SAYYID QUŢB MEMPERCAYAI ALLAH BERADA DI MANA-MANA DENGAN ZAT-NYA

Sayyid Quţb meyakini akidah yang menyalahi akidah semua umat Islam sama ada salaf atau pun khalaf. Sayyid Quţb berkata di dalam bukunya yang berjudul Fī Žilālil-Qur’ān [1]:

“((وهو معكم أين ما كنتم والله بما تعملون بصير)) وهي كلمة على الحقيقة لا على الكناية والمجاز فالله – سبحانه – مع كل أحد، ومع كل شيء، في كل وقت، وفي كل مكان”. اه‍.

Maknanya: “((وهو معكم أين ما كنتم)) Ayat ini adalah perkataan yang berdasarkan makna hakiki, bukan kināyah atau majāz. Justeru, Allah سبحانه bersama setiap individu [dengan zat-Nya], bersama segala sesuatu, serta berada di semua tempat”. Intaha.

Sayyid Quţb berdasarkan pendiriannya ini telah menjadikan Allah ta^ālā bertebaran di semua tempat dan ia adalah suatu pendustaan terhadap agama Islam. Keyakinan “Allah berada di semua tempat” adalah akidah sesat dan tidak pernah seorang daripada ulama salaf dan khalaf yang mengatakan sedemikian.

Orang yang pertama bawa akidah ini adalah Jahm ibn Ŝafwān yang dijatuhkan dengan hukuman mati pada akhir pemerintahan Dinasti Bani Umayyah. Kemudian perkataan ini diikuti oleh golongan Mutaŝawwifah (golongan yang menganggap dirinya sufi padahal mereka bukanlah sufi). Sedangkan semua ulama Islam bersepakat bahawa makna firman Allah tersebut ialah ilmu Allah meliputi semua makhluk-Nya bukan bermakna Allah berada di mana-mana atau Allah berada di semua tempat.

1. Al-Imām al-Ĥāfiž Abū Bakr al-Bayhaqī al-Shāfi^ī al-Ash^arī (w. 458 H) berkata dalam kitabnya al-I^tiqād wal-Hidāyah ilā Sabīlir-Rashād [2]:

“وفيما كتبنا من الآيات دلالة على إبطال قول من زعم من الجهمية أن الله سبحانه وتعالى بذاته في كل مكان وقوله عز وجل: ((وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ)) إنما أراد به بعلمه لا بذاته”. اه‍.

Maksudnya: “Dalam ayat-ayat yang telah kami tulis itu ada dalil bagi membantah pendapat orang menyangka dalam kalangan al-Jahmiyyah bahawa Allah سبحانه وتعالى itu berada di setiap tempat dengan [zat-Nya]. Firman Allah ^azza wa-jall: وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ sebenarnya bermaksud dengan ilmu-Nya bukannya dengan zat-Nya”. Intaha.

2. Al-Shaykh ^Abdul-^Azīz al-Faţānī berkata dalam kitabnya Risālah al-Misbāĥil-Munīr [3]:

“Allah ta^ālā bukannya jirim yang bertempat walaupun di mana tempat dan makhluk ini semuanya jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak boleh dikatakan Allah ta^ālā itu bertempat di mana-mana tempat”. Intaha.

3. Al-Shaykh Muĥammad Arshad al-Banjarī berkata dalam kitabnya Tuĥfatur-Rāghibīn [4] :

“(Adapun) kaum Jahmiyyah maka iaitu dua belas kaum… (Dan setengah) mereka itu adalah iktikadnya bahawa Allah ta^ālā itu maujud [ada] pada tiap-tiap tempat atas wajah ĥulūl [5] dan ittiĥād [6], (maka) iktikad yang demikian itu kufur (kerana) memgithbātkan tempat dan ta^addud [berbilang-bilang] bagi Allah ta^ālā…”. Intaha.

4. Al-Shaykh ^Abdul-Wahhāb ibn Aĥmad al-Sha^rānī berkata dalam kitabnya al-Yawāqīt wal-Jawāhir [7]:

“لا يجوز أن يقال إنه تعالى في كل مكان كما تقول المعتزلة والقدرية”. اه‍.

Maknanya: “Tidak boleh dikatakan bahawa Dia (Allah) ta^ālā itu di berada pada setiap tempat seperti yang dikatakan oleh golongan al-Muktazilah dan al-Qadariyyah”. Intaha.

Rujukan:

  1. Sayyid Quţb dalam bukunya yang berjudul Fī Žilālil-Qur’ān, Dār al-Shurūq, jil. 6, juz. 27, hlm. 3481.
  2. Al-Bayhaqī, al-I^tiqād wal-Hidāyah ilā Sabīlir-Rashād, ^Ālam al-Kutub, Beirut,1985/1405 H, cet. 2, , hlm. 70.
  3. Al-Shaykh ^Abdul-^Azīz ibn Ismā^īl al-Faţānī, Risālah al-Misbāĥil-Munīr, cet. 3, 1414 H – 1994 R, hlm. 16-17.
  4. Al-Shaykh Muĥammad Arshad al-Banjarī, Tuĥfatur-Rāghibīn fī Bayān Ĥaqīqah Īmānil-Mu’minīn, al-Ĥaramayn, Singapura – Jeddah, hlm. 13.
  5. Hulul ialah keyakinan bahawa Allah taala menyerap di dalam setiap sesuatu.
  6. Ittihad ialah keyakinan bahawa Allah taala dan alam adalah satu (sama) ; Allah itu adalah alam dan alam itu adalah Allah
  7. Al-Sha^rānī, al-Yawāqit wal-Jawāhir fī Bayān ^Aqa’idil-Akābir, Mustofa al-Babi al-Ĥalabī, Mesir, j. 1, hlm. 65.

Disediakan oleh:
Kajian Ilmiah Ahlis Sunnah (KIAS)

Sumber : facebook

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply