Sebat di khalayak sukar diterima – Anwar

Menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat di khalayak tanpa melalui proses dan kefahaman betul serta tanpa belas kasihan tidak diterima rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata, tersebut perlu ditangani berhati-hati kerana akan timbul tuduhan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap pesalah syariah sebagai anti-Islam.

“Jika anda cuai dalam memberi kenyataan dalam perkara ini, anda akan dilabel sebagai anti undang-undang syariah, anda dilabel sebagai sekular dan sebagainya.

“Jika perkara ini berlaku akan timbul pergeseran lain dalam kalangan masyarakat Islam,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Filipina 2018 di Manila hari ini.

Anwar juga dilapor berkata tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan hukuman sebat itu kerana ia merupakan penindasan.

“Jika timbul isu berkaitan kesalahan sedemikian perlu ada satu bentuk penjelasan yang mencukupi, pendedahan atau pendidikan kepada masyarakat,” katanya seperti dilaporkan.

Semalam, pasangan lesbian 32 dan 22 tahun disebat enam kali dalam dewan di mahkamah syariah di Terengganu setelah disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di dalam kereta.

Sebatan itu dikatakan yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini.

Sumber : malaysiakini

No Comments

    Leave a reply