“SAYA SUKA KAMU SUKA, SAMA-SAMA SUKA”

Oleh: Monosin Sobri

Sebuah daerah yang terletak kira-kira seratus kilometer dari Jakarta bercadang mengeluarkan satu perintah melarang pasangan belum kahwin “berpacaran” selepas jam 9.00 malam. Jika pasangan tersebut ditangkap, pihak pentadbiran daerah akan melakukan kaunseling untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan seterusnya, diserahkan kepada ibu bapa untuk dinikahkan.

Intisari berita yang disiarkan dengan tajuk “Larangan berpacaran lewat malam: Purwakarta pantau remaja guna CCTV, pengawasan pasukan peronda”, Berita Harian, 5 September 2015 menarik untuk dibahas memandangkan peraturan di Indonesia menetapkan hanya mereka yang berumur di bawah 17 tahun tidak boleh dinikahkan.

Di Malaysia juga mempunyai tahap umur minimum yang dibenarkan berkahwin, iaitu 17 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki (Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984). Bagaimanapun, perkahwinan di bawah umur boleh dibenarkan dengan kelulusan mahkamah.

Daerah Purwakarta bercadang melaksanakan peraturan tersebut bagi membendung pergaulan bebas remaja, yang akhirnya boleh menjerumus kepada aktiviti sek bebas. Di Malaysia, seks bebas hanya boleh didakwa sekiranya pasangan terbabit ditangkap atas kesalahan khalwat, bagi pasangan Islam manakala bagi bukan Islam, ia bergantung kepada aktiviti itu sendiri.

Sekiranya pasangan tersebut (bukan Islam) melakukan seks bebas dengan sukarela, ia dilihat sebagai tidak menyalahi peraturan kecualilah perbuatan itu dilakukan dalam persekitaran terbuka dan menjolok orang ramai. Sebab itulah bukan Islam boleh bersedudukan tanpa ikatan perkahwinan bahkan ada kecenderungan untuk cuba menyesuaikan diri hidup bersama beberapa ketika sebelum membuat keputusan berkahwin.

Persoalan agama bukan menjadi perkara utama; berbeza dengan Islam yang mengharamkan aktiviti bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan. Ini tidak pula bererti seks bebas tidak berlaku dalam kalangan orang Islam di Malaysia, bahkan terdapat beberapa laporan menyayat hati di mana “atas dasar cinta”, remaja Malaysia sanggup melakukan aktiviti seks sebelum nikah. Ada laporan membabitkan remaja belasan tahun yang terpaksa menyembunyikan “kandungan” akibat terlampau dan tidak kurang juga yang melarikan diri dari rumah, membuang bayi yang baru dilahirkan dan menggugurkan kandungan di klinik-klinik “gugur janin.”

Isu seks bebas sudah berlaku sekian lama, tetapi suatu ketika dahulu, ianya dapat disembunyikan oleh keluarga sama ada dengan “memindahkan sementara” gadis mengandung itu ke suatu tempat, rumah perlindungan ataupun ke kawasan pedalaman dengan pengawasan ketat.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada tahun 2010, dapatannya begitu mengejutkan kerana tiga daripada enam remaja berumur 15 hingga 28 tahun, mendapat pendidikan tinggi melakukan hubungan seks luar nikah.Menarik lagi ialah 35 peratus responden memberikan pengakuan bahawa “keinginan memuaskan nafsu” manakala 22 peratus lagi atas sebab “pujukan pasangan atau pengaruh rakan.”

Kajian lain turut menemukan kecenderungan yang sama, misalnya sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat penelitian selama enam bulan pada tahun 2010 dengan tajuk “Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual”. Kajian itu membabitkan 400  responden di Lembah Klang dan  kawasan luar bandar.

Hasilnya, 300 daripada remaja berumur 13 dan 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seks dan seks bebas. Ia dianggap sebagai salah satu dari “trend” atau “gaya” baharu belia Malaysia yang sedang berkembang dan bakal meruntuhkan sempadan moral, agama dan nilai masyarakat.

Islam melarang keras pergaulan bebas di antara lelaki dengan perempuan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).” Allah SWT berfirman “Janganlah kamu menghampiri zina”. Hal ini sangat jelas Allah SWT melarang pergaulan bebas di antara lelaki dengan perempuan atau sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada zina.

Islam turut melarang keras aktiviti seks songsang, termasuk sesama jantina dan di luar ikatan perkahwinan, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Musa, Rasullullah SAW bersabda: “Jika seorang lelaki mendatangi lelaki lain (liwat) maka mereka berdua adalah penzina, dan jika seorang wanita mendatangi wanita lain (musahaqah), maka mereka berdua adalah penzina.” Perbuatan ini dilarang keras oleh Allah SWT seperti dinyatakan dalam surah Al-Isra’ sebarang bentuk seks bebas-dari seks berlainan jantina (hetroseksual), sesama jantina (homoseksual), berbilang jantina (biseksual), dan juga berkumpulan (misalnya, seorang perempuan dengan lebih seorang lelaki atau seorang lelaki dengan beberapa orang wanita).

Kecenderungan seks bebas secara berkumpulan sudah melanda anak muda Malaysia, malah ada laporan menyebut, seorang gadis sanggup melakukannya berkali-kali dalam tempoh semalaman dengan lelaki berlainan. Ada juga gadis atau perempuan muda berjaya memikat lelaki bukan Islam, dan sanggup melayan lelaki tersebut yang sanggup membayar perkhidmatan. Pernah ditangkap mahupun pendedahan akhbar, ada gadis yang bekerja menjadikan hujung minggu sebagai pertaruhan “menjual badan” untuk beberapa jam asalkan syaratnya dipenuhi.

Laporan turut menyebutkan ada remaja sekolah sanggup melakukan tindakan yang sama asalkan ada pihak yang sanggup “mengisi top-up” telefon bimbit dan menghadiahkan telefon bimbit tertentu. Remaja berkenaan sentiasa menipu keluarga dan rakan-rakan, kononnya dengan pelbagai alasan dan hujah untuk mengelakkan diketahui. Seperti peringatan generasi terdahulu, “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tahan juga.” Perbuatan itu boleh dihidu oleh pihak berkuasa, dan kerana nasib tidak sentiasa baik, remaja berkenaan ditangkap sedang melayan seseorang di sebuah hotel bajet.

Berita tangkapan di hotel bajet sebagai tempat remaja melakukan aktiviti seks kerap dikatakan sebagai salah satu factor mendorong lebih banyak hotel seumpamanya tumbuh. Kini terdapat hotel bajet di mana-mana, bahkan di bandar kecil. Istimewanya, hotel bajet bersedia menawarkan penggunaan bilik untuk beberapa jam. Ada juga pengusaha hotel bajet mengiklankan perkhidmatan tersebut menerusi media sosial, dan tempahan boleh dilakukan menerusi platform berkenaan, ataupun dengan WhatsApp.

Hotel bajet sentiasa menjadi tumpuan, terutama di kawasan yang mudah disambungkan dengan pengangkutan awam. Pasangan yang berkenalan menerusi alam maya membuat janji untuk menghabiskan hujung minggu bersama buat beberapa jam. Bagi mengelakkan dirinya dikesan oleh keluarga, remaja berkenaan hanya menghabiskan masa bersama pada waktu siang, malamnya masing-masing pulang ke rumah. Ada juga sanggup menaiki bas watu malam dan tiba di bandar raya Kuala Lumpur misalnya awal pagi.

Setibanya di awal pagi, mereka memulakan aktiviti seks bebas di hotel bajet yang sudah beberapa hari ditempah. Malamnya, mereka pulang semula ke destinasi. Ertinya, remaja berkenaan menghabiskan waktu malam di dalam bas, hanya menikmati keseronokan berpacaran waktu siang dengan andaian, risiko ditangkap pihak berkuasa adalah rendah berbanding malam minggu. Ini ekoran hampir setiap malam minggu ada serbuah dibuat pihak berkuasa, terutama ketika cuti mingguan bersambung dengan cuti kelepasan am.

Kajian IPPBM 2010 yang dilakukan ke atas lebih 5000 responden, 52 peratus mengakui bahawa rakan mereka terlibat dalam salah laku hubungan seks luar nikah. 38 peratus lagi mengakui mengakui rakan mereka pernah mengandung sebelum berkahwin. Kecenderungan sedemikian tidak boleh dipandang mudah, walaupun ada kenyataan bahawa kajian berkenaan tidak mencerminkan generasi belia Malaysia keseluruhannya. Pada tahun 2011, dianggarkan terdapat 12.02 juta orang belia (Malaysia Fakta Belia, Edisi 2, 2011). Hanya lebih 5000 responden dijadikan sampel, tidak mewakili belia, pilihan sampel yang terlalu kecil.

Itulah sikap dan pandangan setengah daripada pembuat dasar sehingga mereka lupa, jika kebejatan sosial ini terus dibiarkan menguasai gaya hidup belia Malaysia, ia boleh menyebabkan persoalan agama menjadi faktor pinggiran, semakin dipinggirkan sebagaimana berlaku dalam masyarakat Barat. Corak hidup masyarakat Barat, mempertuhankan prinsip “kebebasan dan hak asasi” telah membawa kepada persoalan bersekedudukan tanpa kahwin sehingga melahirkan beberapa orang anak, yang kemudiannya disahkan sebagai anak sah taraf.

Di Malaysia, bayi yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan sah dikelasifikasi sebagai “warga negara tidak sah taraf”, terutamanya dalam masyarakat Islam. Bagi bukan Islam, mereka terus mendesak pihak berkuasa agar “menghalalkannya” kerana faktor budaya telah membenarkan pasangan bersekedudukan tanpa perlukan perkahwinan, hanya sekadar memohon pendaftaran perkahwinan. Oleh kerana peraturan Islam lebih rigid, menyebabkan ramai bukan Islam melihat ia sesuatu yang tidak wajar dalam utopia “kebebasan dan hak asasi.” Mereka mahukan Islam boleh menerima “anak tidak sah taraf” seperti juga anak yang dilahirkan dari pasangan bernikah secara sah.

Penyelesaian kepada isu seks bebas boleh dilaksanakan apabila setiap masyarakat Malaysia kembali menghidupkan semula semangat agama, kerana secara jelasnya, setiap agama tidak pernah menghalalkan seks sebelum nikah. Disebabkan masyarakat moden yang sudah dibingkaikan dengan kebebasan dan hak asasi, melihat agama hanyalah sekadar aktiviti ritual, hanya diperlukan ketika lahir (seperti mengbaptiskan bayi di gereja) dan ketika meninggal dunia. Dalam situasi yang lain, agama bukan dijaga oleh masyarakat, ia hanya milik individu itu sendiri dan dia boleh bersifat agnostik, percaya adanya Tuhan tetapi tidak perlu mengamalkan kepercayaan tersebut.

Golongan sedemikian melihat agama merupakan sebahagian bentuk budaya, sedangkan Islam membingkaikan budaya dengan agama. Perbezaan falsafah atau prinsip inilah sekarang sedang mencabar Islam, maka cabaran itu kadangkala menyebabkan segelintir umat Islam terleka, bahkan ada di antara mereka sanggup memusnahkan anak muda Islam sendiri dengan hiburan dan tawaran keseronokan tertentu tanpa memikirkan kesan sosial, yang dipentingkan ialah kemenangan ekonomi, meraih keuntungan besar setiap tahun dan bagi menutupi kelemahan itu, ditubuhkan dana tertentu dan cuba menjadikan dirinya sebagai seorang dermawan atau philantrophis.

Misalnya, seorang pengusaha lesen perjudian dan memegang beberapa lesen francais, dalam bentuk permainan amusement, minuman bertaraf antarabangsa, mendakwa dirinya sebagai “founder” sedang meningkatkan kesukarelaannya membantu mereka yang tidak bernasih baik, dari golongan tua, penderita penyakit kronik hinggalah kanak-kanak miskin. Akhirnya, ada pembuat dasar menerima sumbangan hasil keuntungan operasi judi untuk membantu, termasuk orang Islam sendiri. Ini merupakan suatu pengkhianatan terhadap agama, sebaliknya, pembuat dasar itu mencari fatwa yang sepadan dengan tindakan menerima sumbangan daripada hasil judi itu sendiri.

Inilah sebenarnya gejala yang membudayakan kehidupan generasi, semakin membimbangkan kerana yang membuat dasar tidak menunjukkan teladan terbaik dari segi moral, hanya menonjolkan kejayaan pencapaian dari sedi ekonomi dan pendapatan negara. Indeks kemajuan sesebuah negara hanya diukur berdasarkan pencapaian fizikal, tetapi tidak berusaha mengukur daripada perspektif sosial dan keagamaan secara kualitatif.

Sebab itulah gejala sumbang dan songsang sukar untuk dibenteraskan, semakin banyak isunya, akibat wujudnya etos yang menyanjung tinggi, “aku suka kamu suka; sama-sama suka” maka atas mauduk itulah kekesanan tindakan tidak mampu dibanggakan. Ia terus memeranjatkan, semakin sehari semakin banyak kemudaratan hidup, kerana etika dan moral hanya terpakai dalam keadaan tertentu sahaja, bukan secara menyeluruh dan holistik.

Usaha Ketua Daerah Purwakarta mungkin bakal menemui kegagalan ataupun tentangan, kerana undang-undang yang ada terlalu sukar untuk menerima cabaran tersebut, maka begitulah juga dalam situasi, penyebar fitnah begitu mudah disabitkan kesalahan atas alasan bersubahat manakala yang mencipta fitnah berjaya melepaskan diri bersandarkan prinsip kebebasan dan hak asasi. Ia merupakan sebahagian daripada budaya demokrasi, selagi kebebasan dan hak asasi itu tidak melanggar hak dan kebebasan orang lain. Ertinya, oleh kerana seks bebas berlaku atas aktiviti sama-sama suka, jarang pelakunya dihukum salah walaupun mengakui dirinya sebagai “lelaki dalam video itu” sebaliknya, mereka yang menyebarkan video tersebut menjadi buruan. Inilah kronik moral dan moraliti, apabila menerima kebebasan dan hak asasi tanpa membingkaikan agama.

Untuk membingkaikan semula agama sebagai “cara hidup”, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan proses pendidikan dan pertabiahan yang berpanjangan. Untuk menghidupkan semula semangat agama, ia perlu transformasi secara holistik, bukan hanya sekadar tempelan dan pembangunan infrastruktur, ia perlukan jiwa yang jernih dan kemahuan yang keras, kerana syaitan sendiri menggoda mereka yang berusaha melakukan kebaikan dan mencari kebenaran.

Bila ada pelajar ditangkap berkhalwat, melakukan hubungan seks dan menghabiskan masa berasmara dengan pasangan, apakah pernah orang tua atau generasi yang sepatutnya membimbing mereka, mendidik generasi menyoal: berapakah sumbangan telah dicarumkan sehingga terjadinya perilaku sedemikian? Jika setiap daripada pembimbing melihat ke dalam diri dan kurangkan penudingan jari, maka bukan sahaja persoalan seks bebas boleh dihindari, bahkan mampu mengawal kerosakan anak muda daripada parah, kerana merekalah yang bakal mewarisi apa yang kita bangunkan sekarang.

Itu benar-benar meneladani semangat yang diharapkan kepada “remaja hari ini” membangunkan tamadun besar, sebuah tamadun yang mampu menggemilangkan semula Islam. Kini, Islam sedang dipermainkan dan dipersendakan, maka tugas pembimbinglah yang untuk melakukan pembetulan dan meransang kemuliaan pembingkaian agama, bukan sekadar bercakap, tidak bertindak; menyeru kepada kebaikan dan dalam masa yang sama bertindak secara anarkis, berontak, atas lantai politik yang semakin berjongkang-jangkit.

Mengharapkan pengiktirafan, tetapi semuanya sekadar “world record”, bukannya menginstitusikan kemaslahatan, sebab “sama-sama suka”, sukakan kepada pengiktirafan walaupun mengaburkan agama. Kerana “sama-sama suka” kebejatan sosial tidak akan mudah diselesaikan akar umbinya. “Saya suka kamu suka” jadikan  posisi agama seperti serba-salah, mesti berkompromi, akhirnya nilai itulah yang menjerumuskan generasi. Seks bebas adalah satu daripada “perangkap” yang dibangunkan atas pelantar, “saya suka, kamu suka; Kita sama-sama suka”.

No Comments

    Leave a reply