SEDERHANA SELAMATKAN MANUSIA SEJAGAT

JOHN D CAPUTO meramalkan bahawa agama masa depan manusia ialah agama yang ditegakkan atas dasar cinta. Dalam kekalutan manusia mengira nasib dan untung rugi kehidupan, akan hadir sebuah falsafah kemanusiaan yang benar-benar membawa manusia ke kesejagatan emosi untuk hidup aman, harmoni dan damai. Rasa itulah yang dinamakan sebagai “agama cinta.”

Tanggapan Caputo, Agama Cinta, Agama Masa Depan (2001) itu berdasarkan keinginannya untuk melihat tradisi agama Kristien berdasarkan dua faktor. Pertama ialah kerana agama yang ada pada zaman moden ini mengalami nasib yang hampir sama, dihakis oleh fahaman sekularisme dan tidak pernah mengalami kedamaian yang berpanjangan.

Kedua, disebabkan tidak ada pembaharuan terhadap agama, maka setiap agama lebih cenderung mendakwa bahawa fahaman merekalah yang terbaik. Mereka yang berada dalam fahaman yang berbeza, walaupun dalam konteks intraagama, ia seharusnya ditentang agar kemurnian agama dapat dikembalikan.

Dalam konteks itulah telah melebarkan prasangka buruk sehingga menjadikan perbezaan pendapat sebagai jurang yang memisahkan antara dua kelompok sehingga berkembang menjadi konflik, sengketa dan peperangan. Antara pemimpin yang berlainan pandangan, mereka melancarkan serangan dan sanggup berbunuhan saudara seagama.

Hubungan intraagama menjadikan struktur penganut dalam pelbagai lapisan dan setiap lapisan ini membawa perspektif yang berbeza. Antara mereka ada ketikanya tidak boleh duduk bersama, saling tuding menuding dan melancarkan serangan. Tragedi yang membawa kepada peperangan saudara terus berlaku sehingga cabang pemikiran ini melihat perbezaan sebagai hakikat permusuhan.

Umat Kristian turut mengalami pasang-surut hubungan Katholik dan Protestan. Kedua-dua cabang agama ini saling bertindak untuk menjatuhkan yang lain. Begitu juga dengan Islam, antara pegangan mazhab saling curiga walaupun kedua-duanya masih mengekalkan tauhid dan perulangan azam yang sama, membaca al-Qur’an yang sama, tetapi adakalanya pengertian telah ditafsirkan menurut kaca mata masing-masing dengan meninggalkan urutan musabab peristiwa yang membawa kepada turunnya ayat-ayat tersebut.

Persekitaran alur perbezaan pandangan terhadap perkara-perkara yang membawa kepada amalan dan budaya turut melahirkan kelompok yang pelbagai. Ada kelompok yang dilihat sebagai fundamentalis apabila tidak membenarkan sebarang percubaan mengubahsuaikan ajaran dalam konteks yang lebih moden, mereka tetap mahu mempertahankannya. Kelompok lain yang bertentangan pula akan melihatnya sebagai sesuatu yang bersifat otordok, maka mereka perlu lakukan pentafsiran semula maksudnya agar lebih sesuai dengan keperluan semasa.

Di antara dua kelompok yang berbeza ini, hadir sekumpulan yang cuba berada di persimpangan antara kontinum pemikiran dan mereka ini dikenali sebagai golongan sederhana. Mereka yang memegang kuat kepada prinsip kesederhanaan ini yakin, keselesaan hidup dan ketenteraman hati akan muncul apabila tiadanya konflik di mana antara penganut intraagama dan antara agama tidak mengamalkan sikap buruk sangka.

Teladan Nabi Muhammad SAW yang diancam oleh kaum Quraisy pada peringkat awal dakwahnya telah menjadikan baginda semakin kental dan mengambil langkah berhijrah ke Madinah. Penghijran tersebut menjadi titik kemenangan yang besar kepada Islam, bukan sahaja menambahkan bilangan penganut tetapi berjaya membentuk struktur masyarakat madani yang terangkum di dalamnya kepelbagaian kaum, keturunan dan kepercayaan agama. Mereka hidup dengan aman dan saling memerlukan. Golongan minoriti tidak merasakan dirinya ditekan oleh majoriti, kehidupan mereka tidak mengalami ancaman dan terus diberikan kebebasan mengekalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

Kelainan ini membuktikan bahawa Islam tidak “memaksa orang lain menukarkan agama yang dipegangi oleh seseorang”tetapi antara pelbagai penganut saling hormat menghormati. Tidak timbul rasa cemburu kelompok minoriti ke atas majoriti manakala majoriti tidak pula mengkhianati minoriti. Perubahan sikap telah menebalkan semangat permusuhan apabila lingkungan agama tercabar dengan pandangan anti-aestablishmen yang hadir dalam bentuk sekularisme, liberalisme, globalisasi yang ikut menghadirkan keinginan membentuk hegemoni.

Keinginan menguasai telah menjadikan kumpulan pelampau agama semakin bersemangat melancarkan serangan dalam bentuk fizikal ataupun psikologi. Serangan dalam bentuk fizikal ialah campur tangan di negara-negara tertentu manakala yang sedia berpihak kepadanya dibiarkan melakukan tindakan kekejaman secara meluas. Serangan dalam bentuk psikologi dilancarkan dengan menggunakan peralatan moden, antaranya media dengan menguasai dan menapis jenis-jenis maklumat.

Maklumat yang menggambarkan keburukan tingkahlaku segelintir penganut agama yang diandaikan sebagai musuh diperbesar-besarkan dalam konteks falsafah agama. Ia tidak dilihat dalam konteks sebenar, bahawa setiap agama mempunyai kumpulan ektremis sedangkan prinsip sebenar agama-agama ialah menyemai budaya berbudi pekerti dan menjamin ketertiban individu sebagai lambang kehidupan bermasyarakat, bernegara dan berhubung antara satu sama lain.

Secara literalnya, kesederhanaan itu dikaitkan dengan perlakuan tidak melampau, terlalu mendesak atau menekan dan tegar dengan pendirian peribadi.Berdasarkan konsep itu, secara jelasnya wasatiyyah menolak sikap melampau tetapi bukan dalam konteks penerokaan ilmu, mencari rezeki dan beribadat. Dalam konteks penerokaan ilmu, Islam mengharapkan setiap penganutnya tidak berhenti belajar dan menggunakan akal fikiran untuk membentuk pengetahuan dan penemuan baru. Budaya menyelidik dan memerhati menjadi sesuatu yang teramat besar keperluannya, kerana dengan ilmulah Islam dibangunkan, dari situasi jahiliyah kepada pemodenan.

Konteks tidak mudah menyerah kalah terpakai dalam hakikat keimanan di mana seseorang penganut Islam tidak akan goyah mempercayai Allah SWT dan nabi-nabi sebagai utusan yang dilantik untuk memimpin manusia. Dan, Islam tidak pula mensyaratkan secara mutlak kepada penganutnya agar beribadat sepanjang masa sehingga melupakan peranan semulajadi untuk mengisi perut, bergaul mesra dengan sesama manusia dan membina kehidupan berkeluarga. Tradisi yang terus diamalkan dalam agama lain, iaitu kependetaan tidak lahir dalam tradisi Islam, maka setiap orang diwajibkan menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat.

Ketidakseimbangan antara dunia dan akhirat dilihat sebagai sikap yang melampau. Sikap ekstrem inilah yang dikesali oleh Hamka kerana “Alam ini diserahkan Tuhan ke tangan kita. Asal jangan hasad, dengki, benci, loba, tamak, khianat dan berdendam, semua akan bagus dipandang. Kalau tidak dengan persangkaan yang baik, dan manusia tidak menyerah kepada aturan yang telah direntangkan itu, rusaklah bumi dan binasalah peraturan hidup.” (Falfasah Hidup, 1995: 167)

Ini membawa maksud, sikap berbaik sangka kepada seluruh kehidupan (manusia, Tuhan dan lain-lain makhluk) hidup kita akan tenteram dan tidak ada lagi kezaliman. Bagi Perdana Menteri, konsep kesederhanaan akan membolehkan kita membangunkan masa depan yang lebih tenteram, aman dan adil. Untuk menzahirkan cita-cita itu, Malaysia telah meletakkan gagasan 1Malaysia sebagai acuan penyatuan antara kaum tanpa melihat perbezaan etnik, agama dan kepercayan sebagai faktor permusuhan dan konflik.

Dengan mempromosikan prinsip wasatiyyah, maka unsur-unsur fanatisme dan fundamentalis dalam beragama tidak dlihat dalam konteks negatif. Keyakinan yang amat (fanatisme) adalah atas kedudukan Allah SWT sebagai penguasa seluruh kehidupan manakala fundamentalis ialah kembali kepada kejernihan sumber dan ajaran Islam. Konsep-konsep yang diperkenalkan dalam tradisi pemikiran rasional barat telah melebarkan perbezaan dan membangkitkan kebencian terhadap Islam. Inilah yang harus diperbetulkan dan ianya dapat dilaksanakan secara berkesan melalui aplikasi prinsip kesederhanaan.Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah di kurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu) dari dunia”.

Pendekatan kesederhanaan membolehkan kita melihat sesuatu dalam konteks yang lebih luas dan objektif. Keluasan perspektif itu akan memberikan kita sumber dan semangat yang kuat untuk membangunkan peradaban di mana ketertiban perilaku mengawal keserakahan nafsu. Dari situlah peradaban yang bakal muncul akan menjadi lebih tenteram, mapan dan mampu kekal berpanjangan. Sejarah memberikan kita banyak pengajaran, bahawa kerakusan dan sikap membelakangkan ketertiban moral akhirnya meruntuhkan tamadun itu sendiri walhal ia perlu dibena menurut sunnah yang telah ditetapkan oleh pencipta Alam itu sendiri.

Bahkan Hamka pernah mengingatkan kita bahawa “Hidup manusia adalah di tengah sempadan, perbatasan antara perangai malaikat dengan perangai binatang. Sebab itu kalau mereka meniru malaikat, mereka akan lebih daripada malaikat, sebab kemalaikatannya dicapai dengan perjuangan yang lebih hebat daripada malaikat sendiri. Tetapi sebaliknya jika manusia meniru perangai binatang, maka kehinaannya pun akan melebihi binatang. Binatang apabila telah kenyang perutnya, akan terus tidur, istirehat. Tetapi manusia, walaupun telah kaya, bertambah kaya, bertambah tidak senang hidupnya.” (hal.174).

Maknanya, jalan terbaik membina nilai-nilai kehidupan yang tertib dan beradab, memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan berkekalan ialah melalui prinsip kesederhanaan. Tidak ada agama yang mengajak manusia melakukan kejahatan, tetapi dalam setiap agama tetap ada mereka yang menganjurkan fahaman melampau.

Catatan Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply