‘Saya tak kesal serah anak kepada polis’

Wanita berusia 42 tahun itu yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang lagi anak di Kuala Lumpur memintanya melihat Facebook (FB) selepas melihat gambar abangnya tular di media sosial.

Menurutnya, dia kemudian terus membuka FB dan tergamam sebelum terus mengambil cuti dan pulang dari Kuala Lumpur ke Taiping dengan bas pada jam 2 petang dan tiba jam 12 tengah malam tadi.

“Saya kemudian diberitahu anak berada di rumah rakan di Taiping dan terus ke sana sebelum memujuk dan menasihatnya supaya menyerah diri kepada polis sehingga akhirnya dia bersetuju.

“Apa yang dibuat oleh anak saya itu salah dan biarlah undang-undang yang hukum, saya pasrah, biarpun kecewa dengan tindakannya itu saya tetap mahu dia kembali menjadi manusia berguna,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.

Wanita itu berkata, dia tidak kesal atau malu apabila membuat keputusan membawa anaknya dari Taiping ke IPD Kuala Muda untuk diserahkan kepada polis.

“Saya juga berasa sedih kerana minggu lalu anak ada menelefon meminta wang namun ketika itu saya belum menerima gaji lagi dan tidak dapat membantu.

“Biarlah ia menjadi satu pengajaran dan berharap dia insaf selepas ini,” katanya.

NSTP hari ini melaporkan seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di IPD Kuala Muda, hari ini.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain ada netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply