Sebar kebenaran tangkis Islamofobia

Kita tidak boleh menafikan keganasan dalam kalangan umat Islam kerana realitinya memang ada Muslim ekstrem yang mangsanya tidak mengira agama, termasuk sesama Muslim di dunia Islam serta masyarakat Barat.

Namun, kita perlu menunjukkan perkara baik yang sebenarnya menjadi amalan, budaya dan fahaman majoriti umat Islam, sama ada di negara Islam atau di Barat.

Nampak mudah, hakikatnya masih ada yang kabur dan berasakan ada ‘sesuatu’ mengenai Islam menyebabkan timbul sikap prejudis. Tidak kira apa yang diperkatakan atau dilakukan umat Islam, ia tidak memberi sebarang kesan.

Antara puncanya, pengaruh media mencetuskan perasaan dan dasar Islamofobia yang lebih gemar memaparkan berita serangan serta tragedi terkini, iaitu isu ingin diketahui atau boleh ‘dijual.’

Profesor Agama dan Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Islam, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat (AS), Prof John L Espesito, berkata bagi masyarakat yang langsung tidak tahu atau pernah kenal orang Islam, bahaya berita seperti itu adalah mereka nampak gambaran negatif sahaja.

Peranan media

“Media memainkan peranan penting. Walaupun boleh menjadi positif, apa yang banyak dipaparkan ialah kisah letupan dan konflik.

“Begitu juga media di Amerika Syarikat. Perkara itu mempengaruhi masyarakat,” katanya kepada media selepas menyampaikan Ceramah Umum: Islamofobia dan Polisi Baru AS Terhadap Dunia Islam di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), Kuala Lumpur.

Beliau yang juga pengasas Pusat Alwaleed untuk memahami Islam-Kristian di Sekolah Perkhidmatan Luar Walsh berkata, sebagus mana pun media Al Jazeera, ia tetap dikritik kerana golongan berkenaan tidak mahu mendengar kebenaran disampaikan.

Esposito berkata, ada juga usaha menerusi media yang dapat membantu menjelaskan dan memberi peluang kepada Muslim berkongsi pandangan serta perasaan mereka berdepan isu Islamofobia.

Contoh diberi ialah dokumentari oleh wartawan dan penulis, Katherine Anne Couric berjudul The Muslim Next Door yang menemuramah umat Islam untuk membicarakan pelbagai isu berkaitan kehidupan Muslim di AS.

Katanya, umat Islam perlu bersikap positif kerana perubahan boleh dilakukan dari bawah, iaitu dengan mengubah sistem pendidikan, selain memastikan semua pihak mengambil tahu perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

“Bagi yang sudah buat keputusan, mereka hanya mahu percaya apa yang mereka hendak percaya. Jika tahu kebenaran ia tidak mengubah prejudis terhadap etnik dan agama lain. Dalam dunia Islam pun begitu juga,” katanya.

Terdahulu, dalam ceramahnya Esposito berkata, Islam dan umatnya hampir tidak wujud dalam kalangan masyarakat AS sebelum Revolusi Iran 1979, sehingga sedikit yang mengetahui siapa Ayatollah Khomeini, apalagi peristiwa berlaku di Iran.

Katanya, selepas Revolusi Iran, apa sahaja mengenai Islam dilihat sebagai ancaman, termasuk konflik antara Sunni dan Syiah serta peperangan, menyebabkan imej Islam bukan sahaja pada agama, bahkan kuasa politik.

Presiden AS, Donald Trump pula ketika kempen berjanji akan melarang Muslim masuk ke AS. Beliau berkata: “Saya fikir Islam benci Amerika. Ada kebencian luar biasa terhadap kita.”

“Semua itu memberi tanggapan terhadap Islam menyebabkan Islamofobia sedangkan fobia ialah apabila seseorang takut, tetapi tidak tahu apa yang ditakutkannya. Itulah yang berlaku di AS,” katanya.

Menurut Esposito, jumlah kumpulan anti-Islam meningkat ketika pentadbiran Trump dan Muslim dilihat sebagai ancaman.

Katanya, suka atau tidak, keadaan itu mempengaruhi umat Islam di seluruh dunia.

Pada masa sama, kini banyak rangkaian pertubuhan berkongsi pautan untuk menjelaskan mengenai Islam yang sepatutnya dimanfaatkan bagi menangkis salah faham dan tanggapan terhadap Islam serta Muslim.

Beliau berkata, walaupun perkembangan itu berlaku di AS, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memberi perhatian kepada permasalahan berkenaan kerana ia turut memberi kesan kepada politik global dan generasi muda.

“Ancaman Islamofobia bukan sesuatu yang mengejutkan jika jumlah anti-Islam terus bertambah. Kita perlu bertindak kerana tanggapan sebegitu jadi ancaman kepada demokrasi,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply