SEKS BAGAI BARAH BERNANAH

Oleh: Monosin Sobri

JUMLAH penduduk dunia pada tahun 2011 telah mencecah tujuh bilion di mana China menduduki tempat pertama dengan jumlah 1.34 bilion orang, India  seramai 1.2 bilion, Amerika Syarikat 311 juta, Indonesia 246 juta dan Malaysia mencapai tahap 28.7 juta.

Hubungan jumlah penduduk yang ramai dan semakin bertambah dengan masalah sosial juga menjadikan dunia semakin tidak sunyi dengan masalah. Trilogi kehidupan dalam konteks jenayah – pengkhianatan, pembunuhan, dan seks turut meningkat sehingga menjadikan tidak ada hari tidak dilanda kes-kes tersebut.

Di Malaysia, kes-kes yang melibatkan kejadian rogol, penyeksaan seks, hubungan seks terlarang, kecelaruan seks, eksploitasi seks, gangguan seks dan seumpamanya telah meningkat tinggi sehingga ada perangkaan menggerunkan. Misalnya, dari data yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia, setiap dua setengah jam berlaku satu kejadian rogol.

Laporan Malay Mail, a rape every 2.5 hours, 19 Mei 2011 benar-benar mengejutkan masyarakat umum apabila mendedahkan empat jenis jenayah seks yang semakin meningkat. Kes rogol telah meningkat dari 2.431 kes pada tahun 2006 ke 3,595 kes pada tahun 2010. Keganasan rumah tangga (penderaan seks dalam keluarga) meskipun menunjukkan tren penurunan dari 3,264 kes kepada 3,173 ia masih tinggi dan secara puratanya setiap hari terdapat sembilan kes.

Jenayah seks kedua yang menunjukkan peningkatan ialah gangguan seksual dari 1972 kes (2006) kepada 2,054 (2010) manakala sumbang mahram dari 332 kes (2006) kepada 413 kes (2010) dan sodomi dari 180 kes (2006) kepada 218 kes (2010). Kes-kes tersebut merupakan kes yang dilapor dan dapat dikesan oleh pihak berkuasa, malah lebih ramai masyarakat percaya kes-kes tersebut adalah lebih besar  kerana hanya sebahagian sahaja masyarakat yang sanggup tampil membuat laporan.

Bagi sebahagian masyarakat disebabkan sebahagian besar punca kejadian itu melibatkan anggota keluarga, mereka membuat penyelesaian tersendiri bagi menjauhkan berlakunya aib atau menjejaskan hubungan persaudaraan. Mereka tidak tampil dan cuba membuat penyelesaian masing-masing dengan berunding bersama mencari penyelesaian, termasuk kes-kes gangguan seksual, rogol, dan sumbang mahram.

Ada anggaran telah dibuat, dalam sehari purata 200 juta pasangan melakukan hubungan seks dan hasil daripada aktiviti tersebut telah menyebabkan 400,000 bayi dilahirkan di seluruh dunia. Namun, masyarakat tidak merasakan ianya sesuatu yang pelik, jikan kelahiran dan hubungan seks yang berlaku adalah dalam keadaan sukarela, dan bukannya atas hubungan terpaksa dan dipaksa.

Ada juga anggaran yang menjadi cabaran besar masyarakat masa kini ialah meningkatkan kelahiran bayi luar nikah sehingga menyebabkan ada pasangan mengambil jalan singkat untuk mengelakkan diri dari dimalukan. Berdasarkan amalan budaya sesebuah masyarakat, seorang remaja perempuan yang melahirkan bayi tanpa ikatan perkahwinan yang sah, ia akan menerima deraan dan desakan masyarakat. Akibat ketakutan itulah menjadikan sebahagian sanggup “melupuskan” bayi mereka dengan berbagai kaedah, seperti meninggalkannya di tempat pembuangan sampah, di stesen bas, kakilima kedai, menanamnya hidup-hidup, meninggalkannya di laluan awam termasuk masjid dan lebih manusiawi apabila menyerahkan kepada keluarga angkat atau rumah-rumah kebajikan yang didirikan oleh badan kebajikan yang dikendalikan oleh orang perseorangan ataupun pertubuhan kebajikan secara sukarela.

Kes kelahiran bayi tidak sah taraf di Malaysia juga turut meningkat sehingga ada anggaran dibuat bahawa setiap 18 minit, seorang bayi dilahirkan oleh ibu yang tidak berkahwin secara sah. Berita ini telah menggemparkan masyarakat, tetapi sikap sinis masyarakat itu tidak juga menunjukkan adanya jalan penyelesaian terbaik, yakni boleh membantu mengurangkan fenomena anak tidak sah taraf. Cadangan menubuhkan sekolah atau rumah-rumah bagi membantu ibu-ibu muda yang hamil tentunya cadangan bagi menyelesaikan masalah bagi jangka pendek, jangka panjangnya masih belum jelas bagaimana boleh membendungnya.

Dalam situasi itulah hampir setiap hari ada berita, bayi yang baru lahir telah ditinggalkan. Bayi yang cukup sifat dijumpai kesejukan, dihurungi semut atau hampir dimakan anjing di tempat pembuangan sampah dan janin dibungkus serta dilupuskan tanpa menurut kaedah sewajarnya. Kebimbangan itu juga menjadi semacam bermusim, selepas media tidak memberikan fokus, maka masyarakat diam seketika, kecualilah ada pihak yang mengeluarkan kenyataan atau cadangan keras yang boleh mengundang kontroversi.

Kes-kes yang berhubungan dengan kecelaruan seks turut menggemparkan masyarakat apabila ada sesuatu keputusan yang dilihat tidak manusia. Kes terbaru ialah mengenai seorang lelaki yang telah menjalani pembedahan jantina, kemudiannya memohon mahkamah untuk mengesahkan pertukaran jantinanya. Bagaimanapun keputusan tidak menyebelahi pemohon tersebut, maka ia merasakan haknya telah dinafikan, emosinya terancam teruk sehingga menyebabkan jantungnya tidak lagi berfungsi. Tekanan darah semakin rendah, kematian telah menjadikan si lelaki yang sudah bertukar menjadi perempuan mendapat simpati yang meluas.

Banyak pihak rasa kesal kerana tidak dapat membantu. Ada yang kesal kerana kecelaruan jantina itu tidak sempat untuk ditarbiahkan sebaik mungkin agar kembali ke pangkal jalan, malah ada pihak yang memberikan pandangan, meskipun telah menjalani pembedahan, fungsi alat kelamin baru itu tidak boleh mengubahkan keadaan, ia tetap tidak akan dapat melahirkan zuriat. Pembedahan hanya boleh menukarkan alat kelamin, tetapi tidak menukarkan nurture dan nature yang ada dalam diri seorang perempuan secara alami.

Beberapa bulan sebelum peristiwa pedih itu, masyarakat dikejutkan dengan desakan kumpulan yang celaru identiti seks yang cuba memaparkan kehidupan yang lebih baik dalam alam tersebut. Hasrat menyebarkan pengalaman dan pandangan terbabit adalah untuk menarik lebih ramai lelaki yang suka dan cenderung dengan kehidupan sedemikian, di samping membentuk persepsi umum bahawa mereka juga patut diberikan peluang untuk memilih kehidupan sebagaimana yang dikehendakinya.

Persoalan sedemikian bukanlah merupakan desakan terbaru, malah sejak sekian lama mereka telah berjuang untuk mendapatkannya. Di Malaysia, kelompok tersebut pada mulanya dikenali sebagai pondan, kini dikenali sebagai gay ataupun generasi lembut semakin membesar bilangannya dan berani tindakannya. Mereka bukan hanya sekadar berada di lorong-lorong gelap pada waktu malam di bandar-bandar besar mencari pasangan bahkan juga menjalani aktiviti peragaan (modeling), persolekan, kelab-kelab hiburan dan perniagaan sehingga mampu mengalahkan lelaki tulen dalam sesetengah hal. Dalam bidang kecantikan luaran, mereka turut menjalani pelbagai kaedah pembedahan sehingga benar-benar menampakkan susuk tubuh seperti perempuan tulen. Sekali imbas untuk mengenalinya juga sukar, kerana pakaian yang digunakan adalah pakaian wanita moden, kasut bertumit tinggi dan kosmetik. Cuma yang berbeza ialah apabila terkejut akan mengeluarkan suara sebenar, iaitu suara lelaki.

Malah banyak lelaki menggemari kehidupan bersama kelompok tersebut sehingga menjadikan lorong-lorong tertentu di bandar besar tidak kesunyian meskipun lewat malam. Ramai lelaki bukan hanya sekadar menjamu mata, malah ikut menjamu keghairahan seks dengan pasangan sejenisnya dengan sedikit bayaran tanpa menyesal berdosa. Ada yang memberikan maklumbalas, hubungan seks sedemikian adalah lebih memuaskan berbanding hubungan seks dengan pasangan yang berbeza jantina.

Akibat undang-undang dan peraturan budaya Malaysia tidak memberikan ruang kepada kelompok tersebut, ada di antara mereka sanggup menjalin hubungan dengan rakyat asing. Setelah saling kenal dan jatuh cinta, akhirnya mereka berkahwin di luar negara di mana semakin berkembang negara yang membenarkan perkahwinan sejenis. Iceland merupakan sebuah negara yang memberikan kebenaran perkahwinan sejenis setelah pemimpin utama negara itu menjadi pasangan pertama melakukannya setelah peraturan diubah dan diluluskan. Sebelum ini, hanya beberapa buah negara Eropah yang membenarkan perkahwinan sejenis dan yang terbaru ialah 44 negeri di Amerika Syarikat telahpun meluluskan peraturan yang sama. Bulan Julai 2011 telah berlangsung perkahwinan beramai-ramai pasangan sejenis di Amerika Syarikat, maka beberapa buah negeri lagi dijangka akan mengambil inisiatif yang sama disebabkan mereka menjadi kumpulan yang semakin berpengaruh.

Di Indonesia, pernah berlangsung acara tahunan memilih “Ratu Pondan” manakala di Thailand sudah ada kelab “paperdoll”. Di Malaysia, walaupun masih belum berlaku secara terbuka, unsur-unsur yang sama semakin berkembang dalam kelab-kelab eksklusif, yang hanya terhad kepada anggota yang berdaftar sahaja. Trend ini dijangka akan terus meningkat kerana sebahagian besar masyarakat Malaysia semakin liberal pemikiran mereka, tidak lagi mengutuk perbuatan tersebut. Malah ada ibu bapa, atas kasih sayangnya kepada anak-anak tidak lagi melarang anak-anak lelaki berkelakuan seperti perempuan kerana nalurinya telah tumbuh sejak kecil. Ada ibu bapa yang sanggup membiarkan anak-anak mereka membesar dalam kecelaruan seks, dan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang sepatutnya disekat dan dikekang dari terus membengkak.

Dalam pengertian psikologi, berdasarkan kajian ilmiah dalam kerangka pengetahuan barat (khususnya Amerika Syarikat), ia ada hubungkait dengan perkembangan istilah gender. Sebelum kelompok feminism berkembang, masyarakat barat hanya mengiktiraf dua jenis jantina secara semulajadi, iaitu lelaki dan perempuan. Setelah kepesatan perkembangan pengetahuan berasaskan rasional, kecenderungan fenomena itu hanyalah bermula dengan kecenderungan mendampingi mereka yang mempunyai sikap dan pandangan yang sama atau hampir sama. Bermula dari situ mereka mula menjadi semakin faham mengenai naluri kebersamaan jantina secara psikologi sehingga menjadikan mereka mula memberikan perhatian kepada perubahan budaya. Lama kelamaan ia berkembang menjadi pasangan hidup bersama sehingga ada kesanggupan lain untuk melakukan hubungan seks secara songsang.

Kemajuan bidang perubatan dan penyelidikan telah membolehkan mereka melakukan pembedahan menukarkan jantina, dan kebanyakan dari lelaki kepada perempuan. Hingga kini masih belum ada kes-kes pembedahan penukaran alat kelamin perempuan kepada lelaki. Lelaki akan berkahwin dengan lelaki, dan dalam sesetengah keadaan mereka mengamalkan budaya seks secara biseksual – pelbagai jantina, sesama lelaki dalam keadaan tertentu, manila dengan perempuan dalam keadaan yang lain. Bagi mereka, yang penting ialah kepuasan dan kesukarelaan, bukan secara paksaan.

Selain daripada istilah “pondan”, sifat lelaki berwatak perempuan turut dikenali sebagai “darai”, “bapuk” dan “mak nyah”. Perkataan pondan memerihalkan perlakuan lelaki berlagak perempuan dalam banyak cara dan keadaan, manakala perkataan mak nyah dikenalpasti bermula di Singapura oleh orang Melayu bagi melabelkan lelaki berwatakkan perempuan. Perkataan mak nyah telah mula digunaan secara selang seli atau sinonim dengan pondan dalam bahasa Melayu moden di Malaysia. Ada juga kecenderungan untuk mempopularkan perkataan “gay” dalam budaya popular Malaysia bagi menggambarkan tabiat pondan atau sifat-sifat mak nyah.

Secara jelasnya, perkataan-perkataan tersebut telah menyebabkan penelitian fasa homoseksualiti di Malaysia bukan sahaja makin berkembang, malah wilayah persepsi dan jumlah manusia di dalamnya semakin bertambah. Homoseksualiti di Malaysia sudah menjadi konsep pemberitaan dan persepi yang semakin terarah kepada sokongan, meskipun masih besar lagi jumlah yang menentangnya. Meneliti laporan akhbar dan simpati yang diberikan mengenai kes terbaru setelah kecewa membawa kepada kematian seorang lelaki malang yang gagal dalam permohonannya untuk diisytiharkan sebagai perempuan jelas membawa mesej atas nama kemanusiaan dan simpati, manusia menjadi semakin liberal dengan apa yang pernah dipertikaikan sebelumnya. Maka, situasi ini jika tidak dibahaskan secara berhati-hati ia bakal mengubah masalah kutukan kehidupan songsang itu menjadi sesuatu yang hampir dihalalkan secara budaya pada masa akan datang.

Petunjuk asas sudah ada, masyarakat tidak lagi memandang pelik kepada golongan tersebut kerana mereka juga adalah manusia yang boleh menentukan pilihannya sendiri. Manusia bebas melakukan apa sahaja keinginannya walaupun kadangkala bercanggah denga nilai-nilai budaya dan agama. Atas nama kebebasan dan hak asasi, akhirya seks yang bercelaru itu akan menjadi barah yang semakin menanah dalam masyarakat yang kian berkembang dan liberal. Pertambahan penduduk mempunyai kaitan dengan bertambahnya bilangan mereka yang celaru identiti, malah atas desakan ekonomi yang lebih banyak menonjolkkan fun, fashion dan filem sebagai komoditi yang amat menguntungkan, maka selagi itulah budaya ini mendapat perhatian. Wanita telah diseretkan dengan eksploitasi, maka atas pengaruh itulah lebih ramai lelaki ingin bertukar menjadi wanita setelah semakin banyak produk untuk wanita dikeluar dan dikomersialkan.

Bahkan, kalau dihayati perkembangan mempamerkan seks atas alasan seni, maka kita akan dapat memahami situasi sedemikian telah memasuki alam bawah sadar manusia. Alam bawah sadar ini kemudiannya berkembang sehingga memperluaskan definisi “seks seni” ke dalam pemikiran psikoanalisa yang diterapkan oleh Sigmund Freud. Pada tahun 1978, seorang pensyarah seni dari Universiti Cornell, Amerika Syarikat misalnya telah diberhentikan kerana mempamerkan foto aurat mentua, suami dan anak lelakinya sendiri. Jacqueline Livingston telah dilabelkan sebagai “sudah terlalu jauh berpetualang” kerana melakukan pelecehan seksual menerusi keindahan fotografi yang menjadi bidang kepakarannya.

Undang-undang mengenai seks sudah lama dikanunkan, misalnya Amerika Syarikat, ada Comstick Act (sejak tahun 1873), Child Pornography Prevention Act 1996), Obscene Publications Act 1857, Sexual Offences Act 2003, dan akhirnya tidak dapat lagi bertindak dengan tegas kerana desakan untuk menonjolkan seks semakin besar, meluas dan kreatif, sehingga membentuk industry yang menguntungkan. Hugh Hefner, seorang jutawan yang mula mengumpulkan kekayaan berdasarkan kekuatan imajinasi seksnya menerusi perniagaan majalah telah merevolusikan pemikiran umum masyarakat seluruh dunia. Itulah dikatakan permulaan besar dalam perdagangan aksi seks sebagai keperluan komunikatif dan akhirnya semacam tidak lengkap dalam filem-filem keluaran Amerika Syarikat jika tidak ada selitan adegan berbaur seks, termasuk seks bebas dan sumbang mahram.

Meskipun Amerika Syarikat semakin liberal dengan persoalan seks, kesilapan ahli politik mereka berkait dengan hubungan seks telah memaksa mereka membersihkan diri dengan meletakkan jawatan. Rakyat Amerika Syarikat yang berfikiran bebas, tetap tidah mahukan pemimpin mereka terlibat dengan pelbagai skandal, dan tentunya yang menggemparkan ialah seks. Hal ini berlainan dengan apa yang berlaku di Malaysia, seseorang yang mempunyai kaitan dengan skandal seks atau semburit (sodomi) akan terus mencari helah untuk menyembunyikan kes itu demi kelangsungan hajat menjadi pemimpin.

Demikianlah, sebuah paradoks budaya dalam masyarakat politik Malaysia yang sedang berkembang ke arah perubahan songsang dan berpenyakit. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi menutupi kecurangan tersebut asalkan hasrat dan kedudukannya sebagai pemimpin tidak terjejas. Itulah barah kemanusiaan dan virus budaya yang sedang bernanah dalam masyarakat Malaysia yang semakin bertambah bilangan anak muda berpengetahuan, mengamalkan sikap liberal oleh pendedahan budaya asing yang terus menyelinap roh globalisasi dan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi.

Padahnya nanti, budaya kita yang menyanjungi kehidupan beradab dan beradat bertukar menjadi kehidupan bercelaru jati diri, bahkan membunuh tradisi moral yang dikembangkan dari ikatan agama, sudut pandangan masyarakat leluhur. Akhirnya, kita lupa bahawa banyak iktibar dari sejarah, kehancuran sesebuah peradaban itu adalah kerana manusia telah lupa dengan hakikat diri, manusia tidak mampu mencabar kesemulajadian dirinya, asas dan fungsi kenapa dia sebenarnya diciptakan iaitu untuk hidup secara bermasyarakat dan  tidak mengikat dirinya dengan pelbagai kecurangan. Kecurangan itulah sebenarnya menjadi barah yang kian menanah.

No Comments

    Leave a reply