“Sekali minum mahu dua, setelah dua terus jatuh cinta”

Perjalanan menaiki pacuan empat roda dari Sandakan mengambil masa lebih lima jam untuk sampai ke Jeti Sabang dan seterusnya menaiki bot untuk ke Pulau Keniogan akhirnya terasa begitu cepat hilang penatnya melihat sekumpulan penduduk sudah menunggi ketibaan kami sejak jam empat petang.

Jarak perjalanan dari Sandakan ke Jeti Sabang sekitar 280 kilometer terpaksa merentasi kawasan ladang kelapa sawit yang becak dan berdebu sejauh 40kilometer dari simpang Kg Pantai Boring. Menariknya, ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh IJM Plantations ini dengan jelas memberikan amaran ‘tidak dibenarkan berburu’ dan setiap mereka yang menggunakan jalan tersebut wajib mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan, termasuk memakai topi keledar dan tidak memandu lebih 40 kilometer sejam.

Sebelum sampai di pintu masuk ladang kelapa sawit tersebut, kami sudah merentasi jalan bertar dari Sandakan dan selepas pekan Hulu Sapi, perasaan sedikit gerun apabila tiba di Bukit Ular. Keadaan jalannya berliku-liku dan antara selekohnya begitu dekat menyebabkan pemandu dari Kelab Pacuan Empat Roda Beluran amat berhati-hati. Sesekali olengan kenderaan pacuan empat menyebabkan tangan secara automatik memegang pemegang tangan yang berada di bahagian atas pintu ataupun menahan olengan itu dengan menahan tangan pada bahagian belakang kerusi penumpang hadapan.

Bagaimanapun, ketinggian bukit tersebut dan keadaan selekohnya tidaklah begitu menakutkan berbanding jalan ke Jelebu, Negeri Sembilan dari Hulu Langat. Bagi kami, perjalanan itu tidaklah begitu mencabar sebagaimana kami pernah lalui ‘jalan lori balak’ antara Long Bedian ke Long Luteng, Hulu Baram, Sarawak ataupun jalan yang menghubungi Pos Broke di Gua Musang ke Cameron Highland di Pahang.

Sesampainya kami di pintu terakhir ladang kelapa sawit, pengawal keselamatan memberitahu bahawa tiga buah bot dan seorang anggota polis telah dua jam menunggu. Perjalanan kami sedikit terlambat disebabkan krew Majalah Tiga dari Stesen Televisyen Malaysia Berhada atau TV3 perlu merakamkan beberapa scene sepanjang perjalanan, termasuklah ketika melintasi Bukit Ular, simpang Ladang IJM, terminal kereta sewa dan bas di Sandakan serta gambar kenangan dengan pemandu pacuan empat roda dari Kelab Pacuan Empat Roda Beluran. Waktu itu, jam sudah menunjukkan 4.30 petang.

Ketua Kampung, Datuk Haji Madlis Haji Aziz menceritakan sejarah permulaan penempatan Pulau Keniogan

Selepas berehat beberapa ketika dan berbincang mengenai perjalanan seterusnya, kami menaiki tiga buah bot menuju ke Pulau Keniogan. Sepanjang perjalanan selama 45 minit itu begitu mengasyikkan apabila melihat begitu suburnya pokok bakau tumbuh dan dijaga rapi oleh renjer Jabatan Hutan. Pencerobohan kayu-kayu bakau yang digazetkan sebagai ‘Hutan Simpanan’ merupakan satu kesalahan, ia adalah sebahagian daripada khazanah alam yang wajib dipelihara bagi tujuan mengekalkan flora dan fauna, menghasilkan plankton untuk makanan ketam, ikan belanak dan lain-lainya, keseimbangan ekosistem dan lebih utama ialah menahan hakisan.

Mungkin kita tergambar mengenai peristiwa tsunami yang melanda bahagian utara Semenanjung pada 26 Disember 2004, yang turut menghancurkan bumi Aceh, Madagascar, Sri Lanka dan kawasan peranginan terkenal di Thailand (Phuket dan Krabi) disebabkan pantai tidak lagi mempunyai penahannya, iaitu akar-akar pokok bakau. Selepas peristiwa itu, negeri Terengganu mula menanam semula pokok bakau di sekitar pantainya yang berlumpur manakala pantai-pantai yang berpasir tidak sesuai untuk pertumbuhan pokok bakau.

Saya pernah melihat bagaimana hutan bakau dimusnahkan secara rakusnya atas kepentingan pembangunan di sepanjang jalan dari Taiping menuju Kuala Sepetang. Dari segi ekonomi ia adalah suatu ‘keperluan’ disebabkan tanah-tanah tersebut amat perlu untuk pembangunan, tetapi untuk kelestarian ekosistem ia tetap merupakan suatu kerugian yang besar, termasuklah kemungkinan-kemungkinan seperti tsunami.

Pada suatu ketika, kayu bakau amat popular untuk dijadikan arang, pancangan dalam air, pagar dan juga perancah bagi kontrak pembinaan. Aceh pernah terkenal sebagai pengeksport ‘arang kayu bakau’ yang terbesar ke Malaysia. Tetapi setelah berlakunya tsunami yang mengorbankan lebih 200,000 orang dan memusnahkan ribuan buah rumah, arang kayu bakau tidak lagi menjadi komoditi eksport sebagaimana pernah berlaku pada tahun 1980-an hingga 1990-an di Pengkalan Weld, Pulau Pinang.

Setibanya kami di perkampungan Keniogan, kami disambut mesra oleh penduduk setempat dan setiap simpang lorong ‘rumah air’ menyapa kami dengan ucapan ‘selamat datang’. Sambutan sedemikian merupakan tradisi penduduk yang kesemuanya adalah dari keturunan Bajau yang mula menetap di situ lebih 200 tahun silam.

Menurut Ketua Kampong, Datuk Haji Madlis Haji Aziz, 72,  Keniogan berasal dari dua perkataan, iaitu ‘niog’ dan ‘gan’. Sebelumnya, pulau ini merupakan kawasan persinggahan para nelayan untuk berlindung dari ombak ataupun angin ribut disebabkan kedudukannya agak terlindung.

menaiki bot dari Sabang ke Keniogan

“Niog dalam bahasa Bajau membawa maksud pokok kelapa. Suatu ketika, seorang nelayan membawa sebiji kelapa ketika singgah dan setelah beberapa bulan ianya mulai tumbuh dengan subur.

“Apabila kelapa itu mula menjadi pokok, nelayan berkenaan menjadikanya sebagai petunjuk utama. Setiap kali mahu berlindung daripada tiupan angin kencang, para nelayan mengambil keputusan ke niog.

“Selepas merasakan kawasan persinggahan sementara menanti angin laut reda, para nelayan mula berfikir bahawa tempat persinggahan itu sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan. Saat itu mereka mula mendirikan rumah air di tubir Laut China Selatan yang agak terlindung” jelas Datuk Haji Madlis.

Katanya lagi, “ketika itu, selain menjadi nelayan, penduduk juga terbabit dalam kegiatan memelihara mutiara di sebuah pulau yang berdekatan. Apabila musim mencari mutiara tiba, para nelayan turut berpindah ke beberapa pulau yang lain termasuk Jambongan, Limau-Limau dan sebagainya.

“Selepas musim mutiara tamat, penduduk-penduduk ada yang berpindah semula ke Keniogan dan seterusnya menetap secara kekal. Pada tahun 1960-an, perusahaan mutiara mengalami masa depan yang suram disebabkan saingan daripada Filipina dan juga keadaan periaran Sabah semakin tercemar serta tiada kawalan ,” terang Datuk Haji Madlis.

perjalan menaiki bot

Ketika berbual dengan bekas guru SK Keniogan, Banggaya Butes, 64 tahun pada tahun 1971, terdapat sekitar 30 buah rumah air di sekitar Kg Keniogan dan kini sudah bertambah lebih 200 buah denggan anggaran penduduk lebih 1,000 orang.

Banggaya yang berasal dari Pulau Tabuan yang jaraknya sejam perjalanan dengan menggunakan bot mula ditempatkan di Pulau Keniogan sebagai guru sementara pada usia 18 tahun dan kini, selepas berkhidmat selama 28 tahun beliau bersara pada tahun 2011.

Beliau yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai sepuluh orang anak (seorang sudah meninggal) akhirnya membuat keputusan untuk terus menetap di Pulau Keniogan kerana terpikat dengan keramahan dan kemesraan penduduk setempat. Mungkin juga sudah terkena ‘air tangan’ penduduk Pulau Keniogan, yang menurut Ketua Kampung, “sekali minum, mahu dua kali, dan seterusnya, terus mencari kerana keenakannya.”

Menurutnya, ketika mula berkhidmat agak sedih juga untuk meninggalkan kampung halaman, tetapi sejak mengenali dan berkahwin dengan anak gadis Pulau Keniogan ia seperti dijelaskan oleh Ketua Kampung, siapa yang datang ke sini pasti akan mahu datang lagi, apatah lagi apabila mulai merasai makanan orang kampung. Benarlah seperti yang diberitahu oleh Datuk Haji Madlis, bila sudah biasa akan ‘jatuh cinta’.

Selain Cikgu Banggaya terdapat seorang lagi guru yang mengalami peristiwa yang sama, jatuh cinta dengan penduduk tempatan dan berkahwin. Walaupun sudah bersara, masih menetap di Pulau Keniogan kerana disinilah ‘hati dan jiwa kehidupan’ yang tenang, damai dan tenteram. Tidak ada kesibukan, jauh daripada persaingan pengaruh luaran dan lebih utama ialah kejiranan yang harmoni dan amat akrab.

Menurut penduduk kampung, peranan Datuk Haji Madlis begitu besar dalam menentukan realiti sosial masyarakat Pulau Keniogan. Datuk Haji Madlis mula mengambilalih kepimpinan daripada arwah ayahnya dan sejak tahun 1960-an, selepas tamat sekolah, beliau mula membantu ayahnya menguruskan hal ehwal kehidupan bermasyarakat penduduk setempat.

Kata Datuk Haji Madlis, ‘saya menggilap asas kepimpinan daripada ayah, dengan menjadi pembantunya dalam beberapa perkara. Pengalaman itulah telah membolehkan beberapa unsur negatif yang pernah berlaku dalam masyarakat dapat dihindarinya dan keharmonian kehidupan di rumah air dapat dipertahankan hingga kini.”

Pernah suatu ketika, perkara-perkara negatif seperti berjudi, tidak bersembahyang, tidak berpuasa di bulan Ramadhan dan pergaduhan berlaku. Semuanya itu dapat diatasi secara berhemah, dengan pelbagai kaedah komunikasi interpersonal dan motivasi dilakukan berdasarkan slogan “tidak tahu kerana tidak biasa, maka biasa-biasakanlah’.

Menceritakan pengalaman untuk menggalakkan penduduk tempatan berpuasa pada suatu ketika dalam tahun 1960-an, Datuk Haji Madlis menawarkan pengambilan barangan keperluan secara percuma “iaitu apa yang ada” setiap hari di bulan Ramadhan.

“Ketika itu, keadaan ekonomi saya begitu baik. Hari pertama tawaran, barangan yang diperlukan masih berbaki tetapi pada hari keempat, ia hampir kehabisan. Pada hari kelima, ramai yang datang untuk mengambil bekalan percuma, sudah habis. Dari situlah suatu keputusan dibuat, dengan menggalakkan para nelayan untuk turun ke laut walaupun berpuasa.

“Dengan izin Allah, setiap mereka yang turun ke laut memperoleh hasil yang banyak dan ini mendorong penduduk tempatan menjadi nelayan yang gigih. Akhirnya, menangkap ikan merupakan aktiviti tetap penduduk Pulau Keniogan kerana tidak ada tanah untuk dijadikan lahan pertanian,” jelas Ketua Kampung Keniogan.

Monosin Sobri

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply