SELEPAS BATAL, ECRL DISAMBUNG SEMULA

 

Dua sebab besar kenapa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibatalkan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Pertama kerana Kerajaan PH melihat ECRL itu ada kaitannya dengan usaha untuk menutupi masalah hutang yang dikaitkan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). PH mendakwa kos sebenar untuk membina dan melaksanakan ECRL ialah antara RM 27 hingga 30 bilion. Kerajaan terdahulu menganggarkan kos ECRL sepanjang 688.3 kilometer sebanyak RM 66 bilion tetapi anggaran PH ialah boleh mencecah RM 81 bilion.

Kos sebanyak RM 81 adalah terlalu besar dan tidak mampu ditanggung oleh Kerajaan PH. Di celah-celah dakwaan itu muncul pula suatu andaian bahawa sebanyak RM 30 bilion akan digunakan untuk menutupi masalah hutang 1MDB. Oleh kerana kosnya adalah tinggi, Kerajaan PH tidak mampu meneruskannya, maka pada 29 Januari 2019, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan kabinet telah memuktamadkan keputusannya, iaitu membatalkan ECRL dan bersedia membayar penalti yang bakal dituntut oleh China Communications and Construction Group Limited (CCCC).

Kerajaan PH, menurut Azmin Ali, “tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan daripada projek berkenaan yang menjangkau hampir RM 500 juta.” Setelah hampir dua bulan kemudian, Kerajaan PH membuat satu lagi pusingan u apabila melantik Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainudin membuat rundingan semula projek ECRL dengan kerajaan China apabila Kerajaan PH mula memahami, pembatalan projek ECRL akan membabitkan dagangan antara Malaysia-China akan mengalami masalah besar.

Ketika ECRL dibatalkan, China membuat tindakan balas yang mengejutkan ramai pihak di mana pembelian minyak kelapa sawit dan getah dari Malaysia dibatalkan. China merupakan destinasi eksport kedua terbesar minyak sawit dari Malaysia, dan sebagai alternatifnya, China menandatangani kontrak membeli minyak sawit daripada Indonesia. Akibatnya, harga minyak sawit merudum teruk dan menyebabkan lebih 600,000 peneroka dan pekebun kecil kelapa sawit berhadapan dengan situasi sukar.

Kesan daripada penurunan harga minyak kelapa sawit, PH disedarkan dengan dua kekalahan dalam pilihan raya kecil, iaitu Cameron Highlands dan Semenyih. Sebahagian besar pengundi di Cameron Highland, terutama dalam DUN Jelai, iaitu di Sungai Koyan amat bergantung kepada harga kelapa sawit. Kekalahan pertama belum cukup memberikan pengajaran kepada PH, tetapi apabila kalah di DUN Semenyih,

PH mula memikirkan bakal berlaku ‘kesan domino’ sekiranya ekport minyak sawit tidak diiktiarkan pasaran yang lebih luas, apatah lagi dengan tindakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Eropah memboikot minyak sawit dengan alasan, penanaman yang luas menyebabkan berlakunya peningkatan suhu dan akhirnya, menyebabkan suhu dunia semakin panas.

Pada bulan Mac 2019, Kerajaan PH merasakan bahawa ECRL perlu dibincangkan semula dengan CCCC dengan harapan China akan kembali membeli minyak kelapa sawit dan getah dari Malaysia. Ketika China membatalkan pembelian minyak sawit, Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok menjelaskan negara itu membatalkannya kerana harga minyak sawit keluaran Malaysia adalah lebih bermutu, dan kerana mutunya adalah lebih baik maka harga adalah lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh Indonesia.

Menariknya, apabila perundingan semula ECRL dibuat, Perdana Menteri mengetepikan sekurang-kurangnya tiga orang menteri, iaitu Menteri Kewangan, Menteri Pengangkutan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Kenapa tiga menteri itu diketepikan? Banyak misteri yang belum terungkai kecualilah masyarakat boleh bertahan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Daim dilantik kerana beliau adalah perunding yang baik dan berkesan, sedangkan tiga menteri berkenaan tidak cekap dan tidak mampu menjadi perunding yang berjaya membawa imej negara.

Pengumuman dibuat oleh Tun Daim Zainudin pada 24 Mac 2019, bahawa kerajaan bersetuju untuk menyambung semula pembangunan ECRL dengan penjimatan RM 21.5 bilion dengan kos RM 44 bilion dan sedikit penjajaran semula landasan, dari 688.5 kilometer kepada 640 kilometer. Dua stesen yang dikatakan banyak melibatkan kos, iaitu Bentong dan Gombak dilencongkan dari Mentakab ke Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan sebelum berhenti di Putrajaya.

Dengan pengurangan stesen (dua di Kelantan, iaitu Tumpat dan Pengkalan Kubur), ECRL akan bermula di Kota Bahru dan berakhir di Port Klang melalui Putrajaya. Pengurangan stesen dan pelencongan jajaran tersebut dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM 10 bilion. Ini bermakna, dengan downsizing, kos telah turun kepada RM 51 bilion.

Pengurangan tersebut kerana tidak ada lagi terowong yang perlu dibina untuk merentasi Banjaran Titiwangsa, iaitu antara Bentung ke Gombak dan kos pengambilan tanah di Jelebu adalah lebih murah daripada kos yang terpaksa dibayar sekiranya melalui stesen Gombak. Keseluruhan kos baharu ialah RM 44 bilion.

Pengurangan kos itu dianggap sebagai penjimatan oleh Kerajaan PH. Akhirnya, Kerajaan PH tidak dapat menjelaskan dengan berkesan, orang ramai tidak menerimanya sebagai penjimatan. Ia dianggap sebagai perbezaan harga membeli kereta Proton X70 yang dipanggil ‘basic’ sedangkan kerajaan terdahulu, bercadang membeli Proton X70 versi premium. Proton X70 ‘basic’ dijual dengan harga RM 99,800 seunit manakala versi premium lengkap ialah RM 123,800.

Atau dalam analogi Raja Petra Kamarudin antara harga Proton kapasiti enjin 1300 cc ‘tanpa air condition, radio dan power window’ dengan Proton 1600 cc dengan ‘air condition, radio dan power window”. Ia tetap Proton, tetapi untuk membayar tol secara elektronik, pemandu Proton 1,300 cc terpaksa membuka pintu atau tingkap secara manual ketika sampai di Plaza Tol.

Setelah isu penjimatan tidak dapat diterima, kini muncul pula laporan bahawa penerusan ECRL bukanlah benar-benar menelan belanja setakat itu, China akan diberikan tanah yang lebih besar untuk dimajukan bagi membolehkan perkhidmatan tersebut memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi. China mendapat tanah 4,500 ekar di tujuh lokasi berhampiran stesen ECRL.

Menurut Raja Petra Kamarudin, harga ‘diskaun’ sebanyak RM 21.5 bilion itu bukanlah harga ‘diskaun’saperti kita diberitahu. Ia adalah “China telah diberi tanah dan hak pembangunan yang jumlahnya sepuluh kali ganda tinggi dari ‘diskaun’ yang mereka beri. (Rujuk: “Terdedah: Perjanjian Rahsia Projek ECRL Melibatkan Ribuan Hektar Tanah Diberi Ke China”, https://www.malaysia-today.net/2019/04/20/terdedah-perjanjian-rahsia-projek-ecrl-melibatkan-ribuan-hektar-tanah-diberi-ke-china/)

Menurut Tun Daim, projek ECRL yang dipersetujui dalam rundingan semula adalah hak milik Malaysia sepenuhnya manakala pengurusannya akan dikendalikan oleh sebuah syarikat usahasama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC dengan perkongsian saham setara, iaitu 50 peratus. Ini bermakna, projek tersebut bukan milik CCCC dan ditanggung oleh Kerajaan PH dari segi pembiayaan infrastrukturnya. Dengan penjelasan tersebut, Kerajaan PH sedang menolak pandangan awal yang dibuat sebelumnya, iaitu dikuasai oleh China dan menjadi satu bentuk gadaian kepada pihak asing.

Soalnya, kenapa Kerajaan PH berusaha untuk melaksanakan semula beberapa projek mega yang dibuat oleh kerajaan terdahulu sedangkan dakwaan awal ialah untuk menggadai negara? Selepas ECRL disambung semula, Kerajaan PH turut mengakui bahawa pembinaan Bandar Malaysia yang meliputi Razak Exchange (TRX) dan pembangunan semula di kawasan lapangan terbang Sungai Besi sebagai sesuatu yang menguntungkan walhal sebelumnya bakal menyebabkan negara muflis?

Bagi orang ramai, dua projek raksaksa itu, ECRL dan Bandar Malaysia adalah suatu helah PH untuk menutupi kelemahan yang berlaku. Dengan menghidupkan semula dua projek yang dianggap bakal merancakkan pembangunan ekonomi (di Koridor Pantai Timur) dan Lembah Klang itu penting sebagai daya tarikan pelaburan asing, dan jika dibatalkan, kemungkinan daya saing Malaysia dalam bidang perniagaan tidak akan berlaku.

Ketika ini, beberapa badan penarafan antarabangsa telah meletakkan Malaysia dalam keadaan yang bukan sahaja boleh menjejaskan kemasukan pelaburan asing, bahkan terkeluar daripada pasaran bon atau sukuk. Jika ini benar-benar terjadi, harapan Kerajaan PH untuk ‘membaiki kerosakan’ tidak akan ke mana, bahkan akan dianggap sebagai perosak ekonomi negara. Ketika ini, orang ramai sudah mula bosan dan muak dengan cara Kerajaan PH mentadbir negara.

Dengan meneruskan dua projek tersebut, Kerajaan PH menjangkakan akan berlaku lonjakan dalam pasaran saham dan nilai ringgit dapat meningkat semula. Sebab itulah Daim mencadangkan agar rakyat memberikan tempoh selama enam bulan lagi untuk Kerajaan PH membaiki kelemahannya, walaupun hampir setahun rakyat terpaksa ‘menelan pahit’ akibat pertelagahan politik dan kos sara hidup yang meningkat. Strategi menghapuskan GST dan memperkenalkan semula kaedah percukaian yang lama dianggap telah gagal, gagal menurunkan harga barangan dan menyumbang pendapatan lebih baik kepada negara.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply