Menurut Perdana Menteri, beliau bertindak meminda undang-undang atas keperluan negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Mohamad Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa masih lagi ingin mengekalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat menghakis kuasa Raja-Raja Melayu.

Ketika mengemukakan soalan, Ismail turut membangkitkan dua insiden iaitu permohonan maaf Dr. Mahathir atas tindakannya meminda perlembagaan tersebut pada Ogos 1996 dan isu Presiden PKR,

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong meluluskan undang-undang namun permohonan itu kemudian telah ditarik balik pada Januari lalu.

Pada 2016, Dr. Mahathir membuat permohonan maaf menerusi blognya, Chedet.cc yang mengakui tindakannya itu menyebabkan kelulusan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak diperlukan untuk suatu akta Parlimen dijadikan sebagai undang-undang. – UTUSAN ONLINE