Kalau kita sanggup membelakangkan perintah Allah SWT hingga melewat-lewatkan solat kerana takut tidak siap kerja, atau lebih buruk lagi hingga sanggup terlepas waktu solat kerana bermesyuarat contohnya, bermakna kita tidak jujur dengan Allah daripada ukuran keimanan dan ketakwaan. Kita lebih takut kepada hamba Allah berbanding dengan Penciptanya!

Benteng kejujuran adalah ketakwaan dan keimanan. Apabila kita ada kuasa dan pangkat, senang luntur kejujuran jika kita tidak berasa ada Tuhan Yang Maha Melihat dan hari pembalasan pada alam yang kekal kelak. Sebagai orang yang dipimpin pula, kita juga perlu jujur dengan diri kita, berani berkata benar, biarpun tidak sedap didengar. Jangan takut hilang apa-apa yang kita ada; berani kerana benar – sebab rezeki; gaji, bonus, harta, pangkat, kedudukan dan gelaran semuanya dalam ketentuan Tuhan Yang Maha Kuasa, manusia hanya saluran melaksanakan ketentuan-Nya.

Bina sejak kecil dalam diri anak-anak kita, sifat jujur dan berasa ada Allah yang memandang, kerana Allah SWT itu Maha Melihat dan Penguasa seluruh alam ini. Perlu ditekankan sejak di sekolah lagi dalam sistem pendidikan, kecemerlangan anak-anak adalah terletak pada A untuk akidah, A untuk Ibadah dan A untuk akhlak.

Setelah kita berjaya membina kecemerlangan (A) untuk ketiga-tiga ini, kecemerlangan dalam akademik akan datang dengan sendirinya. Barulah apabila anak-anak ini dewasa dan memasuki alam pekerjaan, akan menjadi golongan profesional yang tinggi integritinya – kejujuran dalam hubungan dengan Allah dan kejujuran dalam hubungan dengan sesama manusia menjadi asas kehidupannya.

Ingatlah, apa-apa lukisan kehidupan yang kita tinggalkan untuk anak-anak akan masuk dalam minda bawah sedar mereka, dan menjadi paradigma kehidupan mereka. Jika baik, maka baiklah sistem nilai dan kehidupan mereka. Ibu bapa bertanggungjawab atas akhlak anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa, bukan apa yang kita tinggalkan kepada anak kita tetapi apa yang kita tinggal dalam jiwa mereka. Iaitu, iman dan ketakwaan – akidah yang mantap, ibadah sempurna dan akhlak mulia.

Begitu jualah guru-guru dan sistem pendidikan di sekolah, sangat besar pengaruh dan impaknya dalam membentuk sikap dan keperibadian generasi akan datang. Jom audit bagaimanakah kita hendak betulkan sikap diri sendiri? Hal ini sangat penting, kerana untuk kita mengubah sikap orang sekeliling kita, kita kena tunjuk contoh yang baik. Maka ubah dan perbetulkanlah sikap dan keperibadian kita dahului. Tiga cara untuk membentuk keperibadian positif yang perlu kita hadirkan dalam diri, jiwa dan fikiran kita adalah pertama, yakinkan diri bahawa kita ini seorang yang baik.

Maknanya di mana pun kita berada kita tidak menyusahkan orang atau menyakitkan hati orang, malah kitalah yang membuatkan orang tenang dan aman. Kita jujur dan berikhlas hati dengan sesiapa sahaja. Tidak ada perasaan hasad dengki – kita senang melihat orang senang dan susah melihat orang susah, bukan kita susah melihat orang senang.

Kedua, yakinkan diri kita ini bahagia, gembira dan penyayang orangnya. Selalu wujud situasi dalam perhubungan; kita hendak gembira tetapi kita tidak menggembirakan orang, kita mahukan orang menyayangi kita tetapi kita selalu buat orang benci kepada kita, kita mahukan kebebasan tetapi kita mengongkong orang, dan kita mahukan kejujuran tetapi kita “menikam orang dari belakang”. Analoginya seperti bayang-bayang. Kalau bersahabat janganlah jadi seperti bayang-bayang – yang ikut aje ke mana kita pergi apabila ada cahaya, tetapi apabila tiba tempat gelap atau tidak bercahaya, bayang-bayang pun hilang.

Dalam perhubungan kita perlukan orang yang sentiasa bersedia bersama-sama kita walaupun pada waktu senang atau susah, dan kejujuran adalah jambatan kepada persahabatan. Formula untuk kita disenangi orang, setiap kali bertemu orang, buatkan orang itu berasa dirinya penting dan diperlukan, fahami dirinya dan tinggalkan kesan semangat yang positif setelah dia bertemu dengan kita dan dia mengharapkan pertemuan seterus, bukan dia serik dan enggan menemui kita lagi sampai bila-bila.

Ketiga, jadilah orang yang bermanfaat. Allah paling sayang orang yang bermanfaat. Untuk menjadi orang yang bermanfaat kenalah mencari ilmu, supaya kita boleh menyebarkan dan mengajar orang lain.

Kalau kita ada ilmu tidak sebarkan rugi, kalau ada kuasa atau kedudukan tetapi tidak memudahkan urusan orang juga rugi, dan kalau kita ada harta dan tenaga tetapi tidak membantu orang, lagilah rugi. Niatkanlah dalam hati kita hendak menjadi orang bertakwa dan bermanfaat, serta berlumba-lumba hendak berbuat baik. Dunia dalaman (fikiran dan emosi) kita menentukan tindakan kita. Tindakan kita menentukan reaksi orang di sekeliling kita. Untuk membetulkan ‘dunia luaran’ diri kita, kita perlu betulkan ‘dunia dalaman’ diri kita dengan membuktikan kejujuran kita dalam ketaatan kita kepada-Nya. Bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT dengan berdoa.

Ingatlah jadikan diri kita ini bergantung sepenuhnya kepada Allah, bukan bergantung kepada ikhtiar kita sahaja. Dan juga, janganlah berasa selesa dengan apa yang kita ada, hingga kita tidak mengharapkan doa orang terhadap kita. Jagalah juga hubungan silaturahim dengan sesama manusia, dengan kejujuran dan keikhlasan. ).“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.