SELEBRITI DAN TESTIMONIAL PRODUK HAMIL TANPA ‘PAKAR’

 

Tersiar dalam akhbar, Anzalna tolak tawaran pengeluar ‘produk hamil’ untuk menulis testimonial walaupun dibayar lumayan, beribu-ribu ringgit. Tahniah kerana Anzalna tidak mahu ‘membohongi’ peminat atau pengagumnya. Kejujuran sebegitulah kita perlukan. Anzalna tidak mudah terpedaya atau gelap mata untuk memberikan testimonial yang di luar kepakaran atau kemahiran diri. (Rujuk, Kosmo, 9.2.2019)

Anzalna disahkan hamil selepas tiga tahun menyulam bahagia bersama seorang ahli perniagaan. Beliau tidak mempersoalkan ‘surat takdir’ dan sentiasa tawakal berdoa untuk dikurniakan zuriat. “Terima kasih kepada semua yang selama ini mendoakan Anzalna dan suami untuk menerima zuriat. Benar, jodoh, rezeki atau ajal maut menjadi rahsia-Nya tidak perlu kita mempersoalkannya. Yang penting kita berusaha, berdoa dan tawakal.#9thJan2018”

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hanif Zaki pada 21 Februari 2016. Pengumuman hamil dibuat pada 9 Januari lalu, iaitu hari ulang tahun kelahiran Anzalna ke-31, kurang dua bulan daripada tarikh ulangtahun perkahwinannya.

Kenapa saya menulis mengenai kisah ini? Ia adalah sesuatu yang amat saya sanjungi apabila kita tidak bercakap di luar konteks kepakaran yang kita miliki. Kita tidak cuba ‘menggoda’ orang lain dengan pengetahuan yang tidak sebenarnya ada pada diri kita, sama ada pengetahuan itu adalah yang kita pinjamkan dari ‘bahan bacaan yang berwibawa’ ataupun sekadar ‘membaca sekilas’ apa yang dihidangkan dalam google. Kita tidak mahu orang menjadi ‘pakar segera’ sebagaimana pernah diberikan kepada seorang artis, ‘ustazah segera’ pada suatu ketika.

Kalau Anzalna bercakap mengenai ‘dunia artis dan hiburan’ saya boleh menerimanya kerana beliau mempunyai reputasi yang menarik dalam bidang tersebut. Apatah lagi, apabila beliau berkata “Orang suruh review produk hamil yang tidak kita guna. Duit mau, menipu tak mahu. Hahahaha Thanks for the offer,” tulis Anzalna. Dia sendiri memberikan empah ‘ha’ mengenai penolakan itu, tidak perlu meminta Scha Al-Yahya menjadi juri.

Tren menggunakan artis atau selebriti untuk melariskan produk semakin berkembang. Jika kita saksikan program jual beli dalam skrin televisyen, sama ada Go Shop atau Wow dan media sosial, kita banyak ketemu fenomena aneh itu. Kalau Ziela Jalil menjadi duta menjual ‘pakaian selesa’ atau Chef Wan yang pernah ‘dirasuk setan’ membantu melariskan periuk ajaib kita masih boleh terima. Chef Wan adalah ‘pakar masakan’ kalau membantu menjual periuk ajaib masih tidak keterlaluan.

Tetapi, kalaulah kepakaran dalam bidang masakan digunakan untuk menulis testimonial yang lain, kita merasa aneh dan kerana itulah apabila beliau mengkritik kehadiran Datuk Sri Najib ke Felda Sungai Koyan dalam siri kempen PRK Cameron Highlands meloyakan. Kritikan dan ‘ancaman’ untuk menampar Najib menyebabkan warganet bangkit mempersoalkan kewajarannya kerana masyarakat FELDA ‘tidak lupa budi dan jasa’.

Hanya Chef Wan yang tidak lagi bergantung rezeki sebagai peneroka FELDA ‘berlagak sombong’ untuk menampar Najib dan bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Mat Isa. EMOSI dan SENSASI akhirnya Chef Wan membangkitkan kontroversi.

Begitu juga ketika Abby Abadi menulis dan mengecam perlakuan orang lain yang tidak dilihatnya ‘Islamik’ selepas karier lakonannya merosot teruk dan seolah-olah mencari escapism dengan menyertai politik. Beliau akhirnya dipanggil ‘Ustazah Segera’ saperti mee segera. Warganet mula mengeposkan pelbagai ‘salah laku’ sepanjang bergelar artis yang tidak menampakkan dirinya sebagai seorang ‘muslim yang baik’. Peluru yang dilepaskan akhirnya menembak diri sendiri.

Chef Wan tersedar, akhirnya memohon maaf dan mengakui telah ‘dirasuk setan’. Isu itu selesa, tetapi apa yang diposkan oleh warganet dalam media sosial, masih tersimpan, termasuk gambar memakai dan bersolek saperti perempuan atau mak nyah berserta komen-komen pedas. Chef Wan jangan buat silap lagi. Bila berlaku sekali lagi, perkara yang sama atau lebih teruk lagi akan dipaparkan dalam media sosial.

Inilah hebatnya media sosial yang tidak pernah kita fikirkan sebelum internet benar-benar menjadi sebahagian daripada jalan-jalan kehidupan kita. Kita tidak boleh hidup tanpa internet. Kalaupun speednya begitu lambat, kita menyumpah, walaupun sebelumnya kita boleh bersabar untuk ke kedai membeli majalah-majalah hiburan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam dunia populis atau khayalan tidak berkesudahan. Kita sebenarnya hidup dalam situasi hiperrealiti, kerana otak dikuasai oleh maklumat, data dan juga gossip, hearsay, yang kita sendiri memilihnya.

Dalam dunia komunikasi, saya terkenang apa yang pernah dirumuskan oleh Joseph T Klapper (1917-1984), The Effects of Mass Communication (1960), kesan media bergantung kepada selective exposure (kita memilih untuk menonton atau membaca, pilihan pendedahan). Teori itu masih relevan dengan apa yang berlaku di era digital, kerana kita memilih untuk membaca atau membaca sekilas apa yang kita suka. Kita menolak apa yang tidak kita suka.

Berlainan dengan pendidikan, walaupun kita tidak suka kepada mata pelajaran matematik misalnya, kita terpaksa belajar untuk lulus dan mendapatkan Sijil Rendah Pelajaran (kini, PT3 dan sebelumnya PMR). Bagi pelajar tingkatan 5, walaupun membenci mata pelajaran sejarah, mesti belajar dan lulus. Jika tidak, tidak akan dapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Saya teringat suatu kupasan menarik yang dijadikan kajian pengaruh selebriti dalam memperkatakan sesuatu yang di luar kepakaran sebenar, kerana apa yang ditulis atau diperkatakan mendapat kepercayaan orang awam. Misalnya pada tahun 2014, Gwyneth Paltrow menyarankan agar wanita duduk terkangkang mengwapkan vaginanya dengan sejenis herba dari pokok mugwort bagi memperbaiki masalah ketidaksuburan, menyeimbangkan hormon reproduksi dan mengatasi masalah haid yang bercelaru.

Ternyata apa yang ditulis itu bukanlah sesuatu yang dilihat bertepatan dengan amalan ginaekologi, bidang perubatan sakit puan. Dengan sinisnya, Paltrow dipercayai ‘faham sains’ walaupun beliau sebenarnya adalah bekas penuntut bidang antropologi di Universiti California, Santa Barbara. Kerana kecintaannya dalam bidang lakonan, beliau tidak menamatkan pengajian tersebut.

Sebagai seorang artis, Paltrow mempunyai pengikut yang ramai dalam media sosial, GOOP.com. Atas sifatnya seorang artis yang mempunyai pengikut yang ramai, seorang pakar geneakologi cuba memberikan pandangan berdasarkan kepakarannnya, tetapi ia tidak berjaya menyakinkan orang awam. Jen Gunter menulis, wap tidak akan masuk ke rahim menerusi vagina kecuali dengan menggunakan alat tambahan untuk memberikannya tekanan. Rempah ratus itu tidak mampu membantu menyeimbangkan hormone dan mencadangkan ‘Jika anda ingin bersantai, lakukan dengan mengurut ringan. Jika anda inginkan vagina anda relaks, lakukan organisme.”

Jim Carey pernah melakukan kesilapan apabila berkempen untuk menolak penggunaan vaksin. Oleh kerana pengaruh selebriti, ramai yang percaya bahawa penyuntikan vaksin boleh menyebabkan kesihatan kanak-kanak terganggu. Inilah yang mungkin memperkuatkan penolakan ibu bapa di Filipina yang akhirnya terpaksa menanggung sedih akibat kehilangan nyawa dengan menolak suntikan vaksin campak.

Walaupun ada berita mengatakan penolakan tersebut disebabkan kelemahan dalam suntikan vaksin denggi, pengaruh selebriti turut membawa ruang yang menakutkan apabila lebih dua juta kanak-kanak bakal berhadapan dengan pneumonia yang dikaitkan dengan campak.

Beberapa daerah di Filipina diisytiharkan darurat akibat merebaknya wabak campak. Sehingga 26 Januari 2019, Biro Kesihatan Epidemiologi mencatatkan sebanyak 1,813 kes dengan 26 kematian, iaitu meningkat sebanyak 74 peratus berbanding tahun 2018. Terdapat 2.4 juta kanak-kanak di Filipina belum menerima suntikan vaksin. Pada tahun 2016, kadar suntikan ialah 75 peratus tetapi pada tahun 2017, ia menurun kepada 60 peratus. (Rujuk: http://www.astroawani.com/berita-dunia/filipina-isytihar-darurat-selepas-wabak-campak-semakin-serius-197932)

Di Malaysia sentiasa ada amaran daripada para pakar bahawa pengambilan bahan-bahan kosmetik, makanan tambahan dan ubat-ubatan tanpa mendapat nasihat doktor boleh membawa mudarat, tetapi orang awam kadangkala lupa untuk bertanya, apakah bahan kosmetik, makanan tambahan dan ubat-ubatan itu benar-benar berkesan dan tidak mempunyai kesan sampingan. Larangan tersebut saperti peringatan cemas ketika mengalami masalah, tetapi selepas isu reda, ia kembali mendapat sambutan daripada orang ramai.

Menariknya, apabila ubat-ubatan atau makanan tambahan tersebut menggunakan wanita cantik dan berkulit putih untuk mempromosikan barangan oleh pelbagai pihak yang mengeluarkan produk atas slogan herba, tanpa bahan kimia, halal dan boleh menurunkan kolesterol, tekanan darah dan kadar gula dalam darah dalam masa yang singkat. Mereka menggunakan saluran media sosial sehingga kita bukan sangat mempercayai apa yang dikatakan tetapi rasa terpegun dan teruja dengan ‘orang yang bercakap’ mengenai produk tersebut.

Saya pernah dihimpit penghinaan apabila bertanyakan seorang wanita cantik mengenai ‘ubat kuat untuk lelaki’ yang dipromosikan menerusi media sosial. Kempennya menarik kerana wanita itu menjelaskan, ubat kuat itu benar-benar berkesaan sehingga ‘merasa puas hingga ke pagi’ seolah-olah mengembalikan ghairah malam pertama berumah tangga. Soal saya. “adakah anda sendiri berpengalaman menggunakannya’? Wanita berkenaan tidak menjawab, tetapi ada seseorang yang membantunya menjawab kerana pertanyaan saya itu dilencongkan kepada satu lagi akaun facebook yang tidak pernah saya hubungi atau berada dalam senarai ‘friends list’.

Agak terkejut bila tuan punya akaun itu merepek. Didakwanya saya sengaja mensabotajkan perniagaan secara halal, cuba menutupi rezeki. Angin mula menyelinap masuk ke seluruh pembuluh darah, lalu saya berkomentar: Halalkah rezeki yang dicari itu dengan menjual produk yang haram dan memudaratkan? Jawab lelaki berkenaan: Adakah perniagaan itu sesuatu yang haram dan bertentangan dengan hukum agama?

“Berniaga tidak haram malah digalakkan oleh agama. Yang saya persoalkan ialah barangan yang dijual, bukannya perniagaan yang anda jalani. Jika produk itu tidak mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan, mudaratnya adalah pengguna. Bukankah bermakna anda menyiksa atau menzalimi pengguna?” Tanya saya.

“Pengguna mempunyai pilihan. Saya tidak memaksanya membeli, sebaliknya saya menawarkan pilihan yang mungkin sesuai dengan masalah yang dihadapi?” sambungnya.

Sebagai seseorang yang begitu degil untuk mempercayai penjual ubat di tepi jalan, atau secara online, saya memberikan gambaran bahawa jaminan wang dikembalikan tidak dapat mengubati kesakitan yang dialami sekiranya ubat yang diambil itu memberikan kesan buruk. Akibat tidak mahu lagi berhujah dan menyatakan kebenaran ‘mujarabnya ubat tersebut’, lelaki yang membantu wanita cantik, genit dan ghairah memutuskan perbincangan. Dia tidak lagi menjawab dan terus mendiamkan diri.

Begitu juga dengan ghairah wanita untuk kelihatan cantik amat menakutkan saya. Wanita sanggup berhabis ribuan ringgit untuk melakukan pelbagai teknik menjaga dan mengupayakan wajah agar kelihatan cantik, gebu, kulit yang anjal dan awet muda. Sanggup menggunakan kosmetik yang bercampur racun berjadual sehingga kacantikan asli berubah menjadi ‘wajah yang menyeramkan.’

Terbaharu, Mingguan Malaysia terbitan 3.2.2019 melaporkan “Trend Cantik Suntik Filler” amat membimbangkan apabila wujudnya pusat-pusat estetik tidak bertauliah menawarkan suntikan dermal filler, iaitu sejenis bahan sintetik yang disuntik ke lapisan kulit untuk memberikan sokongan agar kelihatan awet muda, payudara yang anjal dan wajah yang berubah dari asal sebagaimana diinginkan.

Risikonya tetap ada. Mengalami komplikasi di bahagian yang disuntik, yang berpotensi menyebabkan kanser. Nah! Kanser sudah menjadi penyakit yang kedua tertinggi menyebabkan kematian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ertinya, akibat ghairah untuk cantik, ada manusia yang bersedia menempah maut. Suatu kegilaan era moden yang tidak bersyukur dengan kesihatan diri sehingga sanggup membuat pelbagai ‘ubahan’ hanya kerana ditakluki oleh emosi. Khayalan Bodoh.

Secara alami, banyak petua untuk kelihatan cantik dan menarik. Tidak perlu suntikan dan ubat-ubatan yang belanjanya ribuan ringgit. Tetapi kerana manusia saperti ‘tidak cukup masa’ untuk melakukannya, merasakan petua dan tips untuk cantik secara alami itu ‘menyiksakan’ dan beralih ke tahap yang lebih mudah, melakukan suntikan atau pembedahan kosmetik, atau sekurang-kurang mengambil makanan tambahan yang belum tentu boleh menukarkan ‘wajah gelap’ benar-benar ‘putih’. Sebabnya, orang yang mempromosikan itu bukanlah asalnya berwajah gelap, tetapi memang sedia cantik.

Saya fikir, penolakan Anzalna untuk membuat ‘review produk kehamilan’ yang tidak pernah diambilnya suatu tindakan yang wajar dan amat bermoral. Beliau tidak mahu menipu, walaupun dibayar puluhan ribu, kerana ‘dosa menipu’ akan terbawa sampai bila-bila.

Tahniah Anzalna, kerana anda mempercayai berkat doa, tawakal dan berusaha akhirnya anda sedang menunggu kelahiran anak sulong, yang dapat mengeratkan hubungan dan melengkapkan ‘rumah tangga’, bukan bergantung kepada produk kehamilan yang belum tentu berkesan atau mujarab.

Anda sebenarnya memahami bahawa kalau diri belum diizinkan oleh Allah SWT beroleh zuriat, ia adalah ketentuan-Nya, bukan daripada seseorang yang menipu bahawa ‘produk kehamilannya’ telah membuatkan Didie Alias mengandung kerana menggunakan ABP 26 Red.

Cuba renungkan apakah maksud testimonial ini: Sukar mendapat zuriat ? Faktor umur? Badan letih dan lesu? Masalah dalaman wanita? Kini boleh diselesaikan dalam satu balang ABP 26 sahaja. Didie Alias kini mengandung 4 bulan selepas mengamalkan  produk Aura beauty Perfect 26 (Red). Alhamdulillah ini merupakan rezeki Kak Didie.  So harini saya nak kongsi ABP26 Red

Produk Aura beauty Perfect 26 (ABP26) kaya dengan khasiat semulajadi formula terkini yang lebih serap dan berkesan berbanding produk lain.  ABP26 murah dan efektif untuk kesihatan bagi wanita berkahwin. (dipetik dari: http://alphalipidsd2malaysia.blogspot.com/2014/02/tips-mengandung-mendapatkan-zuriat.html).

Betulkah Didie Alias mengandung kerana mengambil ABP 26 Red? Ada banyak hal yang boleh dikategorikan sebagai ‘misleading’ dalam testimonial ini. Saya tidak bersedia memanjangkan senarainya, mungkin pembaca boleh berfikir secara rasional apakah yang dianggap tidak betul itu? Ia mungkin lebih menakutkan atau konyol apabila seorang wanita mengharapkan dapat zuriat hanya kerana mandi air di Tasik Dayang Bunting.Wallahauaklam

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply