berjihad membunuh mereka atau membunuh sesama kita yang kita anggap sebagai musuh kita walau pun mereka seagama dengan kita. Ini kerana mereka tidak berada dalam kelompok kita – yang tidak sealiran dalam politik dan amalan kita. Yang kita anggap sebagai musuh kita, sama juga seperti musuh kita orang kafir.

Oleh itu, rasanya kita sebagai orang Islam haruslah cuba memahami apakah sebenarnya kan­dungan agama kita, agama Islam, yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan disampaikan sepenuhnya di dalam kitab suci, al-Quran yang mulia sebagai Al-Din itu? Apakah maknanya agama sebagai Al-Din yang bererti cara hidup yang lengkap dan menyeluruh? Apakah dengan beragama kita akan hanya menumpukan usaha kita hanya kepada satu bahagian dalam agama sahaja iaitu bahagian kerohanian dan ibadat khusus?

Apakah maknanya doa kita yang meminta kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Di manakah letaknya falsafah dan cara hidup Islam yang terkan­dung di dalam firman Allah yang me­nuntut kita supaya berusaha dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita untuk hari akhirat, di samping tidak melupakan nasib kita di dunia ini? Malah maksud firman-Nya supaya memasuki dan mengambil Islam sepenuhnya?

Kita haruslah mengadakan perseimbangan dalam memberi kefahaman kepada umat Islam terutamanya generasi baharu tentang apakah ertinya Islam? Apakah ertinya sains dan perubatan Islam yang selama ini kita terlalu perkecilkan fokusnya kepada ritual dan doa saja.

Kita percaya dan penuh beriman kepada Allah SWT, kepada doa dan zikir, wirid dan munajat kepada Allah, percaya kepada dasar yang fundamental dalam agama dan ajaran kerohanian Islam. Tetapi dalam masa sama juga kita haruslah melihat dunia ini dari kaca mata akal manusia yang baharu – yang juga dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kita perlu menuntut ilmu walau di mana saja datangnya asalkan tidak membawa kesesatan kepada kita.

Kita juga sering membaca atau mendengar pendakwah menyatakan beberapa peristiwa semasa hayat Rasulullah SAW yang me­nunjukkan makna kehidupan seorang Muslim yang sebenarnya. Umpamanya tentang kisah sekumpulan orang Islam yang hanya beribadat sepanjang masa di dalam masjid dan ketika ditanya siapakah yang memberi makan kepada mereka, para sahabat menjawab: “Orang-orang di luar sanalah yang memberikannya.”

Lalu disebut oleh Rasullah SAW bahawa kalau begitu, maka mereka yang memberi makan itu adalah lebih baik dari orang-orang yang menghabiskan masanya beribadat lama di dalam masjid.

Banyak perkara lain yang boleh diceritakan tentang kepenting­an orang Islam menggabungkan kehidupannya sama seimbang di antara kehidupan dunia dan akhirat. Maka, umat Islam sendiri haruslah merangka dan melaksanakan agenda ini dengan sebaik-baiknya.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).