Ayah ada kebijaksanaan. Abang Long menganggap ini tanggungjawabnya mengganti nakhoda menyelamatkan kapal yang hampir tenggelam. Bagi adik bongsu yang gagah perkasa, dialah penggalang tubuh menangkis apa jua bahaya mendatang.

Orang melihat setiap kali resolusi atau peraturan menghalang pertandingan lebih kepada membina pagar melindungi mereka yang berada di atas. Yang di atas tak boleh ditandingi. Susulannya tak boleh ditegur, tak boleh dikritik, jangan disoal. Ketaatan yang tak berbelah-bagi kepada nombor 1, adalah disiplin mutlak UMNO dan menjadi doktrin sejak zaman Mahathir lagi. Kalau tidak, masakan Anwar dipecat, Zahid dipenjara atau Ku Li dinyahkan.

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO 2018 paling meriah. Tujuh bertanding presiden,  tiga bertanding timbalan, lapan bertanding naib, 124 bertanding Majlis Tertinggi (MT). Namun ramai pula yang berkata, UMNO sudah lama dilanda sindrom tiada pertandingan. Tradisi bermula zaman Mahathir-Anwar. Tiada pertandingan tiada jaminan Umno tak berpecah. Mahathir-Anwar pecah, Mahathir-Ghafar pecah, Najib-Muhyiddin pecah. Dan paling akhir, resolusi tiada tandingan Najib-Zahid pun antara penyebab UMNO ditolak.

Meriah sungguh! Ia seperti satu pesta besar. Pesta keluarga UMNO. Kalau semua memandang positif dan tiada siapa mengeluarkan kata kesat atau saling menyindir lawannya, pertandingan ini adalah suatu pembaharuan besar. Bukan hanya untuk UMNO tetapi keseluruhan masa depan politik Melayu negara ini. Politik tidak menyanggah perlu diberi pentakrifan baru.

Masih teringat, dulu pesanan awal pengerusi tetap di setiap peringkat sebelum persidangan bermula: “Kepada semua calon yang bertanding, kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana menawarkan diri. Niat untuk berkhidmat adalah satu kemuliaan dalam UMNO!”

Pertandingan tahun 2018 mudah-mudahan akan bermula semula satu tradisi kemuliaan yang sekian lama terhapus.

DATUK SERI AHMAD SHABERY CHEEK ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.