SATU CEBISAN PEMIKIRAN ISLAM : PENOLAKAN TAKWIL MEMBUKA PINTU KEROSAKAN DALAM MASYARAKAT

Pemikiran yang sedang berkembang dan tersebar dalam mana-mana masyarakat adalah hasil dari satu cetusan pemikiran terdahulu yang terbina dengan kaedah tertentu yang berjaya dibukukan untuk disebarkan kepada jenerasi kemudian.

Sewaktu di Temple University dulu kami diarah mempelajari pemikiran tokoh-tokoh falsafah barat terdahulu seperti Frued, Durkheim, Jung, Sarter dan lain-lain di mana fikiran mereka masih berpengaruh dalam masyarakat semasa. Orang barat sekarang ini sedang melaksanakan pemikiran ahli-ahli falsafah mereka. Mereka bukan bertolak dari kosong atau dari ajaran agama suci dalam Bible dan sebagainya. Frued misalnya memperjuangkan kebebasan individu dan menetapkan punca yang mendorong seseorang itu berfikir, berkelakuan dan bertindak. Begitu juga Durkheim yang mentakrifkan agama sebagai sesuatu yang dilahirkan oleh sesebuah masyarakat yang harus diterima tanpa mempersoalkan kebenaran pegangan yang dianuti ramai itu. Cukup mereka mewarisinya zaman berzaman dari datuk nenek mereka yang telah anutinya sekian lama. Ini semangnya diakui oleh al-Quran tetapi menempelak mereka yang menuruti ibubapa terdahulu dan menganggap mereka tidak berfikir dan tidak diberi petunjuk.

Justeru Islam adalah agama Allah yang ajarannya sudah jelas tertera di dalam al-Quran dan al-Sunnah tentu sekali tidak boleh diterima sekadar warisan dan sekadar telah diterima oleh ramai penganutnya tanpa berfikir atau (an-nadhar versus taqlid mengikut mazhab ahli sunnah wal jamaah). Setiap manusia menggunakan akal yang dianugerahi Allah bagi menilai kebenaran sesuatu dan tentunya lojik demi menyahut seruan al-Quran adakah mereka melihat, berakal, berfikir dan merenung dengan mendalam? . Islam adalah agama yang benar tetapi terbuka untuk dipersoalkan ajarannya dari sudut kelojikan akal berfikir di mana Allah sentiasa bertanya adakah mereka atau anda berfikir dan berakal? . Ajaran Islam tidak bercanggah dengan pemikiran manusia dan tidak mengganggu kehidupan insan di atas permukaan bumi ini bahkan ianya menawarkan kebahagian dan kemajuan kepada manusia jika diamalkan ajaran-ajarannya justeru ianya dari Allah selaku Pencipa alam dan Pencipta makhluk seluruhnya. Adalah salah jika dikatakan ikut lojik Tuhan tidak wujud sebenarnya sangat lojik Tuhan wajud dan sangat lojik perkara gyaibiyyat yang wajib dipercayai. Bukankah terdapat puluhan ahli falsafah Islam yang mendepani perjuangan menegakkan Islam sebagai agama akal.

Berbalik kepada isu pemikiran yang semestinya pemikiran itu akan terbina atas satu kaedah berfikir. Ini akan menentukan pola pemikiran yang terus dibawa untuk disebarkan ke dalam masyarakat. Jika salah kaedah ini maka salah habis pemikiran yang didukung dan dibawa walau pun diterima oleh ramai mahupun segelintir orang dalam sesebuah masyarakat. Muqaddimah yang batil akan menelurkan natijah atau kesimpulan yang batil jua. Justeru apabila seseorang berpegang dengan pemahaman literal (nassi wa harfi) dan menolak takwil ayat-ayat, maka nescaya pemikirannya akan dibangunkan atas kaedah Literal ini sepanjang masa dalam menolak pentakwilan ayat-ayat. Mereka semua berhujjah bahawa ayat-ayat tidak boleh ditakwilkan dan pentakwilan akan membawa kepada fitnah dan pembikinan fitnah oleh ahli fitnah pun berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang jelas maksudnya secara literal juga. Kerana Allah sahaja yang tahu makna-makna takwil itu bukan ulama atau sesiapa. Jadi ayat-ayat mutasyabihat tidak boleh ditakwilkan.

Takwil adalah penggunaan akal dan tanpa bertakwil seolah-olah akal ini sia-sia dijadikan Allah. Jika yadullah tidak ditakwilkan maka semudah ABC dikatakan tangan tuhan tanpa difikirkan lojikkah Allah memiliki tangan. Mengatakan tangan tanpa bentuk adalah bercanggah dengan kaedah ilmu Mantiq yang memperkenalkan subjek Takrif (difinasi) dan setiap perkara mesti ada definasi atau takrifnya yang bersifat Jami wa Mani. Lojik akal menuntut takrif tangan dan boleh dibezakan dengan anggota yang lain jari misalnya dan dengan semua perkara. Mengatakan tangan bila kaif (tanpa bagaimana) adalah tidak lojik dan tidak boleh diterima.
Demikian pokok pangkal yang darinya di bina pemikiran literal atau nassi.

Perkataan yadullah tidak boleh ditakwilkan kepada kuasa dan Ar-rahman berada di arasy yang tinggi (di langit) tanpa boleh ditakwilkan kepada makna ketinggian Allah tanpa dihubungkaitkan dengan kedudukan Maha Esa di atas seperti sering ditunjukkan di mana Allah, maka jari akan dinuding ke atas langit. Fahaman tanpa takwil ini adalah asas pemikiran sesetengah ulama yang telah membawa kepada perpecahan dalam kalangan ummah justeru mereka meneruskan tradisi amalan-amalan Islam yang menjadi adat diwarisi dalam keluarga dan masyarakat. Pertembungan jelas di antara kalangan aliran mazhab akidah al-Asy’ari dan golongan yang mendakwa” Salafi yang kononnya mengikut al-Quran dan Sunnah. Golongan ini mendakwa sudah cukup di dalam al-Quran dan Sunnah dan tiada ada apa lagi yang perlu ditambah-tambah. Mungkin ini disindirkan kepada para ulama ahli sufi dan para pendukung mazhab al-Asyari yang banyak melahirkan doktrin atau teori yang memperkayakan khazanah pemikiran Islam yang berada di hadapan ummah. Justeru cukup mudah disanggah misalnya sifat dua puluh didakwa tidak ada di dalam al-Quran dan Sunnah. Jika ajarannya baik tentu memperkenalkan ajaran ini. Pegangan tegar ini adalah rentetan dari isu takwil yang merangkumi makna yadullah dan arrahman ‘ala arsyis tawa. Dari sinilah umat Islam berkhilaf dan nampaknya makin tegang apabila pihak berkuasa mendukung fahaman tanpa takwil ini dan berusaha untuk menyebarkannya dalam ertikata yang lain dari pegangan yang didukungnya ini semuanya sesat dan batil belaka. Kerugian terbesar aliran ini dalam masyarakat ialah justeru mengharamkan ilmu falsafah dan mantiq serta rangkaiannya serta merendahkan ilmu tasauf dan pegangan mazhab. Sedangkan ilmu-ilmu tersebut yang terangkum dalam tamadun Islam yang dibanggakan dalam sejarah Islam dan Islam berkembang ke barat dan dunia dengan pemikiran Islam termasuk yang dibawa oleh angkatan ahli Sufi dan tarikat-tarikat yang muktabar. Jika tanpa ilmu-ilmu tersebut dengan tokoh-tokoh terulung yang menampil dalam tamadun ini tidak mungkin tamadun Islam itu boleh berlaku yang telah menggemparkan dunia. Dunia tetap mengenali tokoh-tokoh seumpama al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibn Arabi, al-Ghazali dan ramai lagi adalah merupakan tokoh-tokoh falsafah yang disanjung tinggi. Mungkin kepribadian ahli Tasawwuf yang tinggi tetap diakui dan amalan-amalan yang mereka lakukan menjadi ikutan dan amalan umat Islam merentas benua sehingga ke hari ini. Tidak mungkin didakwa boleh diambil separuh yang baik misalnya sedangkan amalan-amalan yang ditinggalkan untuk amalan jenerasi demi jenerasi sehingga ke kurun 21 ini adalah rangkuman dari pegangan kerohanian mereka yang dikenali sebagai tasawuf itu.

Ahli Sunnah walJamaah kini mungkin bertuah dengan wujudnya al-Azhar dan kerajaan Mesir yang mendukung al-Azhar menyebabkan institusi terbesar keilmuan dan pendidikan Islam dapat berperanan aktif sepanjang zaman sehinggalah ke hari ini. Al-Azhar telah diasaskan lebih 1000 tahun yang lalu dan kekuatannya tersuntik apabila Salahuddin al-Ayyubi memerintah Mesir dan mengisytiharkan akidah al-Asya’ari sebagai akidah rasmi negara. Ini justeru umat Islam tidak lagi mempunyai tokoh-tokoh besar yang mendukung aliran al-Asyariyyah yang setanding dengan al-Maturidi, Al-Baqillani, al-Ghazali, Ibnu Rushd, al-Sanusi dan lain-lain. Mereka yang hadir di tengah gelanggang ummah dengan nukilan penulisan yang muktabar yang mampu mencekup para penentang dengan hujjah akademik yang ampuh dan memberi pukulan maut sehingga aliran penentang gagal menjadi gah dalam masyarakat Islam. Fikiran penentang Asyaari al-Maturudi ini gagal sepanjang abad yang lalu dikatakan tidak sempat kepala memanggung lalu dipukul terus. Inilah kekuatan ilmiah dan hujjah balighah mazhab Asyari yang sukar ditangkis oleh musuh-musuh.

Mereka difahamkan sentiasa tampil mencabar musuh berlawan hujjah dengan hujjah berforum dan menulis kitab dan risalah dan sentiasa menunggu jawapan untuk diperhujjahkan dengan lojik dan kerelaan hati bukan dengan paksaan dan tekanan.

Fikiran dihadapi dengan fikiran hujjah dengan hujjah menolak satu persatu yang membuatkan pendakwa Salafi seperti yang disebut tidak boleh bangun kepala. Para pembaca di luar sana pasti lebih tertarik dan menerima penghujahan akademik yang diberikan oleh tokoh-tokoh muktabar itu. Lihat bagaimana polemik terhebat dalam sejarah pemikiran Islam walaupun mengenai falsafah di antara al-Ghazali dan Ibn Rushd melalui Tahafut al-Falsafah dan Tahafut at-Tahafut walaupun kedua-dua tokoh ini dalam kalangan ahli Sunnah sendiri dan mereka tetap menolak aliran yang mendakwa Salafiyyin yang membelakangkan akal fikiran dan keintelektualan yang jitu. Mungkin kedua-dua khazanah ini tidak dipandang sedikit pun oleh aliran tersebut yang anti falsafah dan mengharamkan ilmu falsafah kerana keyunaniannya. Kemudian menulikan telinga untuk mendengar hujjah-hujjah yang diberikan dengan Quran Sunnah dan akal.

Peliknya satu kelumpuk boleh berbaring menyokong aliran yang beku minda ini.
Kedua-dua tokoh tetap disanjung tinggi dan diiktiraf oleh dunia timur dan barat ke atas kesarjanaan mereka dan sumbangan pemikiran yang sekaligus memperkayakan sejarah pemikiran Islam global. Justeru semua pemikiran tokoh-tokoh terhebat ini kini berkumpul di institusi al-Azhar al-Syarif yang mempertahankan aliran al-Asyari al-Maturidiyy. Ianya bukan lagi berada pada seseorang tokoh misalnya al-Imam al-Ghazali yang sukar ditandingi. Kitab-kitab semua tokoh ini wujud di perpustakaan al-Azhar dirujuk dan fikiran-fikiran mereka adalah sebahagian dari kurikulum pengajian di Al-Azhar termasuk untuk kajian-kajian pengajian lepas ijazah. Justeru jelas kesinambungan idea-idea tokoh-tokoh ahli Sunnah wal Jamaah ini dipertahankan dan diperkembangkan dengan bahasan ilmiah dan ulasan akademik yang bertaliarus. Maka pelajar-pelajar Mesir dan dari luar Mesir selaku generasi terdidik dan terdedah kepada idea-idea warisan yang sekaligus akan menjadi pegangan berterusan masing-masing. Tanpa kesinambungan yang terurus ini, mungkin Ahli Sunnah tidak cukup bertenaga untuk menghadapi cabaran-cabaran pemikiran yang berasaskan nas-nas sahaja dan lain-lain aliran yang bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah al-Asyaraiyyah Al-Maturidiyyah khasnya aliran Salafi dan Syiah dari segi yang lain. Perbalahan pemikiran ini boleh dibiarkan apa salahnya jika ianya berlaku dalam suasana akademik dan aman tenteram. Plato pernah menyebut kembali kepada kebenaran adalah satu kelebihan.

Di sini diperturunkan pandangan Prof. Dr AsSyeikh Muhammad Abd al-Fadhiil al-Qusi seorang tokoh ulama al-Azhar yang sangat peka kepada perkembangan pemikiran Islam dan melihat pemikiran yang berpegang dengan nas serta menolak takwil adalah mengancam dan merbahaya kepada masyarakat. Golongan ini tidak meraikan kesusasteraan Arab dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah yang kaya dengan tata Bahasa Arab dan pengucapan sastera yang indah dan halus.

Dr Al-Qusi menulis:
Setiap isu mengundang pelbagai pandangan, seorang pemerhati akan mendapati kedua-dua pihak itu saling bercanggah dan setiap pihak menolak pendapat pihak lain dan cuba meruntuhkan pendapat tersebut dengan apa jua tanpa berlaku adil dan bersimpati. Kenapa tidak? Setiap pihak itu melihat musuhnya itu bukan sahaja merasakan marah tetapi membencinya sungguh-sungguh tanpa melihat ada apa-apa kebaikan langsung pada pandangan musuhnya. Bahkan dialog diantara kedua pihak ini pada masa itu nampaknya hilang pertimbangan kebenaran, keinsafan yang murni dan hilang juga kelebihan bersederhana.

Sejarah pemikiran Islam sepanjang zaman memperlihatkan kegetiran memahami nas-nas al-Quran dan nas-nas as-Sunnah yang membawa satu pihak berpegang secara literal (harfi) terhadap nas-nas tersebut tanpa memahami ruang lingkup nas-nas berdasarkan makna-makna yang mendalam yang mempunyai asas-asas Syara dan nilai-nilai kesusasteraan Arab.

Justeru tidak memahami ruang lingkup bahasa dan sastera Arab itu, aliran ini jelas meminggirkan satu aspek keindahan di dalam al-Quran bak kata al-Zarkasyi: Aspek yang dimaksudkan ialah perkara sastera tinggi Arabiyyah dan kaedah pentakwilan serta tunjang perkataan-perkataan, huruf-huruf dan sari-sari kata. Bahkan mereka menzahirkan kefahaman mereka yang bersifat zahir itu sebagai satu neraca untuk cuba menimbang kesahihan iman dan ibadat serta muamalat. Penilaian mereka yang bersifat dangkal ini sebenarnya sangat menggusarkan hati dan tidak menselesakan perasaan.

Bertolak dari kesempitan justeru berpegang kepada nas semata-mata, pemikiran Islam sepanjang zaman itu telah membuka pintu-pintu kecelaruan seluasnya mengundang pelbagai aliran dan pemikiran yang bersifat tidak teliti dan gelujuh.

Pertama: Pintu Mengkafir orang (Takfiri) yang membawa kepada penumpahan darah dan mayat-mayat bergelimpangan di bawah bendera kefahaman yang sempit dan rosak terhadap isu-isu iman dan kufur. Lambat laun ianya dikunyah oleh lidah-lidah keganasan yang memusnahkan bumi hijau dan kering kontang semua sekali, lantas melakar Islam yang rahmah dan aman damai sifatnya dengan warna titisan-titisan darah merah. Maka jadilah Islam selaku pembuka kepada hati-hati dan penenang kepada jiwa-jiwa bertukar wajah menjadi pemusnah kepada hati dan melahirkan roh Islamphobia yang ditakuti dan dibimbangi masyarakat. Inilah lanjutan dari pola pemikiran awam yang telah dicemari dengan titisan darah dan bingkisan mayat-mayat berkelempangan itu (yang dituduh sesat dan kafir).

Kedua: Penguasaan Pegangan Zahir yang dilihat mata kasar ke atas rahsia-rahsia dalaman mengorbankan hakikat yang tersembunyi. Kulit-kulit kasar luaran atau ((lambang-lambang dan lukisan-lukisan yang tertera)) mengikut al-Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin : “Telah menutupi makna-makna dalaman yang halus. Memaknakan ayat-ayat dengan secara literal adalah satu aliran yang berada dalam lengkaran akal yang jumud dan hati yang beku. Ianya satu tingkah laku yang kolot kaku dan perangai yang keras. Demikianlah sebenarnya ((Kefahaman Literal)) akan membawa akhirnya kepada perasaan yang mati, emosi yang berkarat, cita rasa yang kering justeru terpelanting dari landasan perasaan yang indah lagi halus.”

Ketiga: Berpegang dengan zahir ayat-ayat di zaman kita sekarang berada di satu persimpangan yang lebih merbahaya dan lebih mencabar.

Demikian apabila sesetengah aliran yang bergerak kini menyangka: Bahawa mendirikan masyarakat dan memperbaikinya bukan lagi seperti yang difahami dalam tasawwur Islam yang sebenar sebagai satu gagasan mengikut neraca kebenaran dan keadilan sedunia yang luas tetapi ianya berpadu dalam satu gelanggang panas bergelegak dengan nafsu ingin menguasai pemerintahan dan perebutan kuasa pemerintahan dan lantas menggenggam pandangan-pandangan kononnya sudah bertaraf selaku bakal barisan pemerintah!

Demikianlah berakhirnya ((Pemahaman Literal)) atau Pegangan Zahir dalam memahami nas-nas suci dari ((Siasah Syariyyah)) yang tepat dan betul kepada ((Permainan Politik)). Lalu diarah segala nas-nas dan peristiwa-peristiwa dalam agama Islam kepada tujahan kepentingan untuk meraih kuasa pemerintahan. Melencongkan tujuan-tujuan mulia kepada menjadikannya alat yang digunakan untuk menewaskan aliran-aliran lain: Maka bercampur-aduklah di antara agama yang satunya bersih dan suci dengan ((Permainan Politik)) yang berserabut dengan tipu-helah dan pembohongan!

Aku ingin berkata: Alangkah bijaknya, Seandainya mereka semua melihat sejenak kata-kata hikmah Arabiyyah: ((Penentangan akan menimbulkan penentangan)). Pelampauan akan mencipta lebih banyak pelampauan sedang Negara ini tidak sanggup lagi menanggung banyak kerosakan dan kemusnahan?!

Aku ingin berkata lagi: Jika Ibnu Hazam al-Andalusi benar berkata pada: ((Yang bertentangan itu adalah musuh-musuh belaka)), yakni kedua-duanya itu sama melampau masing-masing namun yang benar tetap benar.

Kita di zaman kini sangat berhajat kepada ucapan dan mesej keagamaan yang indah dan sihat. Kita mengumpulkan kedua-dua tangan ke ((Landasan Sederhana)) yang menyatukan kebaikan dalam pertentangan itu dan manjauhinya dari segala keburukan. Janganlah dipersia-siakan akan pecahan Syara ditundukkan kepada perkiraan akal yang bersifat sangkaan-sangkaan semata-mata. Jangan juga dibawa masuk perkara-perkara keyakinan akal diletak di bawah perkiraan fahaman literal atau nas-nas.

Maka semua jalur-jalur keindahan ini terserap dalam persada kesederhanaan (الحد الأوسط) yang memadukan kedua-duanya dengan sempurna dan lengkap melengkapi. Landasan sederhana adalah penjamin dalam memadamkan api fitnah dan sekaligus mendayung umat kepada arena kesederhanaan yang benar tanpa melampau dan berkurang. Ianya adalah jalan yang lurus yang bahteranya melayari menuju ke persada aman damai, bergerak ke hadapan memperkasakan nilai-nilai luhur kemanusian, memperbaiki cacat cela kelakuan dan perangai manusia. Maka demikianlah sayugia kata-kata yang sangat bernilai dari jalan-jalan yang penuh dengan hidayah dan petunjuk.

Akhirnya aku berkata: Cukuplah kita bersama memadamkan api fitnah dan cukuplah kita bersama memadamkan api-apinya yang sedang membaham!!”

Oleh Datuk  Dr.Mohd Fakharudin Abdul Mukti Presiden Rabitah Alumni Al Azhar Malaysia -WOAG Malaysia

No Comments

    Leave a reply