Tegas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof. Datuk Mahamad Naser Disa, keada­an itu lebih buruk berbanding penjajahan Jepun di Ta­nah Me­layu pada 1942, di mana kedudukan Islam masih dilin­dungi di bawah kuasa raja-raja.

Menurut Mahamad Naser yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, sejak awal lagi agenda DAP tidak pernah senang dengan pihak berkuasa agama.

“DAP mahu authority of ideas bukan idea of authority. Sebab itu juga, mereka tidak pernah senang kepa­da institusi agama Islam.

“Apabila mereka me­megang kuasa pe­merintahan kelak, ja­ngan terkejut jika tiada lagi perkara-perkara yang menegakkan kedaulatan Islam,” katanya.

Tambah Mahamad Naser, lebih membahayakan apabila gabungan pembangkang PKR mengambil alih Kerajaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan mungkin diubah kepada agama rasmi yang membawa dua kesan berbeza daripada sudut perundangan.

Katanya, takrifan agama rasmi pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan hanya akan menjadikan Islam bersifat kerai­an atau ceremonial iaitu seperti sekadar acara bacaan doa untuk majlis-majlis anjuran kerajaan.

“Pada masa sama, ingat apa kebebasan beragama yang hendak dibawa mereka? Jangan lupa kepada cubaan menganjurkan perhimpunan Jerusalem Jubilee di Melaka, tahun lalu,” katanya.

Sumber maklumat utama DAP, roketkini.com, parti yang didakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai parti pelampau perkauman dan rasis menerima kedudukan Islam sebagai agama ‘rasmi’ negara.

Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) gabungan pembangkang PKR pula mele­takkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan ‘harmonis’ di negara ini.

Sejak semalam, tular mesej berhubung tindak-tanduk dan kenyataan pemimpin DAP sebelum ini menghina Islam antaranya pernah memperlekehkan status negara Islam dan mempersoalkan larangan ke atas umat Islam menyambut Hari Kekasih.

Dalam perkembangan sama, di Pulau Pinang pada tahun lalu, Pas negeri itu pernah mendakwa wujud campur tangan oleh Maj­lis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga menyebabkan empat fatwa yang sudah diluluskan tidak diwartakan atas alasan tidak bersesuaian dengan situasi politik semasa.