SELAMATKAN SEBELUM TERLAMBAT

Ungkapan keramat ‘Perangi dadah habis-habisan’ mesti direalisasikan dalam menyelamatkan Melayu daripada najis dadah yang semakin berleluasa. Dadah sudah disinonim dengan Melayu, hampir 100 peratus yang terlibat berbanding bangsa lain. Apa sudah jadi? Di Indonesia dan Filipina, pemimpin mereka sudah mengeluarkan kenyataan menembak mati penagih dadah. Negara kita belum sampai ke tahap itu. Kita masih berpegang kepada nasihat agama, setiap penyakit itu ada ubatnya.

Di Terengganu, penagihan dadah dalam kalangan nelayan dan anak mereka semakin serius. Buah pisang tidak sempat tua, sudah dikebas. Ini tidak termasuk di tanah rancangan Felda seperti yang disuarakan oleh Pemangku Sultan Pahang.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap masalah gejala dadah yang semakin berleluasa di tanah rancangan Felda di negeri itu. Isu ini turut mendapat perhatian serius Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini, yang mahukan semua pihak yang berkenaan, segera menangani dan mengambil tindakan proaktif bagi mengatasinya.

Baginda tidak mahu tanah rancangan Felda ini berterusan menjadi lubuk penagihan dadah dan berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Saranan Baginda perlu diberikanperhatian serius. Isu dadah ini bukan isu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis sahaja. Ia melibatkan semua pihak, tidak kira siapa. Semua akan berada dalam keadaan tidak selamat jika penagihan dadah ini tidak diselesai segera. Dadah boleh menghancurkan agama, bangsa dan negara.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Kelantan telah memberikan sokongan padu kepada Timbalan Perdana Menteri, mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat Polis Kelantan bagi meningkatkan usaha membanteras gejala penyeludupan dadah dari negara jiran. TPM mahukan  siasatan dan pengawasan ‘jalan-jalan tikus’ di sekitar kawasan sempadan negara yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan dadah. Tindakan ini sangat penting bagi memastikan dadah tidak sampai kepada sasaran. Saya amat bimbang ada tangan-tangan jahat dibelakang merancang untuk melemahkan orang Melayu melalui dadah.

Di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), telah ditubuhkan Pusat Penyelidikan dan Rawatan Ketagihan (CentRenA), diketuai  Prof. Dr. Nasir Mohamad, seorang pakar perubatan.  Selain dijadikan pusat rawatan dengan pelbagai kaedah secara komprehensif, pusat ini dapat memperkenalkan hasil-hasil kajian melalui kerjasama pusat penyelidikan antarabangsa dan institusi pengajian tinggi tempatan. CentRenA juga bekerjasama dengan NGO dan semua institusi berkaitan bagi memastikan tindakan lebih agresif dan berkesan.

CentRenA melakukan penyelidikan pemulihan  bagi meningkatkan  kelestarian kadar pengekalan klien ketagihan yang mengikuti program Terapi Gantian Metadon (TGM).  Menurut Dr. Nasir, TGM merupakan terapi gantian untuk merawat kesan ‘withdrawal symptoms’ dan ketagihan. Segala kepakaran diperah bagi memastikan masalah ini dapat ditangani. Ini tidak termasuk  rawatan secara biologi, psikologi dan juga psikospritual.

Produk-produk inovasi turut dihasilkan dalam meningkatkan kadar pemulihan klien ketagihan termasuklah Modul Psikospiritual, Mesin i-Dispenser dan makanan tambahan, i-Nutrien gabungan madu kelulut, habatussauda dan air zam-zam yang telah memenangi beberapa anugerah.

Saya, selaku ikon AADK peringkat Negeri Terengganu dan penyelidik di CentRenA ingin mencadangkan beberapa perkara demi menyelamat Melayu dan Islam sebelum terlambat, selain usaha di atas. Pertama, dadah mesti diperangi hingga ke akar umbi atau ke lubang cacing. Tidak ada kompromi dengan dadah. Cari pengedar yang mahu menghancurkan Melayu. Jika di Indonesia dan Filipina pengedar dan penagih tegar ditembak mati. Apakah pengedar dadah dan mereka yang bersubahat tidak ‘dimatikan?

Saya amat yakin mereka yang mengedarkan dadah dalam kalangan anak muda Melayu, ada kaitan dengan strategi untuk menghancurkan dan melemahkan Melayu dan Islam. Sasarannya adalah anak-anak muda. Apabila tenaga muda tidak dapat digunakan lagi maka bermulalah kehancuran sesebuah negara. Saya merayu kepada anak-anak muda, agar dapat katakan TIDAK, berkaitan apa juga perkara yang berkaitan dadah, seperti merokok dan sebarang pengambilan opiat.

Kedua, semua agensi kerajaan yang telah ditubuhkan mesti digerakkan secara agresif secara kolektif. Jangan hanya cantik di atas kerja sahaja. Tidak berpolitik dalam memerangi dadah. Bermula daripada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD), Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Kebangsaan, Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU), Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Pencegahan dan Publisiti (JPPP), Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan (JRP), Majlis Bertindak Membanteras Dadah (MTMD) Negeri, dan Majlis Bertindak Membanteras Dadah (MTMD) Daerah atau Bahagian. Mesyuarat berkata mesti dilaksanakan secara berkala. Pendek kata, daripada pemimpin tertinggi kerajaan sehinggalah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mesti bersama-sama memerangi dadah tanpa berkecuali. Semua agensi ini mesti mempunyai profiling penagih-penagih dadah. JKKK tidak berkecuali.

Kerajaan mesti memperbanyakkan kakitangan AADK di setiap daerah dan kampung. Sama seperti penempatan pegawai SPRM di setiap agensi. Jika kita sangat serius memerangi rasuah kerana boleh menghancurkan negara, begitulah dengan dadah.

Ketiga, ibu bapa mesti menyerahkan anak-anak mereka kepada pihak berkuasa untuk dipulihkan. Mereka tidak boleh menyimpan anak penagih kerana takut malu, kerana ia sangat membahaya. Kes bunuh termasuk sanggup membunuh ibu bapa sendiri adalah disebabkan oleh gejala ketagihan. Tidak ada anak yang sanggup membunuh ibu bapanya. Tetapi itulah yang pernah berlaku akibat pengaruh dadah.

Ketiga, memang sukar untuk memulihkan penagih. Seolah-olah tidak ada jalan keluar. Hari ini kita menggunakan sejenis dadah bernama metadon, yang diharamkan di Singapura, untuk memulihkan penagih dadah. Ini sudah tentu bukan penyelesai kepada masalah. Memulihkan penagih dadah dengan dadah. Sudah sampai masanya cara lain difikirkan seperti yang dilakukan dan disyorkan oleh iTGM CentRena, Terapi Gantian Metadon. Unsur-unsur  spiritual dan psikospiritual mesti digabungkan bersama.

Kelima, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Anak-anak muda mesti disedarkan bahaya penagihan dadah. Boleh dikatakan penagihan ini tidak ada ubatnya, tetapi kita tidak boleh berputus asa. Kebanyakan penagihan bermula dengan merokok, walaupun tidak dinafikan ada yang tidak merokok. Merokok yang telah difatwakan haram mesti dihentikan. Meskipun cukai rokok memberikan keuntungan kepada negara, tetapi mudaratnya adalah lebih besar. Justeru, pengharaman rokok hendaklah dibuat bermula sekarang.

Keenam, setakat ini dilaporkan pelajar ketika usia 8 tahun sudah terlibat dengan dadah. Justeru, semua sekolah mesti ‘dipagari’ agar tidak ditembusi dadah. Guru dan kaunselor di sekolah mesti diberikan kuasa untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat. Haramkan merokok dalam mereka yang bergelar guru.

Ketujuh, mata pelajaran khusus mengenai dadah dan bahaya merokok hendaklah diperkenalkan. Jika tidak pun, setiap guru mesti diwajibkan mengulangi kata-kata bahaya dadah kepada manusia dalam setiap yang diajar tanpa mengira guru bidang apa.

Kelapan, kempen gaya hidup sihat dan berkualiti mesti diperluaskan. Salah sebab kenapa orang Cina sangat sedikit terlibat dengan dadah, kerana mereka sentiasa disibukkan oleh ibubapanya untuk mencari wang, struggle for survival. Sehingga anak-anak mereka tidak ada masa untuk melepak dan sebagainya. Berbanding dengan anak-anak Melayu. Masa mereka terlalu banyak. Kemudian melepak dan berbual kosong, diikuti dengan menghisap rokok bagi mengelakkan kebosanan. Akhirnya, pengaruh dadah mula menghampiri. Justeru, nasihat saya kepada ibubapa sibukkanlah anak-anak. Paling tidak, jika tidak mahu cari duit lebih, libatkanlah diri dengan NGO-NGO yang membuat kerja-kerja amal dan kerja-kerja dakwah.

Kesembilan, peranan agama. Jika ada negara menggunakan terapi loceng bagi memulihkan penagihan dadah, kerana loceng ada kaitan dengan simbul agama, kenapa kita tidak menggunakan pendekatan Islam sepenuhnya dalam menangani gejala penagihan ini. CentRenA sedang penyediakan program psikospiritual lengkap untuk mentarbiyyah penagih dadah.

Kesepuluh, tindakan tegas mesti dikenakan kepada mereka yang bersubahat dan berkompromi membawa dadah masuk ke negara. Tahniah diucapkan kepada Ketua Polis Negara kerana mengambil tindakan tegas kepada segelintir polis yang terlibat dalam penyeludupan dadah. Tindakan ini harus dipuji agar dapat memberikan pengajaran kepada yang lain.

Kesebelas, jika hukuman mati mandatori gantung sampai mati kepada mereka yang menyeludup dadah tidak banyak memberikan kesan. Sudah sampai masanya hukuman dikhalayak dilaksanakan. Mulakan dengan hukuman sebat. Ini tidak, baharu sahaja Kerajaan Kelantan meluluskan hukuman sebat di khalayak, suara-suara sumbang banyak kedengaran. Berilah peluang untuk hukuman ini berjalan terlebih dahulu. Manakah lebih kejam antara hukuman tembak mati ke atas penagih seperti sedang berjalan Indonesia dan Filipina dengan hukuman sebat di khalayak bagi tujuan mendidik yang sedang dicadang untuk dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan?

Akhirnya, tidak ada istilah perangi dadah secara habis-habisan, jika kita tidak serius dalam usaha memeranginya. Ini bukan kerja satu orang, AADK atau UniSZA. Tetapi melibatkan semua pihak. Terutama pemimpin tertinggi, wakil rakyat, pegawai daerah, JKKK dan rakyat marhaen. Jika tidak, ia hanya omong kosong sahaja. Selamatkanlah Melayu dan Islam sebelum terlambat

Mohd Ridhuan Tee Abdullah,

Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, UniSZA

Ikon AADK Terengganu

No Comments

    Leave a reply